terima kasih buat kalian semua..

Friday, March 30, 2012

Gadis yang bakal berkahwin tapi tak suka 'dibelai' lelaki...


SALAM, saya berumur 24 tahun dan bakal berkahwin. Apa yang merisaukan adalah waktu nak tidur, saya tak suka kalau ada orang yang pegang atau tidur berdekatan dengan saya. Contohnya kalau kaki dia terkena kaki saya atau tangan dia tersentuh mana-mana bahagian kulit saya, saya geram dan saya mesti nak marah sebab saya kena bangun semula untuk buang air kecil. Saya sangat risau macam mana selepas berkahwin nanti? Apa yang perlu saya buat?

* Ana, Shah Alam

JAWAPAN

Alhamdulillah dan juga tahniah kerana tidak lama lagi anda akan berkahwin dan bergelar isteri.

Ia sepatutnya hari yang ditunggu-tunggu oleh setiap wanita. Jadi saya agak pelik apabila perkara yang sebaliknya yang ada dalam fikiran Ana. Perkara yang dialami oleh Ana agak luar biasa kerana 'tidak selesa' dibelai dan mengalami masalah dengan tidur.

Adakah Ana mengalami apa-apa masalah yang lain sebelum ini? Saya amat berharap agar Ana sentiasa berfikiran positif dan jangan sesekali gusar. Sudah tentu akan ada pelbagai cara yang dapat membantu menikmati keseronokan berumah tangga.

Mungkin elok Ana berjumpa pakar psikiatri atau psikologi sebelum berlangsungnya perkahwinan anda. Dengan cara ini permasalahan sebenar dapat diatasi atau dirawat. Janganlah membendung permasalahan ini seorang diri.

Tidur adalah normal, sesuatu yang biasa. Ia adalah satu tempoh untuk individu merehatkan dan memulihkan badan dan mindanya. Jika individu tidak dapat tidur dengan lena untuk beberapa malam, dia akan merasa sukar membuat keputusan dan perasaannya akan terjejas.

Daripada persoalan yang diutarakan, saya dapati Ana tidak dapat menghayati tidur yang lena dan mudah tersedar. Jika masalah tidur berterusan lebih-lebih lagi jika 'diganggu', ia boleh jadi berpunca daripada masalah emosi, kesukaran dalam kehidupan seharian atau kadang-kala masalah psikologi yang lebih serius.

Untuk mengatasi masalah tersebut, puncanya perlu dicari dan diatasi. Biasanya masalah ini boleh diatasi dengan mengamalkan tabiat tidur dengan baik, kaunseling dan mengelakkan penggunaan hipnotik atau alkohol secara berterusan untuk memudahkan tidur.

TertekanKebimbangan yang lebih boleh menyukarkan untuk tidur lena. Kemurungan yang teruk pula menyebabkan seseorang mungkin terbangun awal atau di tengah malam dan tidak boleh tidur semula. Dapatkan nasihat doktor jika masalah tidur masih berlaku sekalipun anda mengamalkan tidur yang sihat.

Kesukaran mendapat tidur yang berkualiti biasanya membuatkan anda tertekan dan risau. Tekanan yang berlanjutan cukup meletihkan sedangkan tubuh mengharapkan tidur dan rehat yang cukup.

Nasihat saya, buangkan sifat amarah dan mudah geram. Sifat ini akan memudaratkan lagi tidur anda. Ada beberapa tip mudah yang boleh diamalkan untuk mengatasi sifat tidak diingini itu dengan bijak.

BertenangMulakan dengan banyak bertenang. Tarik nafas dalam-dalam sekitar tujuh hingga sembilan saat dan lepaskannya perlahan-lahan juga sekitar tempoh sama. Bagi yang beragama Islam, anda digalakkan beristighfar semasa melepaskan nafas. Insya-Allah, jika diulang sebanyak tujuh kali, anda akan kembali tenang. Biasakan juga berada dalam keadaan berwuduk. Jiwa kita akan tenang jika mengambil wuduk sebelum melakukan pekerjaan.

Amalkan membaca al-Quran, zikir dan selawat. Sesungguhnya ayat Al-Quran adalah penenang jiwa yang paling mujarab. Anda juga boleh meluaskan pembacaan kepada buku-buku ilmiah, berkaitan agama, motivasi dan sebagainya untuk menghilangkan sifat-sifat negatif.

Kita perlu yakin bahawa walau bagaimana hebat tekanan yang kita alami, pertolongan Allah tetap ada kerana selepas kesempitan pasti ada kelegaan dan selepas kepayahan pasti ada kesenangan.

Hargai diriJangan bersendirian. Hendaklah sentiasa berhubung dengan keluarga dan rakan-rakan. Syaitan selalunya menyerang manusia yang suka bersendirian. Cuba luahkan perasaan, tidak kira sedih mahupun gembira, kongsikan dengan ahli keluarga atau rakan-rakan yang anda rasa selesa dengannya. Cubalah bergaul dengan orang yang sentiasa dalam keceriaan.

Lakukan aktiviti luar rumah atau fizikal. Badan yang cergas akan membentuk otak yang cerdas. Segala tekanan sewaktu belajar atau bekerja akan dilupakan apabila kita melakukan aktiviti fizikal yang dapat menyihatkan tubuh badan seperti bersukan atau berenang. Aktiviti kecergasan dapat menghasilkan hormon yang mampu melegakan tekanan perasaan.

Jangan malu untuk ketawa atau menangis sepuas hati. Ia mampu membuang jauh perasaan yang risau atau gundah. Menyimpan perasaan dalam hati boleh menyebabkan diri sendiri merana.

Apa yang penting, kita mesti menghargai kebolehan diri sendiri dan memulakan hidup dengan lebih ceria.

Hadkan pengambilan ubat-ubatan kerana ada sesetengahnya menyumbangkan perasaan kurang stabil (mood swing) seperti kemurungan, emosi dan sifat marah yang tidak terkawal. Elakkan pengambilan ubat-ubatan begini seboleh mungkin. Jika semuanya gagal, dapatkan bantuan doktor pakar untuk rawatan yang selanjutnya

Wanita gemuk lebih seksi !!!


BAGAIMANAKAH mentakrif kecantikan? Sesetengah individu berpendapat tubuh yang ramping, pipi pauh dilayang, hidung bak seludang dan rambut ikal mayang sebagai ukuran kecantikan.

Apa pun kecantikan sememangnya sesuatu yang subjektif dan wanita di seluruh dunia mempunyai tafsiran sendiri mengenainya.

Namun apabila menyelak muka surat majalah-majalah fesyen, rata-ratanya menilai kecantikan melalui tubuh secantik Jennifer Lopez atau wajah sesempurna Aishwarya Rai.

Maaf bukan niat memperlekeh kecantikan plastik wanita, itu realiti yang telah lama bertapak dalam mentaliti masyarakat seluruh dunia biarpun ia agak tipikal tetapi tiada siapa yang menafikannya.

Dihargai kerana gemuk

Mendedahkan apa yang dianggap cantik di negara mereka dan bagaimana wanita di seluruh dunia mentakrifkan kecantikan yang menjadi ukuran bagi mencapai tahap kesempurnaan.

Wanita di seluruh dunia mempunyai pendapat yang berbeza-beza dari segi nilai tradisi sesuatu bangsa itu sendiri.

Di Mauritania, seperti negara lain dalam dunia, kecantikan wanita di sana dihargai tetapi dengan cara yang berbeza.

Terletak di antara Maghribi dan Afrika Barat, Mauritania merupakan sebuah negara yang dibentuk di atas permukaan padang pasir Sahara.

Bandar terbesarnya dikenali sebagai Nouakchott yang dibina berdekatan dengan pantai Atlantik.

Menariknya, di negara ini nilai kecantikan mereka terletak pada individu gemuk kerana bagi mereka kegemukan merupakan kecantikan yang sejati.

Sejak beratus tahun, wanita mudanya dipaksa untuk mengamalkan amalan tradisi yang dikenali sebagai leblouh (dipaksa makan).

Kanak-kanak perempuan dipaksa makan berlebihan semuda usia lima tahun sehingga menampakkan lemak-lemak di sekitar perut, lengan dan paha.

Proses penggemukan itu dikatakan boleh meningkatkan berat kanak-kanak berumur 12 tahun kepada 80 kilogram.

Rata-rata wanita di sana berpendapat, lebih berat timbangan badan mereka maka peluang untuk mencari calon suami lebih tinggi berbanding mereka yang berbadan langsing.

Walaupun kaedah paksaan ini tidak disokong oleh pihak kerajaan, tabiat lama atau amalan tradisi itu amat sukar diubah lebih-lebih lagi bagi mereka yang tinggal di kawasan terpencil.

Di negara tersebut, boleh dikatakan rata-rata gadis muda meluangkan masa sehari suntuk untuk makan. Jika mereka tidak mahu, tetap akan dipaksa atau disumbat dengan pelbagai makanan berkalori tinggi seperti susu unta dan mentega sehingga muntah.

Lebih menghairankan lagi, wanita di negara itu sanggup berbelanja ribuan wang ringgit semata-mata untuk membeli produk-produk kecantikan di pasaran gelap.

Bagaimanapun, produk yang dimaksudkan itu berbeza dengan produk yang dibeli wanita dari benua lain kerana mereka membeli produk untuk menaikkan berat badan yang kebanyakan ubatan itu diguna pakai pada haiwan.

Menurut Houda, seorang wanita yang membesar di Mauritania, bapanya merupakan seorang doktor yang sering berhadapan dengan pelbagai kes kesihatan kesan daripada amalan wanitanya menggemukkan diri kerana ingin kelihatan cantik.

"Ayah saya sentiasa berhadapan dengan wanita yang sering mempunyai masalah kesihatan yang serius seperti tekanan darah tinggi, kencing manis dan kegagalan jantung berfungsi," katanya.

Walaupun masalah-masalah ini dikaitkan dengan obesiti, penyakit tersebut tidak menghalang Houda dan wanita lain untuk berhasrat menambah berat badan ke tahap maksimum.

"Wanita kurus dianggap berpenyakit atau ada yang tidak kena dengannya manakala wanita gemuk benar-benar hidup gembira.

"Berbadan gempal dengan lengan dan punggung yang besar dianggap sebagai bahagian-bahagian badan paling cantik buat wanita Mauritania.

"Malah jika mereka mempunyai lemak yang berlebihan di bahagian perut, anda tidak perlu bimbang kerana lelaki di Mauritania sukakannya," jelas Houda.

Tambahnya, bukan sahaja berat badan yang berlebihan dianggap seksi dan mengghairahkan malah jika seorang janda ia merupakan mata tambahan untuk mencari calon suami.

"Di Mauritania, jika seseorang wanita itu bercerai, mereka akan diraikan dengan jamuan selain ia akan menjadikan wanita tersebut lebih menggoda.

"Itu adalah cara terbaik untuk para wanita digilai ramai lelaki lebih-lebih lagi jika mereka berbadan gempal," katanya.

Obesiti lambang kekayaan

Bagi masyarakat yang tinggal di Mauritania, mereka yang mempunyai badan kurus atau langsing dikaitkan dengan kemiskinan manakala gemuk dijadikan lambang kekayaan seseorang.

Para pengkaji sejarah mengatakan leblouh ini diamalkan sejak zaman mereka hidup secara nomad.

Sepanjang tempoh ini, ibu dan nenek dalam keluarga masing-masing merupakan orang penting yang memulakan proses memberi makanan secara paksaan kepada anak atau cucu mereka.

Wanita di Mauritania dipandang sebagai harta lelaki dan lebih gemuk wanita itu, lebih kaya golongan lelaki itu dilihat.

Susunan AHMED SYAHRIL ZULKEPLY

Tuesday, March 20, 2012

Kisah benar seorang penunggang motosikal tanpa lesen di Malaysia.....



SAYA adalah warganegara Malaysia berstatus bumiputera berumur 33 tahun yang masih belum memiliki lesen memandu hingga saat ini. Tujuan utama saya menulis dan meluahkan perasaan saya ini adalah semata-mata untuk memohon pertolongan dan seterusnya membuka mata hati dan perasaan pihak jabatan kerajaan terutama Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ), Polis Diraja Malaysia (PDRM Cawangan Trafik), bahagian Majlis Keselamatan Jalan Raya dan pihak berkuasa daripada kementerian berkaitan.

Saya bukan tidak mampu untuk memiliki lesen memandu. Saya tahu sesetengah pusat latihan memandu ada menyediakan kemudahan bayaran secara ansuran, malah harga untuk memiliki lesen motosikal pun murah hanya RM211 sahaja. Oleh kerana saya menerima Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) daripada kerajaan, saya ingin memiliki lesen memandu yang sah dengan menggunakan wang bantuan tersebut.

Sebelum ini, saya bukan tidak mahu mengambil lesen memandu bahkan itulah yang saya impikan dalam hidup untuk memilikinya kerana bagi saya tanpa lesen memandu hidup saya sangat terseksa.

Suatu hari, saya pernah mendaftar untuk mengambil lesen memandu motosikal dan kereta. Saya membayar RM100 untuk pendaftaran tersebut. Saya menghadiri dan mendengar sesi taklimat pukul 8 pagi. Saya diberi tarikh untuk menghadiri hari ujian berkomputer di RILEKS. Bila tiba harinya, saya orang paling awal tiba di pejabat RILEKS walaupun pejabatnya belum dibuka. Setelah dibuka, nama saya tidak dipanggil, berjam-jam saya menunggu. Orang lain datang kemudian yang dipanggil.

Saya bergegas ke kaunter dan bertanya kenapa nama saya tidak dipanggil sehingga tinggal saya seorang sahaja di situ? Dengan tindakan segera seorang kerani di situ menghubungi pegawainya melalui telefon.

Hampir 10 minit mereka berbincang di dalam talian. Akhirnya kerani tersebut memberitahu kepada saya, nama saya tidak disenaraikan dalam senarai calon ujian kerana saya mempunyai beberapa saman tertunggak kerana kesalahan trafik (saman tiada lesen memandu sebelum ini). Saya diarahkan untuk melangsaikan kesemua saman tersebut hingga nama saya bersih dalam sistem komputer.

Saya sangat kecewa, kenapa ada undang-undang yang tidak benarkan pesalah trafik mengambil lesen memandu walaupun mempunyai saman tertunggak. Untuk pengetahuan, saya mempunyai saman trafik yang tertunggak melebihi RM3k. Kini saman saya kian bertambah sehingga sekarang.

Saya juga pernah tiga kali dikejar polis kerana melarikan diri dari sekatan jalan raya, saya lari kerana tiada lesen memandu dan saya bersyukur kerana saya terlepas.

Saya berpendapat lesen memandu boleh mengubah taraf hidup seseorang itu kearah yang lebih baik, malah lesen memandu juga boleh menjadikan seseorang rakyat Malaysia mencapai pendapatan yang lebih stabil. Saya yakin ramai yang senasib dengan saya sukar mencari pekerjaan tanpa lesen memandu.

Dengan adanya lesen memandu seseorang itu boleh memohon pekerjaan sebagai penghantar surat, penghantar Pizza, pemandu van kilang, pemandu peribadi atau pemandu lori yang menjanjikan pendapatan bulanan RM1,000 hingga RM2,500 atau lebih.

Tetapi itu semua hanya impian jika mereka mempunyai lesen memandu.

Kini saya hidup dalam ketakutan kerana sekarang saya mempunyai 12 saman trafik yang mana kesemuanya kesalahan tiada lesen memandu.

Semakin hari semakin bertambah saman saya. Sedangkan saya memang tak mampu membayar saman kerana bekerja sendiri dan mempunyai tanggungan.

Saya beroleh pendapatan kurang dari RM700.

Saya merayu agar dapat memansuhkan semua saman tertunggak bagi memudahkan rakyat memiliki lesen memandu yang sah. Saya juga merayu kepada pihak kementerian terbabit agar meneliti dan bersimpati dengan kes seperti ini.

Saya yakin masih ada ribuan rakyat lagi yang menderita tiada lesen memandu yang sama senasib seperti saya. Janganlah menghalang rakyat mengambil lesen memandu disebabkan saman tertunggak mereka kerana selagi mana seseorang rakyat itu tidak berkemampuan membayar saman selagi itu jugalah samannya akan bertambah serta jumlah yang perlu dibayar kian tertunggak.

Situasi ini boleh memberi impak yang negatif hingga boleh menyebabkan seseorang itu mengalami tekanan perasaan, kemurungan dan merasa gemuruh jika berdepan dengan sekatan jalan raya oleh polis trafik atau JPJ. Ada dan akhirnya dia berpatah balik kemudian berlaku kemalangan maut, padahal dia bukanlah tidak mahu mengambil lesen sebelumnya tetapi tidak dibenarkan oleh undang-undang untuk mendapatkan lesen akibat saman tertunggaknya.

Jika semua rakyat mempunyai lesen memandu, saya yakin rakyat mempunyai pekerjaan dan pendapatan yang tetap dan terjamin serta perjalanan mereka di jalanraya dalam situasi yang aman.

Kepada sesiapa mempunyai masalah sama, sila emelkan kepada kamenrider1malaysia@gmail.com. Saya akan salin dan lekat emel anda dan akan menyiarkan dalam sebuah blog yang akan dibangunkan kelak.

Kami bukan pembangkang, tetapi kami akan menyokong kerajaan jika transformasi berlaku ke atas status saman kami. Kami hanya mahu lesen sahaja. Tolonglah.

KAMEN RIDER 1MALAYSIA
DUN Chenor, Pahang

Tak peduli anak gadis sendiri berkahwin !!


TIDAK semua anak bahagia bersama keluarga masing-masing, ada juga kalangan mereka yang terpaksa hidup menumpang dengan orang lain kerana ibu bapa amat sibuk dengan urusan dunia.

Maka membesarlah anak itu dengan orang yang diberi tanggungjawab mendidik mereka sehingga menjadi manusia walaupun orang yang mendidik adalah nenek sendiri.

Begitulah mukadimah kisah minggu ini, luahan hati seorang nenek mengenangkan nasib cucu sulungnya yang tidak dipedulikan ibu bapa sendiri.

Sehingga ke saat anak hendak diijabkabulkan, mereka masih berlagak macam orang asing, sehinggakan pada hari pernikahannya, si nenek menitiskan air mata kerana anak dan menantunya hanya datang sebagai tetamu,'' demikian cerita Makcik Lina kepada saya.

Untuk teladan dan iktibar, kita ikuti cerita seterusnya sebagaimana yang diceritakan oleh Makcik Lina.

"Saya berusia lewat 50-an, bekas pesara guru. Saya mempunyai tiga orang anak yang telah mempunyai kehidupan mereka sendiri. Anak sulung saya lelaki, dan dua anak perempuan.

"Sebagai anak sulung, tentunya dia memikul tanggungjawab berat untuk menjaga kebajikan saya dan suami, adik-adik serta anak-anaknya seramai empat orang.

"Anak sulung saya mempunyai tiga orang anak. Yang sulung perempuan, berusia 21 tahun, anak lelaki berusia 17 tahun dan yang bongsu, anak perempuan berusia 14 tahun.

"Ketika mereka berkahwin dulu, anak lelaki saya masih terkapai-kapai untuk hidup. Sama seperti anak saya, isterinya juga berkelulusan universiti. Secara umum memang saya bangga mempunyai anak dan menantu berkelulusan tinggi.

"Setelah enam bulan bernikah, menantu saya disahkan mengandung. Tentu seluruh keluarga amat gembira, lebih-lebih lagi saya dan suami kerana status saya akan bertukar menjadi nenek.

"Mereka dikurniakan anak perempuan yang diberi nama Amira. Saya amat gembira dengan kelahiran Amira. Walaupun sibuk mengajar, saya masih ada masa untuk mendidik dan mengajar Amira sehingga dia berjaya dalam pelajaran.

"Sebagai ibu, tentunya saya kasihan melihat anak dan menantu terkejar ke sana sini, mana hendak ke pejabat dan mana hendak menguruskan Amira. Akhirnya saya menawar diri untuk menjaga Amira sementara mereka mencari orang gaji atau pengasuh.

"Kegembiraan saya berganda apabila Amira tinggal bersama saya. Ketika itu, anak perempuan kedua saya belum berkahwin, dia turut membantu menguruskan Amira.

"Belum pun Amira berusia dua tahun, dia sudah ada adik, begitulah seterusnya sehingga anak ketiga mereka lahir, Amira seperti tidak ada dalam kehidupan ibu bapanya.

"Setiap kali saya ajukan pertanyaan bila hendak ambil Amira, anak lelaki saya akan berkata, tunggu dulu, tunggu dulu. Sehinggalah Amira masuk sekolah, tidak ada tanda-tanda mereka akan mengambilnya untuk dijaga. Akhirnya saya nekad tidak akan bertanya lagi sebab saya tidak mahu hubungan anak dan menantu menjadi renggang disebabkan saya mendesak mereka mengambil Amira.

"Saya pernah suarakan pandangan supaya mereka mengambil Amira semula tetapi jawapannya tetap sama, dia selamat bersama saya.

" Sepanjang tempoh itu, Amira tidak pernah mengeluh dan tetap menghormati ibu bapanya seperti tidak ada apa-apa berlaku.

"Yang saya sedih, ketika Amira dipinang orang, ibu bapanya tidak pulang meraikannya kerana berada di luar negara. Biarpun telah saya maklumkan tentang khabar gembira itu, dua minggu lebih awal, mereka tetap tidak ambil kisah dengan alasan tiket telah ditempah awal.

"Mereka hanya datang pada hari pernikahan kerana Amira perlukan wali. Pada hari persandingan, mereka datang sebagai tetamu. Terguris juga hati saya apabila mereka tidak tidur di rumah saya, sebaliknya menginap di hotel.

"Amira tidak ambil hati dengan sikap ibu bapanya itu sebab dia lebih sayangkan saya. Dia kata dia tidak peduli jika ibu bapanya tidak hadir, asalkan saya ada. Bayangkan anak yang sudah berusia 21 tahun berkata begitu setelah kehadirannya dalam usia itu seperti tidak wujud dalam diri ibu bapanya.

"Saya mengaku ia kesilapan saya di peringkat awal tetapi niat saya hanya untuk membantu meringankan hidup mereka. Tidak ada niat untuk memelihara Amira sehingga dia dewasa. Malangnya lain pula yang berlaku. Pada hari pernikahan Amira, saya katakan kepada anak saya (bapa Amira) yang saya amat sedih dan terkilan dengan sikapnya terhadap anaknya itu.

"Sepatutnya sebagai ibu bapa mereka ambil berat, tunjuk ajar, rasa gembira kerana anak akan melalui fasa baru dalam kehidupan. Ini tidak, mereka ingat sekadar bagi duit boleh mengubat hati saya dan Amira?

"Kalau mereka tidak bagi duit pun untuk urusan kenduri, saya boleh keluarkan duit sendiri. Anak-anak saya yang lain merungut dan marahkan abang mereka tetapi saya katakan kepada mereka, biarlah Allah yang tentukan apa yang terbaik untuk mereka.

"Amira dan anak-anak saya yang dua orang lagi memang rapat, ibu dan bapa saudaranya sangat sayang kepada Amira dan menjadi tulang belakang kepada majlis pernikahan tersebut.

"Saya sedih kerana keluarga mentua Amira tidak tahu akan nasib menantu mereka tetapi saya berharap jika mereka tahu sekalipun, biarlah Amira yang menceritakannya, bukan saya.

"Apa pun saya bersyukur kerana Amira telah selamat menjadi isteri orang. Semoga dia bahagia bersama suaminya walaupun saya akan kehilangannya dan akan merinduinya setiap waktu.

"Kepada ibu bapa di luar sana, jangan ketepikan anak-anak yang dipelihara oleh orang tua anda. Layan mereka seperti anak-anak lain walaupun anda tidak menjaga dan mendidiknya.

"Kepada ibu bapa pula, jangan terlalu simpati dengan kesusahan anak-anak, biarkan mereka berdikari dan belajar untuk hidup. Saya mengaku telah membuat kesilapan dan saya belajar daripada kesilapan itu dan berharap cucu-cucu saya tidak akan melakukan kesilapan yang sama. Mudah-mudahan Allah lindungi keluarga saya dunia dan akhirat,'' Makcik Lina menutup ceritanya.

Begitu cerita Makcik Lina. Saya faham kemelut yang dihadapi oleh Makcik Lina. Apa pun, tentunya Amira amat terhutang budi dengan neneknya itu. Saya puji sikap Amira yang tidak menyalahkan ibu bapanya, sebaliknya menerima takdir hidupnya dengan reda.

Semoga rumah tangga Amira akan kekal ke akhir hayat. Pesanan saya, jenguk-jenguklah ibu bapa bersama suami jika kelapangan dan jangan sekali mensia-siakan nenek yang telah mendidik anda sejak kecil hingga menjadi isteri orang.

Apa yang berlaku, anggap ia sebagai ujian untuk memberi kita yang terbaik dalam hidup ini.

Menutup catatan, jadikan rumah mu sebagai syurga yang diisi dengan ketenangan dan kasih sayang kerana dua perkara itu amat bernilai serta memancarkan cahaya yang di penghujungnya ada bahagia.

Salam

Risau anak lewat bercakap???


SEAKAN wujud satu persepsi dalam kalangan masyarakat yang mengaitkan jantina sebagai alasan bagi kanak-kanak yang lewat bercakap.
Tidak hairanlah, kita sering mendengar dialog seperti “kalau dibandingkan dengan budak perempuan, budak lelaki memang lambat bercakap’. Namun, adakah tanggapan ini benar?

Mengajukan persoalan itu kepada Terapis Pertuturan Bahasa Pusat Pengajian Sains Rehabilitasi, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Basyariatul (Basha) Fathi Othman, sebaliknya menyifatkan pandangan itu hanyalah mitos.

“Kanak-kanak yang lambat bercakap tidak boleh dibezakan dengan jantina. Cepat atau lambat kebolehan bercakap itu, sebenarnya banyak dipengaruhi persekitaran, termasuk pemilihan permainan.

“Budak perempuan dikaitkan dengan cepat pandai bercakap kerana jenis permainan mereka seperti ‘main masak-masak atau main pondok-pondok’ itu boleh menjadi satu proses pembinaan pertuturan,” ” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Menurutnya, sambil bermain masak-masak itu, mereka akan mengajuk cara ibunya memotong sayur, menjaga adik dan menukarkan pakaian. Perbuatan itu akan bersulam dengan pengeluaran ayat. Sekiranya dilakukan secara berulang-ulang kebolehan bercakap akan menjadi semakin lancar.
“Ini berbeza dengan budak lelaki. Kebanyakannya suka bermain kereta mainan, atau ‘pencuri-polis’. Tidak banyak perkataan dapat dikeluarkan menerusi permainan berkenaan melainkan bunyi ‘vroom’ enjin kereta atau perkataan ‘lari’ dan ‘tangkap’ dari mulutnya. Secara langsung faktor permainan amat mempengaruhi kebolehan mereka bercakap.

“Justeru saya fikir ada baiknya kalau budak lelaki turut sama bermain permainan budak perempuan kerana nyata bentuk permainan itu membina kebolehannya bercakap dan kognitif lain termasuk penggunaan motor tangan serta kaki. Penggunaan otak dan pergerakan badan menerusi perbuatan akan mempercepatkan mereka belajar perkataan baru, seterusnya membina ayat dengan baik,” katanya.

Namun, bilakah masanya atau tahap usia kanak-kanak itu dikenal pasti sebagai lewat bercakap dan perlu mendapatkan bantuan?

“Kanak-kanak yang normal boleh mengeluarkan perkataan seawal usia lapan bulan ke setahun setengah. Kalau lewat daripada itu, ibu bapa boleh membawa kanak-kanak bertemu dengan terapi pertuturan bahasa untuk menentukan sama ada anak mereka mengalami masalah.

“Masalah bercakap hanya boleh ditentukan oleh Terapi Pertuturan-Bahasa kerana dalam setiap kes dirujuk. Kanak-kanak itu akan diperiksa secara terperinci termasuk menyelidiki persekitaran yang mempengaruhi kebolehannya bercakap. Ibu bapa yang mengesyaki anaknya berhadapan masalah bercakap, perlu segera merujuk kepada Terapi Pertuturan Bahasa kerana lambat bercakap boleh menjadi ‘petanda’ kepada masalah lain termasuk masalah pendengaran, autisme atau masalah masalah lain. Lebih cepat dikenal pasti, lebih cepat kanak-kanak itu dapat dibantu,” katanya.

Apakah bezanya antara masalah bercakap dengan pertuturan? Katanya masalah lambat cakap dikaitkan pelbagai faktor komunikasi termasuk kurang rangsangan untuk bercakap.

Bagi masalah pertuturan pula, adalah biasa untuk kanak-kanak kecil yang mula belajar bertutur untuk mengeluarkan bunyi-bunyi yang ‘pelat’ kerana ini adalah proses normal. Pelat atau ‘proses-proses fonologi’ ini berlaku sehinggalah sekitar lima hingga enam tahun di mana bunyi-bunyi pertuturan kanak-kanak akan terus bertambah baik dan akan menyamai bunyi-bunyi pertuturan orang dewasa. Apabila kanak-kanak tidak berjaya mengatasi ‘pelat’ ini pada tahap umur berkenaan, maka masalah pertuturan perlu dibantu oleh patologis pertuturan-bahasa.

Jelasnya seseorang bayi itu bersuara mengeluarkan kata - kata membebel atau ‘baby talk’ seperti aa , aa , ahggege , bababa , dededed , mamamam , nanana dan seterusnya sebelum dapat mengeluarkan perkataan yang bermakna. Dalam usaha merangsang kanak-kanak cepat bercakap, ibu bapa digalakkan bercakap dengan mereka walaupun ketika itu mungkin si kecil pada usia bayi.

Mengenai kemungkinan kanak-kanak lambat bercakap akibat penggunaan pelbagai bahasa di rumah menyebabkan kanak-kanak mungkin keliru, Dr Basha berkata, ia tidak semestinya berlaku kerana kanak-kanak menyerap bahasa bagaikan span dan tahu membezakan bahasa bila sampai masanya.

Pada peringkat awal, sesetengah kanak-kanak yang bertutur pelbagai bahasa mungkin ada menunjukkan sedikit kelambatan dalam menguasai kesemua bahasa yang dituturkan. Bagaimanapun, ini akan diatasi secara semula jadi. Dalam sesetengah kes, ibu bapa mungkin dapati anak-anaknya lebih bijak bercakap bila tahu banyak bahasa.

Tidak dinafikan unsur genetik adalah satu lagi sebab mengapa kanak-kanak lambat bercakap.

“Untuk mengelakkan berlakunya masalah bercakap bagi kanak-kanak, ibu bapa perlu memastikan supaya tahap pertuturan yang mereka gunakan adalah sepadan dengan umur anak mereka. Peluang untuk kanak -kanak mereka mendengar bahasa dan menggunakannya mestilah mencukupi di dalam persekitaran mereka.

“Jika ibu bapa atau penjaga selalu bercakap cepat, menggunakan perkataan yang tidak sepadan dengan kebolehan kanak -kanak mereka memahamimya sudah tentulah akan memberi kesan yang negatif kepada perkembangan pertuturan kanak -kanak mereka. Penggunaan bahasa adalah perlu untuk perkembangan intelek seseorang kanak -kanak. Perkembangan intelek pula dipengaruhi oleh tahap penggunaan bahasa. Jika kanak -kanak lambat bercakap pembelajaran mereka di masa hadapan akan terjejas.

“Sebetulnya selain daripada kesihatan tubuh badan , tahap pemakanan yang baik, keadaan fizikal dan mental yang baik , persekitaran yang penuh dengan stimulasi adalah perlu diberikan kepada kanak-kanak untuk menggalakkan perkembangan bahasa optimum,” katanya.

Jelasnya masalah bercakap selalunya menjadi petanda kepada masalah lain yang lebih besar, termasuk masalah pendengaran, atau autisme.

“Segeralah merujuk kepada pakar dapat membantu mengesan masalah dihadapi kanak-kanak. Selain Hospital Kuala Lumpur dan hospital besar di setiap negeri, ibu bapa boleh ke Klinik Audiologi & Sains Pertuturan, Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Temerloh, Kuala Lumpur yang khusus mengendalikan mengenai masalah berkaitan.

FAKTA: Klinik Audiologi & Sains Pertuturan Universiti Kebangsaan Malaysia, Jalan Temerloh, Kuala Lumpur

  • Ia adalah klinik pengajaran bagi mahasiswa UKM yang diselia oleh audiologis dan terapi patologis pertuturan-bahasa yang bertauliah

  • Menyediakan kepakaran dalam menilai, mencegah serta mengendalikan masalah pendengaran dan komunikasi

  • Menyediakan kelengkapan peralatan klinik yang canggih

  • Antara klinik pendengaran dan pertuturan terawal ditubuhkan dan masih menjadi pusat rujukan utama dalam negara.
  • Oleh Nor Afzan Mohamad Yusof


    Rezeki ‘penumpang tumpangan’...


    ANAK kecil bernama Citra yang berusia tiga tahun ini barangkali tidak memahami apa tujuan sebenar ibunya, Yohana mendukungnya dan berdiri di tepi jalan.

    Yang hanya diketahuinya, pada pukul 6.30 pagi setiap hari Isnin hingga Jumaat dia akan dibawa keluar oleh ibunya berjalan hampir dua kilometer.

    Setiba di pinggir jalan utama berdekatan Hotel Mulia, Senayan, Jakarta, ibunya akan berdiri sambil menunjukkan jari telunjuk ke arah kenderaan yang sibuk melintasi jalan berkenaan.

    Rutin yang sama juga dilakukan ibunya yang berusia 34 tahun itu pada sebelah petang pada pukul 4.30 petang.

    Apalah sangat yang diketahui oleh anak sekecil Citra melainkan hanya mengikut saja langkah ibunya.

    Kepada Yohana pula, berdiri di tepi jalan sambil menunggu ihsan para pemandu kenderaan yang memerlukan khidmat 'penumpang tumpangan' bukanlah tugas baru buatnya.

    Bahkan, mengusung Citra yang dalam dukungan pula tidak dianggap sebagai 'berdosa' kerana itu sahaja pilihan yang ada buat dia untuk mencari rezeki menampung hidup.

    Kerjaya Yohana sebagai Joki 3 in 1 setidak-tidaknya memberi peluang kepada dia membantu suaminya yang pernah tiga tahun menganggur.

    Cuma, baru beberapa minggu lalu suaminya mendapat kerja sebagai buruk kontrak.

    Namun, banyak mana sangat pendapatan suaminya untuk membiayai kehidupan mereka tiga beranak di kota yang pesat membangun seperti Jakarta.

    "Setiap pagi dan petang saya akan berdiri di sini mencari rezeki. Setiap kali diambil penumpang kenderaan, saya akan mendapat upah sebanyak Rupiah 20,000 (RM6.60).

    "Dengan membawa anak kecil saya menerima upah tambahan Rupiah 20,000 lagi. Itu untuk satu perjalanan," cerita Yohana kepada Mega ketika penulis mengupahnya menjadi 'penumpang tumpangan' dalam satu perjalanan ke lokasi tugasan baru-baru ini.

    Yohana, anak jati Jakarta merupakan salah seorang daripada Joki 3 in 1 yang setia memberi khidmat kepada penumpang kenderaan di Jakarta yang memerlukan jasanya.

    Di sebuah jalan utama di Jakarta iaitu Jalan Sudirman telah diwartakan oleh pemerintah tempatan sebagai laluan terhad untuk tiga orang dalam sebuah kenderaan pada dua waktu puncak setiap hari Isnin hingga Jumaat.

    Pada waktu pagi, laluan terhad itu ditetapkan bermula pukul 7 hingga 10 pagi iaitu masa orang ramai keluar untuk ke pejabat.

    Sementara pada waktu orang ramai pulang bekerja bermula pukul 4.30 hingga 7 petang, peraturan yang sama ditetapkan.

    Penguatkuasaan undang-undang 3 in 1 (3 dalam 1) bermula pada tahun 2003 di Jalan Sudirman iaitu laluan yang cukup padat setiap kali waktu masuk dan pulang kerja di kalangan warga kota.

    Seandainya ada kenderaan yang dikesan pihak berkuasa tidak mengikut undang-undang yang ditetapkan, pemandu berkenaan boleh dikenakan denda.

    Justeru, bagi mengelakkan diri daripada membayar denda yang mahal, pemandu di Jakarta yang mungkin ditemani seorang sahaja penumpang lain ketika pergi dan pulang dari bekerja menggunakan khidmat Joki 3 in 1.

    Dengan hanya mengupah seorang Joki, tidak ada sebab untuk pemandu kenderaan gusar memikirkan kos membayar denda yang dikenakan pihak berkuasa.

    Memadai dengan hanya mengeluarkan Rupiah 20,000 buat seorang Joki yang tentunya sudah menyelamatkan poket mereka.

    Kerana itu khidmat Joki 3 in 1 dari mata kasar dilihat sangat penting buat pemandu kenderaan di Jakarta.

    Selain berpeluang mengelakkan diri daripada disaman, khidmat Joki 3 in 1 turut membantu memberi rezeki kepada sebilangan warga miskin Jakarta.

    "Kebiasaannya pada waktu pagi saya berpeluang mendapat langganan antara dua hingga tiga kali. Ditambah dengan kehadiran anak saya, maka upah yang saya peroleh tinggi," Yohana rancak berkongsi cerita dengan penulis sepanjang perjalanan.

    Bagaimanapun, rezeki pada sebelah petang katanya, sukar diramal.

    Ada masa menurut Yohana, dia hanya menerima sekali langganan sahaja, ada masanya pula dia terpaksa pulang dengan kehampaan.

    "Ini kerana pada sebelah petang, selalunya pemandu pulang lewat iaitu selepas waktu laluan 3 in 1 sudah berakhir.

    "Ada juga pemandu kenderaan yang pulang bersama teman-teman, jadi mereka tidak memerlukan khidmat Joki 3 in 1 lagi," Yohana menyambung perbualan.

    Ditanya apakah dia tidak berasa bersalah membawa anaknya yang kecil dan seharusnya berada di rumah dan membesar seperti anak orang lain, Yohana berkata, dia tidak mempunyai pilihan selain daripada mengusung Citra mencari rezeki.

    "Tiada siapa yang boleh menjaganya di rumah. Ketika suami menganggur pun bukannya boleh diharap.

    "Jadi, lebih baik saya bawa dia bekerja. Sekurang-kurangnya dapat juga pendapatan kerana Citra juga sudah layak dikira sebagai 'penumpang tumpangan'. Adanya Citra saya dapat pendapatan berganda," jelas wanita itu dalam reaksi selamba.

    Mendengar pengalaman permulaan Yohana dalam profesion Joki 3 in 1 menarik perhatian penulis terhadap betapa adanya manusia tidak pernah mahu berkongsi rezeki dengan orang lain.

    Kata Yohana, tiga tahun lalu, dia sering melihat rakan-rakan yang tinggal di kejiranan rumah sewanya keluar mencari rezeki pada pukul 6.30 pagi dan sudah berada di rumah menjelang pukul 11 pagi.

    Pada sebelah petang, rutin yang sama dilakukan mereka tanpa mahu berkongsi apa jenis pekerjaan yang dilakukan teman-teman.

    Meskipun sering ditanya berkali-kali, tidak ada sesiapa teman-temannya yang bersedia bercerita.

    Situasi itu menyebabkan Yohana tertanya-tanya dalam hati. Didorong oleh perasaan ingin tahu, dia akhirnya memberanikan diri mengikut teman-temannya dari belakang tanpa pengetahuan mereka.

    "Sehinggalah tiba di pinggir jalan berdekatan Hotel Mulia saya melihat kawan-kawan saya berdiri dan menunjukkan jari telunjuk.

    "Pada ketika itu baru saya menyedari kerja mereka ialah menumpang kenderaan orang ramai. Tugas itu saya fikir sangat mudah dan saya turut memberanikan diri melakukannya," jelas Yohana yang mengakui pada awalnya dia amat takut untuk melakukan tugas Joki 3 in 1.

    Ketakutan yang dirasakan ketika itu disebabkan dia tidak ada pengalaman serta tidak mengetahui skop kerjanya.

    Namun, dia memberanikan diri dengan hanya duduk dalam kereta sebaik ada kereta yang berhenti di depannya.

    Bahkan, Yohana juga tidak pernah membuka mulut bertanya berapa bayaran yang harus dikenakan ke atas mereka yang menggunakan khidmatnya.

    "Tahu-tahu sahaja saya sudah sampai ke destinasi dan dibayar Rupiah 20,000 oleh pemandu. Jumlah itu cukup besar kerana ia boleh menampung kehidupan saya," ujarnya sambil menjelaskan sebaik sampai di destinasi di luar jalur 3 in 1 dia akan menaik bas awam untuk kembali ke lokasi di mana tugasnya bermula.

    Modal Yohana hanyalah kekuatan fizikal dan mental untuk mengais Rupiah bagi membantu meringankan beban suaminya menguruskan belanja rumah tangga mereka.

    Daripada SAHARUDIN MUSTHAFA

    Semua jenis perniagaan kena zakat hatta jual nasik lemak sekalipun !!


    SAYA hanyalah seorang peniaga nasi lemak di warung kecil di kawasan perumahan saya. Alhamdulillah, rezeki yang saya peroleh semakin meningkat dan perniagaan juga berkembang. Sejak dua tahun lalu, saya sudah mampu menggajikan dua orang pekerja dan saya sendiri mendapat gaji tetap dari warung tersebut. Soalan saya, adakah saya dikenakan zakat pendapatan atau zakat perniagaan ke atas perniagaan tersebut? Jika zakat perniagaan, adakah saya perlu mengambil kira segala kos perniagaan sebelum mengeluarkan zakat perniagaannya? Bagaimana pula dengan pekerja saya, adakah saya wajib memotong zakat pendapatan mereka sebelum memberikan gaji?

    Jawapan

    Alhamdulillah, semoga niat suci tuan untuk menunaikan zakat mendapat keberkatan daripada Allah SWT, sesuai dengan pesanan daripada Rasulullah SAW: "Peniaga yang jujur lagi amanah akan bersama para nabi, para siddiqin dan para syuhada di akhirat (nanti)." (Riwayat Imam at-Tarmizi dan al-Hakim).

    Sesungguhnya, ramai peniaga kecil-kecilan dalam kalangan umat Islam yang terkeliru tentang status zakat ke atas diri mereka. Pertamanya, adakah perniagaan kecil itu juga tertakluk kepada kewajipan zakat? Keduanya, adakah mereka dikenakan zakat perniagaan atau pendapatan? Ketiganya, bagaimanakah mengira atau mentaksir zakat perniagaan mereka yang kecil-kecilan itu?

    Jawapan mudahnya, semua perniagaan sama ada kecil atau besar adalah tertakluk kepada zakat perniagaan. Oleh itu, semua peniaga Muslim yang telah mencapai syarat wajib zakat, maka hukumnya adalah wajib mengeluarkan zakat. Diulang semula, lima syarat asas itu ialah Islam, merdeka, sempurna milik, cukup nisab dan haul.

    Manakala, tiga syarat tambahan zakat perniagaan ialah mestilah menjual produk yang halal, tidak melakukan urusniaga yang haram (misalnya riba dan menipu) serta sememangnya ia diniatkan sebagai perniagaan. Misalnya, jika memelihara kambing, memang diniatkan untuk diniagakan, maka kena zakat perniagaan dan bukan zakat penternakan.

    Merujuk kepada persoalan di atas, adakah tuan dikenakan sama ada zakat pendapatan atau perniagaan sahaja; atau kedua-dua jenis zakat sekali gus? Maka, di sini, pertama sekali harus diketahui bahawa zakat pendapatan dikenakan ke atas pendapatan yang diterima. Manakala, zakat perniagaan dikenakan ke atas harta-harta perniagaan tuan.

    Maka, di sini tuan hakikatnya dikenakan dua jenis zakat, pertama zakat ke atas pendapatan bulanan yang tuan terima dan kedua, zakat ke atas harta perniagaan apabila sampai haulnya.

    Bagi zakat pendapatan, taksirannya adalah seperti mana yang telah diterangkan sebelum ini, iaitu dengan menolak terlebih dahulu beberapa perbelanjaan ke atas diri sendiri, keluarga dan beberapa item lain. Kemudian, bakinya jika masih ada dikeluarkan zakatnya 2.5 peratus.

    Bagi zakat perniagaan, secara mudahnya, tuan hendaklah mengira keuntungan perniagaan yang telah dibuat selama setahun dicampur dengan modal semasa (yakni barangan yang sudah siap untuk dijual), kemudian ditolak dengan hutang perniagaan tuan dengan pihak lain dan ditambah dengan hutang peniaga lain kepada tuan (yang diharapkan mampu dibayar pada tahun semasa), setelah itu dikeluarkan zakatnya 2.5 peratus. Ini asasnya.

    Tuan juga hendaklah menolak terlebih dahulu segala macam kos, termasuklah gaji tuan, gaji pekerja, sewaan tapak, kos utiliti dan sebagainya (jika ada).

    Berkenaan para pekerja pula, maka tuan tidaklah diwajibkan untuk memotong zakat mereka, kerana ia adalah kewajipan ke atas individu Muslim untuk menekuni dan mematuhi kewajipan zakat mereka sendiri.

    Namun, jika tuan mengetahui pekerja tuan sememangnya sudah termasuk kategori wajib dan jika dibiarkan, mereka memang diyakini enggan berzakat, maka kala itu wajarlah tuan melaksanakan arahan wajib pemotongan zakat terus daripada gaji bulanan mereka.

    Pun begitu, kaedahnya hendaklah diperhalusi, misalnya diberikan maklumat dan penerangan awal kepada mereka, juga diberikan bukti pembayaran zakat kepada institusi zakat kepada semua pekerja. Tuan juga wajib mengambil kira, adakah pekerja tuan memang benar-benar layak berzakat, ini kerana, hanya yang layak sahaja wajib berzakat.

    Tuan boleh merujuk kepada formula pengiraan zakat perniagaan yang lebih terkini seperti mana yang disediakan oleh Lembaga Zakat Selangor. (sila rujuk http://www.e-zakat.com.my/

    kalkulator-zakat/zakat-perniagaan/)

    Kesimpulannya, tuan memang wajib mengeluarkan zakat ke atas perniagaan dan pendapatan tuan. Semoga penjelasan ini dapat membantu tuan dalam usaha mencapai keredaan Allah SWT, dalam setiap urusan dan pekerjaan. Wallahua'lam.

    Kekalnya jasad para Nabi...


    DI antara salah faham yang berlegar di kalangan umat adalah tanggapan bahawa mereka yang sudah berpindah ke alam barzakh sudah terputus langsung hubungan dengan yang masih hidup.

    Sedangkan nas-nas dan huraian ulama seperti yang sedang kita bentangkan menunjukkan sebaliknya, terutamanya bagi mereka yang istimewa kedudukannya di sisi Allah seperti para Anbia dan Syuhada.

    Antara bukti keistimewaan mereka ini di alam barzakh adalah kekalnya jasad mereka dan tidak reput seperti mayat manusia biasa. Kekalnya jasad mereka ini adalah tanda bahawa kehidupan roh mereka juga berbeza berbanding dengan roh manusia biasa.

    Telah diriwayatkan hadis daripada Aus ibnu Aus RA, beliau berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: "Sesungguhnya, di antara hari yang paling mulia bagi kalian adalah hari Jumaat; pada hari itu diciptakan Adam RA, pada hari itu juga nyawa Adam AS dicabut, hari itu jugalah ditiup sangkakala dan pada hari itu jugalah semua makhluk dimatikan. Maka perbanyakkanlah selawat ke atasku pada hari tersebut. Sesungguhnya selawat kalian dibentangkan kepadaku."

    Mereka bertanya: "Bagaimanakah selawat kami itu boleh dibentangkan kepadamu, sedangkan kamu telah pun binasa." Maka Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad-jasad para nabi."

    Maka ketahuilah bahawa hadis, "Sesungguhnya Allah mengharamkan bumi ini daripada memamah jasad-jasad para nabi", diriwayatkan daripada banyak jalan; sepertimana yang telah dikumpulkan oleh al Hafiz al Munziri di dalam bahagian yang khusus.

    Beliau berkata di dalam kitab al-Targhib wa al-Tarhib: Bahawa hadis ini diriwayatkan oleh Ibnu Majah dengan sanad yang baik. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Imam Ahmad, Abu Daud dan Ibnu Hibban di dalam kitab Sohihnya. Manakala al-Hakim mensohihkannya.

    Ibnu Qayyim berkata di dalam Kitabnya al-Ruh yang dinaqalkannya daripada Abi Abdullah al-Qurtubi: "Adalah sohih riwayat daripada Nabi SAW, bahawa bumi tidak memamah jasad-jasad para nabi. Sesungguhnya Nabi SAW telah berhimpun bersama mereka pada malam Israk di Baitulmaqdis dan juga di langit, teristimewanya bersama Nabi Allah Musa AS.

    Baginda SAW juga mengkhabarkan dengan sabdanya: "Setiap Muslim (yang telah mati) apabila diucapkan salam kepadanya, maka Allah SWT akan mengembalikan rohnya sehinggalah dia dapat menjawab salam tersebut."

    Begitu juga dengan hadis-hadis lain; yang kesimpulannya memutuskan bahawa kewafatan para nabi sebenarnya bermaksud hilangnya mereka daripada pandangan kita, iaitu kita tidak dapat melihat mereka, sekalipun mereka sentiasa wujud dan hidup.

    Hal ini adalah sama seperti malaikat; mereka itu hidup dan sentiasa wujud, akan tetapi kita tidak dapat melihat mereka.

    Di sini, dinaqalkan perkataan Imam al-Qurtubi yang juga telah diakui oleh Syeikh Muhammad al-Safarini al-Hanbali di dalam syarah Kitab Aqidah Ahli Sunnah sebagaimana nasnya yang berbunyi: Telah berkata Abu Abdullah al-Qurtubi: Telah berkata guru kami Ahmad ibnu Umar al Qurtubi, pengarang Kitab al-Mufhim fi Syarh Muslim: Apa yang dapat menghilangkan kerumitan ini ialah kematian itu bukanlah bermaksud betul-betul tiada, akan tetapi ia bermaksud perpindahan dari suatu keadaan kepada suatu keadaan yang lain. Hal ini dibuktikan berdasarkan keadaan para syuhada selepas mati dan dibunuh, mereka itu hidup dengan gembira dan diberikan rezeki di sisi Tuhan mereka.

    Ini adalah sifat-sifat orang-orang yang hidup di dunia. Sekiranya hal ini berlaku kepada syuhada, maka para nabi adalah lebih berhak dan lebih utama untuk mendapat keistimewaan ini. Imam al-Qurtubi ada menyebut, bahawa jasad-jasad para nabi tidak akan hancur ditelan zaman.

    Al-Imam al Hujjah Abu Bakar ibnu al Husin al-Baihaqi telah mengarang sebuah risalah khusus mengenai tajuk ini. Di dalamnya, beliau telah menghimpunkan sejumlah daripada hadis-hadis yang menunjukkan hidupnya para nabi di alam barzakh dan kekalnya jasad-jasad mereka.

    Begitu juga al-Hafiz Jalaluddin al-Suyuti. Beliau telah mengarang sebuah risalah khusus berkenaan tajuk ini.

    'Hidupnya' para Nabi di alam barzakh dengan cara yang tersendiri baik dari segi roh dan jasad seperti yang kita bahaskan menunjukkan bahawa wajarlah kita melayan mereka dengan cara yang tersendiri juga.

    Wajarlah menziarahi kubur mereka dikira sebagai suatu yang digalakkan seperti menziarahi mereka ketika masih hidup. Adalah salah jika perbuatan menziarahi kubur dan menghormati orang-orang soleh yang telah meninggal dunia dianggap serong dan sesat.

    Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN

    Thursday, March 8, 2012

    Suami hilang nafsu ketika isteri hamil...


    Umur saya 29 tahun. Saya telah setahun melangsungkan perkahwinan. Sebelum ini saya tidak mengalami masalah dalam hubungan bersama isteri. Isteri saya sekarang mengandung sembilan bulan. Apa yang meresahkan saya sejak dua bulan lepas, secara tiba-tiba nafsu atau keinginan seks saya berkurangan. Saya berasa hairan dan amat resah dengan keadaan ini. Yang baiknya cuma jerawat di muka pula berkurangan.

    Adakah ini disebabkan oleh hormon testosteron berkurangan? Adakah keadaan ini akan pulih? Apakah rawatan yang sesuai untuk memulihkan keadaan ini?

    Zul Kedah

    JAWAPAN

    Saudara Zul,

    Terlebih dahulu, ucapan tahniah daripada saya. Pertama, kerana baru berkahwin setahun yang lalu dan keduanya, saudara akan menimang cahayamata dan bakal bergelar bapa tidak berapa lama lagi. Saya doakan semuanya selamat sejahtera dan semoga saudara akan memberi sokongan sepenuhnya kepada isteri di saat-saat yang cukup kritikal ini.

    Berkenaan masalah yang saudara utarakan, insya-Allah ia bersifat sementara sahaja dan bukan berkait dengan hormon testosteron saudara. Saudara baru berusia 29 tahun dan masalah kekurangan hormon testosteron biasanya berlaku apabila seseorang itu berumur lingkungan 40-an dan ke atas.

    Masalah kurang nafsu dan kurang regangan zakar kemungkinan disebabkan persekitaran dan suasana iaitu isteri sarat mengandung. Mungkin faktor tersebut memainkan peranan terutamanya jika isteri juga tidak galak untuk bersama.

    Ada sesetengah suami tidak mahu 'mengganggu' isteri dan cuba menahan nafsu semasa isteri mengandung. Ini lama-kelamaan boleh menyebabkan nafsu menjadi kurang dengan sendirinya. Bagaimanapun, ia akan pulih sepenuhnya apabila psikologi saudara bersedia untuk 'berperang' semula.

    Untuk makluman saudara, tidak ada halangan untuk melakukan hubungan seks semasa isteri mengandung bahkan mungkin lebih menyeronokkan lagi dengan teknik-teknik yang sesuai kecuali isteri saudara menghadapi masalah kesihatan yang tidak membolehkan beliau melakukan hubungan seks semasa mengandung.

    Jika saudara masih menghadapi masalah tersebut dalam beberapa bulan akan datang, elok juga mendapatkan nasihat doktor bagi tindakan lanjut.

    Saya doakan saudara akan berbahagia menimang cahayamata dan jangan lupa merancang keluarga saudara untuk menjadi keluarga yang bahagia dan cemerlang.

    Kisah gelagat ejen dan pemandu bas ekspres PKB yang biadab !!!


    PADA malam 4 Mac 2012, saya bersama keluarga menaiki bas ekspres PKB bernombor plat PKH 1815 dari Sungai Petani, Kedah ke Melaka.

    Dalam tiket, waktu bas bertolak dicatat pukul 11.15 malam. Bas sampai di stesen Sungai Petani kira-kira pukul 11.25 malam.

    Apabila penumpang menaiki bas, ejen mula datang untuk menyemak tiket yang dipegang oleh penumpang.

    Satu suasana pelik kerana penumpang disuruh turun dari bas dan menaiki bas lain seperti yang diarahkan oleh ejen. Pertukaran berlaku menyebabkan penumpang terkial-kial kerana keliru dengan perbuatan itu. Ada yang terpaksa mengeluarkan bagasi dari perut bas. Bagi saya, itu masih boleh dimaafkan.

    Perkara yang amat menjengkelkan ialah cara penumpang disuruh turun dari bas oleh ejen. Penumpang dipanggil dengan kasar.

    Contoh ayat yang digunakan: Hei! turun-turun, pergi naik bas sana. Hei! duduk sini (dengan menunjukkan pada kerusi). Perkara ini berlarutan sehingga hampir 12 tengah malam baharu bas bertolak. Persoalannya, kenapa ejen itu tidak menghormati manusia lain. Tinggi sangatkah darjatnya sebagai ejen bas? Lupakah dia kalau tak ada penumpang, dia pun tak ada pekerjaan?

    Kedua, semasa dalam perjalanan, pemandu bas langsung tidak berhenti untuk berehat. Penumpang tidak berkata apa-apa. Tetapi apabila hampir sampai Kajang, Selangor bas berhenti kerana ada penumpang yang ingin ke tandas. Saya tersedar dan minta izin untuk turun ke tandas juga. Pemandu yang sedang memandu tidak respons apa-apa, tetapi pemandu yang tidak memandu meninggikan suara dengan mengatakan jika seorang-seorang turun bila hendak sampai? Sedangkan jam pada masa itu baharu menunjukkan 4.01 pagi.

    Apabila saya naik semula dan duduk, pemandu tadi mula membebel-bebel dengan kuat bernada menyindir mengatakan saya tidak tahu dan tidak faham bahawa bas itu bas ekspres bukan bas biasa yang boleh berhenti-henti.

    Katanya, kalau nak berhenti-henti kena naik bas biasa. Dia terus-terusan menyindir berkali-kali dan melalut-lalut kepada perkara-perkara lain, tetapi saya tidak layan dengan orang yang saya anggap 'gila' dan tidak berpendidikan. Bayangkan perasaan saya sebagai pelanggan, yang membayar harga tiket hanya untuk mendapat perkhidmatan yang biadab sebegitu?

    Selain itu, apabila sampai di Melaka bas ini juga tidak masuk ke Melaka Central, tetapi hanya menurunkan penumpang di depan jalan raya, tempat teksi.

    Saya amat berharap pihak pengurusan syarikat bas PKB dapat memberi sedikit taklimat, ilmu atau kursus tentang hubungan sosial dan perkhidmatan berhemah kepada pemandu-pemandu.

    Saya juga berharap kementerian yang berkaitan dapat memandang serius perkara ini kerana kejadian seperti ini secara tidak langsung dapat memberi imej negatif terhadap kesopanan rakyat Malaysia yang sepatutnya dipelihara kerana ia termaktub dalam Rukun Negara.

    ANTI BONGKAK
    Merlimau, Melaka

    Dilema malam pertama isteri...


    UCAPAN salam sebagai pembuka tirai daripada seorang suami kepada isterinya membuatkan degupan jantung menjadi laju.

    Itulah gambaran awal pada malam pertama bagi pasangan pengantin baru yang belum pernah dirasakan sebelum ini.

    Sudah semestinya dan rata-rata pasangan yang baru berkahwin mahukan malam pertama dapat dinikmati dalam suasana yang indah agar menjadi satu pengalaman yang paling bernilai dan sukar dilupakan.

    Jika keluaran sebelum ini ada membincangkan mengenai dilema malam pertama suami, sebenarnya isteri turut mengalami keadaan yang sama.

    Untuk itu, penulisan Profesor Emeritus Dr. Mohd. Ismail Tambi dalam buku yang bertajuk Adab Malam Pertama ada menyenaraikan lima dilema yang sering dihadapi isteri ketika menghadapi malam pertamanya.

    * Perasaan Gemuruh

    Ada ketikanya isteri gagal memainkan peranan ketika hendak memulakan hubungan seksual bersama suami.

    Hal ini mungkin disebabkan si isteri tidak pernah melalui pengalaman melakukan hubungan seks jadi perasaan takut dan gemuruh menguasai diri si isteri.

    Akibat daripada perasaan tersebut, secara automatiknya isteri akan mencerutkan pembukaan faraj dan ini membuatkan seolah-olah pintu faraj menghalang ketika penembusan hendak dilakukan.

    Situasi akan menjadi baik sekiranya kedua-dua pasangan suami isteri sedar akan perkara itu dan sama-sama memainkan peranan masing-masing ketika hendak melakukan hubungan seksual.

    * Kesakitan

    Seandainya isteri berasa gemuruh kerana tidak biasa berdepan dan melakukan hubungan seks, isteri tidak akan dapat memberikan kerjasama yang sewajarnya kepada suami.

    Dalam keadaan sedemikian, isteri tidak akan dapat mengawal pembukaan faraj ketika suami ingin menyalurkan ereksi.

    Ketika itu keadaan faraj akan kekal tertutup serta mencengkam-cengkam tanpa kawalan kerana berasa sakit akibat ereksi suami berulang kali mencuba untuk menembusi faraj isteri.

    * Tidak dapat menyesuaikan diri

    Dalam keadaan perasaan isteri tidak biasa dengan suasana baru, secara automatiknya faraj akan mencengkam-cengkam.

    Keadaan faraj mencengkam tanpa kawalan ini dikenali sebagai ‘vaginismus’ atau cengkaman.

    Istilah Melayu pula dikenali sebagai ‘mati pucuk malam pertama’.

    Apabila isteri menyedari bahawa dia perlu memainkan peranan dan perlu melegakan kemutan dengan cara tidak mencengkamkan pembukaan faraj, maka keadaan akan menjadi pulih.

    Selain itu, boleh juga bagi isteri melembapkan pembukaan faraj dengan jeli pelicin atau cecair pelincir untuk memudahkan sentuhan pertama itu.

    * Tidak Selesa

    Ada ketikanya isteri mengalami perasaan tidak selesa ketika ereksi suami tersalur ke dalam faraj isteri.

    Hal ini disebabkan isteri masih belum tahu cara untuk menggunakan faraj dan mengawal pembukaan faraj.

    Dalam keadaan tidak selesa dan cemas itu, faraj akan menjadi kesat kerana kekurangan cecair pelembap.

    Puncanya disebabkan oleh pengeluaran adrenalin dalam darah mengurangkan pengeluaran pelembap mukosa faraj.

    Keadaan ini dikenali sebagai superficial dispareunia.

    * Kurang Keyakinan

    Apabila isteri dapat mengenal pasti tentang masalah yang dihadapi oleh dirinya dan atas dorongan serta tunjuk ajar suami, perasaan kurang yakin isteri akan dapat diatasi.

    Dengan keyakinan diri yang diperoleh itu maka isteri akan lebih pandai mengawal otot farajnya dengan baik.

    Jadi isteri akan dapat menyalurkan ereksi suami ke pembukaan faraj secara sempurna dengan melegakan pembukaan faraj (kemutan).

    Kesan positifnya ialah isteri dapat memudahkan dan memberi ruang ereksi suami masuk juga bergerak dalam faraj dalam keadaan selesa dan sempurna.

    Oleh itu barulah pasangan suami isteri dapat menghayati nikmat sentuhan intim dan mencapai kepuasan bersama pasangan.

    Suami bukan pelan persaraan untuk para isteri dan wanita !!



    RAMAI wanita beranggapan suami adalah teman sehidup semati, tempat bermanja dan bergantung segala-galanya. Suatu anggapan yang ideal untuk pasangan yang melayari bahtera perkahwinan.

    Namun setiap wanita juga harus bersedia untuk menghadapi pelbagai kemungkinan kerana setiap pelayaran pasti tidak sunyi daripada cabaran dan dugaan.

    Suatu fenomena yang mungkin menyentuh sukma seorang wanita, tetapi merupakan hakikat yang perlu diterima ialah lazimnya jangka masa bekerja bagi seorang wanita lebih singkat dan pendapatan yang diperolehi juga agak kurang berbanding lelaki sepanjang hayatnya.

    Namun, wanita didapati menikmati kehidupan lebih lama dari kaum lelaki. Jangka hayat wanita Malaysia adalah 79 tahun berbanding lelaki 75 tahun.

    Justeru, kaum wanita kena merancang persaraan yang lebih panjang dengan sumber pendapatan yang terhad.

    Data 2007 daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menunjukkan penyumbang wanita memiliki purata simpanan sejumlah RM84,955.62 ketika mencapai usia persaraan 55 tahun, RM47,584 lebih rendah daripada purata penyumbang KWSP negara yang mencecah RM132,539.782.

    Jika seseorang wanita bersara pada usia 55 tahun dan meneruskan kehidupan sehingga 79 tahun, dia cuma ada RM283.15 sebulan untuk dibelanjakan jika hanya KWSP menjadi tempat bergantung.

    Situasi ini tentu tidak menyenangkan di mana tahap pendapatannya berada di bawah garis kemiskinan iaitu RM750 sebulan. Tambahan pula pendapatan RM283.25 sebulan untuk tempoh 25 tahun belum mengambil kira faktor inflasi boleh menjejaskan simpanan dan kualiti hidup.

    Kenapa wanita agak ketinggalan untuk menyimpan?

    Seorang wanita lazimnya mempunyai anak semasa berada di puncak kerjayanya. Ada yang memilih untuk tinggal di rumah menjaga kebajikan anak-anak dan keluarga. Ini secara tidak langsung membantutkan sumbangan KWSP mereka.

    Tanpa sumber pendapatan, wanita juga tidak berupaya menyimpan secukupnya. Walaupun jika mereka kembali bekerja selepas anak-anak membesar, tahun-tahun yang ditinggalkan bermakna mereka terpaksa kembali ke tahap yang sama seperti sebelum mereka berhenti kerja.

    Atau lebih ketara lagi, kemahiran mereka juga mungkin tidak secekap dahulu. Ini menyebabkan mereka terus ketinggalan dalam kerjaya, gaji dan simpanan.

    Wanita juga lumrahnya menggunakan simpanan untuk membantu ahli keluarga yang memerlukan dan menganggap keperluan keluarga lebih utama daripada peribadi.

    Wanita yang berkahwin juga biasanya menyerahkan bulat-bulat tugas pengurusan kewangan kepada suami yang dikasihi.

    Kaum lelaki lebih cenderung untuk menjaga kewangan jangka panjang manakala kaum wanita pula secara amnya lebih menumpukan kepada bajet harian.

    Si isteri mungkin menyerahkan tugas merancang persaraan kepada suami mereka dan ini boleh menyebabkan pelan kewangannya yang tidak menentu.

    Kesal Astro tukar saluran tayangan sesuka hati !!


    SAYA merasakan semakin hari kabel TV Astro seperti syok sendiri. Mereka menukar rangkaian TV yang mereka rasa nak tukar tanpa bertanya pandangan penonton.

    Terbaharu B4U digantikan dengan Astro Bella, dan pengguna terpaksa membayarnya walaupun tidak menonton rangkaian tersebut.

    Satu lagi contoh, dahulu Astro Box Office rangkaian 952 dan 953 menayangkan cerita cerita box office. Tetapi sekarang cerita-cerita yang langsung tak pecah panggung ditayangkan. Cerita Melayu baru semua dah tiada, semuanya diletakkan dalam pakej Astro First. Ini tidak adil, kami bayar untuk menonton apa yang kami mahu, bukan apa yang Astro mahu.

    Saya mohon agar Astro lebih prihatin. Dengan caj yang tinggi kami harapkan perkhidmatan yang lebih baik.

    Saya juga berharap agar Astro lebih prihatin terhadap penapisan rancangan. Banyak adegan panas disiarkan tanpa penapisan yang betul.

    KUASA PENGGUNA

    Apa logiknya gaji pembantu rumah RM700 !!


    SAYA terpanggil untuk merujuk kepada perjanjian persefahaman (MoU) penyelesaian pengambilan pembantu rumah Indonesia.

    Adakah Ketua Pengarah Jabatan Tenaga Kerja Malaysia khususnya dan Kementerian Sumber Manusia peka implikasi MoU tersebut kepada majoriti rakyat Malaysia yang memerlukan pembantu rumah.

    Kenapa pihak kita selalu mengalah? Setakat minggu lepas hanya lima atau enam agensi yang bersetuju dengan bayaran RM4,511 untuk membawa masuk pembantu tersebut.

    Apa pun saya ingin bertanya logikkah gaji ditetapkan sehingga RM700 sebulan dan majikan perlu mengemukakan butir peribadi kepada pihak di Indonesia terlebih dahulu. Sekarang siapa yang mencari kerja? Rakyat Indonesia atau majikan dari Malaysia.

    Persetujuan Ketua Pengarah tersebut hanya untuk kepentingan golongan yang berada sahaja. Sedangkan yang ramai memerlukan pembantu adalah daripada golongan rakyat pertengahan. Gaji RM700 sebulan hampir sama gaji pekerja yang berkelayakan Sijil Pelajaran Malaysia.

    Nampaknya, separuh gaji terpaksa diserahkan bulat-bulat kepada pembantu yang belum tentu bagus. Syarat lain, termasuk pembantu hanya buat kerja tertentu sahaja sebagaimana yang ditetapkan dalam permohonan.

    Kaedah ini hanya layak bagi majikan yang kaya dan mempunyai rumah besar. Kalau setakat duduk rumah teres tiga bilik, anak satu atau dua (sudah mula sekolah), apa logik gaji RM700 sebulan?

    KAMI RASA TERANIAYA
    Kuala Lumpur

    Apa kata kerajaan hanya ambik guru-guru yang boleh menulis dan membaca jawi sahaja mengajar di Sekolah Kebangsaan??


    TINDAKAN Dong Zong yang ingin mengadakan perhimpunan pada 25 Mac ini seperti mana yang dipetik dalam Utusan Malaysia pada 1 Mac 2012 dilihat seolah-olah begitu bersifat rasis.

    Kumpulan itu mahukan kerajaan menambah jumlah guru di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dengan meletakkan syarat bahawa hanya guru-guru yang boleh berbahasa Mandarin dan pada masa yang sama mendesak kerajaan segera menukar guru yang tidak tahu berbahasa Mandarin.

    Dong Zong juga pernah membantah pemberian jawatan tinggi kepada guru yang tidak tahu berbahasa Mandarin di SJKC.

    Mereka menekankan bahawa hanya guru yang mempunyai kelulusan kepujian dalam mata pelajaran bahasa Cina sahaja yang layak mengajar di SJKC.

    Masalahnya sekarang, pada ayat mana pula dalam Perlembagaan atau dasar pendidikan yang menyatakan larangan guru-guru yang tidak berkemahiran bahasa Mandarin mengajar di SJKC?

    Jika sekiranya gesaan tersebut hanya menjurus kepada keperluan guru bagi subjek bahasa Cina sahaja memang ada logiknya, tapi adakah penolakan dan penetapan syarat bagi semua guru yang mengajar di SJKC bagaikan ada suatu motif yang tersebunyi?

    Adakah ini 'bahasa halus' atau agenda tersembunyi Dong Zong untuk 'menendang' keluar guru-guru kaum Melayu dan India dari SJKC?

    Bagaimana pula sekiranya desakan tersebut dilakukan oleh kumpulan pendesak dari Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang mahukan hanya sesuatu kaum sahaja mengajar di sekolah-sekolah berkaitan dengan mengenakan pelbagai syarat yang tidak melambangkan semangat nasional?

    Jika dilihat dalam konteks yang lebih luas, permintaan Dong Zong bagaikan ada satu persamaan dengan segelintir tindakan syarikat -syarikat yang hanya mengiklankan jawatan kosong kepada calon-calon yang boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Mandarin sahaja?

    Jika situasi ini sememangnya menjadi suatu kerangka agenda besar yang cuba nmengasingkan komuniti mereka dari kaum-kaum lain di Malaysia, ia adalah suatu tindakan yang merbahaya dalam aspek masyarakat majmuk di negara ini.

    Sesuatu kaum tidak seharusnya mewujudkan suatu 'Kabinet' atau 'kerajaan' kecil dalam sebuah kerajaan.

    Dalam isu ini kerajaan seharusnya tidak tunduk dengan desakan Dong Zong yang membelakangkan dasar pendidikan kebangsaan.

    Sekiranya desakan tersebut diterima, adakah pihak kerajaan bersedia melaksanakan dasar hanya guru-guru yang boleh menulis dan membaca jawi sahaja mengajar di SK dan guru- guru yang boleh menulis dan berbahasa Tamil sahaja ditempatkan di SJKT?

    NAK TENGOK!
    Perak

    Monday, March 5, 2012

    Tunang rupa-rupanya suami orang !! Keluarga suami juga bersubahat cover line...


    MENANAM tebu di bibir... Ungkapan yang sering dikaitkan dengan lelaki yang bijak menggoda dan 'mengayat' gadis untuk jatuh cinta kepada mereka.

    Pun begitu tidak semua cinta perlu 'diayat' malah ada juga cinta yang terbit dari hati yang ikhlas untuk dicintai dan mencintai.

    Lantaran itu setiap gadis atau wanita perlu berhati-hati apabila digoda lelaki - bimbang cinta yang datang tidak telus dan ada agenda yang tersembunyi di sebaliknya.

    Begitu kisah yang dikirim oleh Fifi (bukan nama sebenar) kepada saya untuk dikongsi dengan pembaca.

    Kata Fifi, apa yang dia alami menjadi pengajaran penting dalam hidupnya agar tidak mudah terpedaya dengan cinta lelaki.

    Ingin tahu apa yang terjadi kepada Fifi, kita ikuti kisah ini.

    "Saya berusia 24 tahun, seorang eksekutif di sebuah bank. Setahun lalu saya berkenalan dengan seorang lelaki berusia awal 30-an, Iqbal (bukan nama sebenar) bekerja sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat iklan.

    "Hubungan kami mendapat restu keluarga dan kerana cinta saya yang mendalam terhadapnya, saya menerima lamarannya untuk menjadikan saya suri hidupnya.

    "Dia seorang lelaki yang baik, penyayang dan mengambil berat. Keluarga amat menyukainya kerana kebaikan dan kesopanannya itu terutama apabila bertemu dengan orang tua.

    "Tempoh pertunangan adalah setahun, maknanya kami sepatutnya bernikah bulan Jun akan datang. Saya telah membuat persiapan ke arah itu sedikit demi sedikit kerana tidak mahu kelam- kabut di saat-saat akhir.

    "Pada masa yang sama saya cuba mengenal hati budinya secara mendalam, tentang apa kesukaannya, sikapnya dan keluarganya yang menerima saya sebagai ahli keluarga mereka.

    "Sepanjang tempoh kami bertunang saya tidak nampak dia curang terhadap saya. Setiap hujung minggu kami berjumpa, keluar bersama menonton, makan-makan dan sesekali balik ke kampung saya.

    "Pendek kata saya tidak nampak kelemahannya sebagai tunang dan saya yakin dia adalah calon suami yang terbaik Allah berikan kepada saya.

    "Tapi takdir Allah tidak siapa dapat menolak. Suatu hari saya dikejutkan dengan panggilan telefon daripada seorang wanita yang mendakwa isteri kepada Iqbal. Katanya dia membuat panggilan dari selatan tanah air.

    "Saya amat terkejut dengan panggilan daripada wanita itu tetapi saya tidak terus percaya kerana saya yakin wanita itu tersalah orang.

    "Kami tetapkan temu janji untuk bertemu di satu tempat. Dia berjanji akan membawa bukti yang tunang saya adalah suaminya.

    "Selepas meletak telefon saya menangis sepuas hati mengenangkan apa yang telah berlaku. Saya jadi keliru, perlukah saya beritahu tunang saya atau saya diamkan dulu perkara tersebut.

    "Setelah berfikir saya mengajak teman baik saya untuk menemani saya bertemu wanita yang mendakwa dia isteri Iqbal. Tapi saya minta teman saya itu tidak datang bersama saya sebaliknya duduk berhampiran tempat kami bertemu.

    "Pada hari dijanji saya pergi ke tempat yang ditentukan. Alhamdulillah saya dapat mengawal perasaan dalam pertemuan itu kerana wanita itu juga datang secara damai.

    "Orangnya kecil molek, manis dipandang dan menjaga penampilan. Kami bersalaman dengan mesra. Saya tidak tahu kenapa saya tidak ada rasa marah kepadanya. Dia menghulurkan gambar perkahwinannya dengan Iqbal sebaik saya memulakan isu yang hendak kami selesaikan.

    "Terketar-ketar saya dibuatnya kala menatap gambar itu. Memang sah itu Iqbal yang sekarang menjadi tunang saya.

    "Menurut Mira (bukan nama sebenar) mereka sudah bernikah setahun lalu, Iqbal tinggal di sini dan dia di selatan sebab tidak dapat bertukar ke sini.

    "Kata Mira lagi dia mendapat khabar tentang pertunangan kami daripada anak saudara Iqbal yang tidak sampai hati melihat Iqbal menipu saya dan dia.

    "Mira juga mempelawa saya mengunjungi rumahnya kerana Iqbal akan pulang sebulan sekali ke sana. Lalu saya teringat, Iqbal selalu memberi alasan tidak dapat keluar dengan saya hujung bulan kerana terpaksa balik kampung untuk bertemu keluarganya.

    "Saya setuju dengan pelawaan itu kerana saya mahu membuat perhitungan dengan Iqbal mengenai masa depan kami. Khabar yang dibawa oleh Mira menghancurkan hati saya.

    "Pulang ke rumah saya maklumkan berita itu kepada ayah dan mak serta keluarga. Saya tidak mahu bersembunyi apa-apa daripada mereka kerana ini soal masa depan saya.

    "Walaupun kecewa saya reda jika jodoh saya tidak ada dengan Iqbal. Saya tidak mahu menghancurkan hati Mira yang ternyata seorang isteri dan wanita yang baik. Berdosa saya jika menyakiti hatinya.

    "Ayah dan mak terkejut yang amat sangat. Abang mengamuk dan mahu bertemu Iqbal untuk selesaikan masalah itu, tapi ayah mahu ikut cara saya, biar ada bukti dan kita selesaikan mengikut adat.

    "Saat yang ditunggu akhirnya tiba. Di rumah Iqbal, ayah menyelesaikan segala masalah yang timbul. Iqbal mengaku dia menipu kerana dia amat mencintai saya dan mahu mengahwini saya dengan cara baik.

    "Ayah membantah. Hati saya juga sudah tawar. Akhirnya bersaksikan keluarga kedua-dua pihak, ayah memulangkan cincin pertunangan saya kepada keluarga Iqbal.

    "Semua tergamam dan terkejut macam mana rahsia tunang saya suami orang boleh terbongkar. Tapi saya dan Mira hanya mendiamkan diri. Keluarga saya kecewa dan malu.

    "Saya langsung hilang kata-kata dan hanya air mata menjadi teman setia. Berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul. Saya kesal dengan apa yang terjadi. Saya kecewa sebab Iqbal dan keluarganya menipu keluarga saya. Mereka tidak ikhlas dan bersubahat untuk melamar saya sedangkan mereka tahu Iqbal sudah ada isteri.

    "Apa pun saya ambil iktibar atas kejadian ini. Biarlah malu sekarang daripada malu dan menanggung derita sepanjang hayat. Saya berdoa saya akan pulih dari kejutan ini secepat mungkin dan membina hidup baru.

    "Kata mak, Allah menguji saya kerana mahu memberi lelaki yang lebih baik untuk saya. Pesanan mak adalah satu doa, mudah-mudahan Allah makbulkan doa saya dan mak!

    "Kepada anda di luar sana, hati-hati apabila memberi hati kepada lelaki. Periksa latar belakang mereka terlebih dahulu supaya tidak menjadi seperti saya," pinta Fifi menamatkan cerita.

    Saya amat bersimpati dengan apa yang berlaku kepada Fifi. Sikap Fifi dalam menangani masalah ini amat saya kagum. Inilah sikap yang harus ada pada semua wanita yang dilanda masalah.

    Bangkit dan teruskan kehidupan secara positif. Terima semua yang berlaku dengan hati terbuka kerana ujian itu mengajar kita menjadi lebih cekal untuk terus hidup.

    Fifi patut bersyukur kerana ibu bapa dan keluarga sentiasa di sisinya untuk memberi sokongan. Mudah-mudahan Fifi akan dilindungi dan diberkati hidup dunia dan akhirat.

    Menamatkan catatan, pesanan saya, cinta tidak semestinya sampai ke jenjang pelamin, kerana ada juga cinta yang sekadar singgah untuk menguji kesabaran manusia dalam menilai erti kejujuran dan ketelusan dalam sebuah perhubungan.

    Salam

    Saturday, March 3, 2012

    Gadis cuba tonton video lucah untuk merangsang diri...


    SAYA seorang gadis yang berusia 18 tahun. Saya mempunyai satu masalah yang amat mengganggu hidup saya iaitu langsung tidak terangsang. Saya pernah terbaca mengenai mati putik, adakah ia ada kaitan dengan mati putik?

    Untuk pengetahuan, saya pernah cuba melakukan onani dan menonton video lucah tetapi saya langsung tidak terangsang. Saya bimbang ia akan mempengaruhi kehidupan saya selepas berumah tangga kelak. Saya juga sering mengalami senggugut teruk. Ibu saudara saya mencadangkan mengambil pil perancang. Adakah ia memberikan kesan sampingan?

    * Yang tak mampu,

    Terengganu

    JAWAPAN

    Tidak pelik jika saudari tidak mengetahui apakah sebenarnya 'mati putik'. Saya amat yakin hanya segelintir sahaja yang mengetahuinya. Mungkin juga perkataan ini baharu pertama kali didengari oleh segolongan masyarakat kita. 'Mati putik' ini adalah sama dengan 'mati pucuk' yang dialami oleh lelaki. 'Mati putik' atau disfungsi seksual wanita bakal menjadi mimpi ngeri buat segolongan wanita kita. Apatah lagi apabila mereka mula menunjukkan tanda-tanda kelewatan mengalami klimaks serta gagal untuk menghayati rangsangan seks ketika bersama suami. Bermakna seseorang wanita tidak mempunyai perasaan ghairah. 'Mati putik' disebabkan gangguan urat saraf dalam pengaliran darah ke faraj terutama kelentit menyebabkan ia tidak menegang. Walaupun dirangsang, ia tetap kendur dan tiada rasa ghairah menyebabkan wanita itu sukar mengalami klimaks dan kurang berminat pada hubungan seks.

    Jangan malu

    Saudari tidak perlu gusar kerana tidak memerlukan apa-apa rawatan bagi masalah ini selagi belum berumah tangga. Tak usah malu jika saudari tidak terangsang. Belum sampai masanya untuk anda mudah terangsang atau didiagnosis dengan masalah ini. Perkara utama yang saudari perlu ambil berat adalah memberi sepenuh tumpuan kepada pelajaran. Ini yang akan menjamin masa depan saudari. Elakkan diri daripada melihat video lucah atau melakukan onani yang boleh memburukkan lagi keadaan ini. Salah satu punca wanita mengalami 'mati putik' adalah terlalu kerap melakukan onani semasa muda. Wanita yang gemar beronani akan mudah merasa letih dan tidak bertenaga serta tertekan dengan persekitaran apabila tidak mendapat kepuasan yang dihajati. Rawatan bagi masalah 'mati putik' yang saudari alami akan doktor berikan setelah saudari berkahwin nanti.

    Senggugut

    Berbalik kepada masalah senggugut yang saudari alami. Masalah ini tidak ada kaitan langsung dengan 'mati putik'. Setiap bulan wanita akan mengalami satu kitaran haid yang normal selama 28 hari hingga 35 hari. Haid tersebut biasanya berlangsung selama seminggu. Kesakitan yang dialami semasa haid dipanggil senggugut atau 'dysmenorrhea'. Senggugut sering menyerang wanita pada hari pertama dan kedua haid. Ia turut menjadi petanda penting supaya wanita yang mengalaminya menjalani pemeriksaan awal bagi mengesan kewujudan endometriosis atau penyakit inflamasi pada bahagian pelvik.

    Bagi mengurangkan senggugut, saudari boleh mengambil ubat penahan sakit yang boleh dibeli di farmasi. Pil perancang juga diguna untuk mengurangkan senggugut dan meregulasikan kitaran haid untuk mereka yang haidnya tidak teratur atau mengalami pendarahan yang banyak. Jika masalah senggugut masih tidak keruan dengan ubat penahan sakit maka, saudari perlu diperiksa dengan teliti untuk mendapat diagnosis yang tepat. Dengan itu rawatan yang sewajarnya dapat diberikan secepat mungkin.

    Minta Kementerian Kesihatan kaji caj tidak seimbang di hospital kerajaan..


    SEMASA saya mengunjungi Hospital Kuala Lumpur (HKL) baru baru ini, saya dimaklumkan bahawa kadar rawatan pakar di hospital tersebut adalah berbeza mengikut status klinik yang merujuk.

    Sekiranya pesakit dirujuk oleh klinik kerajaan, kadar pendaftaran adalah RM5 sahaja.

    Rawatan susulan adalah minimal atau tiada caj langsung terutama kepada pesara.

    Bagaimanapun, jika pesakit tersebut dirujuk oleh klinik swasta, kadar pendaftaran di HKL adalah RM30 dan rawatan susulan akan dikenakan seperti perbelanjaan X-Ray sebanyak RM60.

    Kebiasaannya, anak dan saudara terdekat akan membawa ibu bapa yang uzur ke klinik swasta kerana rawatan di klinik kerajaan agak lama dan memenatkan warga emas.

    Mereka sanggup membayar lebih bagi mengelakkan keresahan serta waktu menunggu.

    Malangnya, apabila dirujuk oleh klinik swasta mereka dikenakan caj rawatan susulan yang tinggi oleh HKL dibandingkan pesakit dirujuk klinik kerajaan.

    Diharapkan pihak kerajaan dapat menyemak semula caj yang tidak seimbang yang membebankan pesakit terutama warga emas ini.

    TENGKU MAN
    Pandan Indah, Kuala Lumpur

    Rahsia langit dikawal ketat dengan panah-panah api...


    FIRMAN Allah SWT: Dan sesungguhnya kami telah mencuba mengetahui (rahsia) langit, maka kami mendapatinya penuh dengan penjagaan yang kuat dan panah-panah api, dan sesungguhnya kami dahulu dapat menduduki beberapa tempat di langit itu untuk mendengar-dengarkan (berita-beritanya). Tetapi sekarang barang siapa yang (mencuba) mendengar-dengarkan (seperti itu) tentu akan menjumpai panah api yang mengintai (untuk membakarnya). (al-Jin: 8-9)

    Kumpulan jin meneruskan cerita mereka tentang pengalaman dan pengetahuan mereka mengenai kedudukan dan kerasulan di alam ini, seluruh pelosok langit dan bumi.

    Ia bagi membersihkan diri mereka dan segala yang tidak sesuai dengan kehendak Allah SWT yang menurunkan risalah dan menolak segala dakwaan yang mengaku mengetahui segala urusan ghaib.

    Berkenaan dengan mukadimah ayat ini yang bermaksud kami telah mencuba mengetahui rahsia langit dengan maksud:

    n Menuntut dan mendapatkannya seperti ibarat orang Arab.

    n Kami menghampiri langit.

    Ibn Kathir berkata: Allah SWT mengkhabarkan tentang jin ketika Dia mengutus Rasul-Nya, Muhammad SAW dan menurunkan al-Quran kepadanya.

    Antara bentuk pemeliharaan Allah terhadap al-Quran adalah di langit dipenuhi penjaga yang bengis yang akan mengusir semua syaitan sebelum mereka dapat mengintip dan disampaikan melalui dukun sehingga terjadi campur aduk yang tidak diketahui kebenarannya.

    Hal tersebut adalah salah satu kelembutan Allah terhadap makhluk-Nya, rahmat bagi hamba-Nya serta penjagaan terhadap kitab-Nya yang mulia.

    Al-Maraghi berkata: "Maknanya adalah al-Quran al-Karim yang mengandungi dalil-dalil aqli dan dalil alamiahnya itu merupakan para penjaga terhadap sesuatu keraguan yang dibisikkan oleh syaitan-syaitan ke dalam hati orang yang ragu."

    Kemudian keraguan itu dihembuskan ke dalam hati orang yang sesat untuk menghalang mereka daripada menerima agama dan petunjuknya. Apabila timbulnya keraguan dan waham dalam jiwa manusia, lalu mereka akan mendapatkan bukti yang akan membasmi keraguan tersebut.

    Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya kami tidak mengetahui (dengan adanya penjagaan itu) apakah keburukan yang dikehendaki bagi orang yang di bumi ataukah Tuhan mereka menghendaki kebaikan bagi mereka. (al-Jin: 10)

    Al-Maraghi berkata: "Langit itu dijaga rapi kerana dua sebab."

    Sebab-sebab tersebut ialah:

    n Azab yang akan diturunkan Allah SWT kepada penghuni bumi dengan segera.

    n Atau disebabkan seorang Nabi yang mursyid (memberi petunjuk) dan muslih (memperbaiki keadaan orang lain).

    Firman Allah SWT: Dan Sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang soleh dan di antara kami ada (pula) yang tidak demikian halnya. Adalah kami menempuh jalan yang berbeza-beza.

    Al-Mawardi berkata: "Orang soleh adalah orang yang beriman dan selain daripada itu adalah orang musyrikin. Boleh jadi dengan maksud mereka ahli kebaikan bagi orang soleh dan sepihak lagi ahli kejahatan."

    Seterusnya tafsiran jalan yang berbeza-beza dengan maksud:

    n Banyaknya puak seperti pendapat as-Suddi.

    n Pelbagai agama seperti pendapat ad-Dahak.

    n Hawa nafsu yang pelbagai.

    Al-Maraghi berkata: "Sesungguhnya Allah SWT berkuasa ke atas kami di mana sahaja kami berada, sehingga kami tidak akan terlepas daripada kekuasaan-Nya itu dengan cara melarikan diri."

    Firman Allah SWT: Dan sesungguhnya kami mengetahui bahawa kami sekali-kali tidak akan dapat melepaskan diri (dari kekuasaan) Allah di muka bumi dan sekali-kali tidak (pula) dapat melepaskan diri (daripada)-Nya dengan lari. Dan sesungguhnya kami tatkala mendengar petunjuk (al-Quran), kami beriman kepadanya. Barang siapa beriman kepada Tuhannya, maka ia tidak takut akan pengurangan pahala dan tidak (takut pula) akan penambahan dosa dan kesalahan. Dan sesungguhnya di antara kami ada orang-orang yang taat dan ada (pula) orang-orang yang menyimpang dari kebenaran. (al-Jin: 11-14)

    Ini adalah perkhabaran daripada jin berkenaan dengan hal mereka ada yang beriman dan ada yang fasiq. Begitu juga yang zalim, menyimpang daripada kebenaran.

    Perkataan qasitin memberi maksud:

    n Golongan yang rugi seperti kata Qatadah.

    n Golongan yang derhaka seperti pendapat Ibn Zaid.

    n Golongan yang amat lemah seperti kata ad-Dahak.

    Firman Allah SWT: Barang siapa yang taat, maka mereka itu benar-benar telah memilih jalan yang lurus. Adapun orang-orang yang menyimpang dari kebenaran, maka mereka menjadi kayu api bagi neraka jahanam. (al-Jin: 15)

    Istiqamah dalam ayat ini ada dua tafsiran:

    n Mereka memilih jalan kufur dan sesat seperti kata Muhammad bin Zaid, Abu Mujliz dan lainnya.

    n Istiqamah atau petunjuk dan ketaatan seperti pendapat Ibn Abbas, as-Suddi, Qatadah dan Mujahid.

    Al-Maraghi berkata: "Kesuburan dan kelapangan rezeki itu akan terwujud, jika wujudnya ketenteraman, keadilan dan tidak berlakunya kezaliman."

    Hamka berkata: "Inilah keinsafan dari jin Islam yang mengakui nubuwwah Rasulullah SAW. Mereka mengakui bahawa setelah mendapat petunjuk yang terdapat dalam surah Fatihah yang dibacakan oleh Nabi SAW ketika solat Subuh."

    Firman Allah SWT: Dan bahawasanya: Jikalau mereka tetap berjalan lurus di atas jalan itu (agama Islam), benar-benar kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar (rezeki yang banyak). (al-Jin: 16)

    Al-Mawardi menyebut dua pendapat berkenaan dengan tafsiran ayat kami akan memberi minum kepada mereka air yang segar:

    n Dengan kami kurniakan banyaknya air sehingga membinasakan mereka seperti dibinasakan kaum Nuh dengan lemas dalam air. Inilah pendapat Muhammad bin Ka'ab.

    n Kami kurniakan kepada mereka banyak air yang menyebabkan tanaman mereka subur dan harta mereka banyak.

    Al-Maraghi berkata: "Rahsia perkara ini telah kita kemukakan lebih dari sekali. Sesungguhnya kemajuan dan kesenangan hanya akan wujud jika adanya ketenteraman dan keadilan serta tiada kezaliman."

    Dengan demikian manusia akan menerima keadilan yang sama tanpa sebarang kezaliman pilih bulu atau melakukan rasuah dalam membuat sesuatu keputusan.

    Firman Allah SWT: Untuk kami beri cubaan kepada mereka padanya. Dan barang siapa yang berpaling dari peringatan Tuhannya, nescaya akan dimasukkan-Nya ke dalam azab yang amat berat. (al-Jin: 17)

    Sayid Qutub berkata: " Allah SWT mengesahkan pandangan jin terhadap manusia iaitu andainya manusia beriman nescaya Kami kurniakan kepada mereka bekalan yang mencukupi untuk menguji mereka sama ada bersyukur atau tidak."

    Peralihan daripada menceritakan perkataan jin kepada menyebut isi cerita untuk menambah kekuatan pengertian dan janji kepada Allah SWT.

    Tarikan seperti ini banyak dalam uslub Quran untuk menghidup dan menguatkan pengertian serta pandangan ini mengandungi beberapa hakikat dan unsur penting dalam pembentukan akidah dan kefahaman seseorang mukmin.

    Hakikat yang pertama wujudnya hubungan kelurusan iman umat dan sekelompok manusia mengikuti jalan Allah dengan kemewahan rezeki. Faktor yang pertama adalah kemewahan bekalan air yang cukup. Ia selama-lamanya penting untuk pembangunan dan kelangsungan hidup.

    Hubungan antara keduanya sangat kukuh. Contohnya orang Arab di Padang Sahara. Mereka hidup dengan segala kepayahan dan kesulitan tetapi mereka beriman maka dikurniakan segala kemewahan dan rezeki yang melimpah ruah.

    Kemudian mereka kufur maka segalanya ditarik kembali sehingga kembali pada keadaan asal dan itulah tanda kekuasaan Allah SWT yang menentukan segalanya.

    Al-Maraghi berkata: "Barang siapa yang berpaling dari al-Quran dan menolak nasihatnya, tidak menunaikan segala perintahnya serta tidak meninggalkan larangan-larangannya, maka Kami akan masukkan dia ke dalam seksaan yang berat akan menguasainya sehingga dia tidak sanggup lagi untuk memikulnya."

    Andainya di sana terdapat umat yang tidak berjalan di atas jalan Allah SWT kemudian mereka mendapat kemewahan dan kekayaan, maka mereka akan diseksa dengan pelbagai penyakit dan mala petaka yang merosakkan sifat insaniah mereka atau mengugat keamanan dan kehormatan hidup sebagai manusia.

    Semuanya itu menjadikan kemewahan dan kekayaan mereka tiada ertinya (sebagaimana yang diterangkan dalam surah Nuh).

    Semoga Allah menjadikan kita dari kalangan hamba-Nya yang mentaati perintah-Nya.

    DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...