terima kasih buat kalian semua..

Wednesday, May 23, 2012

Sukarnya dapat rawatan di hospital swasta jika tiada duit...


Telah beberapa kali kedengaran rungutan daripada orang awam mengenai susahnya untuk mendapatkan rawatan kecemasan di hospital swasta walaupun di ketika itu nyawa seperti di hujung tanduk.

Mula-mula sekali petugas di kaunter akan bertanya sama ada pesakit memiliki sebarang insurans dan berapa nilainya.

Jika tiada, adakah mempunyai wang cagaran atau deposit sebelum layak mendapat rawatan atau dimasukkan ke wad hospital.

Jika sekiranya tidak mempunyai apa-apa yang hendak dicagarkan daripada pesakit berkenaan, petugas hospital tidak dibenarkan untuk diberikan apa-apa juga rawatan walaupun dalam kecemasan.

Malah mereka bergegas menyuruh pesakit dan keluarganya keluar dari situ. Selalunya pesakit disuruh mendapatkan rawatan di hospital kerajaan ataupun klinik kerajaan berdekatan.

Bagaimana jika klinik atau hospital kerajaan jauh? Bukankah itu membahayakan nyawa pesakit?

Disebabkan terlalu pentingkan keuntungan, etika perubatan dan rasa tanggungjawab insan ke insan tidak lagi diutamakan.

Duit yang lebih mereka pentingkan. Tidak ada sikap timbang rasa. Sifat kemanusiaan ditolak tepi serta tiada langsung budi bicara walaupun di dalam keadaan yang genting antara hidup dan mati pesakit tersebut.

Tidak kiralah apa nama hospital tersebut. Walaupun kadangkala nama hospital itu hebat mengambil sempena nama Islam tetapi layanan yang diberikan tidak Islamik langsung.

Yang penting tunjukkan wang ribuan ringgit dahulu atau mempunyai insurans yang mencukupi. Jika tidak, tiada layanan yang akan diberikan.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL
Ampangan, Seremban

Kecewa sikap pegawai KTMB !!!


PERJALANAN saya ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL2012) pada 5 Mei 2012 dengan menaiki kereta api dari Taiping bersama isteri dan anak berusia setahun terganggu dengan sikap cuai dan tiada budi bahasa pegawai Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

Ia bermula apabila seorang warga emas mencari tempat duduknya yang saya baca ialah di gerabak L4 kelas ekonomi. Tetapi apabila saya minta dia ke gerabak tersebut dia memaklumkan ada yang mengarahkan beliau untuk ke gerabak yang saya berada iaitu L6X nombor kerusi 14 dan 15. Dia setuju untuk ke gerabak yang saya nyatakan.

Sudah menjadi kebiasaan saya apabila menaiki kereta api, saya akan membaca dan menulis sesuatu (faktor utama KTM menjadi pilihan). Maka saya pun meninggalkan isteri yang menyusukan anak untuk ke gerabak kantin membeli minuman panas sambil memperbaiki manuskrip yang dibawa bersama.

Apabila saya kembali ke tempat duduk, isteri memaklumkan pegawai KTMB telah meminta anak saya yang sedang lena dibangunkan kerana didakwa tempat duduk tersebut ialah milik warga emas tadi yang masih belum bertemu tempat duduk dan diminta duduk di kerusi saya!

Suara 'sombong' pegawai tersebut menyebabkan penumpang lain terjaga dan kehairanan. Saya cuba mendapatkan penjelasan tetapi tidak berpeluang bertemu pegawai tersebut dan difahamkan oleh seorang pemeriksa tiket pegawai tersebut ialah pegawai audit. Persoalannya mengapa seorang berpangkat pegawai boleh mengabaikan kepentingan budi bahasa dan bersikap cuai serta sombong?

Peristiwa ini mungkin terpinggir dan bukan suatu isu yang besar. Tetapi sekiranya perkara asas dalam mutu perkhidmatan diabaikan maka adalah dibimbangi KTMB akan gagal mendokong hasrat dan matlamat transformasi yang disarankan oleh pimpinan negara. Adalah diharapkan pihak pengurusan KTMB menyiasat pegawai berkenaan dan memohon maaf secara terbuka.

Hargailah pelanggan setia KTMB. Saya membayar harga tiket Kelas 2 tetapi perkhidmatan yang diterima menyerupai Kelas 3. Ini diakui oleh penumpang yang duduk di sebelah kami yang juga kali pertama menaiki keretapi membawa isteri dan anak berusia dua tahun yang juga akan ke PWTC.

PENUMPANG SETIA KTM
Taiping, Perak

Rasulullah SAW dan poligami..


SESEBUAH rumah tangga dewasa ini pastinya akan dilanda kehangatan hanya dengan satu perkataan sahaja jika ia dilafazkan oleh seorang suami iaitu poligami.

Barangkali ia satu perkataan yang agak taboo untuk disebut, apatah lagi jika ia dialami sendiri oleh pasangan terbabit.

Tentunya ada sebab mengapa perasaan sedemikian timbul setiap kali berdepan dengan suami yang mengamalkan pernikahan secara poligami.

Faktor penyumbang paling popular yang akan didengari daripada keluhan para isteri ialah wanita tidak ingin berkongsi kasih dan kesukaran untuk suami meletakkan keadilan yang sebenar dalam menyantuni para isterinya.

Ya, jika dewasa ini berkemungkinan tahap kebenaran dan kesahihan faktor yang disuarakan ada kebenarannya disebabkan bukan kerana ajaran Islam sedemikian akan tetapi kedangkalan umat Islam untuk menghayati dan mengamalkannya dengan betul seperti kehendak agama Islam.

Umat Islam sepatutnya tidak mudah untuk tersasar arah dalam mencari hala tuju sebagai panduan dalam kehidupan berumah tangga untuk menyematkan ajaran Islam dalam segala aspek kehidupan termasuklah kepada isu pernikahan secara poligami.

Justeru, sudah tentulah nyata kejahilan kepada pengikut ajaran Nabi Muhammad SAW yang hanya memikirkan isu poligami tidak lebih hanya sekadar memenuhi tuntutan syahwah haiwaniyyah semata-mata.

Sedangkan pada asalnya , ia mempunyai matlamat yang lebih mega yang hanya difahami oleh mereka yang menekuni nas-nas al-Quran dan hadis Rasulullah SAW serta realiti pendekatan dakwah Baginda Rasulullah SAW.

Secara mudah untuk kita semua memahami , kehidupan keluarga mulia Rasulullah SAW, ia dapat dikategorikan kepada empat fasa; pertamanya sewaktu zaman bujang baginda sehinggalah mendirikan rumah tangga dengan Saidatina Khadijah binti Khuwailid, keduanya kehidupan baginda dengan seorang permata hati Saidatina Khadijah RA antara umur 25 tahun hingga 53 tahun.

Ketiganya, baginda mendirikan rumah tangga dengan lebih daripada seorang isteri ketika berumur antara 55 tahun hingga 60 tahun dan keempatnya baginda mengekalkan bilangan isteri yang ada iaitu ketika baginda berumur 60 tahun sehinggalah baginda kembali menemui Allah SWT.

Pada hari ini dunia kehidupan rumah tangga yang telah terlalu banyak berdepan dengan simpang-siurnya adalah disebabkan kegagalan kedua-dua pihak, tidak boleh dipersalahkan sesiapa. Kesalahan di pihak suami ialah dengan menjadikan perkahwinan poligaminya dengan cara yang tidak ada ketelusan sehingga menjadikan seseorang suami itu sanggup untuk menipu secara 'halal' dengan istilah tersendiri kerana dibimbangi timbulnya 'peperangan' yang maha hebat antara ketiga-tiga individu atau lebih.

Manakala, pihak isteri pula yang terlalu sempit memahami definisi cinta, terus seolah-olah menganggap pernikahan secara poligami itu adalah sesuatu yang bukan daripada ajaran dan perintah Allah SWT yang boleh terlaksana atas seseorang individu berdasarkan kelayakan dan keupayaan masing-masing dan faktor-faktor yang munasabah terhadapnya.

Jika kita renung dengan pemikiran yang tidak disaluti emosi dan dendam, maka akan datang satu kesimpulan bahawa sekiranya baginda bernikah semata-mata atas dorongan nafsu syahwat semata-mata, justeru sudah tentu di zaman muda lagi baginda mempunyai banyak peluang untuk mengamalkan pernikahan secara poligami.

Tambahan pula baginda bukan sahaja insan mulia kesayangan umat malahan baginda adalah individu yang mendapat martabat tinggi sebagai kekasih Allah SWT.

Oleh yang demikian , apa yang kita dapati ialah baginda hanya berpoligami setelah baginda menjangkau usia 55 tahun iaitu tidak lebih daripada 10 tahun daripada sisa hidup baginda di atas muka bumi ini.

Apa yang jelas kepada kita ialah baginda telah menunjukkan cara, sifat dan kaedah poligami yang adil dan berupaya memberikan kemaslahatan kepada semua pihak. Perkara ini amat jelas jika diamati kepada tujuan pernikahan baginda dengan semua para isterinya.

Kesimpulannya , sesuatu yang tidak begitu sulit untuk memahami kaedah dan pendekatan baginda Rasulullah SAW dalam menunjukkan kaedah terbaik pernikahan secara berpoligami dalam Islam.

Memang tidak dinafikan bahawa cemburu dan dendam adalah dua elemen yang sentiasa menjadi tembok penghalang untuk kita umat Islam memahaminya dengan jelas.

Apa pun memahami atau untuk tidak memahaminya ia adalah satu keputusan yang orang lain tidak mampu memahat dalam pemikiran secara paksaan tetapi ia seharusnya datang menerusi penghayatan sebenar terhadap ajaran Islam yang Maha Suci.

Oleh TUAN ASMAWI TUAN UMAR

Terkilan bayar caj walau tiada tempat letak kenderaan !!


BAGI pihak keluarga, saya mengucapkan jutaan tahniah dan terima kasih di atas kejayaan PWTC menjadi lokasi Pesta Buku Antarabangsa 2012 yang berlangsung seminggu lalu.

Bagi saya, amat berbaloi untuk saya dari Muar, bertolak seawal 6 pagi (selepas solat Subuh) bersama anak-anak untuk mengunjungi pesta tersebut.

Dalam berjimat-cermat, saya sekeluarga membelanjakan lebih RM1,000 untuk membeli buku ilmiah yang ditawarkan pada harga promosi di sana. Saya berharap Pesta Buku Antarabangsa ini menjadi acara tahunan PWTC.

Tetapi saya amat terkilan dan merasakan diri saya ditipu kerana seawal jam 9.40 pagi tempat letak kereta di Aras 1 sudah penuh. Semua kenderaan pengunjung tidak dibenarkan ke Aras 4.

Kira-kira 10 minit berpusing, saya mengambil keputusan keluar kerana tidak ada tempat letak kereta malah beberapa pemilik kenderaan meletakkan kereta di tempat yang tidak dibenarkan termasuk di zon clamp. Memandangkan tiada pilihan, saya keluar dari tempat letak kereta menuju ke luar kompleks PWTC.

Tetapi saya amat terperanjat apabila tempoh 'meronda' 10 minit tersebut dicaj RM 3.50 termasuk cukai kerajaan.

Jika parking penuh, kenapa tidak diletakkan tanda? Petugas di kaunter cuma berkata: "Dah lebih masa". Apakah definasi 'lebih masa' di PWTC? Jika di MidValley, pelanggan mesti keluar lepas 20 minit selepas bayar tiket.

Saya tidak bercadang menuntut kembali wang RM3.50 tersebut kerana tidak berbaloi langsung untuk saya dari Johor ke Kuala Lumpur. Perkara ini tidak berlaku kepada saya sahaja kerana beberapa kereta di hadapan saya kelihatan bertelagah dengan penjaga kaunter tiket.

Saya berharap pihak PWTC mengambil tindakan agar perkara ini tidak berlaku di masa akan datang. Dalam usaha kerajaan giat mempromosikan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan", ada pihak menangguk di air keruh.

ERMAN SYAH
Muar, Johor

Pulangkan semua penjenayah ke Indonesia !!



Rakyat Malaysia tentu bingung dengan tunjuk perasaan anti-Malaysia atas pelbagai isu di Indonesia dari semasa ke semasa.

Terkini, tunjuk perasaan di hadapan kedutaan Malaysia di Jakarta oleh kumpulan yang menggelarkan diri mereka Komando Pejuang Merah Putih. Mereka mendakwa pembantu rumah Indonesia telah dianiaya dan tiga pekerja dibunuh oleh polis kita.

Cerita yang menimbulkan kemarahan mereka ialah kononnya organ tiga yang ditembak mati itu (sebenarnya perompak) hilang atau dicuri untuk dijual. Kepada sebahagian rakyat Indonesia yang miskin cerita ini mudah dipercayai kerana hal seperti itu malah lebih dahsyat lagi, boleh berlaku di Indonesia.

Kita mesti akui kebijaksanaan penghasut dari Malaysia yang berjaya mencipta cerita sensitif di atas kejadian pembunuhan penjenayah itu. Ia dengan mudah menimbulkan rasa marah orang Indonesia, terutama mereka yang tidak berpeluang datang bekerja di Malaysia.

Jika ke Bandung atau Jakarta, ketika makan, membeli belah atau menunggu teksi, anda akan didatangi anak-anak muda yang meminta pertolongan mencari kerja di Malaysia.

Mereka inilah golongan yang paling mudah untuk diupah dengan sebungkus nasi, uniform dan janji untuk mendapatkan kerja.

Bagaimanapun rakyat mereka tidak akan cepat menerima cerita-cerita karut atau hasutan pihak tertentu sekiranya media Indonesia, terutamanya akhbar yang berpengaruh di sana bersikap adil.

Mereka wajar memberikan laporan sebenar mengenai masalah yang sering dihadapi oleh rakyat kita akibat kehadiran warga Indonesia di sini, bukannya hanya masalah rakyat mereka.

Walaupun media Indonesia dianggap bebas dan terbuka tetapi mereka jarang sekali menyiarkan perbuatan buruk yang dilakukan oleh rakyat Indonesia di luar negara. Contohnya, mereka tidak melaporkan tentang jenayah kejam oleh rakyat mereka seperti bunuh, rogol, rompak dan samun serta kecederaan parah kepada rakyat Malaysia yang tidak berdosa.

Ini boleh disahkan oleh Kedutaan Malaysia di Jakarta atau wartawan-wartawan kita di negara itu.

Rompakan secara berkumpulan oleh warga Indonesia pada waktu awal pagi (antara tiga dan empat pagi) dengan melakukan pukau terhadap penghuni rumah di Malaysia masih berlaku hingga sekarang. Ia masih tidak dapat dihapuskan oleh pihak keselamatan kita walaupun seorang dua telah ditembak mati.

Jika laporan mengenainya sering dibuat oleh media Indonesia maka rakyat mereka akan lebih faham keadaan yang memerlukan tindakan daripada pihak polis Malaysia dan tidak akan cepat melatah atau marah.

Perompak Indonesia melakukan jenayah tanpa mengira siapa. Setakat ini, bekas Ketua Hakim Negara, Allahyarham Tun Suffian; seorang pegawai kanan polis di Johor telah dibunuh, juga artis-artis terkemuka. Selain itu, isteri dan anak gadis turut dirogol. Banyak kes tetapi tidak pernah tersiar di akhbar Indonesia.

Sebaliknya akhbar di Malaysia tetap mendedahkan segala perbuatan buruk rakyatnya di Indonesia atau di negara lain. Tetapi peliknya media Indonesia menyembunyikan keburukan rakyat mereka di luar negara kerana menganggap penjenayah juga maruah Indonesia.

Sebaliknya bagi Malaysia perbuatan negatif rakyatnya di luar negara adalah bersifat masalah individu yang tidak seharusnya disembunyikan. Tetapi ia disiarkan atau didedahkan untuk mengingatkan rakyat kita akan akibat yang akan mereka hadapi jika melakukan jenayah di negara orang.

Memandangkan sikap negatif media Indonesia, saya rasa eloklah Polis Diraja Malaysia atau Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan suatu kenyataan penuh mengenai jumlah jenayah berat yang dilakukan oleh rakyat Indonesia di Malaysia.

Juga berapa ramai rakyat kita yang menjadi mangsa rompakan, pembunuhan, rogol, penculikan dan lain-lain jenayah yang dilakukan oleh penjenayah Indonesia.

Suatu ketika dahulu, Datuk Bandar Jakarta, Ali Sadikin, telah mengarahkan tembakan rambang terhadap semua yang disyaki sebagai penjenayah di sarang-sarang mereka, termasuk di bawah jambatan untuk mengamankan Jakarta daripada jenayah.

Ali Sadikin telah berjaya sekali pun beliau dikutuk oleh pertubuhan-pertubuhan hak asasi manusia yang tidak memikirkan hak asasi rakyat Indonesia untuk hidup dengan aman damai.

Oleh kerana mereka yang suka merompak masih ramai di Indonesia maka sebahagian daripada mereka telah masuk secara haram atau halal untuk melakukan jenayah di Malaysia.

PDRM mesti bertindak tegas dan keras. Semakin banyak mayat perompak Indonesia dihantar pulang ke negara asal mereka semakin berkesan untuk memaklumkan kepada penjenayah-penjenayah Indonesia yang ingin datang melakukan jenayah di Malaysia akan akibat yang akan terpaksa mereka hadapi.

Kita mengalu-ngalukan rakyat Indonesia yang datang mencari rezeki halal di Malaysia.

Tetapi kita mesti menghantar penjenayah mereka pulang ke Indonesia walau apa pun tindakan yang perlu diambil. Ini adalah sikap kemanusiaan kita sebagai bangsa yang bermaruah.

Tan Melaka
Kuala Lumpur

Sukarnya guru J-Qaf dapat kelulusan berpindah..


SAYA merupakan guru J-QAF ambilan tahun 2005. Apabila saya menerima tawaran mengajar di Sarawak tidaklah saya berharap untuk terus menetap di negeri Bumi Kenyalang ini memandangkan syarat yang diberikan hanyalah bertugas tiga tahun di sekolah berkenaan.

Pada tahun ini genaplah tujuh setengah tahun saya mengajar di Sarawak. Saya tidak dapat bertahan lagi untuk terus berada di sini.

Mengapakah sukar guru J-QAF diberikan peluang untuk bertukar berbanding dengan penjawat awam yang lain?

Saya mencadangkan apabila menawarkan program J-QAF ini, berikan syarat kepada pemohon baru dengan syarat mesti mengajar 10 tahun ke atas di negeri tersebut barulah akan dapat bertukar.

Tidakkah dihargai pengorbanan kami yang sanggup datang ke sini? Kalau diberikan had masa pada setiap orang untuk berkhidmat di sini, saya yakin setiap orang akan mengajar dengan penuh ikhlas dan dedikasi di samping menimba pengalaman di negeri orang.

Baru-baru ini terdapat pegawai- pegawai dari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) yang menabur janji kami guru J-QAF ambilan 2005. Contohnya seperti sekolah saya sendiri, KPM telah menghantar lima guru J-QAF baru menjadikan jumlah kami sembilan orang. Janjinya guru J-QAF 2005 akan dipindahkan.

Tetapi pada 19 Mei 2012, tiada seorang pun guru J-QAF dari sekolah saya yang dapat berpindah. Tidakkah ada belas kasihan dari JPN Sarawak sendiri terhadap permasalahan kami dan tidak adakah pegawai pegawai J-QAF di sana untuk membantu?

Sampai bilakah pula nasib begini akan diwarisi kepada adik-adik J-QAF kami yang seterusnya jika kami terus dirantai di sini?

Saya mohon fahamilah dan berikan perhatian pada permohonan kami. Juga dengan kehidupan kami yang sudah berkeluarga untuk membina kehidupan yang sempurna. Tambahan pula kemudahan kargo telah ditarik balik oleh kerajaan. Apa yang kami dapat setelah bertahun-tahun bekerja kerana barang yang dibeli terpaksa ditinggalkan atau dijual dengan harga yang murah?

Belum lagi pelbagai masalah seperti berjauhan dengan suami, anak dan isteri seperti diambil enteng oleh pihak KPM dan JPN Sarawak.

Saya amat berharap berilah perhatian kepada permohonan kami.

Janganlah membuat penilaian seperti 'mencurah air ke daun keladi'. Fikirlah jika masalah seperti ini berlaku kepada anak-anak kalian sendiri.

Janganlah biarkan masalah ini terus diwarisi kerana banyak pihak yang teraniaya.

GURU J-QAF
Bintulu, Sarawak.

Monday, May 14, 2012

Berhati-hati dengan panggilan cuba perdaya pemegang kad kredit !!!



Saya telah tiga kali mengalami nasib yang sama sepertinya. Kali pertama daripada seorang perempuan yang mengatakan dia dari Pusat Mastercard dan ingin mengemas kini data peribadi saya dan mendapatkan pengesahan tentang butiran di dalam kad kredit untuk mengelakkan kad kredit itu menjadi mangsa penipuan pada masa akan datang.

Saya pada masa itu baru pertama kali mempunyai kad kredit dan baru dua kali membuat pembelian menggunakan kad tersebut telah memberikan tarikh luput kad dan nombor tiga digit terakhir kad kredit itu.

Setelah itu pemanggil mengatakan saya layak mendapat keahlian insurans kereta dan penginapan di hotel ternama dan dikenakan bayaran sebanyak RM500 dan akan dicajkan ke kad kredit saya.

Oleh kerana merasakan saya telah ditipu saya menyatakan hasrat tidak berminat dengan keahlian tersebut dan ingin membatalkannya tetapi dimaklumkan ia telah dicajkan ke kad kredit saya.

Saya terus menelefon pihak bank dan pihak bank menasihatkan saya supaya membatalkan kad tersebut serta-merta dan dikenakan RM50 untuk penggantian kad baru.

Oleh kerana saya telah membatalkan kad tersebut, pemanggil itu menelefon saya berulang kali tetapi saya tidak jawab dan akhirnya dia menelefon pula ke pejabat saya.

Walaupun berulang kali mengatakan saya tidak berminat, dia tetap menelefon dan saya telah meminta suami saya menjawab panggilan tersebut dengan mengatakan kami akan membuat laporan polis jika masih menerima panggilan daripadanya. Akhirnya dia berhenti menelefon saya.

Beberapa bulan selepas itu saya telah menggunakan kembali kad kredit yang telah diganti baru dan selepas satu transaksi pembelian di sebuah pasar raya besar, saya menerima lagi panggilan dari perempuan tersebut menawarkan kembali promosi yang pernah ditawarkan kepada saya. Sebelum dia meneruskan percakapan saya telah meletakkan telefon.

Dua minggu selepas itu seorang lelaki menggunakan taktik yang sama cuba mempengaruhi saya kononnya dia dari pusat kad sebuah bank dan ingin mengemas kini data peribadi saya.

Saya bertanya jika dia dari bank berkenaan, kenapa beliau menggunakan talian telefon bimbit peribadi.

Katanya untuk memudahkan urusan kerja. Sebelum dia menerangkan dengan lebih lanjut, saya mengatakan saya pernah ditipu dengan cara yang sama dan saya amat tidak berminat dengan taktik yang dilakukannya. Dia terus memohon maaf dan memutuskan panggilan.

Saya ingin berpesan kepada mereka yang baru menggunakan kad kredit seperti saya agar berhati-hati dengan panggilan sebegini dan jangan mudah terpengaruh.

Syarikat-syarikat sebegini tidak akan mengenal putus asa untuk mencari 'pelanggan'.

DEQ ILA
Kuantan.

Kehidupan Nabi di alam barzakh...


TELAH terbukti bahawa kehidupan Nabi kita Muhammad SAW di alam barzakh adalah lebih sempurna dan lebih hebat daripada manusia lain. Hal ini diceritakan sendiri oleh baginda. Malah disahkan wujudnya hubungan antara diri baginda dengan umatnya.

Baginda mengetahui keadaan mereka, melihat amalan mereka, mendengar percakapan dan menjawab salam mereka.

Terdapat banyak hadis yang membahaskan berkenaan bab ini. Antaranya ialah hadis daripada Abdullah ibnu Mas'ud ra. Nabi bersabda: "Sesungguhnya Allah memiliki malaikat yang berlegar-legar di muka bumi, untuk menyampaikan kepada saya salam daripada umat saya."

Dalam sebuah hadis lain, diriwayatkan daripada Ibnu Mas'ud ra., Nabi bersabda: "Kehidupan saya adalah baik bagi kalian, kalian berbicara (bertanya masalah dan hukum kepada baginda) dan dibicarakan bagi kalian (dengan wahyu dan syariah daripada Allah melalui perantaraan baginda). Kewafatan saya juga adalah baik bagi kalian. Amalan kalian dibentangkan kepada saya, sekiranya apa yang saya lihat berunsur kebaikan, maka saya memuji Allah ke atasnya dan sekiranya apa yang saya lihat berunsur kejahatan, maka saya memohon keampunan kepada Allah untuk kalian."

Al-Hafiz Abu Zur'ah al 'Iraqi berkata di dalam kitab al Janaiz, daripada kitabnya Tarh al Tathrib fi Syarh al Taqrib: "Sanad hadis ini adalah baik. Al-Hafiz al-Haithami berkata di dalam Majma' al Zawa'id (jilid 9, halaman 24). Hadis ini diriwayatkan oleh al-Bazzar, dan perawi-perawinya adalah perawi yang sahih."

Ia menunjukkan bahawa Nabi mengetahui tentang amalan kita kerana ia dibentangkan kepadanya dan baginda memohon keampunan kepada Allah untuk kita atas kejahatan dan keburukan yang telah kita lakukan.

Jika demikian keadaannya, maka diharuskan kita bertawassul dengan baginda kepada Allah dan memohon syafaatnya di sisi Allah SWT.

Oleh kerana baginda mengetahui perbuatan kita termasuk bertawassul dan memohon syafaat tersebut, maka baginda akan memberi syafaat kepada kita dan mendoakan kita. Baginda adalah al Syafi' al Musyaffa (pemberi syafaat yang diizinkan oleh Allah SWT memberikan syafaat) dan Allah menambah kemuliaan dan ketinggiannya.

Sesungguhnya Allah SWT telah menyatakan di dalam al-Quran bahawa Nabi adalah saksi ke atas umatnya. Ini tentu sekali menuntut kepada perlunya diperlihatkan kepada baginda segala amalan mereka agar Rasulullah menjadi saksi atas apa yang dilihat dan diketahuinya.

Ibnu al-Mubarak berkata: "Telah mengkhabarkan kepada kami seorang lelaki daripada kaum Ansar, daripada Al-Minhal ibnu 'Amru, bahawa dia mendengar Sa'id ibnu Al-Musayyib ra. berkata: Tidak berlalu walau satu hari, melainkan dibentangkan kepada Baginda pada hari tersebut amalan umatnya saban pagi dan petang. Maka baginda mengenali umatnya melalui nama-nama mereka dan amalan mereka. Justeru itulah, Baginda SAW menjadi saksi ke atas mereka." (Rujuk an-Nisaa: 41)

Hadis lain yang menunjukkan wujudnya pertalian kehidupan Nabi di alam barzakh dengan umatnya yang masih hidup, ialah hadis daripada 'Ammar ibnu Yasir ra. Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewakilkan bagi kubur saya malaikat yang Allah telah diberikan kepadanya nama-nama sekalian makhluk. Maka tidak seorangpun yang berselawat ke atas saya sehingga hari Kiamat melainkan dia menyampaikan kepada saya dengan namanya dan nama bapanya, Ini Fulan ibnu Fulan, dia telah berselawat ke atas engkau."

Diriwayatkan oleh Al-Bazzar dan Abu Al-Syeikh Ibnu Hibban dengan lafaznya bahawa Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya Allah Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung mempunyai malaikat yang diberikan kepadanya pendengaran sekalian makhluk. Maka dia berdiri di kubur saya apabila saya telah wafat. Tiada seorang pun berselawat kepada saya melainkan malaikat itu berkata: Wahai Muhammad! Fulan ibnu Fulan telah berselawat kepada engkau."

Lalu baginda bersabda: "Maka Tuhan Yang Maha Tinggi lagi Maha Agung akan berselawat ke atas lelaki tersebut bagi setiap satu selawatnya dengan sepuluh selawat (daripada Allah)."

Daripada Abu al Darda ra. Rasulullah SAW bersabda: "Perbanyakanlah selawat kepada saya pada hari Jumaat, kerana ia menjadi barang saksian yang disaksikan oleh malaikat. Tidaklah seseorang berselawat ke atas saya melainkan dibentangkan selawatnya itu kepada saya hinggalah dia selesai berselawat."

Abu Darda berkata lagi: "Saya bertanya, Walaupun setelah engkau wafat?" Baginda menjawab: "Walaupun setelah saya wafat. Sesungguhnya Allah mengharamkan ke atas bumi ini daripada memamah jasad para Nabi, maka sebenarnya Nabi Allah itu hidup dengan diberi rezeki padanya."

Diriwayatkan oleh Ahmad dan Abu Daud daripada Abu Hurairah ra, bahawa Rasulullah bersabda: "Tidak seorang pun memberi salam kepada saya kecuali Allah mengembalikan roh saya kepada saya sehingga saya dapat menjawab salamnya."

Manakala dalam riwayat al Nasa'i dan lain-lainnya, daripada Nabi bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mewakilkan beberapa malaikat di kuburku untuk menyampaikan kepada saya salam daripada umatku."

Oleh PANEL PENYELIDIKAN YAYASAN SOFA, NEGERI SEMBILAN.

Gila meroyan selepas bersalin..


Doktor., saya sering mendengar kisah atau kes kemurungan selepas bersalin atau meroyan dalam kalangan ibu muda. Adakah masalah ini satu penyakit atau masalah rumit? Benarkah ia boleh menjejaskan kesejahteraan ibu dan anak? Boleh tak doktor berikan panduan mengatasi masalah ini? Jika saya ingin berpantang kelak, adakah saya perlu mengikut petua orang lama untuk mengelak daripada meroyan?

Terima kasih

Zy, Kedah.

Sama-sama.

Terdapat beberapa gangguan emosi yang ketara sehingga menyebabkan masalah psikologi atau penyakit mental selepas melahirkan anak. Meroyan atau gila meroyan merupakan istilah umum orang Melayu terhadap masalah perubahan emosi selepas bersalin. Walaupun ia lebih sinonim

Apa itu "SAFE MODE" pada komputer anda???


SERING diperkatakan apabila scan virus pada komputer yang dijangkiti, lakukannya dalam keadaan safe mode. Boleh pihak tuan jelaskan bagaimana untuk melakukannya?

- Amril, Temerloh.

Safe mode atau mod selamat adalah satu keadaan pelancaran untuk membuka sistem komputer Windows dalam keadaan pelarian sistem komputer yang paling minimum operasinya.

Mod selamat ini tidak akan melarikan program-program komputer yang tidak penting dalam sistem Windows bagi membolehkannya beroperasi pada tahap minimum.

Begitu juga dengan penggunaan sumber-sumber komputer seperti memori, pemproses, cakera keras dan sebagainya adalah pada tahap yang minimum.

Banyak aplikasi-aplikasi komputer yang lain seperti Mozilla Firefox ada menyediakan mod selamat ini untuk larian aplikasi pada tahap minimum.

Ini diperlukan apabila aplikasi komputer tersebut bermasalah untuk dibuka atau digunakan.

Kenapa perlunya mod selamat?

Apabila sesebuah sistem komputer dijangkiti oleh virus, kebiasaannya ia akan menyebabkan sistem komputer tersebut beroperasi secara tidak keruan dan bermasalah.

Ia juga berkemungkinan akan meningkatkan penggunaan aplikasi dan program komputer yang tidak penting pada tahap yang maksimum.

Ini menyebabkan komputer tersebut juga akan berada pada tahap maksimum dari segi penggunaan sumber-sumbernya seperti memori, pemproses, cakera keras dan sebagainya.

Oleh demikian, operasi sistem komputer Windows tersebut perlu dijalankan pada tahap yang minimum operasinya.

Ini perlu bagi membolehkan perisian antivirus berupaya membuat pengimbasan keselamatan pada sesebuah sistem komputer yang dijangkiti virus pada tahap yang optimum.

Contoh fail atau program yang tidak dilarikan oleh Windows ketika mod selamat adalah seperti autoexec.bat, config.sys, fail drivers dan lain-lain. Malah, fail-fail sistem ini banyak menjadi sasaran serangan oleh virus yang dijangkiti.

Jadi, mod selamat pada sistem komputer Windows merupakan keadaan yang sesuai dan selamat untuk melarikan perisian antivirus dalam sistem komputer Windows yang dijangkiti virus.

Malah ia juga merupakan keadaan yang sesuai untuk melarikan sistem komputer Windows bermasalah yang disebabkan oleh pelbagai perkara seperti terbuang fail sistem, kerosakan fail sistem, perkakasan dalaman komputer bermasalah dan sebagainya.

Namun begitu, ia bergantung kepada tahap masalah yang dihadapi.

Bagaimana untuk capai mod selamat ini?

Terdapat dua kaedah untuk larikan sistem komputer Windows dalam mod selamat .iaitu dengan menekan butang tertentu ketika but sistem komputer atau melakukan konfigurasi but pada sistem komputer Windows.

Kaedah pertama

l Restart atau boot semula komputer.

l Tekan butang F8 secara berulang kali ketika komputer sedang but.masuk ke Windows.

l Guna butang anak panah untuk memilih menu Safe Mode dan tekan butang Enter.

l Kaedah ini kadang kala tidak sama bagi semua jenis pengeluar komputer atau versi Windows yang digunakan. Sila semak manual pengguna.

Sebagai contoh, ada sistem komputer yang memerlukan tekan secara terus butang Ctrl ketika komputer sedang but untuk masuk ke pilihan mod selamat ini.

Kaedah kedua

l Klik butang Start > Run. Taip perkataan msconfig dalam ruang kekotak yang keluar dan tekan butang OK.

l Seterusnya tetingkap program System Configuration Utility akan dipaparkan.

l Klik pada tab General dan klik pada pilihan Selective Startup.

l Klik pada tab BOOT.INI dan pada ruangan Boot options, klik pada /SAFEBOOT.

l Klik butang Apply dan OK. Klik butang YES untuk Restart komputer.

l Bagi Windows versi lama seperti Windows98 dan lain-lain, pada tab General, setelah klik pilihan Selective Startup, klik butang Advanced > Enable Startup Menu. Klik OK dan but semula komputer seperti biasa.

Wednesday, May 2, 2012

Hidup tanpa seks !!!



DIANGGARKAN satu peratus daripada penduduk di dunia terdiri daripada mereka yang hidup tanpa seks dalam istilah bahasa Inggeris asexual.

Walaupun kajian mengenainya terhad, namun golongan ini merupakan kelompok yang tidak akan melalui pengalaman seks sampai mati.

Dalam satu soal selidik di Amerika Syarikat yang disiarkan dalam akhbar The Guardians, United Kingdom, salah seorang respondennya yang hanya dikenali sebagai Annette memberitahu, pada usia 47 tahun dia tidak pernah mempunyai teman hidup.

Namun katanya, perjalanan hidup yang dipilih itu turut membawanya kepada pelbagai cabaran terutama desakan supaya memiliki pasangan daripada keluarga dan rakan-rakan.

Annette memberitahu, kumpulan wanita di gereja yang selalu dikunjungi sering melakukan doa agar dia ditemukan suami.

Sementara seorang saudaranya pula telah mendaftar nama Annette dengan sebuah agensi mencari jodoh.

Annette dan golongan asexual lain sepertinya tidak pernah dan kemungkinan langsung tidak akan melalui pengalaman seks.

Annette sendiri berulang kali mengatakan dia bahagia dan gembira dengan cara hidup itu.

Dalam kaji selidik melalui e-mel itu, Annette yang menetap di Minnesota, Amerika Syarikat (AS) bertugas di firma guaman.

"Kerja ini membuatkan saya gembira untuk menjadi seorang yang asexual, sebab saya melihat banyak kes penceraian dan apa yang berlaku dalam perhubungan seperti suami tinggalkan isteri kerana ada hubungan dengan lelaki," katanya.

Walaupun hidup di negara maju, kehidupan asexual Annette tetap menimbulkan syak wasangka.

Bagi Annatte sendiri, sepanjang hidupnya dia sentiasa cuba memahami apa yang mendorong mereka di sekeliling mahu mempunyai hubungan seksual yang baginya penuh dengan masalah.

Mendengar golongan asexual bercerita tentang kehidupan harian menunjukkan mereka mempunyai ruang lingkup sendiri.

"Hidup dengan dunia yang romantik dan ada hubungan seksual yang ideal sangat sukar.

"Kesan yang paling meresap dalam hidup saya ketika ini sebagai pelajar ialah banyaknya perbualan yang berkisar tentang seks dan tarikan seksual pada seseorang yang mana saya tidak berminat mengetahuinya," kata Bryony, 20, pelajar biologi dari Manchester.

David Jay dari California yang menubuhkan komuniti online mengenai asexual yang kini telah mengumpulkan 50,000 ahli pula berkata, komuniti taliannya merujuk perkara itu sebagai gerakan asexuality yang kini kononnya telah masuk fasa ketiga.

Fasa pertamanya dakwanya, bermula awal 2000-an. Namun itu tidak bermakna, kelompok asexual itu tidak wujud sebelum itu. Ini kerana ia tidak memiliki identiti khusus untuk mengenali golongan itu.

Asexual bukan bermakna golongan itu menafikan keinginan seks mereka yang menyebabkan mereka hidup tanpa seks, tetapi mereka tidak mempunyai keinginan.

Fasa kedua pula didakwa mula melibatkan gerakan membabitkan golongan itu.

Pada tahun 2006 Jay mula mendedahkan pada media mesej-mesej tentang asexual.

Pada tahun ini fasa ketika gerakan asexual seperti yang didakwa oleh Jay ialah untuk mencabar tanggapan umum mengenai apa yang dianggap sebagai kehendak seks yang normal.

"Secara teorinya ketiadaan keinginan seks bukan satu masalah. Tetapi disebabkan aktiviti seksual adalah sesuatu yang normal, maka kehadiran kumpulan asexual berpotensi untuk jadi masalah kerana ia semakin kelihatan dan ia mungkin menjadi satu stigma baru," kata profesor dari Universiti Brock, Ontario, Dr. Tony Bogaert yang pakar dalam penyelidikan asexual.

Neth, 24, dari West County pula berkata, dia mengetahui dirinya seorang asexual sejak remaja tetapi hanya baru-baru ini tahu terdapat istilah mengenai apa yang dirasainya itu.

untuk menggambarkan dirinya, Neth juga mengatakan dia sebagai genderqueer, istilah umum untuk mereka yang tidak mahu dikenali sebagai lelaki atau perempuan.

"Kadang-kadang saya rasa lebih sebagai perempuan kadang-kadang tidak ada langsung," katanya.

Dia pernah mempunyai teman lelaki tetapi telah berpisah.

"Kehendak dan tarikannya berbeza dengan saya. Saya tidak fikir dia sedar apa yang berlaku pada saya. Pada permulaan memang ada sesuatu berkaitan dengan seksual. Dia mahukannya dan saya terperangkap dengan memiliki teman lelaki.

"Tetapi wujud perasaan janggal selepas itu. Setelah bertahun bersama ternyata saya tidak mahukan seks.

"Saya berusaha mengelakkannya dan akhirnya kami hanya menjadi kawan," kata Neth.

Dr. Lori Brotto dari Jabatan Obstetrik dan Ginekologi Universiti of British Columbia dalam kajiannya mendapati tidak ada pemisahan gender dalam asexual. Kebarangkalian lelaki dan perempuan untuk menjadi seorang yang asexual adalah sama.

Tetapi, lelaki yang asexual ada kemungkinan akan beronani berbanding perempuan. Ini kerana lelaki yang mempunyai keinginan seks normal akan bertindak balas terhadap tuntutan mereka itu.

Eksperimen yang dilakukan oleh Brotto dengan mengukur reaksi vagina terhadap rangsangan seksual secara visual bagi wanita normal dan wanita asexual juga tidak menunjukkan sebarang perbezaan.

Katanya, reaksi fizikal wanita asexual adalah sama dengan wanita yang ada keinginan seks secara normal.

Laura, 21, dari Scotland pula memberitahu, dia juga tahu dirinya seorang yang asexual ketika remaja.

"Ketika di sekolah pelajar perempuan mula bercakap tentang seks ketika berusia 13 tahun. Saya tidak faham apa yang mereka cakapkan ketika itu," katanya.

Dia yang bekerja di sebuah bar sentiasa berhadapan dengan godaan pelanggan lelaki saban hari.

Tetapi ia tetap gagal mendorongnya untuk memiliki keinginan seks.

"Saya cuba memberitahu dan menerangkan kepada mereka yang saya seorang yang asexual.

"Tetapi apa yang mereka jawab ialah itu disebabkan saya belum mencubanya dengan mereka.

"Jadi akhirnya pada saya lebih baik tidak bercakap mengenainya langsung," kata Laura.

Minum arak dalam iklan Malaysia Truly Asia?


SAYA tertarik dengan beberapa klip video promosi 'Malaysia Truly Asia' oleh Malaysia Tourism yang disiarkan di saluran Astro dan juga saluran-saluran tv yang lain (jika ada).

Di dalam salah satu klip video tersebut terdapat dua adegan minum minuman keras. Satu di pertengahan klip iaitu di dalam sebuah hotel dan satu lagi di penghujungnya di gerai sate. Soalan kepada Malaysia Tourism, adakah minum minuman keras menjadi budaya Malaysia?

Memanglah minum arak adalah biasa bagi kebanyakan negara 'Truly Asia' lainnya, tetapi bukanlah satu budaya Malaysia dan adakah Malaysia turut ingin mencontohinya?

Tambahan pula dengan lambakan pendatang Afrika, Amerika Selatan dan lain-lain negara dari seluruh ceruk dunia ke Malaysia dicampur dengan pendatang Asia sedia ada, jika tidak dikawal, tidak mustahil slogan Malaysia Tourism 'Malaysia Truly Asia' akan menjadi 'Malaysia Truly World' akhirnya.

SYED AHMAD
Putrajaya

Wajarkah guru memakai selipar semasa mengajar?


SAYA merupakan guru perempuan yang mengajar di salah sebuah sekolah di Kuala Lumpur. Saya adalah guru baru ditempatkan di sekolah, saya agak keliru dengan suasana pemakaian guru wanita di sekolah ini.

Ini kerana, tidak ada seorang pun yang boleh saya jadikan contoh dalam pemakaian kasut dan stoking. Kami semasa belajar di IPG diajar untuk berpakaian dengan penuh etika sebagai seorang guru. Kami dilatih untuk menjadi contoh kepada orang lain termasuk juga kepada murid.

Apa yang berlaku di sekolah ini adalah sebaliknya, daripada pihak pentadbir iaitu guru besar hanya memakai kasut tanpa bersarung kaki sehingga ke pihak guru-guru sekalian hanya memakai selipar apabila ke sekolah. Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka apabila melakukan apa saja aktiviti sekolah hanya berselipar termasuk semasa mengajar di dalam kelas. Tidak dinafikan, selipar yang mereka pakai penuh dengan gaya dan jenama.

Namun begitu, apabila saya selak surat pekeliling akan hal ini, saya agak terkejut apabila saya merujuk kepada Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 6/1985 mengenai Peraturan Pakaian Guru Perempuan menyebutkan guru perempuan boleh memakai selipar, cerpu atau yang sejenis dengannya yang mempunyai bentuk yang sesuai boleh dipakai dengan pakaian yang ditetapkan.

Mohon penjelasan pihak berwajib terutamanya Pihak Kementerian Pelajaran Malaysia

GURU DIKELIRU WNABWZ

Teknik goda suami..



I NGATKAH bagaimana manjanya reaksi anda pada suami di awal usia perkahwinan atau ketika berbulan madu dahulu? Ketika itu rengekan, lentukan kepala, mata bercahaya, pandangan kuyu, cumbuan dan ciuman sentiasa menghiasi suasana di samping menghangatkan kamar beradu anda dengan ritma aromatik dan erotik.

Setelah usia perkahwinan semakin panjang, apa kata sesekali anda melakukan sesuatu untuk menggoda suami agar hubungan berkasih sayang dapat dipupuk seerat mungkin.

Pastinya, setiap sentuhan, belaian manja, dan bisikan hangat adalah antara beberapa cara anda berinteraksi untuk membuatkan suami tergila-gilakan anda setiap hari.

Apa kata sekiranya pada waktu pagi ketika suami sedang berjalan keluar dari bilik untuk ke tempat kerja, pegang tangannya dengan cara anda memandang tepat ke matanya dan kemudian berdakapan dengan suami anda.

Peluklah suami anda sepenuhnya dengan rasa kasih sayang dan kemudian memberikan lambaian mesra kepadanya sebelum dia berlalu.

Sebelum itu secara sembunyi, perlahan-lahan masukkan sekeping nota pendek berbau cinta dan sulaman kasih ke dalam poket seluar atau jaketnya.

Atau mungkin juga nota mengajaknya untuk makan malam di sebuah restoran pada malam itu atau apa sahaja.

Apabila sesampainya di pejabat suami anda menyeluk sakunya dia terpegang nota anda dan membacanya. Pastinya dia akan menelefon anda sejurus selepas dia membacanya.

Juga anda boleh menelefon suami anda pada tengah hari itu untuk memastikan dia pulang pada masa yang tepat pada petang atau malam nanti.

Ketika panggilan itu dilakukan, bisikan kata-kata dengan suara yang seksi kepada suami anda dan beberapa perkataan yang anda memang tahu suami anda sukakannya ketika beraksi di katil.

Sudah pasti suami anda amat menghargai setiap kata-kata bisikan yang jarang-jarang kedengaran daripada mulut anda seperti itu.

Sebaik suami anda balik ke rumah, pastikan rumah anda berbau keharuman bunga-bungaan, bersih, kemas dan pasangkan lagu lembut dan romantik yang memberikan rasa ketenangan kepadanya.

Jemput dia tidur di riba anda, urut perlahan bahunya sambil melakukan belaian erotik di sekitar dada, perut dan dahinya menggunakan jari-jemari anda.

Cara godaan ini mungkin agak ekstrem. Tapi anda boleh melakukannya sesekali. Ketika mandi di dalam bilik mandi di dalam bilik tidur, anda biarkan pintunya sedikit terbuka dan biarkan suami anda yang ketika itu berada di atas katil melihat anda.

Lihatlah apa reaksi suami anda yang gugup menelan air liur melihatkan permainan godaan anda yang kelihatan hangat dalam bilik mandi sambil tubuh disirami air.

Sekiranya anda ingin kelihatan lebih seksi apa kata anda memakai minyak wangi yang baru atau mengubah bau minyak wangi anda.

Bau-bauan sebenarnya dapat menawan hati suami. Pilihlah bau minyak wangi yang mungkin dia suka. Letakkan sedikit di belakang leher, belakang telinga, sedikit di celah dalam paha yang pastinya memberikan rasa godaan yang bukan sedikit kepada suami anda.

Kadang-kala ada sesetengah suami yang suka melihat isterinya memakai barangan kemas atau aksesori contohnya mutiara.

Jadi goda suami anda dengan memakai mutiara ketika berada di atas katil tanpa pakaian di badan anda.

Atau sesekali cuba goda suami dengan memakai pakaian dalam yang berwarna erotik dan warna yang terang seperti merah atau berbintik harimau bintang.

Fabriknya pula perlulah daripada sutera yang menyerap peluh, berkilat dan lembut untuk mudah diusap oleh suami ketika berada di atas katil berduaan.

Suami Lena main kayu tiga...


APA lebihnya wanita-wanita itu dan apa kurangnya saya?" Ungkapan pertama berbentuk pertanyaan dilontarkan wanita ini ketika berbicara.

Dalam mata yang berkaca amat sukar untuk diduga kepingan hatinya sama ada sedih atau puaskah dia tatkala bercerita melahirkan dendam kesumat terhadap insan yang dibenci dalam hidupnya.

Insan itu sudah tentu bekas suaminya yang telah banyak kali merobek dan melukakan hatinya, meninggalkan dirinya bersama dua orang anak terkapai-kapai meneruskan kehidupan.

''Saya sebenarnya bukanlah seorang mata duitan. Kebahagiaan bagi saya bukanlah diukur dengan wang ringgit. Justeru saya terima dia seadanya pada awal perkenalan kami.

''Setelah beberapa bulan berkenalan saya pun mendirikan rumah tangga dengan lelaki ini. Maklumlah usia masih muda, awal 20-an ketika itu dan rasa sayang yang keterlaluan terhadap lelaki ini menyebabkan saya tidak mengendahkan kata-kata ibu bapa, keluarga dan meneruskan perkahwinan," kata anak sulung daripada lima adik-beradik berasal dari Pahang ini.

Apa yang dikatakan wanita ini pasti ada kebenarannya, sementelah lelaki yang dikahwininya itu hanya sekadar bekerja sebagai budak penghantar surat - Lena, biarpun tidak berjawatan tinggi, namun pendapatannya tetap dan melebihi daripada apa yang diterima bekas suaminya setiap bulan.

Dek kerana sayang, Lena (bukan nama sebenar) tidak kisah berkongsi apa sahaja dengan suaminya untuk meneruskan kehidupan di alam rumah tangga, biarpun terpaksa berdikit.

''Saya tanggung segalanya. Semua kerja rumah saya buat. Namun bekas suami saya pada waktu itu tidak menang tangan. Berlagak seperti dia masih bujang. Bermotor ke sana dan ke sini dan pada waktu malam baru saya boleh berjumpa dengannya apabila dia balik ke rumah sewa kami.

''Saya mengharapkan kelahiran anak akan menginsafkannya dan membuatkan dia lebih matang dan bertanggungjawab. Namun telahan saya tidak tepat.

''Dia langsung tidak mahu melihat atau menyentuh anaknya. Dia juga sudah pandai menyakiti saya. Tangan dan kakinya sentiasa sahaja singgah di tubuh saya kalau ada perkara yang dia tidak berkenan dengan diri saya," kata Lena yang ditemui di sebuah restoran di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lena berkata, setelah kelahiran anak keduanya, dia mula mendengar kata-kata jiran mengenai suaminya yang sudah mula membawa pelbagai jenis perempuan pulang ke rumah sewa mereka apabila Lena keluar bekerja.

Pada mulanya Lena tidak mengendahkan kata-kata jiran dan menganggapnya sebagai satu fitnah, kerana Lena tahu suaminya keluar untuk pergi bekerja atau mungkin juga dia enggan atau takut mengakui hakikat ia adalah satu kebenaran.

''Memandangkan saudara saya sendiri telah mula mempersoalkan mengenai hubungan kami suami isteri, saya pun mula tekad untuk menyiasat. Saya mengambil keputusan untuk pulang awal ke rumah dari tempat kerja secara senyap pada satu hari itu," katanya.

Anak-anak pula dihantar ke rumah jiran untuk dijaga sementara dia keluar bekerja.

Sesampainya di rumah, Lena melihat kasut suaminya dan kasut wanita di pintu luar rumah sewanya yang bertutup kemas. Di sebelah pagar tersadai motor suaminya berserta beberapa keping surat pejabat yang sepatutnya dia hantarkan.

Menggunakan kunci yang dipegangnya, Lena memasuki rumah secara diam-diam dan melihat suaminya bersama seorang wanita di dalam bilik tidur mereka - tanpa seurat benang.

''Hancurnya hati saya ketika itu Tuhan sahaja yang tahu. Apabila suami saya menyedari kehadiran saya dia bingkas bangun dari katil dan mencapai penyangkut baju di tepi katil dan memukul saya.

''Wanita itu pula hanya melihat saja tanpa berbuat apa-apa. Selepas puas memukul saya, suami dan wanita itu bergegas keluar dari rumah, menghidupkan motosikal dan berlalu pergi," kata Lena sayu.

Sejak hari itu, suaminya tidak balik ke rumah lagi. Lena membuat keputusan untuk meminta fasakh dan kemudian berpindah membawa bersama anak-anaknya.

''Mujurlah ibu bapa saya memahami. Mereka yang banyak memberikan bantuan dan sokongan moral. Masalahnya ibu bapa mentua langsung tidak mahu masuk campur dan enggan menyalahkan anaknya itu atas setiap perbuatan yang dilakukan," jelasnya.

Lena berkata, lima tahun usia perkahwinan mereka dan sampai ke saat itu dia masih mampu bersabar dan bertahan dengan sikap suaminya. Namun apabila dia menyedari suaminya meniduri wanita lain, itu memang tidak boleh dimaafkan lagi.

Bagi Lena biarpun tujuh tahun telah berlalu sejak usia perceraian mereka, namun peristiwa itu tetap berbekas di hatinya sampai ke saat ini sehinggakan dia takut untuk berumahtangga lagi sedangkan ada yang cuba mengetuk pintu hatinya.

"Apa yang penting saya fokus dengan kerja untuk menyara anak-anak yang masih tidak mengerti apa-apa itu.

"Alhamdulillah, kini saya berjaya dan mungkin kejayaan ini tidak saya kecapi sekiranya terus hidup bersama dia," katanya.

Lena memang patut berbangga dengan dirinya. Kini dia merupakan seorang yang bergelar pengarah syarikat dan menguruskan pelbagai perniagaan sampingan lain.

''Saya kini meneruskan kehidupan dengan anak-anak dengan tabah. Saya juga sudah menyimpan sedikit harta untuk bekalan anak dan usia tua saya. Anak-anak pun tidak pernah bertanyakan di manakah ayah mereka sekarang.

''Apa yang saya dengar dia pun sudah diberhentikan kerja kerana sikapnya yang asyik ponteng," katanya yang menyedari bekas suaminya itu adalah seorang kasanova.

Oleh ROSMAH DAIN

'Kerana kasihan, mentua paksa suamiku kahwini sepupu'...


"MAK harap kamu reda dengan apa yang akan berlaku. Mak nak nikahkan suami kamu dengan sepupunya yang kini telah menjadi ibu tunggal."

Jika anda yang mendengar kata-kata itu, apa tindakan anda? Marah, merajuk atau melawan keputusan mentua anda.

Tentu ia suatu isu perit yang sukar anda selesaikan dalam sekelip mata. Apa kata kita ikuti kisah ini seterusnya, luahan perasaan Shila (bukan nama sebenar) yang ingin dimadukan oleh mentuanya sendiri gara-gara kasihan kepada anak saudaranya yang sudah kehilangan suami.

Wanita ini saya temui pada satu majlis seorang kenalan baru-baru ini. Saya memang tahu dia bermasalah, jadi urusan saya untuk berkongsi cerita dengannya tidak menjadi masalah kerana Shila dengan senang hati bercerita kepada saya tentang kemelut rumah tangga yang dihadapinya.

Begini cerita Shila.

"Saya berusia 45 tahun dan suami, Amirul (bukan nama sebenar) 50 tahun. Kami sudah 25 tahun hidup bersama. Rumah tangga kami bahagia, tidak ada masalah langsung.

"Tiga orang anak kami sudah berjaya dalam hidup mereka dan sudah bekerja. Mentua seorang yang baik hati, penyayang dan amat mengambil berat akan hal kami sekeluarga.

"Saya adalah menantu sulung dalam keluarga suami seramai empat adik-beradik. Jadi saya selalu mengalah dalam apa juga perkara dalam keluarga mentua.

"Suami seorang yang baik, penyayang dan mengambil berat akan hal saya dan anak-anak. Biarpun anak-anak semua sudah dewasa, hubungan tetap akrab.

"Suatu hari mentua saya menelefon suami meminta kami pulang ke kampung, katanya ada urusan penting berkaitan keluarga. Seperti biasa saya dan suami tidak banyak tanya. Dalam perjalanan kami meneka apa agaknya yang hendak diceritakan ibu kali ini.

"Dalam kereta kami berbincang apakah masalah ibu kali ini. Tapi suami rileks sahaja kerana katanya jika tidak kerana nak minta wang mungkin dia mahu buat kenduri.

"Tekaan kami meleset sama sekali setibanya di sana. Jantung saya bagaikan meletup kala ibu mentua meminta saya berkorban untuk dia dan suami.

"Seingat saya selama ini saya selalu berkorban sehingga ada masanya saya ketepikan keluarga sendiri kerana mentua.

"Saya tanya pengorbanan yang macam mana dia inginkan. Katanya dia mahu saya mengizinkan suami bernikah dengan anak saudaranya yang kini sudah menjadi ibu tunggal setelah kematian suami.

"Macam hendak meletup jantung saya mendengar permintaannya itu. Tapi saya tidak tunjuk marah dan geram saya. Kata mentua lagi, suami mesti ikut katanya kali ini sebab dulu suami memang dicadangkan untuk bernikah dengan sepupunya itu tetapi kerana saya jadi pilihan, dia ikut saja.

"Kini katanya sudah sampai masanya saya pula berkorban untuk bermadu dengan sepupu suami. Kononnya sebab dia kasihan dengan anak saudaranya itu yang tidak ada suami dan terpaksa membesarkan anak-anak seorang diri.

"Suami saya juga terkejut dan membantah keputusan ibunya itu. Itulah kali pertama saya melihat suami bertengkar dengan mentua sejak kami berkahwin.

"Saya menangis apabila kami tiga beranak bergaduh tentang perkara ini. Suami mempertahankan saya dan menyifatkan tindakan mentua sebagai mengarut.

"Saya pelik juga, kenapa dia mesti sibuk nak kahwinkan anak saudaranya itu dengan suami saya sedangkan anak saudaranya itu bukanya orang susah. Suaminya ada meninggalkan banyak harta dan wang untuk dia dan anak-anaknya. Tanpa suami pun dia boleh hidup senang.

"Saya terpaksa mempertahankan suami kerana saya tidak mahu berkongsi dengan orang lain. Biarpun kami sudah 25 tahun bernikah saya sayangkan suami dan rumah tangga kami.

"Kenapa sekarang baru mentua mahu menjodohkan mereka? Adakah dia sengaja hendak sakitkan hati saya dengan isu ini.

"Apabila suami berkeras tidak mahu menerima cadangan ibunya, mentua mengeluarkan kata-kata kalau kami berdua tidak mahu mengikut katanya kami diharamkan balik ke rumahnya lagi.

"Terkejut juga kami dengan ugutan itu tetapi kami pasrah. Jika itu yang mentua mahu, kami akan akur. Keputusannya kami sekeluarga disingkir mentua.

"Kini sudah hampir setahun saya dan suami tidak pulang ke kampung bersama anak-anak. Ipar-duai saya juga demikian, mereka juga jarang balik sebab saya dan suami tidak ada.

"Menurut saudara mara yang selalu menghubungi saya dan tahu kisah ini, mentua sekarang amat rapat dengan anak saudaranya itu. Ke hulu ke hilir berdua, malah mentua juga sekarang sudah pandai melaram.

"Saya tidak pelik dengan khabar itu kerana anak saudaranya itu memang seorang yang pandai bergaya. Dia juga pernah beberapa kali menelefon suami untuk berjumpa dan berbual... alhamdulillah, setakat ini suami tidak melayan.

"Keadaan itu menjadikan kami trauma untuk balik kampung... Kini saya dalam dilema, saya kasihankan suami yang terputus hubungan dengan ibunya gara-gara hendak mempertahankan kesetiaannya terhadap saya.

"Pada masa yang sama saya gembira dan terharu kerana suami membela saya. Saya harap ada keajaiban yang berlaku dalam keluarga kami.

"Saya faham setiap yang berlaku ada hikmahnya. Setiap hari saya berdoa agar mentua akan insaf dan sedar akan perbuatannya itu. Saya juga berharap satu hari nanti mentua akan menerima kami semula seperti masa lalu. Pesan ibu saya, jangan putus berdoa, mohon kepada Allah agar segala kekalutan akan berakhir dan hubungan dengan mentua kembali seperti sedia kala.

"Saya harap semuanya akan berakhir dalam masa terdekat. Walaupun saya sedih dengan keadaan ini saya terima dengan reda. Sehingga kini saya tidak tahu kenapa mentua mahu jodohkan anak saudaranya itu dengan suami saya.

"Pelik juga apabila difikirkan tetapi saya tidak mahu membebankan fikiran saya dengan masalah itu sebab yang penting suami dan anak-anak ada di sisi saya. Susah senang kami akan harungi bersama. Semoga Allah memakbulkan doa saya dan membuka pintu hati mentua untuk kembali seperti masa lalu. Insya-Allah," Shila menutup cerita dengan penuh mengharap.

Pelik juga kisah Shila kongsi dengan pembaca minggu ini. Tetapi itulah realiti hidup. Jangan fikir di penghujung perkahwinan tidak ada dugaan yang datang. Malah semakin usia meningkat, semakin hebat cabaran yang datang.

Saya harap Shila akan terus tabah melalui ujian ini. Mungkin mentua ada sebab untuk berbuat demikian tetapi Shila harus bersyukur kerana suami tetap setia mempertahankan kasih sayangnya terhadap Shila dan rumah tangga. Susah mencari suami yang setia seperti ini masa sekarang.

Saya juga berdoa agar kemelut keluarga ini akan berakhir dalam masa terdekat. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan hidup Shila dan keluarga untuk terus menggapai kebahagiaan. Tindakan suami tidak melayan sepupunya itu juga satu tindakan bijak dan harus diteruskan. Jangan beri muka kerana bimbang keadaan akan menjadi lebih keruh.

Menutup kata, pesanan daripada saya: Bersabar dan berdoa adalah sebaik-baik cara untuk memulihkan keadaan kerana dengan mengingati Allah akan mendekatkan kita dengan kebahagiaan yang dicari.

Salam.

Normala Hamzah

Krisis usia 40 - 65 tahun...


PERNAHKAH anda mendengar frasa "life begins at 40?" Ia adalah fasa kehidupan yang menggambarkan tentang perubahan tingkah laku dan emosi manusia apabila berada dalam lingkungan umur 40 ke 65 tahun.

Fenomena berkenaan dikenali sebagai midlife crisis atau krisis pertengahan usia dalam istilah psikologi.

Sesetengah lelaki akan menyedari fenomena ini semasa menyambut hari jadi mereka pada umur tertentu atau pada kelahiran cucu pertama. Ada yang menyedarinya setelah merasakan prestasi seksual mereka semakin menurun akibat penurunan paras hormon testosteron.

Bagi wanita pula, mereka biasanya lebih bersedia kerana mengalami simptom menopause sebagai tanda bermulanya fasa tersebut.

Individu dalam lingkungan umur ini amat mencemburui zaman. Mereka sedar bahawa kecantikan dan kecergasan fizikal yang mereka ada satu ketika dulu semakin pudar.

Tanda-tanda penuaan seperti rambut yang ditumbuhi uban, penambahan saiz pinggang, kedutan pada wajah dan pengurangan daya ingatan mulai ketara. Mereka merasakan masa bergerak terlalu pantas.

Ibu bapa baru tersedar bahawa mereka tidak sempat menikmati saat-saat indah ketika membesarkan anak-anak. Kini anak-anak sudah dewasa, malah ada yang telah berkahwin dan berpindah ke rumah sendiri. Ibu bapa di kampung semakin uzur. Adik-beradik, sahabat handai dan saudara mara pula ada yang telah meninggal dunia.

Bebanan kerja yang meningkat, masalah kewangan dan ketidakharmonian keluarga pula menyebabkan mereka kerap berfikir adakah mereka telah membuat pilihan yang tepat dalam hidup. Tempoh persaraan yang semakin hampir dan kurangnya persediaan memburukkan lagi keadaan.

Mereka yang gagal melalui tempoh midlife ini akan menunjukkan perubahan tingkah laku dan emosi. Perubahan ini boleh berlaku dalam tempoh yang singkat daripada seorang penyabar kepada panas baran, penyayang kepada tidak bertanggungjawab atau ceria kepada pendiam.

Ada juga yang mengalami kemurungan dan hidup dalam penafian. Mereka mula mencuba tabiat baru seperti merokok, berjudi, mengambil alkohol atau menyalahgunakan dadah.

Perbalahan suami isteri dan keganasan rumah tangga kadangkala berakhir dengan perceraian. Ada yang menukar isteri kepada yang lebih muda dan jelita untuk memenuhi tuntutan jiwa muda.

Midlife crisis perlu ditangani. Setiap orang perlu melalui proses ini dengan bijak. Anda tidak perlu musnahkan kehidupan sekarang untuk kembali ke dunia remaja. Apa yang perlu dilakukan adalah belajar cara-cara merangsang minda bagi mengembalikan semula perasaan indah zaman tersebut.

Di samping itu, pengambilan makanan seimbang, senaman berkala dan rawatan hormon juga boleh dilakukan untuk membantu melambatkan proses penuaan.

Apa yang perlu anda buat?Stres adalah masalah utama golongan ini. Kurangkan stres dan elakkan kerisauan melampau.

Tidurlah secukupnya. Pastikan anda telah pun tidur dengan nyenyak pada pukul 11 malam ke 2 pagi kerana waktu inilah badan anda melakukan proses membaik pulih.

Kurangkan mengomel tentang sebarang kekurangan pasangan dan banyakkan melihat kelebihan yang ada. Kukuhkan ikatan kekeluargaan dengan meluangkan lebih banyak masa bersama.

Kebanyakan lelaki usia ini tidak ramai kawan rapat. Hubungi rakan lama di sekolah dan jangan malu untuk beritahu yang anda telah berubah sesuai dengan usia.

Kurangkan penglibatan dengan kumpulan berteraskan sosial atau politik. Sertailah aktiviti kumpulan keagamaan setempat seperti masjid dan surau.

Senaraikan keutamaan hidup dan keluarkan mana yang tidak penting. Ini akan mengurangkan komitmen masa dan wang anda. Betulkan hala tuju kerjaya dengan meningkatkan kemahiran dan cuba teroka bidang baru seperti kembali ke kolej atau universiti jika berpeluang.

Mulakan semula hobi zaman remaja seperti menunggang motosikal, menulis buku, menanam pokok bunga, bermain bola atau menonton wayang. Ini akan mengembalikan semula perasaan gembira pada waktu tersebut.

Luangkan masa dengan mereka yang boleh menggembirakan hati. Cari peluang untuk ketawa seperti mengambil gambar aksi sendiri atau menonton komedi.

Sentiasa ingat perkara-perkara yang pernah membuat anda gembira seperti saat manis bercinta, kelahiran cahaya mata atau ketika anda menikmati pemandangan indah.

Nasi kandar oh nasi kandar....


SEBENARNYA saya tak tahu rupa sebenar nasi kandar itu. Setahu saya, ia nasi putih, tambah kuah dan lauk," kata seorang rakan penulis ketika ditanya apa yang dia tahu tentang nasi kandar.

Mungkin ada di antara kita hanya melihatnya sekadar nasi putih biasa atau seakan-akan nasi campur. Hakikatnya, nasi kandar bukan sekadar nasi campur biasa.

Resipi nasi kandar diilhamkan oleh golongan India Muslim atau mamak. Berdasarkan sejarah, pedagang India Muslim dari wilayah-wilayah selatan India seperti Malabar datang ke Tanah Melayu pada kurun ke-16.

Mereka mencipta resipi nasi kandar dengan berpuluh-puluh jenis rempah dan menyesuaikannya dengan persekitaran di Tanah Melayu.

Nasi kandar pada zaman awal cuma dihidangkan pada waktu pagi dan gelaran kandar kekal hingga kini sempena gaya penjual dekad 1930-an mengandar bakul atau raga yang mengandungi nasi dan lauk dengan sebatang kayu tebal.

Dengan kaedah itu, mereka merentasi pekan dan kampung menjaja makanan tersebut. Pada peringkat awal, nasi dihidangkan bersama lauk daging masak kicap, telur rebus dan bendi rebus sebagai sarapan pagi.

"Nasi kandar mendapat namanya apabila nasi diangkut oleh penjual menggunakan kandar iaitu kayu dengan penampung berat kantung makanan yang digalas di bahu.

Campuran "Sambil menggalas kandar, peniaga-peniaga berjalan menuju ke pelabuhan, tepi-tepi pantai atau ke pekan untuk menjual nasi kandar kepada orang ramai," ujar Sirajudin Y. Mohamed Mydin yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Di Kayu Nasi Kandar Sdn. Bhd.

Tambah Sirajudin, para peniaga itu sendiri akan mencampurkan kuah dan lauk kepada pelanggannya kerana hanya mereka yang mengetahui apa padanan yang sesuai untuk setiap menu pilihan pelanggan.

Itulah erti kata sebenar nasi kandar kerana peniaga nasi kandar itu sendiri perlu melayani anda.

"Bukan pelanggan ambil sendiri atau layan diri. Kalau pelanggan ambil sendiri lauk dan kuah maka itu tidak menepati definisi dan konsep nasi kandar.

"Anda tidak akan jumpa nasi kandar di India. Resipi nasi kandar dicipta oleh golongan India Muslim di Pulau Pinang," katanya.

Menurutnya lagi, nasi kandar adalah nasi putih yang dimasak dengan cara tersendiri dan disajikan dengan campuran kuah.

"Semasa dahulu, lauk asas yang perlu ada dalam sajian nasi kandar adalah kari ikan, kari daging, telur rebus, bendi goreng dan cili hijau mentah.

" Penjual nasi kandar tidak mampu untuk mengangkat sajian yang banyak kerana mereka hanya menggunakan kandar untuk berniaga," ujarnya.

Namun selaras dengan perubahan masa, menu tradisi itu turut menjalani transformasi apabila ramai pengusaha nasi kandar mempelbagaikan lauk-pauk.

ImejKini hampir keseluruhan restoran nasi kandar mula menampilkan imej dan wajah baru yang menampilkan suasana kafe.

Bahkan, sudah menjadi tradisi restoran nasi kandar moden di Pulau Pinang dan negeri-negeri lain, ia dibuka 24 jam sehari.

"Tidak kira di mana, nasi kandar kini menjadi imej makanan rakyat Malaysia seperti restoran makanan segera Barat.

"Sekarang nasi kandar sudah menjadi hidangan utama pada majlis perkahwinan, majlis keraian dan hari jadi," katanya.

Sirajuddin berkata, para peminat nasi kandar yang tidak punya waktu untuk keluar pejabat atau rumah, boleh membuat pesanan melalui online atau talian dengan Kayu Nasi Kandar yang paling dekat di kawasan mereka.

Sirajudin turut berkongsi petua untuk menikmati nasi kandar agar lebih sedap. Katanya, jangan makan nasi kandar menggunakan sudu dan garpu. Sebaliknya, makan guna tangan.

"Apabila kita makan dengan tangan bermakna kita akan memegang nasi. Sentuhan ini juga akan memberi rasa.

"Tetapi peminat nasi kandar perlu tahu, nasi kandar di Pulau Pinang lebih sedap kerana campuran air dalam masakan berbeza dengan di Kuala Lumpur," ujarnya.

HargaNasi kandar sememangnya sangat istimewa di hati rakyat negara ini. Peminatnya bukan sahaja terdiri daripada orang dewasa malah kanak-kanak turut sama meminatinya.

Hidangannya yang terdiri daripada pelbagai campuran kuah serta lauk digemari oleh semua kaum di negara ini sejak sebelum negara mencapai kemerdekaan lagi.

Ia dikatakan amat popular dalam kalangan pedagang luar termasuk kakitangan di pelabuhan Pulau Pinang.

Pengurus Restoran Line Clear yang sangat popular di Pulau Pinang, Zainul Halam Abd. Hamid berkata, hidangan tersebut dahulunya dijual seawal pukul enam pagi sebelum kakitangan awam termasuk para pekerja asing di pelabuhan mula bekerja.

Beliau berkata, harga bagi sebungkus nasi kandar ketika itu hanya serendah RM1.

Berbanding dahulu kini harga sepinggan nasih kandar boleh mencecah sehingga puluhan ringgit.

"Dahulu penjual nasi kandar mempunyai gayanya yang tersendiri. Mereka akan memakai baju-T lengan pendek berwarna putih bersama kain pelikat yang diikat dan ditarik sehingga ke paras lutut.

"Malah ada di antara mereka memakai tali pinggang berwarna hijau serta bersongkok tinggi ketika mengandar hidangan tersebut," ujar Zainul Halam.

Perubahan"Kini lauk-pauk nasi kandar dipelbagaikan. Hidangan nasi kandar telah berubah wajah. Ia dihidangkan bersama pelbagai lauk-pauk seperti ayam, udang, telur ikan, kepala ikan, sotong, daging dan ketam.

"Walaupun menerima banyak perubahan, keenakan rasanya masih terpelihara," katanya.

Dalam pada itu, Zainul Halam turut berkongsi kaedah penyediaan dan penyajian hidangan nasi kandar di premisnya yang terletak di Jalan Penang di sini.

"Bukan sahaja penyediaan lauk, nasi putih juga akan disejat lapisan kanji sebelum ditanak. Ini resipi sejak dulu lagi bertujuan mengurangkan kandungan kanji dalam setiap hidangan sekali gus boleh menjaga kesihatan.

"Orang dahulu memang mementingkan kesihatan kerana setiap hidangan yang dimasak mempunyai kandungan rempah-ratus yang tidak memudaratkan malah mereka tidak menggunakan santan bagi mengekalkan kepedasan rempah asli itu," ujarnya.

Oleh Rabiatul Adawiyah Koh Abdullah dan MALINDA ABDUL MALIK

Pantau pemilihan PIBG !!!


BULAN Mac adalah bulan sibuk Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengadakan mesyuarat agung.

PIBG merupakan tulang belakang dan penghubung di antara pihak sekolah dan waris pelajar dalam merancang dan mempelbagaikan aktiviti bagi kepentingan kedua-dua pihak.

Memandangkan PIBG merupakan barisan utama maka pelantikan jawatankuasa juga perlu ditelusi agar mereka yang dilantik merupakan waris kepada pelajar yang masih menuntut di sekolah itu.

Harapan saya pihak Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), Jabatan Pelajaran negeri (JPN) maupun Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) harus memantau dan memastikan agar mereka yang menerajui PIBG merupakan mereka yang layak.

Senario ini adalah kerana ramai di kalangan Yang Dipertua PIBG masih memegang jawatan walaupun anak mereka tidak bersekolah di situ.

Jawatan Yang Dipertua merupakan jawatan tertinggi dan seharusnya pihak sekolah menjadi penasihat dalam mesyuarat agung agar mereka yang akan dilantik mestilah di kalangan waris.

Perkara ini bukan sahaja dapat memberi kuasa atau kekuatan kepada kalangan mereka yang dilantik dalam melaksanakan hukuman atau perancangan yang dijalankan malah menggalakkan waris yang dilantik membawa pelbagai perancangan untuk dinikmati bersama antara pelajar, sekolah dan waris.

Seandainya operasi disiplin dijalankan dan diambil tindakan terhadap pelajar maka kemungkinan pihak sekolah akan dipersalahkan kerana jawatankuasa yang dilantik bukanlah di kalangan waris dan mereka tidak layak mengenakan hukuman.

Begitu juga dengan perancangan yang hendak dijalankan sekiranya kalangan waris menganggotai jawatankuasa pastinya pelbagai aktiviti akan dirancang dengan kerjasama pelbagai agensi dan sekali gus membantu pihak sekolah meringankan beban untuk mencari kewangan atau sumber untuk menjalankan aktiviti.

Oleh itu sudah sampai masanya pihak KPM dan JPN melalui PPD memantau sekolah-sekolah agar mereka yang dilantik mestilah mempunyai anak di sekolah itu.

WARIS DARI KEDAH

Awas tipu helah syarikat agensi pelancongan !!


BARU-BARU ini saya telah dihubungi melalui telefon oleh wakil syarikat agensi pelancongan yang mendakwa kononnya mereka mewakili syarikat Visa dan Mastercard.

Pemanggil berkata, tujuan panggilan adalah untuk mendapatkan pengesahan tentang butir-butir yang terdapat di dalam kad kredit saya, kononnya untuk tujuan mengelakkan kad kredit saya daripada dimanipulasi, disalah guna dan menjadi mangsa penipuan sindiket kad kredit pada masa hadapan.

Mereka meminta saya membacakan maklumat terperinci di dalam kad kredit seperti bila tarikh luput kad, nombor kad dan tiga nombor terakhir pada belakang kad. Oleh kerana berasa curiga, saya tidak memberikan maklumat yang diminta, sebaliknya mengasak beliau dengan pelbagai pertanyaan.

Saya bertanya mengapa syarikat Visa dan Mastercard menggunakan syarikat agensi pelancongan sebagai wakil mereka dan bukannya bank komersial. Akhirnya beliau mengaku sedang membuat promosi kad diskaun dan bercadang untuk mengecaj ke dalam akaun saya.

Saya mengatakan tidak berminat kerana telah terkena sebelum ini dan tiba-tiba panggilan diputuskan. Oleh kerana masih tidak berpuas hati, saya menghubungi pihak bank dan bertanyakan bagaimana maklumat pemegang kad ada pada pihak agensi pelancongan.

Pihak bank mengatakan maklumat tersebut senang diperoleh apabila kita membuat pembelian menggunakan kad kredit di mana-mana kedai atau pusat beli-belah. Cuma maklumat tiga nombor terakhir di belakang kad yang mereka tidak ada. Saya merasakan teknik penjualan secara penyamaran begini adalah suatu yang keterlaluan!

INSAN BENGANG
Shah Alam

Bas ekspres belum serik !! Bawak lebih laju dari kereta..


SAYA menggunakan Lebuh Raya Utara-Selatan hampir setiap hari. Menonton berita TV pada (Jumaat, 13 April 2012), tentang kemalangan yang melibatkan tujuh kenderaan dengan bas ekspres, saya merasa terpanggil untuk berkongsi pengalaman saya sendiri.

Bas dan lori berat merupakan kenderaan berat, dan harus berada di lorong kiri sekali di lebuh raya, dengan kelajuan maksimum 90 km/jam.

Apa yang saya perhatikan, pemandu bas ekspres (termasuk bas persiaran dan lori besar yang lain) seolah-olah berlumba dengan pemandu kenderaan yang lain.

Berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya memandu di lorong tengah lebuh raya dengan kelajuan 100 km/jam. Di belakang saya, bas yang saya kira seharusnya berada di lorong kiri sekali, mengikut dengan rapat di belakang kereta saya. Tidak cukup dengan itu, pemandu bas tersebut memberi lampu tinggi kepada saya, diikuti dengan membunyikan hon.

Sebelum sempat saya bertindak, bas tersebut telah memotong kereta saya mengikut laluan kiri lebuh raya, tanpa memberi signal dan terus masuk ke lorong tengah semula dalam keadaan yang sangat rapat dengan kereta saya . Ini menyebabkan kereta saya tersasar, namun syukur saya sempat mengawal keadaan.

Lebih memeranjatkan, perkara ini seringkali berlaku dan hampir setiap hari, pemandu bas melakukan tindakan provokasi di atas jalan raya dan membahayakan nyawa pengguna jalan raya yang lain.

Ada beberapa penumpang yang menaiki bas ekspres, dari Johor ke Kuala Lumpur (jarak lebih kurang 350 km) memberitahu, mereka tiba di Kuala Lumpur dalam masa hanya 2 jam 30 minit. Tidak hairanlah sekiranya pemandu bas berkenaan bertindak liar di lebuh raya, untuk mengejar masa ketibaan.

Apa yang saya kesalkan ialah tindak-tanduk kasar dan liar pemandu bas yang tidak menghormati pengguna jalan raya yang lain. Perkara ini yang mengakibatkan indeks kemalangan jalan raya di negara kita semakin tinggi dari hari ke hari.

Saya mohon pihak bertanggungjawab seperti Polis Diraja Malaysia, JPJ, Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dan badan-badan lain untuk mengambil tindakan selanjutnya ke atas pemandu bas yang memandu melebihi had laju, sebelum lebih banyak nyawa yang tidak berdosa terkorban di jalan raya.

PEMANDU PRIHATIN
Seremban

Juri program On Air beri komen peribadi, hiris hati peserta..


SAYA bukanlah penonton tetap program realiti On Air terbitan Astro. Tetapi baru-baru ini saya berkesempatan menonton siaran program berkenaan pada peringkat uji bakat di Johor. Juri ialah Aznil Nawawi, Suhaimi Sulaiman dan Dang Suria.

Ramai yang menyertai uji bakat tersebut. Ramai yang ingin mencuba nasib menjadi penyampai TV atau radio. Ini suatu usaha yang baik dalam menyediakan barisan pelapis penyampai TV atau radio.

Namun saya sedikit terkilan kerana dalam komen mereka kepada peserta, para juri juga mengambil pendekatan lebih bersifat peribadi, bukan berfokus kepada sama ada seseorang peserta itu ada bakat atau tidak.

Misalnya, juri memberi komen 'tidak handsome'. Juri juga meminta seorang peserta wanita yang badannya berisi agar balik dan menguruskan badan, kemudian baru datang mencuba lagi.

Pada saya, komen bersifat peribadi seperti ini tidak wajar dan menjatuhkan air muka peserta. Tampan atau tidak, cantik atau tidak, berisi atau kurus, tinggi atau rendah semuanya adalah anugerah Allah.

Justeru, melemparkan kritikan mengenai rupa diri seseorang samalah seperti memperlekeh atau mempersenda anugerah Allah. Siapa kita untuk berbuat begitu?

Para juri sewajarnya memberi fokus kepada kemampuan atau kelayakan peserta. Jika dirasakan tidak berbakat atau tidak sesuai, beritahu sahaja tanpa membuat sebarang serangan peribadi.

Kita harus ingat, sehebat mana pun kita, masih ada yang lebih hebat. Suhaimi Sulaiman pun pada saya tidaklah begitu slim. Karam Singh Walia juga badannya agak berisi tetapi beliau berjaya menjadi wartawan penyiaran dikagumi.

Dalam program pencarian bakat seperti ini, bakat hendaklah diutamakan. Penampilan diri datang kemudian. Saya fikir ramai akan setuju bahwa pencarian bakat dalam On Air bukan pencarian ratu cantik atau jejaka tampan.

Justeru, harapan saya agar juri On Air akan mengambil iktibar daripada apa yang berlaku. Hanya kerana menjadi juri tidak bermakna anda mempunyai lesen untuk menghiris hati peserta dengan komen yang tidak wajar dan kurang matang.

AIR SUPPLY
Kuala Lumpur

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...