terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, April 11, 2012

Diberi menumpang, sepupu berzina dengan suami !!!



SETIAP wanita yang telah bergelar isteri tentunya ingin dikasihi oleh suami sehingga ke akhir hayat. Setiap saat mereka mahu dibelai dan dimanja oleh suami tercinta.

Perkahwinan yang dibina tentunya ingin diselamatkan walau apa terjadi kerana kasih terhadap suami telah tersimpul mati.

Namun mampukah seorang isteri menikmati keindahan dan kebahagiaan itu bersama suami yang ditatang bagaikan minyak yang penuh?

Dilema inilah yang ditanggung oleh Nadia (bukan nama sebenar) berusia 34 tahun yang kini sedang berperang dengan suaminya Nazir (bukan nama sebenar), 38 tahun disebabkan Nazir ada hubungan sulit dengan sepupunya, S.

Semuanya bermula apabila Nadia menumpangkan sepupunya di rumah mereka sejak empat bulan lalu.

Ingin tahu lebih lanjut, ikuti kisah ini seterusnya seperti yang diceritakan oleh Nadia dalam pertemuan kami baru-baru ini.

"Saya telah tujuh tahun bernikah dengan suami, Nazir, seorang pegawai kerajaan dan mempunyai dua orang anak berusia enam dan empat tahun. Saya bertugas di sebuah syarikat swasta.

"Tujuh tahun hidup bersama tidak ada masalah yang timbul. Suami seorang yang penyayang, penyabar dan sentiasa memberi layanan baik kepada saya dan anak-anak. Saya amat menghargai sikapnya itu dan berterima kasih atas kebahagiaan yang kami nikmati selama ini.

"Namun panas yang saya harap sampai ke petang rupa-rupanya hujan di tengah hari. Kedatangan sepupu saya dari kampung melenyapkan segala kebahagiaan kami itu.

"Sepupu saya berusia 23 tahun, anak sulung ibu saudara saya, adik kepada ibu saya. Dia baru dapat kerja di Kuala Lumpur. Sementara hendak biasa dengan hidup di KL, ibu saudara saya minta saya tolong tengok-tengok dia dan tumpangkan di rumah saya.

"Sebagai anak saudara dan kakak sepupu yang paling tua dalam keluarga kami tentu saya tidak menolak permintaan ibu saudara saya itu memandangkan adik sepupu saya itu yang kami panggil S tidak pernah tinggal di bandar besar sebelum ini.

"Suami pula tidak menolak apabila saya beritahu permintaan ibu saudara saya itu. Memang saya dan suami ikhlas membantu. Secara kebetulan tempat kerjanya sehala dengan pejabat suami saya.

"Setiap hari dia menumpang kereta suami ke pejabat, balik pun sama, suami saya menjemputnya setiap hari. Pada mulanya saya tidak nampak akan timbul masalah dengan perkara itu.

"Tetapi lama-kelamaan saya perhatikan sejak S menumpang keretanya, suami selalu pulang lewat ke rumah bersama S. Alasannya dia sibuk dan S terpaksa menunggu dia untuk pulang.

"Saya merasa pelik, setelah tiga bulan tinggal di KL, masakan S tidak tahu selok belok pulang ke rumah sendiri, kalau tidak larat menaiki bas, teksi banyak. Kenapa mesti tunggu suami saya juga. Paling tidak, dia boleh telefon saya bagi tahu suami saya lewat, saya boleh jemput dia.

"Bukan sekali dua kejadian itu berlaku malah semakin kerap dari minggu ke minggu. Apabila saya tanya, dia kata saya cemburu. Di rumah juga saya nampak sikap mereka banyak berubah. Tidak seperti S mula-mula tinggal dulu.

"Apabila suami saya ada di meja makan, S tidak makan bersama kami lagi. Apabila saya terlewat turun untuk makan atau sedang solat, baru S makan bersama suami dan anak-anak. Banyak kali juga saya perhatikan keadaan tersebut.

"Saya boleh baca daripada bahasa badan mereka bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan kedua-duanya. Tetapi saya tidak boleh menuduh tanpa usul periksa. Saya luahkan perkara ini kepada adik lelaki saya tetapi dia menafikan dan berkata saya cemburu. Tapi saya beritahu dia satu hari saya akan buktikan yang tekaan saya benar belaka.

"Tuhan Maha Kaya dan ingin bantu saya. Satu hari, pembantu rumah saya mohon bercuti untuk ke rumah kakaknya yang jatuh sakit. Memandangkan hari itu Jumaat saya izinkan sebab Sabtu dan Ahad saya tidak bekerja.

"Anak kami saya tumpangkan di rumah adik saya yang tidak jauh dari rumah kami, lagipun anak kami sama sekolah. Balik dari pejabat saya boleh jemput dia.

"Pada hari Jumaat itu, saya keluar kerja seperti biasa selepas setengah jam suami dan S keluar. Saya tidak syak apa-apa akan berlaku kerana saya yakin suami dan S ke tempat kerja. Menjelang tengah hari saya tidak sedap hati. Teringatkan anak di rumah adik, saya mengambil keputusan pulang awal. Hampir pukul 4 petang saya keluar dari pejabat. Mulanya hendak terus ke rumah adik menjemput anak tetapi tergerak hati untuk pulang ke rumah dulu menyalin pakaian dan kemudian menjemput anak untuk pergi makan.

"Menghampiri rumah hati saya berdegup kencang. Dari luar saya lihat kereta suami ada di parkir. Pelik juga, selalu malam baru balik, ini awal sudah sampai. Agaknya dia tidak sihat, hati berkata tanpa mahu buruk sangka dengan suami.

"Saya letak kereta di luar pagar, kemudian berjalan masuk ke rumah. Pintu tidak berkunci, malah sedikit terkuak. Saya melangkah masuk dengan dada yang semakin kencang. Terdengar suara orang bercakap, pelik siapa agaknya, hati berkata lagi.

"Jelas suara itu datangnya dari bilik tidur kami. Saya berjalan laju ke arah itu, makin dekat makin kuat pula suara yang saya dengar. Hati mendidih, meluap-luap kemarahan saya.

"Sebaik menolak pintu, saya terpaku. Suami dan S dalam keadaan yang amat mengaibkan. Saya menjerit sekuat hati dengan air mata berlinangan. Tergamak mereka! Melihat saya terpacak di depan mata, suami tergamam dan melompat turun dari katil sementara S terpinga-pinga.

"Sampai hati abang! Ini balasan yang kamu bagi pada kakak. Patut kamu bersyukur ada tempat menumpang. Ini tidak, suami kakak pun kamu hendak rampas. Saya tidak akan ampunkan abang...tidak sama sekali,'' saya menjerit dan menuding jari ke arah mereka.

"Habis berkata-kata saya berlari keluar dari bilik dan dikejar oleh suami. Hati saya sudah tawar. Sambil menangis saya memandu kereta meninggalkan kawasan rumah menuju rumah adik lelaki saya tanpa menoleh ke belakang lagi. Tiba di sana, saya meluahkan segala yang berlaku. Adik amat marah dengan kejadian itu dan terus menelefon ibu dan bapa saya serta mentua untuk menceritakan perkara yang sudah berlaku. Dia juga memberitahu ibu S tentang kejadian itu.

" Seluruh adik-beradik saya yang berada di Kuala Lumpur berhimpun di rumah adik. Esoknya keluarga kami sampai dari kampung termasuk ibu S. Mentua saya menangis dan memeluk saya, ibu dan bapa bersedih dengan kejadian itu sementara ibu S yang juga ibu saudara saya turut kesal dengan apa yang berlaku. Berkali-kali dia meminta maaf dia atas perbuatan anaknya itu.

"Adik saya dan mentua ke rumah saya untuk membawa suami dan S ke rumahnya. Sebelum mereka tiba saya telah nekad untuk memohon dilepaskan. Keputusan saya muktamat. S berkali-kali memegang kaki saya minta ampun, tapi saya sudah tidak boleh memandang wajahnya lagi lebih-lebih lagi suami.

"Ibu saudara saya minta Nazir bertanggungjawab terhadap S dan mahu mereka segera bernikah tanpa langsung mengambil kira perasaan saya.

"Sebelum perbincangan selesai saya meninggalkan rumah adik. Saya perlukan ketenangan. Kedua-dua anak kami saya bawa bersama. Saya bagi tempoh seminggu kepada suami untuk keluar dari rumah kerana rumah itu adalah rumah saya, nama saya.

"Sebulan menunggu akhirnya saya dilepaskan. Saya bersyukur kerana hak penjagaan anak diberi kepada saya. Apa yang berlaku selepas itu antara suami dan S saya tidak tahu dan tidak teringin untuk tahu. Malah sehingga kini, saya tidak balik kampung kerana terguris hati dengan perbuatan sepupu saya. Saya tidak mahu bertembung dengan ibu saudara saya dan keluarganya.

"Kini saya semakin pulih. Walaupun kejadian itu tidak dapat saya lupakan tetapi saya akan berusaha untuk tidak mengingatinya lagi. Mudah-mudahan Allah memberi saya kekuatan untuk menghadapi cabaran hidup sebagai ibu tunggal dan memberi kebahagiaan untuk membesarkan anak saya.

"Saya nasihatkan anda di luar sana supaya jangan mudah menerima orang luar untuk menumpang walaupun saudara sendiri kerana rambut sama tetapi hati lain-lain. Biarlah dikatakan sombong asalkan kita tahu apa yang terbaik untuk diri kita,'' demikian Nadia berpesan sebelum menutup cerita.

Cerita Nadia memang menyedihkan. Ia ibarat diberi susu tetapi dibalas dengan tuba. Saya yakin kesedihan itu mengambil masa untuk dilupakan kerana ia membabitkan saudara sendiri. Kes seperti yang Nadia lalui memang kerap berlaku dalam masyarakat hari ini. Dalam pada kita berusaha menjaga hati orang atau saudara mara, biasanya kita akan terlupa pada hati sendiri.

Apa pun saya harap Nadia tidak patah semangat dan meneruskan kehidupan seperti biasa. Jadikan kejadian itu satu pengalaman berharga dalam hidup. Mungkin Allah menguji Nadia untuk menghadiahkan seorang lelaki yang lebih baik pada masa depan. Soal hati susah di ramal, tidak kira sudah menjadi milik orang atau tidak bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi.

Menamatkan catatan, jika kesedihan itu semakin menghimpit, bersihkanlah jiwa agar ia tenang dan kembali bersinar serta mampu membalut luka di hati yang telah berdarah.

Tidak tahan tabiat buruk suami..


SEUMPAMA laut yang ada pasang surutnya, begitu juga hubungan suami isteri, pasti ada berlaku perselisihan faham.

Justeru untuk memastikan agar perhubungan ini sentiasa berjalan dengan aman, pihak suami mahupun isteri perlu saling faham-memahami dan tidak melakukan apa yang tidak disukai oleh pasangannya.

Sebagai contoh misalnya, ada si suami yang pada masa bujangnya suka melakukan suatu tabiat atau amalan yang buruk sehingga terbawa-bawa ke alam rumah tangga, mengakibatkan pasangannya tidak tahan dengan sikapnya.

Kalau setakat sekali dua tidak mengapa, tetapi sekiranya tabiat tidak baik itu dilakukan setiap hari, sudah tentu membuatkan pasangannya tidak senang duduk, berlaku leteran, bebelan dan akhirnya mengundang ke punca perbalahan yang teruk.

Kali ini kita melihat apakah tabiat suami yang tidak disukai oleh isterinya.

Kurang pembersih

Suami meninggalkan bilik mandi dengan pelbagai barangan buangan tanpa dibersihkan. Sebenarnya tidak dapat dibayangkan bagaimana seseorang itu tidak mengendahkan kebersihan di dalam tandas di rumahnya sendiri dengan tidak mengepam tandas selepas menggunakannya. Apatah lagi untuk meringankan tulang membersihkan tandas. Itu jauh panggang dari apilah...

Lama dalam bilik mandi

Ada suami yang merokok, membaca surat khabar dan majalah dalam bilik mandi tanpa mengendahkan perasaan isteri yang juga mahu menggunakan bilik air. Biarpun nampaknya perkara seperti ini bukanlah satu masalah yang besar namun ia tetap membuatkan hati isteri terbuku geram.

Tuala basah atas katil

Ini adalah masalah yang selalu dilakukan oleh suami yang pastinya akan disudahkan oleh isterinya dengan seolah-olah sengaja memberitahu, sebaik sahaja dia bersiap: ''Isteri ku tolonglah sidai tuala yang kugunakan".

Baju kotor merata tempat

Selepas balik kerja, suami dengan sengaja menanggalkan bajunya dan meninggalkan atas di sofa, atas lantai, atas baju yang telah siap dibasuh atau di mana sahaja sesuka hatinya dan mengharapkan isteri yang akan mengutip pakaian kotor itu nanti.

Suami gelojoh

Suami makan cepat-cepat dan tertumpahkan makanan di serata tempat dan dia tiada masa untuk mengelap atau mengemaskannya semula. Jadi sebagai isteri kita yang akan menjadi tukang lap apa sahaja yang tertumpah seolah-olah memberi makan kepada anak kecil.

Tak beri jawapan tepat

Apabila diajukan soalan seperti bila abang akan pulang, jawapan yang diberikan acuh tidak acuh sahaja. Ini pastinya mendatangkan masalah apabila si isteri mula mengesyaki sesuatu dan menimbulkan hubungan tidak percaya dalam rumah tangga.

Stokin busuk merata

Stokin busuknya tidak dikeluarkan dari kasut atau dibaling ke bawah almari menyebabkan bau yang tidak enak dalam rumah. Bila ditanya di mana stokin, jawapannya: ''Tidak tahu. Stokin ada dalam mesin basuh."

Pelupa

Biarpun seberapa banyak salinan kunci telah dilakukan, suami asyik menghilangkan kuncinya dan menghilangkan pula kunci yang dipinjam dari isterinya. Bukan setakat kunci malah barang-barang kecil lain juga suami boleh lupa di mana diletakkannya yang boleh menyebabkan isteri naik angin.

Pengotor

Suami merokok di dalam bilik tertutup dengan abu rokok bersepah-sepah atau 'ditadah' dalam gelas, mangkuk kesayangan isteri atau pinggan kaca yang perlu dibasuh semula.

Membantu 'mengecahkan' dapur

Suami menyatakan ingin membantu di dapur tetapi pasti pada akhirnya akan bertukar menjadi satu mimpi buruk apabila dia hanya 'membantu' memasak dan tidak pernah kata dia akan membantu untuk 'membersihkan' dapur yang disepahkannya.

Jadi andartu pun bahagia !!!


“SAYA tidak pernah peduli kalau ada orang kata wanita yang tak berkahwin tak bahagia hidupnya. Namun sebagai andartu, saya rasa paling bahagia. Saya boleh lakukan apa yang saya suka asalkan tidak melanggar hukum agama dan adat. Tidak menyusahkan hidup orang lain, malah mereka yang menyusahkan hidup saya.

‘‘Saya tak peduli dua orang adik perempuan saya sudah berkahwin dan ada anak begitu juga adik lelaki saya. Mungkin mereka bahagia, malangnya hingga kini merekalah yang banyak menyusahkan saya sering meminta bantuan.‘‘ Itu cerita Norazlinda dalam e-melnya.

‘‘Pada pandangan saya berkahwin tak boleh dipandang ringan, kerana ia satu tanggungjawab, jika terlalai bermakna kelancaran perjalanan sesebuah keluarga itu akan kucar kacir. Dulu pernah emak nasihatkan saya supaya segera kahwin. Tetapi apabila saya katakan emak jangan berbohong dengan hidup emak sebenar, lepas itu emak tak nasihat saya lagi.

‘‘Saya tanya emak apakah emak bahagia setelah lebih 50 tahun berkahwin dengan ayah, emak terdiam, sebab saya tahu memang emak tak bahagia. Kekal jodoh emak dengan ayah bukan kerana mereka bahagia, tetapi kerana emak terlalu sabar, semua masalah emak simpan dalam hati hingga emak dapat penyakit jantung dan darah tinggi.

‘‘Sejak kahwin, ayah memang kaki minum. Habis perangai mabuk ayah jadi tahi judi, hinggakan belanja makan minum dalam rumah terpaksa disekat. Abang berhenti sekolah habis tingkatan tiga nak cari kerja untuk bantu emak. Tetapi baik perangai abang cuma bertahan tiga tahun, lepas itu abang pula ketagih judi macam ayah. Anak beranak kaki main ekor.

‘‘Emak tak boleh nasihat abang sebab ayah pun saya, nak nasihat ayah emak tak berani takut kena pukul, akhirnya emak tutup mulut. Nasib baik kakak dapat kerja jadi kerani dan kakaklah yang banyak bantu emak dan saya boleh bersekolah.

‘‘Saya sering lihat emak menangis kerana perangai ayah. Tetapi bila saya tanya, emak tak pernah bercakap benar. Saya tahu emak sedih. Ketika emak paksa saya supaya segera kahwin terus terang saya beritahu emak, saya tak yakin saya boleh bahagia, kerana saya takut dapat suami macam perangai ayah dan abang, saya tak sanggup membisu, menanggung biawak hidup apa lagi jadi hamba.

‘‘Pada pandangan saya daripada saya buat banyak dosa lebih baik jangan kahwin, sebaliknya saya boleh bantu emak dan adik-beradik lain yang memerlukan bantuan, terutama kakak yang banyak bantu saya semasa saya belajar dulu.

Hamba

‘‘Sekarang kakak pula hadapi masalah yang sama, suaminya bukan sahaja kaki judi malah kami perempuan. Selalu tak pulang rumah jarang bagi nafkah anak-anak. Tetapi emak suruh kakak bersabar, kata emak dosa melawan suami. Habis sekarang siapa yang jadi kuli dan hamba rumahtangga bagi makan anak-anak? sudah pasti kakak!

‘‘Setelah mengimbau semua masalah ini saya rasa lebih baik saya tak payah kahwin. Bukan sahaja menyusahkan diri, malah kalau tidak bernasib baik terpaksa jadi hamba kepada suami yang tak tahu tanggungjawab.

‘‘Saya percaya hidup emak tak pernah bahagia bersama ayah, sebab dari muda hingga usia tuanya emak terpaksa mengharungi perangai buruk ayah. Kalau pasangan lain ada rumah untuk berteduh bila dah tua dan berhenti kerja, tetapi emak terpaksa balik kampung menumpang tinggal di rumah usang nenek.

‘‘Namun saya bersyukur dapat belikan mereka sebuah rumah kecil untuk tinggal di bandar. Dulu saya fikir mungkin saya kena tanggung emak dan ayah, tetapi sekarang tiga orang anak abang turut menumpang . Abang terus lepas tangan bila saya dan adik membantu.

‘‘Gaji saya dan adik sebagai pegawai lulusan diploma bukan tinggi sangat, kami terpaksa bayar ansuran rumah, duit ubat ayah yang sering sakit, makan minum mereka semua selain duit sekolah anak-anak saudara. Dalam pada itu saya dan adik juga terpaksa berbelanja untuk hidup sendiri di bandar. Macam mana kami nak tahan!

‘‘Dulu ketika banyak duit setelah berhenti kerja kerana dapat duit KWSP, ayah langsung tak beringat untuk beli rumah apa lagi untuk simpanan hari tua, habis dia guna untuk berjudi.

‘‘Emak tak berani bantah sebab takutkan ayah yang suka pukul. Perangai emak mendiamkan diri bukan sahaja menyusahkan dirinya, malah kami anak-anaknya, yang sering kesempitan hidup di bandar.

‘‘Akhirnya, untuk jalan keluar, kami belikan barang keperluan makanan untuk rumah emak. Tapi ayah lagi bijak entah macam mana dia boleh kelentong tauke kedai itu. Dan di kedai itu pula ayah buat hutang. Alasannya kami akan bayar bila balik nanti.

‘‘Kerana masalah seperti ayah inilah akhirnya emak tak berani lagi paksa saya segera kahwin. Terus terang saya katakan pada emak saya tak mahu jadi kuli dan hamba macam emak. Cukuplah kakak seorang ikut jejak emak . Terus terang saya bukan seorang penyabar dan saya tak sanggup jadi kuli kepada suami yang tak bertanggungjawab. Lebih baik tak kahwin daripada ber dosa memaki hamun serta menyumpah seranah suami dalam diam.

‘‘Kesimpulannya selama lebih 50 tahun usia perkahwinan emak dengan ayah, emak memang tak bahagia. Dulu mereka kekal sebagai suami isteri kerana emak seorang penyabar..

‘‘Itu hidup ibu kami zaman dahulu, yang kebanyakan anak perempuan tidak berpelajaran, bukan wanita zaman ini yang berpelajaran, berilmu, berkerja dan luas pengalamannya. Kerana itu jangan terkejut kalau zaman ini ramai wanita lebih suka jadi andartu daripada bergelar isteri. Malah mereka lebih rela jadi ibu tunggal daripada bergelar isteri yang hidupnya terseksa dan ditindas.’’ Itu cerita Norazlinda dalam e-melnya yang menarik untuk dibincangkan.

Kenapa wajah jelita berubah jadi hodoh?


Di zaman kampus, Zaiton merupakan antara pelajar jelita dan pandai bergaya. Malah semasa di universiti dia pernah menang peraduan ratu cantik.

Selain memiliki kecantikan semula jadi, Zaiton juga pandai bergaya dan bersolek. Dia sentiasa menjadi rujukan rakan-rakan setiap kali mereka mahu membeli pakaian baru.

Namun pada majlis perjumpaan semula atau reunion baru-baru ini, ramai rakan terkejut melihat perubahan pada Zaiton.

Dia bukan sahaja gemuk, malah mempunyai masalah bentuk badan. Perut besar dan mukanya kembang. Meskipun dia bersolek untuk menutup masalah kulit, namun tetap dapat dikesan kulitnya yang kasar dan pigmentasi yang bertompok.

Zaiton memberitahu, sudah banyak usaha di lakukan seperti diet, bersenam, mengunjung pusat kecantikan namun semuanya gagal. Dia merasa dirinya hodoh dan sering berasa malu berhadapan dengan orang ramai.

Simptom lain yang dialaminya termasuk kejang otot dan kerap sakit. Zaiton juga mengalami masalah tidur tidak lena dan haid tidak menentu.

Selain itu, dia tidak tahan dengan perubahan cuaca, masalah badan berpeluh dan berbau di samping cepat lenguh, sakit sendi, kebas kaki serta mudah terseliuh. Dia juga sering mengantuk dan rasa cepat bosan.

Pemeriksaan doktor mendapati dia mempunyai kadar kolestrol dan gula yang tinggi dalam darah.

Menurut doktor, jika tidak berjaga-jaga besar kemungkinan dia akan diserang kencing manis.

Malah, dia merasakan pada usianya yang masih muda, tahap kesihatannya seperti orang tua. Wajahnya yang sembap dan pipi terlalu tembam menjadikan dia lebih tua dari usia sebenar. Ini menyebabkan Zaiton sering menyendiri dan malu keadaan dirinya dilihat orang.

Menurut pengamal perubatan estetik, Dr. Rushmini Maris Ismail, masalah yang dihadapi Zaiton itu di panggil cushinoid. Cushinoid merujuk kepada sindrom montel yang jika tidak dikawal boleh membawa kepada kegemukan.

Katanya, Zaiton mengalami perubahan daripada cushinoid mimic kepada cushings syndrome, iaitu hormon kortisol terlalu tinggi hingga mengubah rupa dan penampilan seseorang.

Lebih lama seorang itu terdedah kepada permasalahan tersebut maka lebih banyak perubahan akan berlaku pada fizikalnya.

Antara yang ketara ialah penambahan berat badan, lemak berkumpul pada muka perut, leher dan belakang leher manakala kaki dan tangan kelihatan kecil.

Garisan-garisan atau stretch mark mula kelihatan pada perut, payu dara dan bahu selain jerawat mudah tumbuh serta pertumbuhan bulu pada muka.

Kulit wajah kelihatan kusam dan sesetengah wanita mengalami rambut gugur. Kulit juga kasar dan tidak sekata. Wajah menjadi bulat dan pipi terlalu besar, hidung juga menjadi kemik sehingga hilang wajah asal.

Kortisol yang berlebihan akan merangsang rasa lapar dan membuatkan insulin meningkat dan rosak. Oleh kerana sel lemak bergantung kepada isyarat daripada kortisol untuk berpecah dan menghasilkan tenaga, maka masalah hormon kortisol berlebihan akan menjadikan sel lemak berkumpul dan membesar.

Rawatan bagi masalah itu ialah memulihkan semula hormon dalam badan. Sebarang program diet dan senaman tidak mungkin berjaya lantaran kehadiran kortisol yang terlalu tinggi.

Kortisol ialah hormon yang terhasil dari kelenjar adrenal yang terletak pada buah pinggang. Ia terlibat secara langsung dalam metabolisme lemak. Jika berlebihan atau berkurangan maka lemak akan berkumpul. Ia juga mustahak dalam penghasilan tenaga tubuh. Jika berkurangan atau berlebihan tenaga tidak dapat dihasilkan dengan baik.

Justeru, hormon kortisol harus berada pada tahap yang optimum bagi seseorang itu memperoleh tubuh badan yang langsing serta tahap kesihatan yang baik,

Pada kebanyakan mereka yang gemuk, masalah hormon kortisol berlebihan sering berlaku menyebabkan mereka sukar menurunkan berat badan.

Kortisol yang tidak seimbang juga mengganggu tindakan hormon lain seperti hormon thyroid, estrogen, progesterone dan lain-lain.

Ini kerana hormon saling bertindak secara sinergi. Kesan kelebihan atau ketiadaan satu hormon akan mengganggu tindakan hormon lain. Faktor ini menyebabkan seseorang itu di ganggu masalah haid tidak teratur, tubuh sembap dan degupan jantung yang tidak sekata.

Oleh itu program penurunan berat badan yang ideal bagi masalah itu ialah membaiki kadar hormon, senaman yang membantu meningkatkan aktiviti hormon dan pemakanan yang memulihkan sistem hormon.

Sehubungan itu Dr. Rushmini mencadangkan rawatan untuk masalah yang dihadapi Zaiton ialah terapi enzim bagi membetulkan semula sistem hormon dalam badan. Rawatan itu turut membantu menurunkan paras kortisol.

Ancaman keselamatan Android..


Kadang-kala peralatan canggih boleh diubah menjadi perumah kepada penjenayah keselamatan maya.

Tetapi bagaimana pengguna dapat mengelakkan ‘jangkitan’ dan ‘perebakan’ yang berlaku dalam telefon pintar atau komputer tablet?

Biasanya apabila anda berfikir mengenai virus, spyware atau apa-apa ancaman keselamatan siber, tentu saja anda terfikirkan mengenai komputer peribadi.

Kerana majoriti serangan siber biasanya berlaku dalam komputer peribadi.

Malware di telefon mudah alih? Atau komputer tablet? Bolehkah berlaku?

Sememangnya boleh berlaku terutamanya jika peralatan mudah alih anda menggunakan sistem operasi seperti Android.

Menurut Juniper Networks, contoh malware Android meningkat dengan mendadak sehingga 472 peratus dalam tempoh Julai sehingga November 2011.

Penggodam telah mengisytiharkan perang terhadap Android dan sebagai pengguna mungkin mereka terkena tempiasnya.

Bak kata Sun Tzu dalam Seni Peperangan, ‘jika anda kenal musuh anda, anda boleh menang beratus-ratus peperangan tanpa kalah’.

Di sini terdapat lima musuh utama yang perlu pengguna Android ketahui dan bagaimana untuk mengalahkan mereka dalam permainan ini.

SMS Trojans

Menurut laporan Juniper yang sama, hampir separuh aplikasi seakan-akan Android yang berniat jahat yang beredar sekarang adalah SMS Trojan yang menghantar mesej teks dalam latar belakang (tanpa pengetahuan pengguna) kepada beberapa nombor telefon yang dimiliki penggodam.

Akibatnya sebagai pengguna anda terbeban dengan bil bulanan yang melambung.

Jalan terbaik untuk menghentikan SMS Trojan adalah dengan mengelak terkena jangkitannya.

Justeru gunakan bantuan keselamatan Android yang direka khusus bagi memerangi semua serangan yang menimbulkan ancaman.

Jangan menggunakan aplikasi yang kelihatan mencurigakan atau kelihatan amat sempurna dan baik.

Carrier IQ

Penghujung tahun 2011, penyelidik mendapati rootkit pembangun perisian Carrier IQ beroperasi pada berjuta-juta peralatan mudah alih.

Walaupun kelihatan tidak mencurigakan, kod berkenaan dilaporkan merekodkan lokasi termasuk kata laluan.

Malangnya semua ini berlaku tanpa pengetahuan pengguna dan tanpa pilihan melumpuhkan penggunaanya.

Bagi mengawal ancaman berkenaan dapatkan Carrier IQ Test, aplikasi percuma yang dapat mengesan dan membuang perisian yang tidak dibenarkan.

Aplikasi Preloaded

Biasanya telefon pintar atau tablet didatangkan dengan bonus seperti aplikasi, perisian yang tidak termasuk dengan Android tetapi telah ditambah oleh pengilang.

Disember tahun lalu, penyelidik mendapati terdapat aplikasi preloaded yang mendedahkan keselamatan pengguna seperti yang biasa digunakan untuk mencuri data peribadi atau mencuri dengar perbualan telefon.

Atau lebih teruk lagi kerana kebanyakan aplikasi ‘diadun’ bersama-sama OS dan tidak boleh dibuang.

Jika pengguna menggunakan Android 4.0 (Ice Cream Sandwich), mereka boleh menyembunyikan dan melumpuhkan aplikasi bloatware.

Hanya dengan masuk ke Settings, Device, Apps, pergi ke All kemudian aplikasi yang mahu dibuang dan tekan Disable.

Kedai palsu Google Play

Awal tahun, Google telah mengubah Android Market kepada Google Play di mana ia menggabungkan beberapa perkhidmatan seperti aplikasi, muzik, e-book.

Bagaimanapun penjenayah siber mula mencipta domain Google Play palsu bagi menipu pengguna memasang aplikasi berbahaya.

Cara melawan ancaman berkenaan adalah dengan menjadi lebih pintar.

Jangan memasang aplikasi Google Play dengan memuat turun sendiri tapi ikutlah peraturan biasa untuk mengemaskini peralatan OS.

Perisian keselamatan Android boleh mengesan dan membuang segala aplikasi mencurigakan yang mungkin dipasang tanpa pengetahuan.

Jadi lebih baik gunakan anti-malware pada peralatan mudah alih.

Peringatan palsu

Jika anda mendapat mesej daripada bank berbunyi ‘Akaun anda bermasalah! Kemaskini kata laluan.’

Pergi ke link berkenaan membawa pengguna ke laman web yang sama dengan bank yang anda selalu lawati.

Jika pengguna masuk ke akaun berkenaan, ia akan membuka laluan menjadi mangsa jenayah siber mencuri semua data peribadi pengguna.

Jangan sekali-kali masuk ke link yang terdapat di dalam e-mel atau mesej teks walaupun kelihatan memang sama.

Pastikan anda buka perayauan dan sambung kepada institusi kewangan secara terus dan pastikan URL bermula dengan https:// dan kini beberapa institusi kewangan yang mempunyai pelbagai langkah-langkah keselamatan bagi menjaga hak pengguna.

Dan jika pengguna masih ragu-ragu mengenai keselamatan, hubungi institusi kewangan untuk berurusan secara terus.

Kenali keguguran berulang..

Dr, saya ingin mengetahui apakah punca keguguran berulang? Adakah seseorang yang mempunyai masalah ini perlu menjalani rawatan khusus. Sekiranya dia berjaya mengandung, adakah dia perlu berehat atau memerlukan penjagaan rapi.
- Madam G, Johor

Jawapan:
Keguguran adalah kejadian yang kerap berlaku. Ia berlaku dalam lebih kurang 15 hingga 20 peratus daripada keseluruhan kehamilan. Sekiranya seseorang wanita mengalami keguguran, bukan bermakna mereka tidak berpeluang untuk hamil secara normal pada masa hadapan. Namun begitu, keguguran merupakan sesuatu yang amat ditakuti bagi sesetengah wanita. Ada dalam kalangan wanita yang berjaya mengandung tetapi mengalami keguguran yang berulang kali.
Wanita yang mengandung kemudian gugur, ia sebenarnya lumrah hidup. Tetapi jika ia berlaku sekurang-kurangnya sehingga tiga kali berturut-turut maka keguguran ini dikenal sebagai keguguran 'habitual'. Setiap kali wanita ini hamil, pengalaman keguguran yang lepas akan sentiasa menghantui pemikiran mereka. Masalah sebegini sudah tentu memberi impak yang negatif, khususnya bagi wanita yang masih belum dikurniakan zuriat.
Malangnya, agak susah untuk kita ketahui dengan tepat kenapa wanita mengalami kejadian ini. Kenyataannya, lebih dari 50 peratus pasangan tidak akan mengetahui apa yang menyebabkan keguguran ini berlaku. Semasa keguguran berlaku, biasanya seseorang wanita akan mengalami pendarahan. Pendarahan ini berlaku lebih banyak dari pendarahan haid. Namun ada juga yang mengalami pendarahan yang sedikit sahaja. Meskipun begitu, tak semestinya keguguran yang berlaku mengeluarkan darah.
Punca Keguguran
Walau bagaimanapun, terdapat beberapa faktor atau punca yang disabitkan dengan keguguran berulang, faktor utama adalah kerana kebanyakan keguguran dikaitkan dengan masalah dengan janin itu sendiri yang mempunyai masalah genetik atau kromosom yang mengakibatkan janin tersebut tidak dapat membesar dengan baik. Janin memerlukan kromosom yang sihat dan tersusun dengan sempurna. Walau bagaimanapun, mungkin timbul keadaan di mana kromosom tersebut tertinggal atau tersalah kedudukannya semasa pembentukan janin sebaik sahaja selepas persenyawaan. Hasilnya, janin itu akan mati sejak dari awal lagi.
Ia juga mungkin berpunca dari penyakit dalam rahim yang sering dikaitkan seperti endometriosis dan fibroid juga boleh menyebabkan keguguran berulang. Wanita yang mengalami penyakit endometriosis dan fibroid ini kadang-kadang mengalami keguguran biarpun usia kandungan sudah mencecah antara empat hingga lima bulan.
Jangkitan kuman pada darah wanita yang mengandung adalah salah satu penyebab keguguran berulang. Wanita yang mengandung kadang-kadang tidak menunjukkan sebarang tanda penyakit atau kesakitan, malangnya mereka mengalami keguguran. Diagnosis dibuat dari darahnya yang diperiksa, didapati ia dijangkiti kuman. Kuman pada darah itulah yang merosakkan kandungan. Antaranya seperti kesan beberapa jenis virus, iaitu cytomegalo virus (CMV), herpes simplex (HSV) dan juga rubella. Begitu juga dengan sejenis parasit toksoplasmosis yang ada pada badan kucing boleh menyebabkan keguguran. Oleh itu, bagi wanita yang sering mengalami keguguran dan memelihara kucing, perlulah sentiasa berhati-hati. Biarpun kucing peliharaan itu dijaga dengan baik dan bersih, tetapi parasit itu tetap ada pada bulu-bulu kucing dan tidak dapat dilihat dengan mata kasar.
Rawatan
Sebenarnya tiada perawatan khusus bagi masalah sebegini. Pada kebiasaannya, selepas pemeriksaan dilakukan, jika ujian yang dilakukan mendapati wanita tersebut mengalami masalah yang tertentu, contohnya diabetes yang tidak dikawal, maka beliau akan dinasihatkan untuk mendapatkan rawatan diabetes dengan mengawal aras glukosa darah pada aras yang paling optimum sebelum mengandung.
Seseorang wanita yang ingin mengandung sepatutnya mengamalkan pemakanan berkhasiat dari peringkat awal lagi, mengambil juga asid folik dan vitamin dari usia awal kandungan. Penting juga kalau boleh wanita yang mengandung diberi atau mengambil cuti rehat pada peringkat awal kehamilan. Mereka digalakkan berehat, banyakkan baring dan tenangkan fikiran. Antara perkara menyebabkan keguguran ialah stres dari segi fizikal dan mental. Wanita tersebut juga mungkin diberikan ubat progesteron untuk merehatkan rahim dan mengurangkan berlakunya kejang rahim untuk mengurangkan risiko keguguran.
Mereka juga perlu mempunyai semangat yang kuat dan jangan melayani pemikiran negatif yang sudah tentu boleh menimbulkan kemudaratan. Jangan terlalu risau dan mereka perlu menenangkan fikiran kerana kemungkinan kehamilan akan berjalan seperti biasa dan berjaya melahirkan bayi yang sihat.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...