terima kasih buat kalian semua..

Monday, January 30, 2012

Mula2 kawin sama2 hidup susah..Bila hidup semakin mewah.. suami mula main belakang !!!


MENGIKUTI kisah-kisah yang dipaparkan di ruangan ini seumpama membaca diari hidup saya sendiri.

''Walaupun ada kelainan tetapi banyak persamaannya dalam hidup saya yang terpaksa berdepan kerenah suami yang saya anggap tak tahu diuntung,'' ujar Noradlina membuka bicara dalam e-melnya yang panjang lebar.

Dia mengakui dulu tidak mampu menahan air mata setiap kali membaca kisah yang ada persamaan dengan hidupnya.

"Saya merasa terlalu sedih mengenangkan sikap suami yang jauh berubah berbanding ketika sama-sama panjat bas dengan saya.

''Ketika berkahwin 15 tahun lalu, kami sama-sama susah. Saya bersyukur dijodohkan dengan suami yang ketika itu amat bertimbang rasa, pandai mengambil hati, rajin solat dan amat jujur hinggakan apa jua yang dibelanjakannya akan diberitahu tanpa ditanya.

''Agaknya kerana itu, Allah ingin menduganya. Setelah mendapat dua orang anak dan tujuh tahun berkahwin, dia bertukar kerja dan mendapat gaji lebih banyak daripada saya. Kami sudah mampu membeli sebuah kereta menggantikan motosikal.

''Sayangnya setelah pendapatan bertambah, perangainya mula berubah. Dia mula culas solat, balik lewat, malah sanggup suruh saya tumpang kawan atau naik bas. Alasannya dia bukan macam dulu, kerjanya bertambah banyak.

''Memikirkan kerja pun baru, saya bersabar. Memandangkan susah menumpang kawan, dia izinkan saya memohon pinjaman membeli kereta Kancil. Katanya belilah asalkan tidak menyusahkan dia. Berdetik hati saya mendengar kata-katanya tapi saya bersabar.

''Apabila sudah berkereta , segala urusan rumahtangga, anak dan sebagainya menjadi tanggungjawab saya. Dia bukan sahaja balik lewat malah sering ke luar daerah atas alasan tugas. Saya percaya," katanya.

Sepandai-pandai tupai melompat jatuh ke tanah jua. Seorang sepupu terlihat suami saya, Jam makan tengah hari dengan seorang wanita. Menurutnya, itu bukan kali pertama bahkan sudah banyak kali cuma suami sahaja tidak nampak.

''Saya cuba tenangkan perasaan dengan berkata itu mungkin teman pejabatnya. Saya fikir cerita itu tamat di situ sahaja, tapi rakan lain pulak bawa cerita yang sama. Saya bertanya pada Jam, dia nafikan. Malah memberi amaran jangan suka dengar cerita orang dan kalau tak percayakan suami, lebih baik tak usah kahwin!

''Helah Jam mendorong saya menjalankan siasatan sendiri. Apabila ternampak dia dan kekasihnya, saya buktikan dengan gambar dan Jam mengamuk sakan. Dia tuduh saya mengintip. Dia kata tidak takut dengan ugutan saya. Masalahnya saya tidak mengugut cuma mahu dia berubah dan kembali kepada keluarga seperti dulu. Namun dia tinggalkan saya dan anak-anak.

''Saya bernasib baik ada adik beradik yang sudi membantu walaupun pendapatan mereka juga tak seberapa. Saya dengar cerita suami hendak kahwin baru. Nasihat dan pujukan sudah tidak dipedulikannya lagi baik daripada saudara mara mahupun ayah saya sendiri.

''Kerana tidak ada jalan lain, saya mohon bantuan ibu mertua tapi dia beri alasan dia tidak mahu campur urusan rumahtangga anak-anak.

''Selama lebih enam tahun, pelbagai usaha saya lakukan untuk 'memulihkan' suami tetapi tidak ada langsung perubahan. Akhirnya saya ke pejabat agama, tindakan yang cuma memalukan saya. Saya dileterkan seolah-olah semua kesalahan di bahu saya. Walaupun Jam dipanggil untuk sesi nasihat, dia tak pernah ambil peduli. Dia tetap dengan perangainya.

''Kerana tidak ada jalan lain, saya mohon pada Jam supaya kami berpisah. Bagi saya, itu lebih baik supaya dia tiada halangan berkahwin lagi. Peliknya, Jam berkeras tak akan ceraikan saya sampai mati.

''Hidup saya cukup menderita, ada suami serupa tidak. Setiap tahun dia dapat potongan cukai pendapatan, sedangkan dia tidak pernah peduli makan minum kami selain bayar sewa rumah.

''Namun Allah itu maha besar. Ujian yang diberikan ada hikmah di sebaliknya. Saya juga mendapat tawaran kerja lebih baik dan dihantar berkursus selama setahun. Peluang itu mengubah hidup saya. Sepeninggalan saya, anak-anak di bawah jagaan kakak saya yang amat penyabar.

''Perubahan hidup saya dari segi kedudukan, kereta dan penampilan, rupanya mengubah perangai Jam yang dulunya melupakan kami anak beranak.

" Dia memujuk saya supaya kembali padanya, sambil berjanji tidak akan mengulangi kesilapan lalu. Tetapi pada saya, Jam sudah tidak bermakna dalam hidup saya lagi.

''Saya merasa lebih tenang hidup tanpanya dan kini hanya menunggu mahkamah memutuskan ikatan kami," kata Noradlina mengakhiri ceritanya.

Isteri sambung belajar di luar negara.. buat onar dibelakang suami !!!


FENOMENA isteri meninggalkan suami untuk sambung belajar sudah menjadi lumrah, tidak kira di dalam atau luar negara.

Amat baik jika isteri ada cita-cita tinggi untuk menyambung pelajaran tetapi adakah ia dilakukan mengikut lunas-lunas agama?

Jika nawaitu seorang isteri itu jujur dan memang untuk membantu meringankan kewangan suami, sikapnya itu memang dipuji, tetapi bagaimana jika keizinan suami disalah guna untuk menjalin hubungan cinta dengan lelaki lain dan kemudiannya meminta cerai?

Saya paparkan luahan perasaan Sam (bukan nama sebenar) yang sedang berdepan dengan dilema kerana isterinya yang sedang belajar di luar negara menuntut cerai.

Kita ikuti kisah Sam.

"Saya telah bernikah dengan Iza (bukan nama sebenar) sejak tujuh tahun lalu.

"Dengan kelulusan yang dimiliki, kami mendapat kerja dengan gaji yang lumayan. Alhamdulillah!

"Setahun bernikah kami dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia lima tahun. Pada ulang tahun ketiga perkahwinan kami, Iza memberitahu saya yang syarikat tempat dia bekerja menawarkan dia untuk melanjutkan pelajaran di luar negara dengan gaji penuh.

"Setelah berfikir panjang dan mendapatkan pandangan keluarga kedua-dua pihak, saya izinkan dia pergi dengan harapan dia pandai menjaga diri dan tahu statusnya sebagai isteri orang.

"Anak tinggal bersama saya buat sementara tetapi kemudian terpaksa saya hantar untuk dijaga ibu saya di kampung kerana saya tidak dapat memberi tumpuan kepadanya kerana komitmen kerja.

"Tahun pertama di luar negara Iza selalu mengirim surat, e-mel dan bertanya khabar saya dan anak. Saya tidak merasakan ditinggalkan kerana dia selalu bertanya khabar.

"Masuk tahun kedua, saya mula merasakan perubahan pada diri Iza. Saya sepatutnya melawat dia di sana bersama anak kami seperti yang telah kami persetujui. Sayangnya apabila saya maklumkan kedatangan saya, dia seperti tidak menggalakkan.

"Pelbagai alasan dia berikan kepada saya supaya saya tidak datang. Mula-mula saya fikirkan dia mungkin sibuk dengan pelajaran. Lama-kelamaan saya syak ada sesuatu yang tidak kena dengan isteri saya ini.

"Saya nekad pergi juga ke sana setelah dia mula mengelak daripada menghubungi saya. Panggilan telefon tidak berjawab, e-mel tidak berbalas.

Respons daripadanya juga mula berkurangan.

"Melalui seorang kenalan yang bekerja satu pejabat dengan Iza, saya diberitahu isteri saya sedang intim dengan seorang pegawai di syarikatnya yang juga sedang melanjutkan pelajaran di sana. Lelaki itu seorang duda.

"Saya tidak tahu kenapa saya tidak marah apabila mendengar khabar tersebut. Hati saya tenang sahaja tetapi saya mengambil keputusan untuk ke sana melihat sendiri dengan mata saya apa sebenarnya berlaku.

"Lagipun saya rindu kepadanya. Saya tidak maklumkan kepada Iza kedatangan saya kerana saya mahu buat kejutan kepadanya. Saya buat solat hajat, istikarah dan mohon petunjuk dari Allah. Jika benar apa yang saya dengar, saya mohon tunjukkan kepada saya, begitulah sebaliknya.

"Berbekalkan alamat tempat tinggal dan universiti di mana dia belajar, saya ke negara B untuk mencari bukti. Nasib baik saya ada teman lama yang sedang bekerja di sana dan bersedia untuk membantu.

"Hari pertama saya di sana, saya mengintip pergerakannya, ke mana dia pergi dan dengan siapa. Memang betul apa yang diberitahu oleh rakan sekerja Iza. Lelaki yang dikatakan duda itu ada bersamanya. Memang mereka nampak mesra. Akhirnya kelakian saya tercabar juga melihat kemesraan isteri dengan lelaki lain.

"Rasa marah mula timbul. Tapi saya ingat pesan ibu saya, jangan bertindak mengikut hati, guna akal. Tiga hari berturut-turut saya ikut jejak mereka.

"Hari keempat saya nekad bersemuka dengannya. Setelah pasti dia ada di rumah sewanya, saya mengetuk pintu. Biarpun dada saya berdebar-debar dengan apa yang bakal saya saksikan, saya nekad untuk menjadikan malam itu sebagai malam perhitungan dan penyelesaian dalam rumah tangga kami.

"Terbuka sahaja pintu, Iza yang muncul. Di belakangnya lelaki itu yang selalu saya lihat bersama dengan Iza. Mereka terperanjat beruk dengan kehadiran saya.

"Saya cuba menahan perasaan marah. Saya terus masuk dan bertanya siapa lelaki yang ada bersamanya. Iza tidak menjawab, sebaliknya mula menangis.

"Lelaki itu cuba menjawab soalan saya tetapi saya minta dia diam sebab saya hanya ingin berurusan dengan isteri saya.

"Saya tidak marah, tidak menjerit-jerit dan tidak menumbuk lelaki yang telah merosakkan rumah tangga saya tetapi saya bagi kata dua kepada Iza, supaya berfikir dan memilih, saya dan anak kami atau lelaki itu. Kemudian saya terus keluar dari rumah tersebut tanpa menoleh lagi.

"Balik ke Malaysia, saya ceritakan semua yang telah saya lihat kepada keluarga saya dan mentua. Mentua saya menangis kerana tidak sangka anaknya bertindak begitu. Ibu saya juga sedih tetapi apa nak kata semuanya sudah menjadi bubur!

"Dua minggu selepas itu, saya menerima surat dari Iza minta diceraikan. Dia juga meminta ampun dan maaf kerana terpaksa memilih lelaki itu daripada saya dan anak kami.

"Saya harap abang akan mendapat isteri yang lebih baik dan sempurna untuk masa depan abang. Maafkan saya!

Begitu mudah dia melafazkan kata. Berani sungguh perempuan zaman sekarang. Kalau dulu hanya lelaki dipersalahkan kerana keruntuhan rumah tangga, sekarang terang-terang perempuan juga mudah lupa diri, lupa tanggungjawab dan berlaku curang kepada suami.

"Saya kesal kepercayaan yang saya berikan telah disalah guna oleh Iza. Tapi saya tidak kesal kehilangan dia. Saya harap suami-suami yang mana isteri mereka teringin hendak melanjutkan pelajaran sama ada di dalam atau luar negara, berfikirlah semasak-masaknya.

"Bukan maksud saya semua perempuan berstatus isteri perangai macam Iza tetapi nasihat saya hati-hati. Cabaran di kampus amat hebat, tidak kira anak dara, isteri atau suami orang.

"Saya tidak menyalahkan takdir yang berlaku kepada saya kerana saya reda dengan semua itu. Mungkin jodoh saya hanya setakat itu. Saya berdoa agar saya dipertemukan jodoh dengan wanita yang lebih memahami erti kebahagiaan berumah tangga tanpa meletakkan pendidikan, pangkat dan kedudukan sebagai perkara utama.

"Semoga Allah makbulkan doa dan permintaan saya." Sam menamatkan ceritanya.

Saya kagum dengan Sam kerana bertindak profesional dalam menangani masalah rumah tangganya. Walaupun keputusan isterinya itu tidak sepatutnya berlaku, saya yakin itulah yang terbaik untuk mereka berdua.

Masing-masing telah memilih jalan hidup sendiri, mungkin takdir Allah jadi penentu, setakat itu sahaja jodoh Sam dan Iza walaupun penamatnya begitu menyedihkan dan tidak sepatutnya berlaku.

Salam

Berkahwin bila mampu...Bukan hanya nak elak maksiat saja !!


PERKAHWINAN adalah sunnah Rasulullah SAW dan juga ibadah. Ia dapat memelihara diri seseorang daripada maksiat.

Dalam hadis Nabi SAW bersabda: "Apabila antara kamu ada yang mampu berkahwin, hendaklah ia berkahwin kerana nanti matanya akan lebih terjaga dan kemaluannya akan lebih terpelihara. Dan apabila ia belum mampu kahwin, hendaklah ia berpuasa kerana puasa itu mengawal nafsunya." (Sunan Abu Daud, Kitab Nikah, vol2, 2544).

Hadis ini juga menerangkan bahawa berpuasa itu adalah satu cara terbaik untuk mengawal nafsu. Selain itu, syarat berkahwin adalah kemampuan segi mental, fizikal dan material.

Namun, ramai hanya melihat hadis ini dari satu sudut iaitu perkahwinan adalah cara mengawal nafsu dan mengelak diri daripada melakukan maksiat. Perkara yang jarang sekali kita bincangkan ialah apakah cara untuk mengawal nafsu seseorang untuk mengelak daripada melakukan maksiat? Adakah kita ibu bapa pernah duduk bertanya kepada anak lelaki atau perempuan kita yang baru baligh bagaimana dia harus mengawal dirinya? Atau pernahkah berlaku sebaliknya?

Berapa ramai generasi muda hari ini yang masih tidak dapat membezakan air mani dengan air mazi? Berapa ramai juga yang teragak-agak menjawab soalan yang melibatkan hubungan seksual atau isu melibatkan perkara-perkara yang meransang nafsu sehingga hilang kawalan.

Dalam kebanyakan kes, apabila sepasang remaja yang terlanjur hingga mengakibatkannya hamil luar nikah, jalan penyelesaian yang diambil ibu bapa ialah menikahkan mereka walaupun mereka sangat muda. Lantas tidak sampai tiga bulan bercerai.

Pernikahan itu tidak menyebabkan anak yang dikandung itu menjadi sah taraf kerana ia dilahirkan kurang enam bulan qamariah dari tarikh perkahiwan ibu bapanya. Yang dilahirkan lebih enam bulan qamariah (bulan Islam yang ada kalanya 29 hari dan ada 30 hari) maka anak itu dibin atau bintikan lelaki yang menyebabkan ibunya mengandung.

Menurut hukum, demi kepentingan anak itu, ia adalah anak yang sahtaraf dan dinasabkan pada lelaki itu walaupun jelas anak itu dikandung melalui perzinaan.

Berbalik kepada isu perkahwinan di mana perkahwinan kerana Allah semata-mata, kerana ingin hidup dalam peliharaan Allah. Namun jika ia dilaksanakan kerana pasangan telah terlanjur atau kerana takut melakukan zina, maka keperluan bahawa yang ingin berkahwin itu mesti mampu.

Dalam keadaan telah atau akan berzina, yang jelas mereka hanya mampu dari segi fizikal dan seksual. Tetapi dari segi nafkah isteri dan anak pula telah diketepikan. Dalam beberapa keadaan perkahwinan itu hanya semata-mata ingin menutup malu.

Saya pernah bertanya kepada seorang wanita muda (19 tahun) yang kenapa dia berkahwin. Dia seorang pelajar IPT dan telah terlanjur dengan seorang lelaki yang tidak bekerja. Dia mengandung dan melahirkan anak di rumah keluarga lelaki.

Oleh kerana tidak mahu keluarganya tahu, dia telah bernikah di Thailand. Sebulan kemudian anaknya lahir. Dia duduk dengan mertua di sebuah flat di Kuala Lumpur. Dia telah mendaftarkan kelahiran anak dan memasukan nama suami sebagai bapa anak dalam butiran s13(a) Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian.

Dia mendapat anak lelaki dan keluarga suami sangat gembira kerana menurut bapa mertuanya anak itu membawa tuah kerana setiap kali dia mengambil loteri atau toto atau apa saja jenis judi, dia menang.

Dia dan anak diberi makan wang daripada perjudian sedangkan lelaki yang dia nikahi tidak bekerja. Suaminya dan keluarga suami sangat sayangkan anaknya. Sehinggakan dia kadang-kadang tidak dapat memegang anaknya. Ada juga masanya suami mula bersikap garang dan memukulnya dan keluarganya membiarkan sahaja. Jadi dia datang untuk bertanya jika dia boleh mohon cerai.

Setelah lama bertanya rupanya dia berkahwin kerana telah sarat mengandung. Dia takut didakwa di mahkamah syariah kerana melahirkan anak tanpa nikah.

Lantaran tiada tempat hendak pergi dan jika dia berkahwin di Thailand kerana anak boleh dibin atau dibintikan kepada suaminya. Dia tidak pernah menyintai suaminya sebelum atau selepas berkahwin. Saya sangat terkejut.

"Habis kenapa kahwin dengannya? Tidakkah kamu menyintainya sehingga melakukan zina?"

Dia menjawab: "Saya sangat muda dan mudah tergoda. Mengadakan hubungan seks hanya untuk suka-suka dan mencuba. Bila mengandung, kesian pula pada anak dalam kandungan itu. Jadi saya kahwin."

Saya tanya dia lagi sama ada dia tahu bahawa berzina itu dosa besar. Dia mengangguk dan tunduk. Saya menasihatkannya untuk mendaftarkan perkahwinannya di pejabat agama terdekat.

Selepas didaftarkan, barulah dia boleh memohon cerai di mahkamah syariah di Malaysia. Dia menyatakan kerisauannya kerana suami pernah berkata yang dia boleh diceraikan tetapi tidak akan dibenarkan membawa anak bersama. Saya menerangkan bahawa anak itu adalah anak yang tak sah taraf kerana dilahirkan satu bulan selepas ibu bapanya berkahwin.

Benar, nama bapanya telah dimasukkan dalam sijil kelahiran tetapi dengan hanya melihat di bahagian bawah sijil itu yang menulis seksyen 13, jelas menunjukan anak itu tidak sah taraf. Menurut hukum Islam, anak tidak sah taraf tidak boleh dinasabkan kepada bapa biologinya atau lelaki yang menyebabkan ibu anak itu mengandung.

Anak tidak sah taraf adalah milik mutlak ibunya. Ibu dan keluarga ibu yang berhak kepada anak tersebut dan wajib menanggungnya.

Wanita muda itu berkata, "Jadi suami saya tidak boleh buat apa-apa atau ambil anak ini? Kalau saya tahu saya tidak nikah dengannya. Saya nikah kerana saya ingat saya boleh jadikan anak saya anak sah taraf dengan bernikah sebelum anak lahir."

Kali ini giliran saya terkejut. Pertama kerana kecetekan ilmu agama wanita muda pelajar IPT itu. Yang kedua, dia berkahwin atas alas an yang salah. Dia berkahwin kerana takut didakwa di mahkamah syariah!

Yang jelas, walaupun anaknya itu anak tidak sah taraf dan zinanya yang bukan atas dasar cinta. Naluri keibuannya jelas menunjukkan dia sangat sayangkan anak itu. Cuma dia tidak tahu ke mana hendak pergi bersama anak itu, sedang dia masih belajar.

Wanita muda tadi adalah contoh terbaik golongan yang berkahwin tanpa mengetahui hikmah perkahwinan. Pasangan yang ingin berkahwin perlulah tahu kenapa mereka ingin berkahwin. Ramai yang akan menjawab berkahwin atas dasar cinta. Ada juga yang dikahwinkan oleh ibu bapa kerana pergaulan yang terlalu bebas dan merunsingkan keluarga.

Namun bila hendak dikahwinkan, yang lelaki sama ada masih belajar, mengganggur atau baru bekerja. Duit tidak ada walau hanya untuk maharnya. Ramai juga ibu bapa anak perempuan terpaksa 'beralah' dan menerima pilihan anak perempuan mereka seadanya. Jika diminta yang bukan-bukan, mereka tidak jadi berkahwin. Sedangkan anak perempuannya itu telah 'diusung' ke sana ke mari. Ada ibu bapa berkongsi menyediakan persediaan perkahwinan anak-anak kerana anak tidak mampu lagi untuk berkahwin tetapi kerana takut anak-anak terlanjur, mereka dinikahkan segera.

Ada juga yang tahu anak mereka telah terlanjur tetapi tidak mengandung lagi lalu dinikahkan kerana takut kejadian berulangan. Ada juga pasangan yang datang berjumpa saya setelah 10 tahun berkahwin dan terlepas juga kata-kata suaminya: "Kami dulu dinikahkan oleh keluarga kerana kami sering keluar bersama. Sebenarnya kami belum bersedia untuk berkahwin."

Jika pasangan sering keluar berdua-duaan, masakan mereka tidak pernah terfikir untuk berkahwin atau tidak bersedia berkahwin. Sedangkan hubungan telah melebihi pasangan suami isteri? Apakah yang pasangan tahu tentang cinta dan bercinta? Apakah yang dimaksudkan dengan "tidur tak lena, mandi tak basah" itu? Adakah itu semata-mata emosi yang disaluti nafsu? Kenapa hari ini pasangan bercinta bertahun-tahun, berkahwin dan lepas tiga tahun bercerai. Ke mana hilangnya cinta yang diagung-agungkan itu? Atau ia semata-mata emosi yang disaluti nafsu?

Surah ar-Rum ayat 21 dan surah an-Nisa ayat 1 menunjukan bahawa Allah menjanjikan kasih sayang dalam perkahwinan untuk pasangan suami isteri hidup berkasih sayang. Allah juga menjanjikan zuriat daripada hubungan kasih sayang itu. Ini adalah janji Allah SWT.

Jika kita hamba Allah yang taat dan percaya kepada-Nya, maka kita mesti bercaya bahawa jika kita berkahwin dengan niat kerana Allah, maka perkahwinan itu akan Allah rahmati denga kasih sayang berpanjangan.

Pasangan perlu yakin bahawa Allah SWT sangat pemurah lagi penyayang dan dengan rahmat-Nya, kita beroleh keberkatan perkahwinan.

Yang berlaku hari ini ialah ramai pasangan berkahwin di atas dasar 'cinta'. Sebelum berkahwin, tidak dengar suaranya tidak boleh tidur. Tidak dapat SMSnya tidak lalu makan.

Selepas berkahwin, telefon jika ada kecemasan. Ke mana hilangnya cinta? Atau cinta yang dibalut nafsu telah hilang kerana apa yang dicari telah diperoleh? Berdoalah dan pupuklah cinta selepas berkahwin dan berkahwinlah dengan niat yang betul.

Oleh NOOR AZIAH AWAL

Membudaya selawat dalam kehidupan harian...


UMAT Nabi Muhammad SAW sewajibnya mencintai Baginda melebihi daripada segala-galanya hatta terhadap diri sendiri. Ini seperti mana kisah Baginda SAW dengan sahabatnya Umar al-Khattab yang begitu jelas memberi pengajaran berguna buat kita umat di akhir zaman ini.

Dikisahkan, suatu hari Umar al-Khattab mengatakan rasa cinta dan kasihnya terhadap Rasulullah SAW, namun selepas mendengar yang Umar mencintai dirinya terdahulu maka Rasulullah SAW membetulkannya semula.

Kata Nabi SAW: “Tidak, demi Allah yang jiwaku ada di tangan-Nya. Sehingga kamu mencintai aku lebih daripada dirimu sendiri. Kemudian Umar pun mengatakan: Sesungguhnya sekarang engkaulah yang aku cintai lebih daripada diriku sendiri. Lalu Nabi SAW pun berkata lagi kepadanya: Sekarang wahai Umar.” (Hadis riwayat Bukhari)
Berdasarkan kisah antara Rasulullah SAW dan Umar itu menjelaskan kepada kita betapa pentingnya hati kita mencintai sebulat-bulatnya terhadap Baginda. Banyak cara yang membolehkan menzahirkan kecintaan kita kepada Rasulullah SAW.

Antaranya melalui bacaan selawat, amalan ringan dan semua mampu buat namun mengandungi banyak pahala di sisi Allah kerana menerusi bacaan selawat melambangkan rasa cinta, kasih sayang dan hormat seseorang terhadap Baginda.

Allah dengan tegas ada mengatakan: “Sesungguhnya Allah dan Malaikat-Nya berselawat (memberi segala penghormatan dan kebaikan) kepada Nabi (Muhammad SAW). Wahai orang yang beriman, berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya.” (Surah al-Ahzab, ayat 56)

Rasulullah SAW sangat gembira apabila umatnya sering membaca selawat ke atas Baginda. Hal ini dijelaskan Abdul Rahman bin Auf, katanya, Rasulullah SAW keluar lalu aku mengikuti Baginda sehingga memasuki sebuah kebun kurma.
Lalu Baginda sujud dalam masa agak lama sehingga aku bimbang atau takut seandainya Allah mewafatkan Baginda. Abdul Rahman meneruskan riwayatnya: “Maka aku datang melihat Baginda, lalu Baginda mengangkat kepalanya seraya bertanya, kenapa dengan kamu wahai Abdul Rahman? Lalu akupun menyebutkan apa yang berlaku kepada Baginda.

Kata Nabi SAW: “Sesungguhnya Jibril berkata kepadaku, hendaklah aku gembirakan kamu bahawa sesungguhnya Allah telah berfirman kepada kamu: Sesiapa yang berselawat ke atas kamu maka Allah berselawat ke atasnya dan sesiapa yang memberi salam ke atas kamu, maka Aku memberi salam ke atasnya.”

Cerita ini ada hubung kait dengan pesanan Rasulullah SAW yang bermaksud: “Barang siapa yang berselawat ke atasku dengan sekali selawat, nescaya Allah akan berselawat ke atasnya sepuluh kali.” (Hadis riwayat Muslim)

Demikian hebatnya fadilat selawat yang akan diperoleh kita yang menjadikan amalan membacanya sebagai jadual harian dan pada setiap ketika. Justeru, kita perlu mendidik anak, isteri dan ahli keluarga membudayakan amalan berselawat sebagai amalan wajib buat setiap hari.

Seperkara lagi perlu diingatkan, jangan setakat rajin berselawat tetapi akhlak zahir dan akhlak batin jauh daripada apa yang diperintahkan Nabi SAW. Mulut berbudaya selawat, tetapi tangan dan kaki mencari hasil kerja yang haram?

Jika beginilah, maka tiada makna selawat yang kita baca, malah kita semakin jauh daripada Baginda kerana melakukan perkara yang dibenci. Jika kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW maka laksanakan apa disuruh dan menjauhi yang ditegah sebagai penzahiran rasa cinta itu.

Alangkah beruntungnya seseorang yang rajin berselawat dan memiliki akhlak terpuji seperti diperturunkan Rasulullah SAW. Kita mesti selarikan antara amalan membaca selawat dengan amalan zahir batin. Wujudnya kesepaduan jitu antara kedua-duanya akan menjadi pencetus kepada keberkatan hidup di dunia dan akhirat.

Selain selawat, amalan ibadah sunat lain juga tidak seharusnya dijadikan amalan bermusim atau bersifat berkala. Tiba Maulidur Rasul, maka teringatlah untuk menggiatkan bacaan selawat tetapi selepas habis Maulidur Rasul, sehari ke sehari amalan itu terhakis daripada sanubari.

Seandainya situasi begini yang berlaku bermakna kecintaan terhadap Rasulullah belum mampu kita buktikan secara jujur.

Bagi ibu bapa, didiklah anak mencintai Rasulullah SAW seawal usia dengan membiasakan alunan bacaan selawat sebagai halwa telinga mereka yang akan menjadi asas kepada pembangunan rohani anak.

Imam al-Ghazali melalui karya teragungnya, Ihya Ulumuddin berpesan: “Ketahuilah apa-apa yang kami sebut dalam menjelaskan akidah seharusnya diberikan kepada anak pada awal perkembangannya supaya mereka dapat benar-benar menghafaz sehingga dewasa nanti terungkap maknanya sedikit demi sedikit.”

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin


Mengapa remaja Melayu layu???


KEMERDEKAAN yang kita terima dan isi sepatutnya menjadikan remaja lebih bertenaga dan berwibawa. Sebaliknya proses pembangunan dan perubahan sosial tidak dapat dimanfaatkan oleh kebanyakan para remaja. Terdapat sebahagian remaja Melayu dalam jumlah yang agak membimbangkan terjebak dengan ketirisan jati diri dan menjalani hidup dalam keadaan keliru dan celaru. Ini boleh menyebabkan kelangsungan generasi Melayu menjadi 'layu'.

Abad ini adalah abad persaingan yang menuntut remaja yang berilmu dan mempunyai etika yang tinggi. Masalah sosial yang terjadi, penyalahgunaan dadah yang bertambah, kegiatan rempit yang berlaku, kadar penceraian yang tinggi serta amalan zina dan pembuangan bayi yang meningkat bukanlah suatu gambaran menarik kepada generasi muda. Generasi inilah yang bakal mengambil alih tampuk kekeluargaan, kemasyarakatan dan kepimpinan negara. Ia adalah gambaran suram yang menyebabkan Melayu itu bertambah 'layu'.

Ia bermula dalam pendidikan keluarga yang tidak seimbang. Anak-anak tidak dibina dalam suasana yang fitrah. Keciciran banyak terjadi dalam pembinaan keluarga dan ia menyebabkan keciciran berterusan di sekolah dan dalam masyarakat. Remaja Melayu amat terdedah dengan simpang siur, silang budaya yang kehilangan arah. Ia menyebabkan remaja Melayu mengalami sindrom ketagihan terhadap hiburan, gemar menonton filem-filem tahyul, seram dan hantu yang tidak mampu meningkatkan akal budi insani dan mudah cair dengan cabaran nafsu nafsi dan akhirnya menjerumuskan remaja Melayu ke kancah kerosakan.

Terlihat oleh kita sistem perubahan sosial berlaku dalam dua ekstrem. Di satu pihak cuba membentuk pemikiran generasi muda kearah kebaikan dan kemakrufan. Di sisi lain terdapat usaha dan kegiatan menjadikan mereka orang-orang yang lagha, cuai, dan lalai terhadap amanah keremajaan. Ia menyebabkan konflik sikap dan pemikiran terjadi. Akhirnya menyebabkan sebahagian remaja Melayu menjadi 'layu'.

Sindrom 'kelayuan' ini boleh menyebabkan remaja Melayu hilang pedoman dan arah dalam hidup dan akhirnya menjadi mangsa kepada persekitaran. Persekitaran yang tidak baik bakal membentuk pola berfikir dan binaan sikap yang lemah. Ia tidak akan menghasilkan pemikiran kreatif yang berpotensi untuk membawa perubahan dan pemikiran kompetitif untuk berdepan dengan cabaran dan saingan. Minda remaja Melayu akan menjadi lemah, suka bergantung kepada orang lain dan menjadi pengikut kepada agenda orang lain.

Oleh itu, amat penting generasi muda Melayu membina jati diri atas prinsip perubahan ke arah sesuatu. Remaja Melayu patut menginsafi bahawa ianya tidak boleh berlaku tanpa ilmu, kemahiran serta akhlak. Remaja Melayu yang jauh daripada pendidikan Islam dan tidak menjadikan Islam dan etikanya sebagai pedoman bakal terdedah menjadi mangsa zaman. Sifat zaman yang pantas berubah mengingatkan kita dengan kata-kata Saidina Umar r.a yang menyebutkan "Didiklah generasi muda dengan ilmu yang sezamannya".

Ilmu yang sesuai dengan zaman, pada hemat penulis ialah ilmu yang integratif, yang menyepadukan ilmu akal dengan ilmu wahyu (ilmu aqliah dan ilmu naqliah). Tanpa kekuatan ilmu, yang diolah secara wasatiyyah (berimbang), tidak mungkin kita mampu menyaingi terjahan globalisasi yang berlaku dengan hebatnya.

Reflektif terhadap tamadun Islam yang silam boleh membawa kepada proses integrasi dan islamisasi ilmu yang mampu mencetuskan perubahan dan tamadun. Kalau tidak, para remaja dan generasi muda akan kekal sebagai pengguna setia terhadap tamadun Barat yang belum tentu selari dengan tuntutan agama.

Para remaja yang mengikuti pendidikan agama mesti mampu membentuk pemikiran yang terbuka, tidak emosional dan taksub serta berfikir secara simplistik. Melakukan perubahan terhadap sistem menuntut pemikiran yang jelas, rancangan yang bijaksana dan strategi yang berwibawa.

Kalau pendidikan agama menjadikan para remaja gopoh berfikir, bersikap simplistik terhadap sesuatu, tidak bersedia mendengar pandangan orang lain ia bakal menghasilkan kejumudan dan kebekuan. Sikap jumud dan beku tidak boleh menghasilkan perubahan. Remaja bakal berada dalam kepompong berfikir yang lama dan tidak mampu melonjakkan diri dalam arus perubahan yang terarah.

Oleh NURUL IZZAH SIDEK

Penerima Pingat JPP: bila nak dapat elaun RM 1,000 sebulan seperti yg dijanjikan???


SEMPENA Sambutan Hari Pahlawan 2011, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa semua penerima Pingat Jasa Perkasa Persekutuan (JPP) layak menerima elaun sebanyak RM1,000 sebulan seumur hidup bermula dari Januari 2009, sama seperti penerima pingat Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) serta Pingat Gagah Berani (PGB).

Kami yang berpendapatan cukup-cukup sahaja menerima berita tersebut dengan perasaan yang sangatlah bersyukur. Hari demi hari, minggu dan bulan berganti, kami bersabar sahaja menunggu, namun tiada apa-apa perkembangan.

Kami pun menghubungi pegawai Jabatan Perdana Menteri (JPM) Bahagian Istiadat, tetapi jawapan diterima agak mengelirukan. Pihak JPM minta kami menunggu kerana kerajaan belum meluluskan elaun itu. Kami sebagai penerima pingat tersebut tidak faham, apa kedudukan sebenarnya.

Nak minta untuk lulus elaun pun makan masa bertahun, apabila dah lulus tapi bayaran pula belum tentu lagi. Rata-rata penerima pingat ini adalah yang telah lanjut usia dan berpenyakit. Sekurang-kurangnya dengan wang tersebut, bolehlah kami mendapatkan rawatan.

Kami tahu kerajaan sentiasa menghargai jasa pihak yang telah bersusah payah untuk negara. Kami cuma inginkan kepastian, apakah kedudukan yang sebenarnya?

MENUNGGU SAMPAI TUA

Hartanah Medini mencurigakan?


LANGKAH diambil Khazanah Nasional (Khazanah) dalam urusan korporat sudah tentu mendapat perhatian umum kerana bukan saja ia milik Kementerian Kewangan, tetapi setiap perjanjian jual beli yang dibuat oleh Khazanah melibatkan wang berbilion ringgit.

Persoalannya, siapakah di dalam kerajaan yang memantau kegiatan Khazanah? Pemantauan di sini bukan sekadar mendapatkan taklimat atau penjelasan daripada Khazanah. Tetapi, siapakah di dalam kerajaan yang membuat analisis atau kajian terperinci mengenai tindakan-tindakan Khazanah sebelum kelulusan diberikan terhadap langkah-langkah korporat mereka?

Antara kegiatan Khazanah yang besar di dalam portfolio mereka adalah pembangunan wilayah Iskandar Malaysia. Khazanah memiliki dua syarikat pemaju utama di kawasan Nusajaya - UEM Land dan Iskandar Investment Berhad (IIB). Kedua-dua syarikat ini memiliki tanah yang besar di sana, berjumlah lebih kurang 24,000 ekar melalui pegangan mereka di dalam anak-anak syarikat yang diwujudkan untuk membangunkan projek di sana.

UEM Land adalah sebuah syarikat yang disenaraikan di Bursa Saham Kuala Lumpur dan wujud sebelum Iskandar Malaysia dilancarkan pada 2006. IIB pula diwujudkan untuk menjadi pemaju besar kawasan Iskandar Malaysia bagi membangunkan projek-projek pemangkin yang dapat membawa nilai pengganda tinggi untuk ekonomi negara.

Antara kawasan utama yang dibangunkan oleh IIB adalah Medini yang terletak bersebelahan dengan Kota Iskandar. Tanah seluas 2,200 ekar ini pada asalnya adalah tanah UEM yang disuntik masuk oleh Khazanah ke dalam IIB. Ia dirancang untuk menjadi tapak pembangunan bercampur bersepadu bagi menarik pelabur-pelabur yang terlibat di dalam 6 sektor perkhidmatan yang diberi insentif oleh kerajaan Malaysia iaitu sektor pendidikan, kreatif, kewangan, logistik, kesihatan dan pelancongan.

Pada Mei 2008, IIB menandatangani perjanjian penjualan hak pembangunan hartanah Medini dengan dua konsortium Arab - Mubadala dari Abu Dhabi dan Kuwait Finance House dari Kuwait. Perjanjian itu ditaksirkan bernilai AS$ 1.2 bilion, atau RM4.2 bilion (berdasarkan kadar tukaran asing pada masa itu). Jumlah transaksi yang besar ini menjadi berita hangat di seluruh negara, sekali gus memberi harapan besar untuk merealisasikan wawasan Iskandar Malaysia.

Hampir empat tahun berlalu, Medini menyaksikan beberapa pengumuman tentang komitmen pelaburan di dalam projek perumahan, taman tema Legoland, pusat membeli-belah dan hospital swasta. Baru-baru ini Khazanah mengumumkan projek kerjasama mereka dengan Temasek dan Sunway untuk membangunkan Zon E dan F di Medini. Sekali lagi, nampak seolah- olah Khazanah berjaya menarik pelaburan ke dalam Medini.

Namun, terdapat desas-desus di Johor mengenai Medini yang sepatutnya diselidiki oleh kerajaan. Soalan yang dikemukakan oleh mereka bukanlah soalan seperti berapa ramai kontraktor Melayu mendapat tender projek di Medini atau berapa ramai setinggan Melayu yang dihalau dari kawasan perkampungan mereka, tetapi lebih merujuk kepada bagaimana Medini telah menjadi satu skema projek hartanah yang mencurigakan.

Antara yang menjadi persoalan adalah atas dasar apakah IIB mewujudkan syarikat Medini Iskandar Malaysia Sdn Bhd (MIMSB) melalui kerjasama dengan sebuah syarikat British Virgin Island bernama UWI Capital (One) Ltd, yang diwakili oleh seorang warga asing dalam nisbah 75:25?

Sekiranya warga asing itu telah membantu IIB mendapatkan kedua-dua konsortium Arab melabur di Medini, bukankah lebih patut beliau dibayar komisen 2-3% daripada nilai pelaburan yang dibawa masuk, dan tertakluk kepada jumlah sebenar yang dibayar oleh pelabur-pelabur ini. Mengapa perlu memberi individu ini saham 25% di dalam Medini?

Yang lebih menghairankan, individu ini juga mewakili dua syarikat British Virgin Island lain - Alpha Four dan Alpha Five Ltd yang memegang 10% di dalam kedua-dua konsortium Arab yang melabur di Medini. Bukankah ini bermaksud individu ini mengaut keuntungan daripada penjual (Medini Iskandar Malaysia Sdn. Bhd.) dan pembeli (Mubadala dan Kuwait Finance House)?

Umum mengetahui individu berkenaan dilantik menjadi ahli lembaga pengarah di dalam ketiga-tiga syarikat ini, sehingga menimbulkan persoalan, siapakah sebenarnya individu ini? Apakah beliau memegang kepentingan orang-orang lain yang tidak dapat diketahui disebabkan kesemua syarikat pesisir (offshore) yang diwakilinya berpangkalan di British Virgin Island?

Persoalan kedua ialah apakah usaha-usaha yang telah dilakukan oleh konsortium-konsortium Arab dalam menarik pelaburan Asia Barat ke Medini? Jika dikaji semula keratan akhbar mengenai projek-projek Medini, hampir semuanya melibatkan Khazanah dan anak-anak syarikatnya sendiri.

Sebagai contoh, projek pusat membeli-belah di Zon A Medini akan diusahakan oleh UEM Land (anak syarikat Khazanah), projek hospital Gleaneagles adalah milik Khazanah, projek pembangunan bercampur di Zon E dan F pun akan diusahakan oleh syarikat kerjasama Khazanah dengan Temasek dan Sunway.

Taman tema Legoland pun tidak boleh dilihat sebagai pelaburan asing ke Medini kerana sebahagian besar kos pembinaan RM720 juta dibiayai oleh pinjaman mudah kerajaan dan dana mudahcara. Ini bermaksud pembayar cukailah yang membiayai projek tersebut.

Sekiranya tiada usaha sebenar yang dilakukan oleh kedua-dua konsortium Arab untuk membawa masuk pelabur-pelabur Asia Barat ke Medini, dan ditambah pula dengan kenyataan bahawa Khazanah yang akhirnya melabur di Medini melalui anak-anak syarikatnya sendiri, mengapa perlu mewujudkan beberapa syarikat orang tengah?

Mengapa Khazanah tidak terus menjual tanah kepada Khazanah-Sunway JV? Mengapa transaksi tanah ini perlu melalui pelbagai syarikat tengah seperti IIB, Medini Iskandar Malaysia dan konsortium Arab? Bukankah ini membolehkan warga asing yang disebut tadi mengaut keuntungan daripada syarikat-syarikat orang tengah ini?

Persoalan ketiga yang perlu diselidiki ialah sekiranya Khazanah sendiri yang melabur di dalam projek Legoland, hospital swasta dan pusat membeli-belah di Zon A Medini, apakah ini bermaksud Khazanah atau IIB membeli semula tanah yang pada asalnya dijual kepada konsortium Arab? Desas-desus di Johor mengatakan bahawa IIB terpaksa membeli semula sebahagian dari tanah-tanah yang dijual kepada konsortium Mubadala akibat dari perjanjian berat sebelah yang ditandatangani oleh Khazanah bagi pihak IIB.

Apa yang perlu disiasat ialah apakah harga tanah yang dibeli semula oleh IIB lebih tinggi dari harga yang dijual kepada konsortium Mubadala? Jika ini benar, bukankah ia boleh membawa maksud konsortium Mubadala mendapat untung atas angin daripada perjanjian jual-beli dengan IIB.

Satu lagi yang perlu diketahui ialah apakah konsortium-konsortium Arab ini mematuhi jadual pembayaran kepada MIMSB? Desas-desus di Johor ada mengatakan bahawa MIMSB dibebankan dengan masalah aliran tunai akibat kelewatan pembayaran oleh kedua-dua konsortium Arab ini, yang mungkin berkait dengan kegagalan mereka menarik pelabur asing ke Medini.

Kegagalan membawa masuk pelabur lain ke Medini jugalah yang menyebabkan mereka terpaksa menjual semula atau memulangkan sebahagian tanah Medini kepada IIB dan MIMSB. Dalam hal sebegini, Khazanah perlu telus dengan memberitahu berapa banyakkah tanah Medini yang telah dijual balik atau dipulangkan semula kepada IIB dan anak-anak syarikatnya.

Apakah harga jualan kepada konsortium Arab ini masih kekal pada harga AS$ 1.2 bilion?

Sejauh manakah pengurangan dari jumlah asal ini sekiranya terdapat sebahagian tanah yang telah dijual balik atau dipulangkan semula kepada IIB atau MIMSB?

Yang menghairankan, walaupun MIMSB menghadapi masalah aliran tunai akibat kelewatan pembayaran dan pemulangan semula sebahagian tanah Medini oleh Mubadala, syarikat tersebut masih boleh membayar dividen sebanyak RM475 juta pada 2008? Perlu diingatkan, 25% daripada dividen ini ialah milik syarikat British Virgin Island yang diwakili oleh individu berkenaan. Mengapa MIMSB tidak sabar-sabar mahu mengagihkan dividen pada tahun tersebut sedangkan bayaran daripada konsortium-konsortium Arab belum diterima sepenuhnya.

Bukankah fokus sepatutnya diberikan untuk membelanjakan wang ke arah pembinaan infrastruktur Medini, bukannya pengagihan dividen? Apakah IIB membeli balik tanah pada harga lebih mahal daripada Temasek dan Sunway? Mengenai penjualan semula tanah Medini kepada IIB, Khazanah juga perlu telus mengenai berapakah harga tanah yang dibeli balik oleh IIB daripada konsortium Mubadala. Harga ini perlu dibandingkan dengan harga yang dibayar oleh syarikat kerjasama Khazanah dengan Temasek dan Sunway untuk Zon E dan F Medini.

Mengikut apa yang dilaporkan di Bursa Saham Kuala Lumpur, harga yang dibayar untuk Zon E dan F ialah lebih kurang RM25 sekaki persegi kawasan lantai kasar (Gross Floor Area). Berapakah harga yang dibayar oleh IIB?

Sekiranya IIB membeli semula tanah dari konsortium Mubadala pada harga yang lebih tinggi (dalam nilai RM sebenar, bukan USD) daripada apa yang dibayar oleh Sunway dan Temasek, ini bermaksud IIB disepit oleh perjanjian berat sebelah yang ditandatangani oleh Khazanah.

Bagaimana pula dengan pemulangan semula sebahagian tanah Medini kepada MIMSB? Siapakah yang dilantik oleh MIMSB atau anak syarikatnya sebagai ejen untuk mencari pelabur-pelabur asing ke Medini? Desas-desus orang Johor menceritakan bahawa sebuah syarikat tempatan yang dilantik menjadi ejen hartanah untuk pihak MIMSB. Dikatakan bahawa syarikat itu mendapat hak eksklusif untuk menjadi ejen hartanah pada kadar komisyen 30%.

Banyak perkara lain yang boleh dibangkitkan di sini mengenai peliknya skema hartanah Medini yang diuruskan oleh Khazanah pada awal penubuhan IIB. Persoalan yang penting ialah apakah pemegang saham IIB yang lain - Kumpulan Wang Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KPRJ) - diberi taklimat jelas mengenai risiko-risiko ini? Kita semua mengetahui KWSP ialah sebuah institusi pelaburan yang konservatif, tidak mungkin skema hartanah sebegini boleh diluluskan oleh Panel Pelaburan KWSP, melainkan sekiranya kertas kerja Lembaga Pengarah IIB tidak menghuraikan risiko-risiko sebegini.

Skema hartanah Medini yang dihuraikan di sini nyata sekali mencurigakan dan perlu disiasat. Transaksi-transaksi hartanah yang berlaku di Medini distrukturkan secara canggih dan rumit, berselindung di sebalik perjanjian-perjanjian jual-beli yang sukar difahami dan mengundang pelbagai soalan, seolah-olah terdapat konspirasi besar yang mahu mengaburi mata rakyat.

Sudah sampai masanya pihak kerajaan memantau lebih kuat syarikat-syarikat GLC. Memantau bukan bermaksud sekadar mendengar taklimat daripada syarikat-syarikat ini, tetapi menyiasat, mengkaji, membuat analisis dan membangkitkan soalan-soalan yang boleh memastikan tidak ada perjanjian berat sebelah yang menggadai kepentingan negara.

RAKYAT JOHOR PRIHATIN,
Johor Bahru

Tuesday, January 24, 2012

Pakai tudung cantik, tetapi seksi !!! Gagal penuhi tuntutan syariat...




Pakaian beri gambaran salah konsep menutup aurat

ORANG Islam mudah menerima? Persoalan itu wajar kita tanyakan apabila hakikatnya nampak begitu kerana apa juga yang terbaru dan terkini, pastinya kita tidak mahu ketinggalan. Mungkin perasaan perlu mengikut aliran dan tidak mahu ketinggalan mendorong kita mengikut arus.
Sebenarnya tidak salah mengikut arus, tetapi dalam kecenderungan kita menjadi sebahagian daripada perubahan, ada batas serta peraturan yang perlu dipatuhi khususnya sebagai umat Islam, tuntutan agama sentiasa menjadi penanda aras terhadap apa juga tindakan yang ingin kita lakukan.
Justeru, amat menyedihkan apabila ada yang mempertikaikan keputusan pihak berkuasa yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal agama kerana yang diputuskan itu tidak memenuhi kehendak pihak tertentu atau secara jelas menentang kemahuan mereka.

Namun, saya bukan hendak membangkitkan beberapa insiden besar yang berlaku dalam masyarakat apabila ada pihak menentang atau mempersoalkan keputusan mereka yang arif dalam hukum agama dengan pandangan serta perbahasan mengikut pemikiran mereka.

Apa yang ingin saya ketengahkan ialah pemandangan biasa dilihat dalam kalangan remaja, belia dan orang muda, malah ada juga golongan dewasa yang menjadikan pemakaian tudung ibarat pertunjukan fesyen, siapa lebih terkini gayanya atau bijak menggayakan fesyen bertudung.

Sekali lagi, tidak salah bergaya untuk kelihatan cantik kerana Allah sukakan yang cantik, tetapi biarlah kecantikan itu yang benar-benar cantik. Dalam erti kata lain, kecantikan pemakaian tudung biarlah mengikut syariat serta matlamat utama kenapa ia diwajibkan terhadap perempuan Islam.
Apa yang terjadi sekarang, pemakaian tudungnya sangat cantik dengan pelbagai gaya, tetapi secara keseluruhan ia gagal memenuhi hikmah disyariatkan bertudung apabila baju dipakai melekat pada badan, berada di atas punggung dan seluar pula mengikut bentuk kaki, tidak kira yang kurus panjang atau tidak kurang yang padat berisi.

Malah, ada yang apabila duduk, ternampak pula sebahagian kulit badan di belakang walaupun rambut yang menjadi sebahagian aurat sudah elok tertutup. Itu yang menimbulkan persoalan, inikah cara berpakaian yang dianjurkan Islam kerana rasanya semua tahu akan jawapannya.

Perkembangan ini antara sedar atau tidak turut memberi gambaran salah terhadap konsep menutup aurat yang disarankan agama Islam. Oleh itu, marilah bersama kita menilai, memikirkan semula serta mengambil tindakan sebaiknya supaya niat memenuhi tuntutan agama benar-benar memberi manfaat serta ganjaran pahala, bukan sebaliknya, menjadi usaha sia-sia.

Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu, dan perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar), cara demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-Ahzab, ayat 59)

Menyedari perlunya menjaga batasan antara lelaki dan perempuan, kami di Pusat Rawatan Islam Al-Hidayah menggalakkan wanita yang datang untuk mendapatkan rawatan memakai telekung supaya batas aurat itu terjaga sebaiknya. Sebahagian besar yang datang memang menutup aurat dan bertudung, tetapi bagi kami, lebih baik mengambil langkah boleh mencegah daripada timbulnya fitnah.

Ini hanyalah pandangan peribadi kerana saya akur naluri manusia yang berbeza serta pandangan terhadap sesuatu itu pelbagai mengikut tahap kefahaman atau cara mereka ingin memahami sesuatu peraturan dan syariat agama. Tetapi sebagai insan kerdil yang melihat berlaku kelemahan dalam masyarakat, rasanya tidak salah saya membangkitkan isu ini.

Tambahan dengan pembaharuan yang berlaku begitu pantas, industri pakaian serta fesyen turut menerima tempiasnya maka kita dapat lihat macam-macam rekaan terkini memenuhi pasaran. Ada yang sesuai untuk wanita Islam dan ada jelas tidak mematuhi kehendak syarak.

Dalam membicarakan soal pakaian wanita, Islam tidak menetapkan pakaian tertentu, tetapi wanita Islam perlu mengikuti garis panduan syarak dengan memastikan pakaian itu hendaklah menutup aurat mereka, menutup dengan sebenar-benarnya.

Antara tujuan berpakaian itu ialah untuk menutupi atau melindungi bahagian yang tertentu. Jika mereka memilih pakaian nipis atau jarang hingga boleh dikesan atau dilihat auratnya, maka ini bererti pakaian yang dipakai sudah tidak berfungsi lagi.

Semoga ibadah kita dan kesungguhan memenuhi tuntutan syariat menjadikan kita termasuk dalam golongan yang sentiasa mendapat keredaan serta rahmat Allah.

INFO

Ayat untuk gangguan sihir, surah al-Fusilat (ayat 25-44) dan surah al-Mukminun (ayat 105-118). Amalkan membacanya dan banyakkan berdoa kepada Allah.

Oleh Ashraf Muslim


PLUS kena beri diskaun tol bila hiway sesak di waktu musim perayaan..


SUDAH lumrah, apabila tiba musim perayaan pengguna akan terperangkap dalam kesesakan trafik di lebuh raya.

Paling tidak pun pergerakan kenderaan akan menjadi perlahan menyebabkan pihak pengguna perlu menanggung kos minyak kenderaan yang berganda. Masa perjalanan juga biasanya menjadi dua kali ganda.

Kesesakan di Hentian Rawat dan Rehat (R&R) pula tidak dapat dibayangkan, malah biasanya untuk mencari tempat berhenti pun sukar, apa lagi untuk letak kereta dan ke tandas. Tempat duduk untuk makan juga jangan diharaplah.

Kesimpulannya ketika itu pengguna lebuh raya mengalami tekanan perasaan yang teruk, memandu secara tertekan, keletihan, lapar dan sebagainya. Dalam masa yang sama mereka membayar tol seperti biasa.

Persoalannya, apakah pengguna mendapat perkhidmatan yang sepatutnya daripada bayaran tol yang ditetapkan?

Yang pasti pihak pengurusan lebuh raya akan mengaut keuntungan berganda daripada ketidakselesaan pengguna.

Kegagalan menyediakan perkhidmatan sepatutnya oleh pihak pengurusan lebuh raya yang mengenakan caj kepada pengguna sebenarnya telah mencabuli hak pengguna.

Pihak kerajaan yang prihatin kepada rakyat perlu berbuat sesuatu terhadap perkara tersebut. Tidak ada gunanya kempen mengurangkan kemalangan, nasihat supaya pemandu berehat, dan sebagainya jika segala nasihat itu sebenarnya tidak dapat dilaksanakan akibat kesesakan yang teramat sangat di semua R&R.

Akibat daripada kegagalan melaksanakan tanggungjawab yang memuaskan kepada pembayar tol, pihak lebuh raya wajib memberikan potongan harga tol sesuai dengan kegagalannya.

TOK SYEH

Sunday, January 22, 2012

Suami muda dan isteri orang !!!


BARU-baru ini Bro terbaca satu kenyataan oleh seorang wanita yang mengatakan suami kalau lebih muda usianya daripada isteri mudah mendengar cakap.

Katanya, kalau suami tua daripada isteri, si suami hanya mahu isteri mendengar kata dia sahaja. Bro serahlah kepada pembaca untuk menilai apakah kenyataan itu benar atau tidak.

Apa yang Bro nak tegaskan di sini sama ada suami itu tua atau muda, selagi bernama suami maka si isteri kena patuh dan taat kepada perintahnya selagi si suami tidak menyuruh perkara yang bertentangan dengan perintah Allah SWT.

Masalahnya, perempuan zaman sekarang banyak yang degil, mereka hendak lelaki ikut cakap mereka sahaja dan lebih buruk lagi walaupun dah berkahwin tetapi ada perempuan yang buat perangai macam belum berkahwin.

Mereka tidak menjaga tata susila sebagai seorang isteri yang baik, perbuatan mereka di luar rumah masya-Allah kadang kala memalukan si suami.

Sepatutnya faham-fahamlah sendiri, kalau buat perangai bukan-bukan, yang akan malu bukannya diri mereka sahaja tetapi juga suami mereka. Tak kiralah dari segi pakaian, percakapan atau perbuatan, kalau sudah berkahwin buatlah perangai sebagai isteri orang, jangan main langgar saja.

Bro selalu tengok ramai perempuan yang dah berkahwin tidak menjaga tata susila mereka, kalau bersembang atau bergurau dengan lelaki macam orang tak kahwin, bertepuk tampar dan bersentuh-sentuhan. Bukanlah maksud Bro perempuan tak kahwin boleh buat benda macam tu tetapi tanggungjawab untuk menjaga tata susila ni lebih berat kepada perempuan yang dah berkahwin.

Seorang kawan Bro menceritakan bagaimana di pejabatnya, seorang perempuan yang dah berkahwin membuat hubungan dengan seorang lelaki bujang. Satu pejabat tahu perangai buruk mereka, yang kasihan si suamilah yang beri kebebasan kepada isteri bekerja tetapi tanpa dia ketahui si isteri membuat onar di luar.

Ini belum lagi mengambil kira bagaimana ada kes isteri orang beri alasan ada mesyuarat atau kursus di luar daerah tetapi hakikatnya nak pergi buat maksiat dengan kekasihnya. Masya-Allah, dia tak sedar ke setiap tapak perjalanannya itu dilaknat oleh Allah SWT.

Bro nak nasihatkan puak-puak perempuan yang macam ni, perbuatan berkenaan adalah haram di sisi agama dan satu pengkhianatan kepada si suami. Tak kiralah apa pun kerja kalian dan setinggi mana pun pangkat yang disandang, kalau sudah menjadi isteri orang tata susila perlu dijaga.

Bercinta

Mungkin akan ada yang berhujah, habis tu yang si lelaki pergi bercinta dengan isteri orang tu buat apa? Bro tak salah lelaki tersebut kerana yang silapnya perempuan berkenaan, yang dia pi layan tu buat apa, bertepuk tangan sebelah tak kan berbunyi, kecuali pi tepuk dinding atau lantai.

Begitu juga bila mereka bercakap, kena jaga tata tertib jangan ketawa mengilai macam pontianak nak kejar mat rempit balik tengah malam.

Dan yang paling Bro nak tekankan cara berpakaian, kalau nak tutup aurat, tutup betul-betul, jangan pakai baju atau seluar ‘yang telus’. Paling Bro menyampah tengok bila ada perempuan isteri orang pakai seluar ‘legging’, Bro tak payah cakap seluar tu bentuk macam mana, cukup kalau Bro kata seluar tu kalau tersilap pandang orang ingat perempuan tu tak pakai apa-apa.

Bagi Bro, seluar tu patut pakai untuk tidur saja atau masa untuk membasuh kain di rumah, malangnya sekarang ni dah ramai perempuan pakai seluar tu ke pejabat.

Sebab itu, Bro kata, pokok pangkalnya perempuan itu sendiri. Dia kena tahu batas-batas seorang isteri sebab itulah sebelum kahwin kena tahu hukum-hakam agama dan faham tanggungjawab serta penampilan sebagai seorang isteri.

Tetapi selalunya kebanyakan perempuan bila nak kahwin bukan fikir soal hendak mendalami ilmu agama agar rumah tangga diberkati Allah sampai akhir hayat tetapi dok fikir baju apa nak pakai, majlis semeriah mana nak buat, itu belum kiralah jenis-jenis barang hantaran yang perlu dihantar oleh pihak lelaki.

Perempuan ni bangga bila dapat hantaran tinggi seolah-olah mereka mahal sangat tetapi kalau dihitung perangai dengan jumlah hantaran itu tak berbaloi pun si lelaki nak beri.

Begitu juga bila buat kenduri, kalau boleh nak buat kat Stadium Bukit Jalil atau Stadium Shah Alam supaya nak nampak besar, meriah dan penuh kemewahan tetapi mereka tak tahu semua tu tak boleh menjamin kebahagiaan rumah tangga.

Apa yang lebih mustahak bukan soal di mana kenduri dibuat atau sebanyak mana hantaran diberikan, apa yang penting sejauh manakah kita mematuhi perintah agama dalam soal perkahwinan dan sedalam mana kita memahami tanggungjawab sebagai suami dan isteri.

Oleh itu kepada perempuan bergelar isteri, kehebatan anda bukannya dilihat apa yang anda lakukan di luar tetapi apa yang anda laksanakan sebagai isteri dan ibu di rumah.

Oleh: Kucing Jantan

Boss suka tabur fitnah !!!


BIASANYA ruangan ini memberi peluang kepada wanita dan juga lelaki melahirkan isi hati tentang masalah rumahtangga mereka. Tetapi minggu ini saya ingin menarik perhatian pembaca tentang masalah pejabat yang tidak kurang juga hebatnya, malah boleh memecah belahkan kehidupan suami isteri.

"Sebabnya kerana ada sesetengah ketua yang bersifat pilih kasih, suka mengadu dumba, menghasut, suka tunjuk kuasa, suka mengumpat dan paling tidak beretika suka dijulang atau diampu oleh pekerja bawahan dan mahu dirinya ditakuti." Demikian cerita Siti Amirah yang datang dari jauh ketika kami bertemu, setelah membaca e-mel yang dihantarkannya.

"Saya bertugas sebagai pensyarah di salah sebuah Institut Pendidikan Guru (IPG) di negara ini. Di jabatan tempat saya bertugas di ketuai oleh seorang ketua jabatan. Pada peringkat awal lantikannya beliau kelihatan baik sahaja. Tetapi keadaannya berbeza pada hujung tahun apabila beliau memberi penilaian paling rendah kepada dua pensyarah di bawahnya.

"Kerana rasa tidak puas hati pensyarah ini buat bising hingga mendapat perhatian pengarah. Tahun berikutnya ketua jabatan tidak berani menilai seburuk sebelumnya kepada pensyarah kanan tersebut. Sebaliknya dia membuat penilaian agak rendah kepada orang pensyarah lelaki dan saya. Ini kerana kami tidak suka mengampu dalam apa juga keputusannya.

Siapa tak takut kalau membantah perkataan pertama keluar dari mulutnya "Jaga perstasi awak hujung tahun nanti....!''

''Seperkara lagi yang membuat saya tak sukakan dia kerana perangainya suka mengumpat selain suka memfitnah dan bergosip.

Dia juga menabur fitnah melalui e-mel menuduh saya dan seorang pensyarah lelaki ada skandal semasa bertugas dan berkursus.

''Dalam emelnya menyebutkan dengan tepat tempat-tempat kami berkursus, bertugas dengan jabatan lain dan sebagainya.

''Pada mula saya terima emel ini saya amat terkejut. Mengapalah dia suka menabur fitnah suka melihat rumahtangga kami runtuh.

''Mengapa e-mel ini tidak menyebutkan tugasan saya dengan pensyarah wanita lain yang ada juga pensyarah lelaki, mengapa dengan pensyarah lelaki ini sahaja nama saya dikaitkan? Adakah kerana dia tahu bahawa hubungan kami dua keluarga memang erat dan saling membantu jika diperlukan, termasuklah ketika menghadiri majlis kenduri dan sebagainya.

hubungan

''Sebelum masalah ini menjadi lebih gawat kerana ia melibatkan hubungan kami suami isteri, maka langkah pertama saya ambil menceritakan kepada suami dengan menunjukkan e-mel yang di terima. Saya bernasib baik kerana suami saya memahami bukan sahaja kepada saya juga kepada pensyarah lelaki tersebut. Begitu juga isterinya. Saya bersyukur kerana hubungan kami dua keluarga memang baik sebelum peristiwa ini.

''Tindakan pertama yang saya lakukan selepas menerima e-mel tersebut saya berdoa dan berserah kepada Allah kerana Dialah tempat saya mengadu.

''Malangnya semakin saya berdiam diri, semakin banyak pula e-mel fitnah yang saya terima saban minggu bertali arus. Kalau saya bertindak keras pembaca tentu tahu apa pembalasan yang saya akan terima tentang prestasi saya hujung tahun nanti, iaitu pada tahun 2011. Kerana memikirkan periuk nasi juga dan khidmat saya yang begitu lama dengan jabatan ini dan saya sendiri memang sukakan tugas ini, maka saya terpaksa bersabar.

''Malangnya semakin saya diam, saya semakin dipijak dan prestasi saya hujung tahun lalu dinilai buruk. Itu sudah saya duga dari awal lagi. Bukan saya sahaja malah pensyarah lelaki tadi juga menerima penilaian sama teruk dengan saya. Sedangkan kami telah menjalankan tugas dengan sehabis sempurna.

''Jika prestasi saya tak baik panggil dan tanya. Ini tidak saya dinilai tanpa dipanggil dan diberitahu. Sepatutnya pengarah mengambil inisiatif panggil saya dan tanya mengapa prestasi saya buruk dan apa masalah saya. Ketua jabatan juga patut ditanya di mana silap saya. Bukan dilakukan dengan kejam seperti ini. Pada saya ini tindakan orang gila kuasa.

''Kerana terasa diri teraniaya, maruah dicemar dan difitnah untuk merosakkan hubungan kami suami isteri dan masa depan pekerjaan kami, maka kami membuat aduan polis. Kini kami menunggu tindakan polis seterusnya sebelum di bawa ke mahkamah. Doa kami supaya orang yang memfitnah dan berniat jahat akan mendapat pembalasan yang setimpal.'' Itu cerita Siti Amirah panjang lebar tentang dirinya yang fitnah dan dianiaya bertujuan memecah-belahkan rumahtangganya.

Saturday, January 21, 2012

Kerat kemaluan suami !!!


INGAT wanita bernama Lorena Bobbitt? Wanita tersebut menjadi terkenal pada 1993 kerana memotong kemaluan suaminya, John Wayne Bobbitt. Sejak itu, ada beberapa kes serupa didedahkan termasuk yang terbaharu melibatkan Catherine Kieu di Santa Ana, California pada pertengahan tahun lalu.

Pada awal tahun ini, wanita berusia 48 tahun dari Garden Grove itu dihadapkan semula ke mahkamah atas dua tuduhan menyeksa dan bertindak ganas terhadap suaminya dengan memotong kemaluannya selepas diikat di atas katil.

Ketika dihadapkan di hadapan Hakim Craig Robison di Orange County, kedua-dua tuduhan tersebut dibacakan semula kepadanya. Prosiding pendakwaan tersebut diadakan bertujuan mengetepikan keperluan untuk pra-perbicaraan bagi menguji bahan bukti, selain mempercepatkan perjalanan kes tersebut.

Namun nasib Kieu tidak banyak berubah. Dia kekal ditahan di penjara sejak ditangkap pada Julai tahun lalu kerana gagal membayar ikat jamin AS$1 juta (RM3.15 juta) sementara menunggu prosiding seterusnya pada 2 Februari ini.

Jika sabit bersalah, wanita itu berdepan dengan hukuman penjara seumur hidup tanpa kemungkinan diberi parol.

Dalam kes tersebut, suaminya yang berusia 60 tahun memberitahu penyiasat, pada malam 11 Julai 2011, dia berasa tidak selesa selepas menikmati makan malam yang disediakan oleh Kieu. Dia kemudian terus masuk tidur.

Sewaktu lelaki itu tidur, wanita terbabit telah mengikat kedua-dua belah tangan dan kaki mangsa di setiap penjuru katil dengan tali nilon.

Apabila suaminya tersedar daripada tidur, wanita berkenaan terus memotong kemaluan lelaki itu dengan sebilah pisau. Wanita itu kemudian pergi ke dapur dan membuang alat kemaluan berkenaan ke dalam saluran pelupusan sampah.

Kieu yang berketurunan Vietnam kemudian membuat panggilan kecemasan 911.

Mengikut dokumen mahkamah, Kieu yang bekerja sebagai broker hartanah memberitahu anggota polis yang menemui lelaki itu terikat di katil dan berdarah di bahagian pangkal paha bahawa ‘‘Dia patut menerimanya (hukuman itu).”

Dilaporkan terdapat juga darah yang terpercik di kaki dan baju yang dipakai oleh wanita itu ketika pihak berkuasa datang ke rumahnya.

Pihak polis mendakwa, wanita itu menggunakan dadah atau bahan terlarang untuk diletakkan di dalam makanan lelaki itu bagi membuatkan mangsa mengantuk.

Selepas insiden itu, lelaki itu dihantar ke Pusat Perubatan UCI di Orange untuk pembedahan kecemasan. Kakitangan perubatan turut mengambil kemaluan mangsa di tempat pelupusan sampah tetapi pakar bedah gagal menyambung semula anggota badan berkenaan.

Pejabat Peguam Daerah pada asalnya tidak mendedahkan nama lelaki itu atau hubungan sebenarnya dengan Kieu. Bagaimanapun Pendaftar melaporkan bahawa pasangan itu telah berkahwin hampir satu setengah tahun. Namun lelaki itu memfailkan penceraian enam bulan sebelum serangan tersebut.

Sebelum kejadian, pasangan itu dipercayai bersengketa mengenai kunjungan rakan lelaki mangsa ke kediaman mereka. Mangsa sebaliknya memberitahu pihak polis bahawa dia percaya Kieu kecewa apabila dia memfailkan permohonan cerai tersebut.

Kejadian itu membangkitkan semula kes hampir serupa yang berlaku ke atas Bobbitt pada 1993. Dalam kes itu, kemaluan Bobbitt telah dipotong oleh isterinya, Lorena kerana mendakwa dia didera secara seksual selama bertahun-tahun oleh suaminya.

Lorena kemudian membuang organ kemaluan itu semasa memandu. Ia bagaimanapun berjaya ditemui dan disambung kembali. Ekoran kejadian itu, Bobbitt muncul dengan sebuah kumpulan muzik sebelum akhirnya beralih karier sebagai pelakon filem lucah.

Lorena dibebaskan atas tuduhan tidak waras.

Oleh AMIRUDDIN HARUN

Thursday, January 19, 2012

Juruwang pasaraya di kamunting disuruh pegang daging babi tanpa lapik !!!


SAYA adalah salah seorang juruwang (cashier) yang bekerja di sebuah pasar raya di Kamunting, Taiping. Pada tarikh 11.01.2012, lebih kurang pukul 3 petang, pihak pengurusan telah membuat mesyuarat di antara semua juruwang. Di dalam mesyuarat tersebut, pengurus kami menyatakan ada seorang pelanggan bukan Islam telah membuat aduan kepada pihak atasan mempertikaikan mengapa juruwang Melayu Islam memegang daging babi beralaskan plastik seolah-olah menghina makanannya.

Apa yang membuat kami semua terkejut, pengurus kami telah berkata, "Kenapa perlu berlapik? Jijik sangatkah? Geli sangatkah? Jangan terlalu ikutkan adat sangat. Yang bermasalah ini adalah juruwang Melayu. Kalau sudah tak boleh nak pegang, lebih baik saya mengambil pekerja bukan Melayu. Selepas ini, saya tak mahu lagi kamu semua pegang barang-barang itu beralaskan pelastik. Saya mahu kamu semua pegang dengan tangan sahaja. Jika saya dapati kamu semua buat sekali lagi, saya akan tukarkan kamu semua ke bahagian lain."

Bukan niat kami hendak menghina makanan orang bukan Islam. Menurut ajaran dan hukum Islam, daging itu adalah haram disisi agama Islam bukan setakat memakanya, malah menyentuhnya pun tak boleh. Jika tersentuh biarpun bekasnya sekali pun, ia perlu disamak.

Pengurus kami dan orang atasan kami bukan Islam. Tidakkah mereka tahu orang Islam amat sensitif dengan daging babi. Bahasanya seolah-olah mempersendakan agama Islam dan berbau perkauman. Mentang-mentanglah kami ini semuanya perempuan, tidak pandai hendak memberontak, senang benar mereka hendak mempersendakannya.

Saya cuba untuk berpakat dengan rakan-rakan kerja Melayu saya untuk melaporkan perkara ini di pejabat agama atau pihak berkuasa yang lain, tetapi mereka enggan untuk berpakat kerana takut ditukarkan atau kehilangan kerja. Inilah sifat kakitangan Melayu yang beragama Islam di sini. Hanya dengan ugutan mereka sangup menggadaikan agama demi wang.

Kita sebagai orang Islam sepatutnya mempertahankan kesucian agama kita. Tahukah mereka perkara ini tidak boleh dipandang remeh kerana membabitkan kesucian diri untuk beribadat kepada Allah SWT. Saya kecewa dengan sikap segelintir bangsa Melayu yang beragama Islam ini.

Sepatutnya pihak pengurusan pasar raya tempat saya bekerja mengadakan kaunter 'Tidak Halal' untuk scan barang-barang tidak halal dan dijaga oleh juruwang bukan Islam. Kadangkala saya terfikir, bekas diletakkan barang tidak halal di kaunter ini, kemudiannya diletakkan pula barang-barang yang dibeli pelanggan lain beragama Islam. Bagaimana tahap kesuciannya?

Saya ingin mengadukan perkara ini kepada jabatan agama atau pihak berkuasa lain, tetapi saya tidak pandai untuk membuat sendirian.

Tolonglah sesiapa yang membaca artikel ini, bantulah kami orang Islam yang ditindas di pasar raya ini, juga pelanggan Islam yang mengunjungi pasar raya ini.

JURUWANG TERANIAYA
Taiping, Perak

Misteri kematian para saintis dunia


INSIDEN kematian aneh atau misteri para saintis dunia banyak menjadi tanda tanya oleh penghuni maya pada ini. Apakah sebab di sebalik kematian mereka? Siapakah yang menjadi dalangnya?

Bahkan beberapa hari yang lalu, diberitakan di Teheran, sebutir bom magnet yang dilekatkan pada sebuah kereta oleh seorang penunggang motosikal meletup di sebuah universiti sekali gus mengorbankan saintis nuklear Iran, Mostafa Ahmadi Roshan. Agensi berita lain menyatakan, dalangnya adalah Israel.

Inilah kejadian yang dianggap misteri dan aneh. Sebenarnya peristiwa ini sudah lama terjadi. Kisah ini juga dikatakan telah dijadikan sebagai sebuah novel.

Berikut sejarah mengenai para saintis dunia yang menerima nasib malang tersebut:

* Doktor Ivan Glebov dan Doktor Alexi Brushlinski (kedua-duanya meninggal dunia Januari 2002).

Glebov dan Brushlinski adalah pakar mikrobiologi dari Rusia. Mereka anggota Akademi Sains Russia. Kedua-duanya terbunuh akibat serangan yang didakwa dilakukan anggota mafia Rusia di Moscow.

* Tanya Holzmayer (usia 46 tahun, meninggal dunia 28 Februari 2002). Pada hari nahas, beliau yang merupakan ahli mikrobiologi berasal dari Rusia ditembak oleh rakan sekerjanya bernama Guyang Huang, 38. Setelah menembak Holzmayer, Huang menembak dirinya sendiri dan turut maut. Mereka berdua diketahui sedang meneliti sistem pertahanan tubuh terhadap virus HIV.

* Robert Leslie Burghoff, 45, (seorang saintis bidang virus) meninggal dunia pada 20 November 2003 akibat dilanggar lari di South Braeswood, Texas).

* Roman Kuzmin, 24, mahasiswa di Universiti Connecticut yang berasal dari Rusia meninggal dunia pada Disember 2002 akibat dirempuh oleh sebuah kenderaan. Kuzmin dikenali sebagai seorang mahasiswa yang sangat cerdas dan berdedikasi dalam ilmu bedah tulang.

* Dr. Roger (meninggal dunia pada musim panas tahun 2003).

* Robert Aranosia, 61, (seorang peneliti perubatan) meninggal dunia akibat kemalangan jalan raya pada 18 Disember 2003.

* Todd Kauppila, 41, meninggal dunia pada 8 Mei 2005. Beliau merupakan ahli dalam bidang organ di Hospital Los Alamos. Kematiannya misteri.

* Leonid Strachunsky (meninggal dunia 8 Jun 2005). Beliau adalah membuat sistem pertahanan mikrob bagi senjata kimia. Ditemui mati di bilik hotelnya di Moscow dalam perjalanan dari Smolensk ke Amerika Syarikat (AS).

* Mohammed Munim al-Izmerly (meninggal dunia April 2004). Saintis Iraq ini ditembak tepat di kepalanya dalam suatu insiden di AS.

* Ilsley Ingram, 84, meninggal dunia pada 12 April 2004 dalam kes yang masih misteri. Beliau adalah Pengarah Supraregional Haemophilia Reference Centre di St. Thomas Hospital di London.

* William T. McGuire, 39, meninggal dunia pada 5 Mei 2004. Beliau adalah saintis kanan di NJ University dan Penganalisis Kanan Program di New Jersey Institute of Technology di Newark. Beliau adalah salah seorang pakar dunia di bidang mikrobiologi.

* Antonina Presnyakova, 46, meninggal dunia pada 25 Mei 2004. Seorang saintis Rusia yang bekerja dalam senjata biologi di sebuah makmal di Siberia. Keterangan menyebutkan beliau meninggal dunia akibat virus Ebola.

* Dr. Paul Norman, 52, meninggal dunia pada 27 Jun 2004. Seorang yang cerdik dalam bidang senjata kimia dan biologi. Terbunuh dalam kemalangan pesawat tunggal, Cessna 206 di Devon.

* Dr. Larry Bustard, 53, meninggal dunia pada 2 Julai 2004 tanpa sebab yang jelas. Beliau merupakan saintis terkenal dan bersama pasukannya mengembangkan teknologi baru melawan serangan senjata biologi dan kimia di Department of Energy Laboratorium Sandia di Alburqueque.

* Profesor John Clark, 52, meninggal dunia pada 12 Ogos 2004. Beliau adalah pakar bioteknologi yang berjaya mengembangkan teknik modifikasi bagi beberapa tema penelitiannya, antara lain dalam teknologi pengklonan.

* Mohammed Toko Hussein al-Talakani, 40, meninggal dunia pada 5 September 2004.

Beliau ialah seorang ilmuwan fizik nuklear di Iraq sejak tahun 1984. Dia ditembak oleh orang yang tidak dikenali di Mahmudiya, Baghdad Selatan.

* Matthew Allison, 32, meninggal dunia pada 13 Oktober 2004. Saintis ini terbunuh ketika beliau membuka keretanya di Osceola County, Floridfa.

Kereta Allison terus meletup ketika beliau membuka pintunya. Beliau adalah seorang peneliti di bidang Biologi Molekul dan Bioteknologi.

* Dr. Jose Trias dibunuh pada 19 Mei 1994. Beliau dan isterinya dibunuh di rumah mereka di Chevy Chase, Maryland, AS. Sebelum kematian mereka, Trias bertemu seorang wartawan sahabat mereka dan menceritakan jika mereka mendedahkan perbuatan jenayah Howard Hughes Medical Institute yang juga penderma sejumlah penelitian ilmiah untuk operasi hitam.

* Dr. Jawad al-Ubaidi meninggal dunia di Iraq tahun 1994. Beliau adalah doktor kelahiran Iraq lulusan Universiti Cornell. Beliau direkrut untuk memimpin projek penelitian Biowar Mycoplasma, di mana salah satu projek adalah memberi muatan daripada gerakan super cepat. Media massa mendakwa beliau dibunuh oleh Mossad.

Ramai lagi yang menjadi misteri kematian aneh para saintis dunia jika disebutkan satu persatunya sejak tahun 1990-an hingga terkini.

Walaupun begitu, di sebalik kematian ratusan saintis dunia, semua itu berkaitan dengan program pembatasan populasi umat manusia yang memang telah lama dilancarkan oleh konspirasi global.

Perang adalah program yang paling jelas boleh dilihat, sedangkan operasi-operasi tertutup lainnya adalah dengan menyerang suatu negara atau wilayah dengan penyakit, wabak ataupun dengan menyusupkan agen-agen kimia pembunuh ke dalam bahan makanan dan ubat-ubatan seperti yang telah dilakukan mereka dalam menunggang Codex (makanan dan minuman yang boleh membinasakan manusia).

Siapakah yang dimaksudkan dengan konspirasi global? Apa sebenarnya agenda besar mereka sehingga mengorbankan ratusan para saintis dunia ketika ini?

Kelompok konspirasi global merupakan kelompok yang sangat berpengaruh, super kaya, anti agama langit (namun mempersembahkan dirinya untuk melayani iblis) dan memiliki banyak nama dan kelompok seperti Freemasonry, Zionis, Liberalis dan sebagainya.

Mereka bergerak di semua bidang kehidupan terutama ekonomi, politik dan media massa mahupun hiburan.

Untuk mendukung semua itu mereka dengan serius juga menguasai industri ketenteraan dunia.

Agenda mereka apa yang disebut Order Baharu Dunia. Pelaksanaan mereka menuju ke arah itu yang disebut sebagai globalisasi walaupun mengorbankan banyak nyawa manusia, demi mencapai matlamat dan tujuan mereka.

Mereka telah melempar jauh-jauh dasar tauhid kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka telah mewarisi warisan Namrud dan Firaun. Semua agama langit (samawi) tinggal sekadar kulit luarnya sahaja, dan majoriti manusia telah memeluk agama baharu iaitu pluralisme dan liberalisme yang kononnya dianggap universal.

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

Tuesday, January 17, 2012

Pelukan Nikmat !!!


PERKAHWINAN dan kasih sayang antara suami isteri boleh dikekalkan apabila pasangan selalu mempraktikkan ungkapan-ungkapan kasih kepada pasangan masing-masing seperti ucapan sayangf sekurang-kurangnya tujuh kali sehari.

Bukan itu sahaja, berkomunikasi dengan baik, bergurau senda dan memanggil pasangan dengan panggilan hebat seperti 'sayang', 'abang', 'manja' dan sebagainya juga dapat mengeratkan lagi perhubungan suami isteri.

Masing-masing perlu memainkan peranan untuk memupuk perasaan sayang agar ia sentiasa mekar dalam jiwa dan membuahkan keserasian dan kemesraan.

Selain itu, tahukah anda bahawa pelukan juga boleh membuatkan pasangan merasa lebih dekat dan intim?

Bagi isteri, pelukan merupakan bentuk komitmen cinta dan kesetiaan pasangan. Kajian mendapati pelukan bukan sesuatu yang bersifat seksual. Ia satu daripada kaedah untuk mendapatkan keselesaan.

Begitupun, biasanya suami menganggap pelukan bermakna isteri dahagakan hubungan seksual. Sebenarnya para isteri lebih menikmati pelukan dari hubungan seksual.

Menurut Doktor Perubatan Kanan Kumpulan Perubatan Penawar Johor Bahru, Dr. Zubaidi Ahmad, para suami tidak perlu rasa 'kelam kabut' sekiranya tidak bersedia bila isteri minta dipeluk.

Ini kerana jelas beliau, bagi suami, pelukan hanyalah pertautan fizikal dan ada kalanya merimaskan selain tidak memahami mengapa isteri sangat suka apabila dipeluk.

mencadangkan 'rawatan pelukan'

"Sebenarnya suami isteri saling memerlukan antara satu sama lain untuk mengurangkan tekanan perasaan.

"Ramai pakar psikologi yang mencadangkan 'rawatan pelukan' di mana suami dan isteri digalakkan berpeluk sebelum tidur selama 10 minit. Pelukan ini harus dinikmati tanpa diteruskan dengan hubungan seks.

"Tujuannya agar segala perasaan negatif yang tersimpan dalam hati sepanjang hari dapat dilepaskan dengan memeluk suami atau isteri. Jadi, pelukan sangat diperlukan dalam hubungan suami isteri. Ia akan merapatkan lagi hubungan suami isteri," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Katanya, pelukan bukan bermakna mukadimah pada hubungan seks antara suami dan isteri.

Ia juga harus dilihat sebagai hubungan perasaan dan perkongsian emosi antara suami dan isteri.

Mengulas lanjut, Dr. Zubaidi berkata, pelukan adalah satu sentuhan fizikal yang erat dilakukan di leher, belakang badan atau pinggang.

Pelukan juga kadang kala melibatkan kucupan, pandangan mata, sentuhan mesra dan beberapa gerakan tubuh lain.

Oleh itu, mereka yang berpelukan menandakan hubungan mereka amat rapat dan mempunyai pertalian kasih sayang yang mesra.

Kata Dr. Zubaidi, ramai ahli psikologi kini bimbang dengan pasangan suami isteri yang jarang berpelukan.

Mereka bimbang perkahwinan pasangan seperti itu hanya diikat oleh 'lafaz nikah' dan hubungan fizikal dan seks saja dan bukan hubungan emosi serta perkongsian perasan.

"Islam juga menggalakkan hubungan emosi dan dalam satu hadis Rasulullah SAW memberitahu, barang siapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi. (riwayat Bukhari dan Muslim).

"Oleh yang demikian, perbanyakanlah luahan kasih sayang dengan ucapan dan sentuhan fizikal (pelukan).

"Secara tidak langsung, bagi pasangan yang agak berat untuk meluahkan perkataan 'Saya sayang awak', pelukan adalah cara alternatif terbaik untuk melafazkannya," ujarnya.

Pelukan juga akan menyebabkan kelenjar di otak mengeluarkan hormon serotonin dan dopamine yang memberikan rasa tenang dan tenteram.

Perbuatan itu juga akan menyebabkan gelombang di otak menjadi lebih tenang, lalu mengurangkan stres dan kerisauan.

Oleh itu bagi pesakit yang mengalami masalah kerisauan (anxiety) dan mempunyai emosi yang tertekan, memeluk binatang peliharaan adalah rawatan kejiwaan yang baik.

Namun apa yang lebih baik lagi bagi suami atau isteri selain memeluk pasangan masing-masing ketika mereka mengalami tekanan jiwa dan dalam keadaan kerisauan.

Oleh mariatul qatiah zakaria

Monday, January 16, 2012

'Pinjaman Islam' sepatutnya tidak membebankan !!


MASYARAKAT Islam yang ingin membuat pinjaman melalui Islamic loan perlu berhati-hati dan teliti ketika menandatangani surat perjanjian jual beli dan pinjaman daripada bank komersil. Ada beberapa perkara yang kita tidak nampak atau tidak diberitahu secara jelas peraturan-peraturan yang ditulis yang kemudiannya akan menjadikan peminjam muflis 'dengan mudah.' Syarat seseorang diisytihar muflis oleh kerajaan Malaysia haruslah hutangnya lebih daripada RM30,000.

Secara sedar atau tidak sedar, perkataan 'Islam' yang dinamakan di dalam pinjaman juga boleh mengakibatkan 'si peminjam' kehilangan harta yang dimiliki walaupun harta tersebut mempunyai nilai yang lebih tinggi daripada jumlah pinjaman jika dibandingkan dengan pinjaman secara 'konvensional'.

Bagi institusi perbankan di Malaysia yang mengamalkan pinjaman secara Islam, mereka akan melakukan 'akad' yang menyatakan jumlah pinjaman secara pukal (yang dimaksudkan ialah sejumlah pinjaman yang dikenakan kepada peminjam jika membayar secara ansuran hingga penghujung tahun pinjaman yang dipohon).

Dalam nota perjanjian juga ada menyatakan sejumlah pinjaman yang akan dibayar oleh si peminjam dari awal bulan ke bulan akhir tahun pinjaman tersebut. Di sinilah bermulanya 'masalah' yang ditanggung oleh si peminjam yang membuat pinjaman Islam 'jika' tidak memahami konsep Yahudi dalam bayangan 'Pinjaman Secara Islam'.

Perbezaan pinjaman 'konvensional' dan pinjaman secara Islam ialah akad. Pinjaman konvensional tiada lafaz akad. Dalam pinjaman secara Islam, apabila 'akad' dibuat, maka sejumlah pinjaman penuh disebutkan.

Contohnya, jika harga rumah yang dibeli adalah RM400,000 dan setelah dikira (mengikut kiraan 'Islam' bagi bank tersebut) maka jumlah pinjaman sebenar menjadi RM950,000. Maka si peminjam harus menyebut dan setuju untuk 'lafaz akad' menerima jumlah hutang sebenar itu (RM950,000) dan inilah yang dinamakan oleh pihak bank sebagai 'Pinjaman Berasaskan Islam'.

Perbezaan jika kita membuat pinjaman 'konvensional' dengan jumlah yang sama, kiraannya masih lebih kurang sama jika si peminjam membuat bayaran setiap bulan dan sehingga bayaran akhir.

Secara jelas, hutang harus dibayar. Malah agama Islam mewajibkan setiap umatnya menyelesaikan semua hutang-piutang yang dibuat 'jika mampu' untuk membayarnya walaupun secara beransur-ansur.

Saya mempunyai rakan - seorang usahawanita yang berjaya meyakinkan pengilang dan pembeli dari luar negara untuk berurus niaga dengannya. Perniagaannya berjalan hampir lima tahun tanpa memerlukan pinjaman dari mana-mana bank.

Oleh kerana untuk bersama-sama memartabatkan kewangan Islam, usahawanita ini dan suaminya telah membuat pinjaman bagi membeli rumah yang diidamkan di sekitar Ampang, Selangor dengan harga sekitar RM400,000 dengan menggunakan tiga nama ahli keluarganya sebagai peminjam dan penjamin dengan bayaran bulanan RM1,700.

'Pinjaman perumahan secara Islam' di salah sebuah bank yang bukan dimiliki orang Islam itu nampaknya turut membebankan.

Bermula pertengahan tahun 2010, musibah telah menimpa peniagaannya. Dalam tempoh 12 bulan kebelakangan ini, akibat dari masalah kekacauan dan pemberontakan rakyat di negara rakan niaga usahawanita ini maka penghantaran barangan diminta dihentikan sementara sehingga negaranya stabil dan ini mengakibatkan usahawanita ini kehilangan punca pendapatan dan bayaran ansuran bagi pinjaman perumahan mula tertunggak serta tidak mampu untuk dibayar.

Namun, usahawanita ini tidak mengelak diri malah bekerjasama jika pihak bank menghubunginya. Oleh kerana masalah bayaran pinjaman sudah tertunggak hingga mencecah enam bulan, pihak bank menggunakan kuasa untuk mengambil tindakan memufliskan si peminjam, walaupun pinjaman tertunggak hanya kira-kira RM30,000. (syarat untuk tindakan memufliskan peminjam/penjamin).

Pihak bank telah bertindak memufliskan dua orang peminjam (anak dan suaminya yang namanya ada di dalam surat perjanjian) bagi pembelian rumah itu.

Ia juga atas 'kesilapan' usahawanita ini kerana tidak ke mahkamah bagi tujuan pembelaan, maka hukuman muflis telah dijatuhi ke atas dua penama dengan setiap orang dikenakan kadar muflis sebanyak hampir RM750,000 seorang atau bersama.

Persoalannya, pinjaman secara 'Islam' ini yang baru dibuat empat tahun itu dengan setiap bulan pinjaman telah dibayar, sehinggalah pada 12 bulan kebelakangan ini (bermulanya tertungak pembayaran pinjaman), apakah hutangnya sudah mencecah RM750,000?

Setakat pengetahuan saya, dalam perundangan Malaysia, rumah yang dibeli atas nama pinjaman haruslah dilelong terlebih dahulu. Setelah berjaya dijual, ditolak pula hutang dan 'jika' masih tidak mencukupi untuk menampung hutang yang berbaki, barulah diambil tindakan selanjutnya iaitu proses pembankrapan.

Namun, kes yang melibat usahawanita ini dilihat tidak adil kerana harga pasaran rumahnya adalah sekitar RM950,000.

Pihak Bank Negara Malaysia kena melihat kes ini dan dibuat kajian di atas sifat 'pinjaman perbankan Islam' ini. Apa yang kita fahami, pinjaman secara Islam agak susah untuk memufliskan peminjam. Apakah kerana ia ditadbir oleh bank yang dimiliki oleh bukan Islam, terma-terma perbankan mengikut syariah Islam boleh dimanipulasi?

Janganlah di sebalik ungkapan pinjaman secara 'Islam' tetapi berlaku tindakan licik institusi perbankan untuk merampas harta- harta orang Islam yang menghadapi masalah membuat bayaran balik pinjaman. Kepada bakal-bakal peminjam baru yang ingin membuat pinjaman secara Islam di bank, berhati-hatilah dan bacalah berulang kali surat perjanjian tersebut sebelum menandatanganinya.

Oleh Saiful Mohamad Ghazali

SBPA: Usah dibuat tergesa-gesa...


SAYA ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak kerana prihatin bagi memberikan pembelaan kepada penjawat awam melalui penangguhan pelaksanaan Sistem Saraan Baru (SBPA).

Pada pandangan saya, SBPA tidak wajar dibuat tergesa-gesa kerana perkara yang dibuat secara tergesa-gesa akan mengundang banyak ketidakpuasan hati penjawat awam sebaik dilaksanakan.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) wajar mengambil masa lebih lama, sekurang-kurang setahun lagi untuk membuat suatu sistem yang berupaya memberi faedah kepada kesemua penjawat awam, bukan segelintir penjawat awam. Seperti kata bidalan 'Hati gajah sama dilapah hati kuman sama dicecah'.

Kepincangan SBPA akan dapat diperbetulkan sekiranya kenaikan gaji untuk JUSA dan ke atas tidak dijadikan sasaran utama dan tidak dibuat secara melampau. Dilaporkan bahawa JUSA mendapat kenaikan gaji pokok RM5,500. Selain itu, mereka mendapat pelbagai elaun serta kemudahan lain termasuk sebuah kereta rasmi serta pemandu yang menjemput dari rumah dan menghantar pulang setiap hari (JUSA B ke atas).

Selain kereta, penyelengaraan kereta, bayaran tol serta kereta yang berusia empat tahun tersebut boleh dibeli pada harga selepas taksiran semasa sekali dalam perkhidmatan mereka.

Kakitangan awam selain gred itu menggunakan kenderaan sendiri untuk urusan rasmi serta kenderaan jabatan yang terhad bilangannya. Kerajaan hanya membayar elaun perbatuan, bayaran tol serta bayaran balik letak kereta. Kereta yang kerap digunakan sudah tentu perlu diselenggarakan serta dibaiki jika rosak ia perlu ditanggung sendiri daripada duit gaji pegawai kategori berkenaan. Ini sebagai perbandingan kakitangan JUSA dan bukan JUSA.

Pewujudan Kumpulan Premier pula dengan diberi gaji yang lumayan serta pelbagai kemudahan lain. Keberhasilan mereka disandarkan dengan KPI serta keberhasilan pencapaiannya yang mana disumbangkan daripada keberhasilan pegawai-pegawai serta kakitangannya. Ini dirasakan tidak perlu serta dilihat sebagai suatu pembaziran sumber kewangan negara.

Penjawat awam sedia ada misalnya sudah mampu melaksanakan tugas dengan cemerlang. Banyak inovasi telah dilaksanakan oleh kumpulan sedia ada contohnya seperti Jabatan Penerangan Malaysia, Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Pengangkutan Jalan, Pejabat Tanah dan Galian, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Polis, Bomba, Kesihatan serta lain-lain agensi kerajaan.

Secara perbandinganya, Kementerian Belia dan Sukan menerusi Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara telah berjaya melahirkan atlet bertaraf dunia. Ini dibuktikan melalui pungutan pingat emas dalam setiap pertandingan di peringkat antarabangsa serta banyak rekod baharu antarabangsa dicipta.

Melalui bilangan pegawai belia yang kecil juga warga Jabatan Belia dan Sukan Negara bakal menghimpun dua juta belia tahun ini di Putrajaya sebagai KPI Menteri Belia dan Sukan. Pada tahun lalu, sejuta orang belia telah berjaya dikumpulkan.

Kesemua itu dicapai dengan bilangan kakitangan awam yang tidak besar serta dengan usaha khidmat Ketua Setiausaha Kementerian yang ada. Justeru, mencadangkan pewujudan kumpulan primer perlu kajian mendalam. Setiap kementerian sudah ada menteri dibantu oleh beberapa Timbalan Menteri yang sentiasa bekerja sebagai suatu pasukan bersama penjawat-penjawat awam sedia ada. Menteri-Menteri sedia ada bekerja berteraskan KPI masing-masing yang ditetapkan PEMANDU melalui objektif Gagasan 1Malaysia bagi mendahulu dan mengutamakan rakyat.

Apatah lagi orang luar turut dibenarkan mengisi jawatan tersebut (premier). Sebagai perbandingan lagi, pada tahun 2009 orang luar diberikan peluang mengisi jawatan Ketua Komunikasi Korporat dan diberikan gred Terbuka 54 di setiap kementerian. Keadaan ini meminggirkan penjawat sedia ada.

Seseorang penjawat awam yang dilantik atas gred 41 misalnya sekurang-kurangnya mengambil masa lebih 20 tahun untuk mendapat kenaikan pangkat ke gred 54 dan tidak semua sampai ke peringkat itu. Tetapi orang luar yang hanya punyai kelulusan yang sama, malah tidak ramai yang punyai kelulusan peringkat sarjana apatah lagi Doktor Falsafah (Ph.D) dilantik ke jawatan tersebut. Mereka perlu mempelajari selok belok berkhidmat dalam sektor awam semula kerana mempunyai latar belakang yang berbeza.

Malah khidmat pegawai perhubungan awam sedia ada dikerah bagi melaksanakan pelbagai tugas yang sebelum inipun sudah berpuluh tahun dilaksanakan oleh pegawai perhubungan awam sedia ada. Orang luar yang dilantik mengetuai Unit Komunikasi Korporat didapati ada yang tidak berlandaskan 'blue ocean strategy', serta bukan dalam kalangan 'subject matter expert' seperti yang dicanangkan. Justeru, apa perlunya golongan ini berada dalam sektor awam serta dibayar upah yang lumayan.

Justeru penangguhan SBPA adalah sesuatu yang bertepatan dibuat oleh Perdana Menteri yang prihatin. Tempoh masa serta ruang berfikir yang mencukupi perlu diberikan kepada pihak JPA. Ciptalah suatu skim untuk kepentingan seramai 1.4 juta kakitangan awam yang menanggung hampir 10 juta rakyat Malaysia sebagai ahli keluarga mereka. Hasrat murni JPA membuat transformasi dalam SBPA amat dihargai.

TAN DEWA SAKTI
Dengkil, Selangor

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...