terima kasih buat kalian semua..

Saturday, June 30, 2012

Isteri berkerjaya dan berpendapatan lebih daripada suami...Sara keluarga tanggungjawab siapa???


SELEPAS membincangkan tiga sebab utama yang menyebabkan pasangan bercerai, kali ini saya ingin menyentuh faktor ekonomi atau kewangan. Isu kewangan keluarga kadang-kala menjadi punca utama perceraian kerana ia adalah sebab utama pasangan bergaduh.

Dalam Islam pernikahan itu adalah satu ibadah. Jika ingin berkahwin, seseorang itu mestilah seorang yang mampu fizikal, mental (termasuk kerohanian) dan kewangan. Hanya dengan kemampuan dalam tiga perkara utama ini, perkahwinan dapat mencapai kebahagiaan jitu.

Ini bukanlah bermakna seseorang itu perlu kaya raya baharu dia boleh menjadikan rumah tangganya bahagia. Tetapi keupayaan menanggung makan minum, pakaian dan perubatan tanggungan mengikut kemampuan adalah sesuatu yang wajib dipenuhi oleh seseorang yang berkahwin.

Tanggungjawab ini diletakkan oleh Islam ke bahu suami atau seorang lelaki. Sebab itu, Islam mewujudkan peruntukkan sekufu di mana perkahwinan harus melihat keserasian pasangan bukan hanya kepada kelayakan akademik, jawatan atau kerjaya tetapi juga latar belakang keluarganya.

Wali mempunyai hak membatalkan suatu pernikahan jika anak perempuannya berkahwin tanpa kebenaran dan persetujuannya dan pasangan yang dipilih oleh anak tidak sekufu dengan anaknya. Jika dulu, isu sekufu dilihat sebagai isu 'antara dua darjat' dan dipandang remeh oleh pasangan yang dilamun cinta.

Isu ekonomi yang boleh menyebabkan pasangan bercerai-berai ialah isu pendapatan keluarga dan siapakah yang bertanggungjawab menyara ahli keluarga?

Sudah tentu kewajipan itu diletakkan di bahu suami. Tetapi hari ramai suami mempunyai pendapatan yang lebih kecil daripada isteri.

Semasa hendak berkahwin, ada di antara mereka yang mendapat tentangan keluarga, terutama keluarga pihak perempuan kerana merasakan anak perempuan mereka akan menyara keluarga dan bukan suami.

Ada juga keluarga yang risau jika anak perempuan mereka berkahwin, suami akan mengawal wang gaji anaknya sehingga tidak dapat berbakti kepada ibu bapa.

Jelas, faktor ekonomi memainkan peranan penting dalam rumah tangga. Hari ini ibu bapa atau wali dilanda dilema kerana anak perempuan yang berijazah dipinang lelaki yang tidak berkelulusan tinggi.

Ibu bapa juga tertekan dengan masalah anak perempuan berjawatan tinggi tetapi tidak dipinang orang. Kerana takut menjadi anak dara tua, akhirnya dinikahkan juga dengan seseorang yang tidak sekufu dengannya dari sudut akademik dan kerjaya.

Bagi saya, seorang lelaki yang berpendapatan kecil masih boleh menikahi wanita yang berpendapatan tinggi dengan syarat lelaki itu tahu tanggungjawabnya.

Dengan gaji yang kecil, ia perlu merancang kewangan rumah tangga supaya dialah yang menanggung makan minum anak dan isterinya serta menyediakan rumah untuk mereka mengikut kemampuannya.

Jika isteri kemudian mahu sesuatu di luar kemampuan suami, maka dia boleh menggunakan wang sendiri. Jika isteri reda berkongsi pendapatannya dengan suami dan anak-anak, itu adalah sedekah dan jariahnya.

Namun, isteri perlu ingat bahawa dia tidak boleh mengungkit pemberiannya, kerana ia tidak akan dapat pahala. Jika diungkit maka isteri akan menjadi orang paling malang kerana dia letih bekerja menanggung keluarga kerana suami tidak mampu.

Suami pula merasa rendah diri dan tersisih kerana isteri seperti tidak memerlukannya. Akhirnya suami mencari tempat bermanja yang lain yang boleh menerimanya seadanya dan isteri menjadi sakit hati dan mengungkit segala perkara dan dia tidak mendapat pahala.

Ingatlah wahai isteri, jika berkahwin dengan pilihan hati yang anda tahu tidak mampu menanggung anda, bersedialah untuk berkorban. Jika tidak, rumah tangga akan terkorban.

Bagi kaum lelaki pula, ingatlah tanggungjawab menanggung isteri dan anak-anak serta ibu bapa adalah tanggungjawab anda. Jika tidak mampu, didiklah isteri dan anak supaya bersyukur dan bila mencari isteri 'ukurlah baju di badan sendiri'.

Hari ini ramai lelaki yang mengambil kesempatan daripada perkahwinannya, di mana akhirnya isterilah yang menanggung dia dan anak-anak sepenuhnya.

Ada suami yang berhenti kerja dan duduk di rumah seperti raja sehinggakan apabila perceraian berlaku, enggan meninggalkan rumah perkahwinan kerana dia tidak ada tempat hendak dituju kerana dia tidak bekerja.

Ibu bapa perlu mendidik anak lelaki supaya tahu tanggungjawab mereka dan apabila berkahwin dapat menjadi suami dan bapa yang dihormati.

Misteri anak dikandung hilang dalam kandungan !!!


SEBAGAI hamba yang mengaku beragama Islam, mempercayai perkara ghaib merupakan bukti keimanan kita kepada kekuasaan Allah.

Justeru, bayangkan perasaan seorang wanita apabila anak dalam kandungan yang ditunggu untuk dilahirkan ke dunia tiba-tiba hilang dalam sekelip mata tanpa mengetahui puncanya.

Mungkin ada orang yang skeptikal dan beranggapan cerita seperti anak diambil orang bunian hanya khayalan semata-mata dan tidak masuk akal.

Namun, itulah yang dialami oleh wanita separuh usia, Khadija (bukan nama sebenar) ,50, apabila anak yang dikandungnya selama lapan bulan hilang secara tiba-tiba bila sampai waktu untuk dilahirkan.

Bercerita lanjut mengenai kejadian yang menimpanya 25 tahun lalu ketika melahirkan bayi keduanya, membuatkan hatinya dilanda perasaan sayu dan sebak.

Khadija berkata, sebelum mengandungkan anak keduanya, dia pernah melahirkan bayi sulung.

"Namun, Allah lebih sayangkan anak tersebut kerana dia meninggal dalam perut akibat lemas ketika usia kandungan memasuki lapan bulan.

"Setahun selepas itu saya mendapat khabar gembira kerana disahkan hamil lagi buat kali kedua.

"Ketika mengandung anak kedua, saya mengalami alahan teruk seperti mengandung anak pertama. Saya turut muntah dan mengidam makanan yang pelik," katanya.

Tambahnya, dalam tempoh mengandung, dia juga beberapa kali pergi membuat pemeriksaan di klinik untuk mengetahui keadaan bayi dalam kandungannya.

"Apabila membuat pemeriksaan, doktor memberitahu kandungan saya tiada masalah dan bayi dalam kandungan selamat dan sihat.

"Semasa usia kandungan semakin meningkat, saya dapat merasai bayi tersebut bergerak-gerak dan saya tidak sabar untuk melihat dia lahir ke dunia," katanya.

Ujarnya, kerana terlalu teruja untuk menimang cahaya mata, dia dan suaminya bersemangat menyediakan kelangkapan untuk anak mereka yang bakal lahir nanti.

"Namun, apabila usia kandungan memasuki lapan bulan saya telah mengalami sakit perut dan tumpah darah serta terpaksa dimasukkan ke hospital lebih awal dari tarikh yang ditetapkan.

"Untuk proses bersalin anak kedua ini, saya perlu menjalani pembedahan kerana kedudukan anak yang songsang.

"Setelah tersedar dari pembedahan, saya terasa seolah dunia gelap seketika apabila doktor yang merawat saya memberitahu tiada bayi yang wujud dalam kandungan walaupun imbasan telah dilakukan," katanya.

Ujarnya, doktor yang merawatnya turut bingung dengan keadaan itu. Selepas beberapa jam dalam bilik pembedahan perutnya kembali kempis seperti asal.

Beliau berkata, dalam tempoh tersebut dia tidak dapat menerima dan mempercayai kejadian yang menimpa dirinya kerana dianggap pelik dan tidak masuk akal.

"Hampir dua bulan saya berada dalam kebingungan dan buntu memikirkan kejadian yang menimpa.

"Dalam tempoh itu, ada kalanya saya menangis dan murung," katanya.

Ujarnya, lama kelamaan dirinya semakin sihat dan dapat menerima keadaan tersebut sebagai dugaan dari Allah.

Namun tiada kuasa untuk melawan takdir Allah kerana selang dua tahun selepas itu Khadija disahkan mengandung.

"Saya berasa gembira dan beryukur kerana diberi peluang untuk mengandung buat kali ketiga," katanya.

Khadija berkata, kandungannya yang ketiga dan keempat juga menghadapi situasi yang sama iaitu hilang ketika kandungan berusia lima dan enam bulan.

Pernah apabila kandungannya yang keempat memasuki usia enam bulan Khadija telah mendapat mimpi yang aneh pada suatu malam.

"Sekitar pukul empat pagi saya telah mendapat mimpi didatangi oleh tiga orang wanita muda yang berbaju putih. Wajah mereka sangat cantik dan bersih.

"Dalam mimpi tersebut, mereka meminta izin untuk mengambil anak saya tinggal bersama-sama mereka.

"Saya telah merayu kepada mereka supaya tidak mengambilnya, tetapi mereka memberitahu akan menjaga dia dengan baik di sebuah tempat yang cantik dan indah," katanya.

Beliau berkata, selepas mendapat mimpi tersebut dia tersedar dan mendapati perutnya telah kempis.

"Ketika itu saya tidak mampu berkata apa-apa, hanya mampu mengejutkan suami dan menangis," katanya.

Tambahnya, kerana ingin mendapat kepastian tentang kejadian yang sering menimpanya, dia menjemput beberapa orang ustaz untuk melihat tapak rumah yang didiami mereka.

"Menurut maklumat yang diberitahu kepada saya, tapak rumah yang kami tinggal ketika itu merupakan kawasan kediaman makhluk halus seperti orang bunian.

"Sebagai hamba Allah yang beriman saya reda dan percaya dengan kejadian yang menimpa diri.

"Sekarang saya bahagia hidup bersama anak angkat yang dipelihara dari kecil sejak 20 tahun lalu," katanya.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

Perangkap janji palsu suami orang....


SAYA tak nafikan ramai wanita kecundang kerana taktik lelaki penggoda seperti yang dipaparkan minggu lalu, namun saya tak salahkan lelaki semata-mata kerana kesalahan juga terletak di bahu wanita. Jadi kalau wanita merasa kecundang, masa depan gelap dan hancur, jangan salahkan orang lain tetapi salahkan diri sendiri.

''Contohnya saya. Elok-elok hidup membujang, ada rumah, ada kereta (walaupun kecil) dan tak ada masalah adik-beradik tetapi terperangkap setelah termakan hasutan kawan-kawan konon mahu lihat saya kahwin. Pelbagai dalil, nasihat diberi supaya saya tamatkan zaman andartu. Akhirnya diri merana. Kalau setakat diri sendiri, amin! Tetapi saya menyusahkan hidup anak-anak saya.'' Itu cerita None dalam e-melnya dan kami sambung cerita di telefon.

''Saya tak salahkan lelaki 100 peratus, kelemahan daripada diri saya sendiri kerana dengar cakap kawan, lekas percaya janji lelaki yang mengaku berani bertanggungjawab dan cepat simpati dengan cerita sedih suami orang yang kononnya hidup merana.

''Lelaki yang berjaya menggoda saya suami orang ada empat anak, Mock. Ibu dan ayah membantah. Kata mereka jangan pilih suami orang, pilih lelaki bujang biar tak berpangkat asalkan tak berkongsi.

''Tapi kata kawan, daripada kahwin dengan lelaki yang kita terpaksa tanggung makan minumnya, lebih baik suami orang, dia akan bagi nafkah sebab berduit. Fikir punya fikir, saya pilih suami orang. Lagipun dia memang pandai 'ayat', sedia bertanggungjawab dan ingin menghabiskan sisa-sisa hidupnya bersama saya.

''Katanya, isterinya suka memerintah, anak-anak pula cuma sayangkan duitnya, tak tahu hormat dan suka melawan kerana isterinya terlalu manjakan dengan kemewahan.

''Oleh kerana keluarga membantah, kami nikah di sempadan. Ibu menangis tapi apa nak kata, saya dah suka. Kata ibu, bersedialah lambat laun rahsia kami akan terbongkar, ketika itu tunggulah serangan bom daripada isteri pertama.

''Untuk menjaga rahsia agar tak pecah, saya setuju bila Mock minta izin tidak bermalam di rumah saya. Jika saya mengikutnya kerja luar daerah atau bercuti, barulah kami dapat bersama untuk beberapa hari. Mock hanya datang rumah saya siang hari.

''Entah macam mana lepas lima tahun kahwin dan dapat anak dua, tembelang kami pecah. Apa lagi, bukan sahaja bom, rumah saya diserang siang malam oleh madu dan anak-anaknya. Lebih dahsyat, rumah saya dibaling dengan pasu bunga dan disimbah cat. Saya mengadu pada Mock dan dia suruh bersabar.

''Memang saya boleh sabar, tapi yang malu saya seorang. Sejak itu Mock jarang datang ke rumah biarpun siang hari. Telefon Mock ditamatkan perkhidmatan. Telefon pejabat pula ada 'pengawal' dengan pelbagai soalan atas arahan madu saya.

''Walaupun balik sesekali, saya masih dapat lahirkan anak ketiga. Maka timbul cerita baru, madu tuduh saya mengandung anak haram kerana katanya Mock tak balik ke rumah saya. Pendek kata cuma lima tahun saya bahagia, sebelum rahsia pecah. Selepas itu hidup macam sekam padi yang sentiasa terbakar dan berasap.

''Bagaimanapun saya bersyukur Mock daftarkan perkahwinan kami di negara ini, biarpun nun jauh di Perlis dengan bantuan kawannya. Kalau tidak, saya tak tahu apa nasib anak-anak saya, mungkin tak boleh bersekolah.

Nafkah''Untuk redakan perang, Mock tak balik rumah saya lagi malah nafkah pun tak diberi sebab semuanya di bawah kawalan madu saya. Sayalah yang terpaksa besarkan anak-anak sendiri. Waktu itu baru saya tahu tinggi rendahnya langit.

''Walaupun cermin kereta saya tak lagi pecah dan kemek, rumah tak dibaling pasu bunga setelah saya buat laporan polis tetapi saya terpaksa melunaskan sendiri ansuran rumah baru dan kereta di samping belanja anak-anak. Saya juga terpaksa bayar gaji pembantu rumah.

''Ketika inilah saya teringat kembali janji Mock yang mahu bertanggungjawab dan hidup bahagia bersama saya, ketika ingin berkahwin dulu. Kini, dia langsung tak berani balik rumah menjengok anak-anak, hinggakan dua anak saya berusia 8 dan 7 tahun beritahu adiknya yang ayah mereka dah mati. Anak ketiga saya berusia hampir 4 tahun langsung tak kenal ayahnya.

''Ada kawan nasihatkan saya tuntut cerai, sebab selagi bergelar isteri saya tidak akan dapat nafkah anak, sebab gajinya dikawal isteri pertama. Mulanya saya malu tetapi fikirkan masa depan anak-anak dan tanggungjawab semakin berat, saya beranikan diri ke mahkamah syariah. Malangnya Mock tidak mahu ceraikan saya.

''Sudah dua kali saya ke mahkamah tapi kedua-duanya gagal. Tuntutan nafkah anak-anak juga tidak berjaya dijalankan atas sebab yang sama.

''Saya dapat tahu isteri Mock mahu saya dipanggang dan disalai sampai mati. Sebab dia mahu saya hidup susah kerana tak dapat nafkah. Jadi dialah yang larang Mock ke mahkamah.

''Bagi saya Mock yang bersalah. Sebagai suami, dia tidak boleh takut dengan isterinya. Dia mesti bertanggungjawab kerana anak-anak saya adalah zuriatnya.

''Saya pernah menghubungi pihak atasan Mock tapi mereka kata tak boleh bertindak selagi tak dapat perintah mahkamah. Kini hampir lima tahun Mock tak balik rumah, hidup saya makin tertekan.

''Bohonglah kalau saya tak kesal dengan perkahwinan ini, sesekali memang saya menyesal. Dulu ada rumah sendiri biarpun apartmen tapi saya tak ada hutang. Kerana dengar nasihat Mock suruh jual dan beli rumah lebih besar, sekarang saya tanggung bayar seorang diri.

''Ditakdirkan saya mati, rumah ini bukan saja Mock ada hak, madu dan anak-anaknya juga ada hak. Sebab rumah ini atas nama kami berdua. Saya bimbang mereka halau anak-anak saya, mana mereka nak pergi? Nak harapkan Mock bela, tak mungkin, sebab Mock takutkan isterinya.

''Saya memang bodoh, tak ada hutang buat hutang. Semuanya gara-gara nak rumah dan kereta besar. Akhirnya sendiri merana. Setahun dua lagi Mock akan bersara, macam mana dia nak tolong saya?

Kesimpulannya, janganlah percaya pujukan suami orang, buat menyusahkan diri sendiri saja. Lainlah kalau anda berani berperang dengan isteri pertama,'' itu cerita None yang terjerat dengan janji palsu.

Mulut kawan punca suami dingin dengan isteri...


APALAH ertinya hidup sebumbung jika tidak bertegur sapa. Apa gunanya berkongsi hidup kiranya semua yang dibuat tidak mendapat penghargaan suami.

Itulah lumrah berumah tangga, bagaikan lidah yang sering tergigit. Pun begitu ia bukan penyudah kepada sebuah kehidupan. Masih ada jalan keluar untuk memulihkan kebahagiaan yang pernah tercipta.

Sabar dan saling berusaha membaiki diri adalah jalan terbaik mengembalikan hubungan yang retak. Berkongsi pengalaman Sari (bukan nama sebenar) kisahnya elok dijadikan teladan untuk membina kembali kebahagiaan rumah tangga yang terjejas.

Kepada saya, Sari mencurahkan isi hatinya ekoran sikap suami Imran (bukan nama sebenar) yang berubah secara tiba-tiba.

Kita ikuti kisah Sati:

"Saya berusia 30 tahun seorang eksekutif di sebuah syarikat pengiklan. Suami berusia 34 tahun pegawai kanan sebuah bank.

"Kami sudah 7 tahun bernikah dan dikurniakan dua orang anak berusia 3 dan 6 tahun. Kehidupan kami bahagia namun bertukar dingin sejak setahun lalu.

"Saya tidak tahu kenapa suami menjadi dingin terhadap saya sehinggakan untuk memandang wajah saya juga dia tidak sudi. Malah dia tidak banyak cakap dan susah sangat untuk melemparkan senyuman kepada saya dan anak-anak.

"Sakit hati saya dengan perubahannya itu. Mula-mula dia bersikap begitu saya amat sedih dan kecewa. Saya menjadi stres sehingga urusan kerja dan rumah tangga sedikit terjejas.

"Bagaimanapun setelah setahun saya sudah dapat menerima kenyataan walaupun saya sedih yang amat sangat dengan sikap suami.

"Sesekali bila teringatkan keadaan itu saya menangis seorang diri.

"Saya tidak tahu puncanya tetapi saya dapat agak semuanya bermula dengan salah faham. Puncanya dia dapat tahu yang saya kononnya bercerita kepada kawan saya yang dia ada perempuan lain.

"Sebenarnya dia salah sangka. Suami seorang yang suka berahsia. Hati saya selalu berkata, dia ada sorokkan sesuatu daripada saya. Tetapi saya tidak tahu apa, hendak ditanya mesti dia tidak mengaku.

"Dia rapat dengan seorang staf perempuan di tempat kerjanya. Satu hari saya pinjam telefon bimbit dia untuk hantar satu mesej. Nak dijadikan cerita saya ternampak mesej daripada perempuan itu kepada dia.

"Saya ingatkan mereka ada hubungan istimewa. Secara kebetulan salah seorang staf di pejabat suami adalah kawan baik saya. Selepas dia berhenti kerja di syarikat itu dia bekerja di pejabat yang sama dengan saya.

"Kawan saya ini ada bercerita yang suami saya amat rapat dengan perempuan itu. Masa mendengar cerita itu memang hati saya sakit tapi saya sabar.

"Katanya mereka mula berkenalan di Facebook. Ketika itu kawan saya sedang bermain mesej dengan perempuan itu. Perempuan itu ada bertanya apa hubungan kawan saya itu dengan suami saya.

"Dengan niat membantu, kawan saya bertanya perempuan itu adakah dia tahu sama ada suami saya ada perempuan lain atau tidak. Seingat selepas kejadian itu suami berubah.

"Dia tidak bercakap dengan saya, tidak mahu pandang wajah saya malah langsung tidak mahu sentuh saya. Jika bercakap dia selalu meninggi suara dan menengking.

"Saya tidak tahu kenapa dia bersikap begitu sedangkan saya tidak pernah buat salah. Satu hari sebaik sampai di rumah dari pejabat saya nampak suami sedang berkemas pakaiannya dimasukkan ke dalam sebuah beg.

"Saya tanya hendak ke mana, jawabnya balik kampung. Saya sedih sebab dia tak cakap yang dia hendak balik kampung. Sayu hati saya bila dia hanya cium anak-anak dan terus keluar rumah.

"Saya macam tidak wujud dalam hidup dia. Saya mesej tak balas, saya telefon dia tidak angkat. Berkali-kali saya telefon akhirnya dia angkat tetapi marah-marah.

"Saya tanya kenapa dia berubah katanya sebab saya tanya kawan-kawan dia sama ada dia ada perempuan lain. Lalu saya teringatkan peristiwa itu.

"Saya sudah cuba selesaikan masalah ini dan minta maaf kepadanya tapi nampaknya dia macam tidak boleh terima. Selalu apabila bergaduh saya akan mengalah walaupun bukan saya yang salah.

"Sekarang apa saya buat semua tidak kena. Saya sudah tidak tahu hendak buat apa lagi. Suami pula hari-hari kerja, kalau cuti dia lebih banyak habiskan masa bersama kawan-kawannya pergi melancong ke pulau.

"Dia banyak habiskan masa dengan kawan-kawan menyebabkan saya selalu berasa terasing. Kalau saya tegur dia marah. Saya selalu berdoa agar suami berubah. Masakan masalah kecil macam itu hendak dijadikan besar dan mendera perasaan saya.

"Saya sudah minta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan itu lagi. Kalau betul dia jujur dan tidak ada hubungan dengan wanita itu kenapa mesti marah dan bersikap dingin terhadap saya.

"Saya harap jika suami terbaca ruangan ini harap maafkan saya. Saya tidak bermaksud untuk menguris hatinya. Saya tidak mahu masalah ini berlarutan dan mengganggu tumpuan saya di tempat kerja.

"Anak-anak perlukan ayahnya. Mereka selalu bertanya kenapa ayah asyik marah-marah sekarang. Saya harap semua ini akan berakhir segera. Teman baik saya juga berjanji untuk menolong. Saya harap semuanya akan selesai dengan cara baik. Doakan saya," pinta Sari penuh harap sebelum menamatkan perbualan kami.

Perkara begini adalah lumrah dalam rumah tangga. Nasihat saya, cuba ajak suami berbincang dari hati ke hati. Pujuk dia secara perlahan-lahan.

Saya setuju bahawa masalah ini berpunca dari salah faham sahaja. Itu yang bahayanya kalau selalu rujuk dan bertanya dengan kawan-kawan tentang masalah rumah tangga.

Kiranya tidak berhasil, minta bantuan saudara terdekat untuk selesaikan. Bimbang juga jika dibiarkan terlalu lama ia akan membawa padah.

Sari mesti faham, orang lelaki terutama suami pantang dituduh ada hubungan dengan wanita lain sebab mereka akan merasa tercabar.

Sebagai isteri kita perlu banyak mengalah, mulut jangan terlalu lancang dan jangan sesekali meninggikan suara. Layanan lemah lembut dan bahasa yang sopan boleh mencairkan hati mereka.

Mengakhiri catatan pesanan saya, petiklah sekuntum bunga itu sebelum ia gugur ditiup angin.

Guna pil perancang untuk cantik???



Rupa-rupanya pil perancang kehamilan diamalkan untuk mendapatkan kulit yang cantik dalam kalangan anak gadis kita. Sudah tentu mereka perlu mengambilnya untuk jangka masa lama.

Tindakan sebegini bukanlah langkah yang bijak jika tujuan utama pengambilan pil tersebut hanyalah untuk kelihatan cantik dan mempunyai kulit yang licin, mulus serta berseri tanpa jerawat.

Fungsi utama pil perancang kehamilan adalah untuk menjarakkan kehamilan. Ia bertindak menghalang proses ovulasi dan menjadikan seseorang wanita tidak subur.

Di samping itu, ia juga merencatkan pertumbuhan lapisan dalam rahim (endometrium) yang akan meluluh atau gugur menghasilkan darah haid. Darah haid sememangnya dijangka menjadi sedikit berbanding sebelumnya, lebih teratur serta bilangan harinya lebih pendek. Pengambilan pil ini sesuai untuk wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak yang boleh mengakibatkan kekurangan darah (anemia). Dari sini jelas bahawa pil perancang kehamilan ini dapat menghalang ovulasi dan juga mengurangkan pendarahan haid dan memendekkan tempoh bagi wanita yang mengalami pendarahan haid yang banyak dan berpanjangan. Pada masa sama, ia juga dapat menjadikan kitaran haid lebih teratur.

KesihatanPenggunaan pil perancang kehamilan menjamin mutu kesihatan wanita. Apabila wanita dapat merancang keluarga dengan baik, ia menyumbang kepada kurangnya kadar kematian bayi, mengelakkan gangguan haid dan pada masa sama, masalah kulit juga dapat diatasi.

Penggunaan pil perancang kehamilan ini juga menyelamatkan wanita dalam banyak perkara terutama kesihatan wanita ketika hamil. Ketika hamil, banyak risiko dihadapi wanita seperti kandungan yang tidak diingini, bayi mati dalam kandungan, gejala berkaitan sista ovari, barah dan sebagainya.

Dengan pengambilan pil perancang kehamilan, wanita mungkin dapat mengelakkan daripada mengalami gejala berkaitan dan kesihatan mereka juga terpelihara daripada penyakit berkenaan.

Perbezaan pusat zakat dengan baitulmal...


SAYA dapati dalam sejarah, harta zakat akan dimasukkan ke dalam sebuah perbendaharaan negara dinamakan sebagai baitulmal. Walau bagaimanapun, amalan di Malaysia khususnya, saya melihat wujud dua institusi yang berbeza, iaitu institusi zakat dan institusi baitulmal. Maka, bolehkah diberikan penjelasan mengenai kedua-dua institusi ini agar umat Islam memahami mengenainya?

JAWAPAN

Terima kasih kerana mahu mengajukan persoalan dan mudah-mudahan jawapan yang disajikan ini mampu memberikan pencerahan mengenai kewujudan dua buah institusi penting dalam negara Islam ini.

Apakah baitulmal? Secara mudahnya, baitulmal diterjemahkan sebagai tempat menyimpan pelbagai jenis harta negara Islam. Dalam definisi lebih tepat, baitulmal adalah institusi harta dan kewangan induk dalam sesebuah negara Islam. Harta yang terkumpul di dalamnya merupakan khazanah yang dimiliki oleh semua rakyat yang tinggal dan menetap di bawah naungan sesebuah kerajaan Islam berkenaan (rujuk Dr. Hailani Muji Tahir, kertas kerja Baitulmal dalam Prosiding Konvensyen Baitulmal Kebangsaan 2009).

Apakah pula institusi zakat? Secara umumnya, institusi zakat adalah sebuah badan pengurus zakat yang dilantik oleh sesebuah pemerintah Islam di sesebuah negeri atau negara berkenaan yang akan menata kelola hal ehwal kutipan dan agihan zakat serta segala yang berkaitan dengan asnaf zakat. Dalam kalimah yang lain, institusi zakat juga dikenali sebagai institusi amil. Di Malaysia ia dikenali sebagai pusat zakat, lembaga zakat atau di sesetengah negara ia dikenali lembaga amil zakat.

Apakah sumber yang memasukkan dana dan harta ke dalam baitulmal? Maka, di sini sumber yang dimasukkan dalam baitulmal hakikatnya terdiri daripada dua jenis, iaitu harta khas dan harta am. Harta khas adalah zakat (zakat harta dan zakat fitrah) dan harta am terbahagi pula kepada beberapa jenis, iaitu:

lHarta am kerajaan seperti fai' (rampasan setelah musuh menyerah diri), ghanimah (rampasan perang), ma'adin (galian berharga seperti petroleum) dan rikaz (harta karun atau berhala milik jahiliah)

lHarta percukaian seperti kharaj (cukai tanah), 'usyur (perdagangan), jizyah (individu), sulh al-jizyah (perlindungan) dan lain-lain bentuk cukai kerajaan

lHarta kebajikan, iaitu harta wakaf, pewarisan, wasiat, nazar, kaffarat (denda), sadaqah, luqatah (jumpaan) dan lain-lain

Manakala daripada aspek masukan sumber dana dan harta ke dalam institusi zakat, maka ia hanyalah tertakluk kepada harta-harta zakat, seperti zakat emas, perak, pertanian, penternakan, galian, perniagaan, pendapatan dan sebagainya lagi serta termasuklah juga di dalamnya pembayaran daripada zakat fitrah.

Siapakah pula penerima atau orang yang berhak menerima manfaat baitulmal? Maka, seperti yang telah dijelaskan, baitulmal adalah hak milik negara Islam. Maka seluruh rakyat di dalam negara berkenaan termasuklah orang-orang bukan Islam yang mendiami negara berkenaan layak menerima manfaat daripada harta baitulmal.

Dalam kes ini, ia bermaksud penggunaan dana baitulmal adalah meluas dan mencakupi pelbagai manfaat dan kebajikan umum serta pembangunan fizikal negara.

Oleh itu, dana baitulmal boleh digunakan untuk membina masjid, jalan raya, sekolah, menyelenggara keperluan kesihatan, pendidikan dan sebagainya lagi, termasuklah menyediakan kelengkapan peperangan dan pertahanan negara.

Manakala, penerima atau golongan yang berhak kepada harta zakat (disebut mustahiq atau asnaf zakat) itu sudahpun tertentu. Lapan golongan seperti mana yang dinyatakan oleh Allah SWT secara jelas di dalam al-Quran, surah at-Taubah ayat 60, iaitu fakir, miskin, amil (pengurus zakat), mualaf (saudara baru yang baharu memeluk Islam dan ada keinginan memeluk Islam), riqab (hamba yang ditawarkan tebusan), gharimin (orang berhutang), fisabilillah (peperangan dan segala jenis usaha ke arah mendekatkan diri kepada Allah) dan ibnu sabil (pemusafir yang keputusan belanja.

Bas ekspres dan solat.....


KAMI sebagai pelajar kebanyakannya merantau jauh ke negeri lain untuk ke tempat pengajian dan menggunakan perkhidmatan bas sebagai pengangkutan utama pada musim cuti semester ataupun cuti-cuti perayaan untuk pulang ke rumah.

Kami amat bergantung kepada perkhidmatan bas ini kerana kosnya lebih murah dan masa perjalanan yang lebih singkat berbanding kereta api. Namun terdapat perkara yang tidak menyenangkan berlaku dalam hampir setiap perjalanan kami iaitu pemandu bas tidak berhenti di stesen R&R bagi memberi peluang kepada penumpang untuk menunaikan solat.

Hal ini menyebabkan kami sebagai penumpang berasa amat tidak senang dan susah hati kerana terpaksa meninggalkan solat yang merupakan suatu kewajipan yang amat besar nilainya. Saya yakin kebanyakan penumpang mempunyai perasaan yang sama seperti ini.

Oleh itu, saya memohon perhatian pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah ini, kerana hal ini bukanlah suatu perkara yang remeh.

Amat menyedihkan apabila melihat wajah penumpang yang keluh kesah kerana takut tertinggal solat, tetapi pemandu bas yang juga seorang Muslim hanya diam sahaja tidak memberi respons yang positif. Maka pada pendapat saya, pihak atasan syarikat-syarikat bas perlu mengambil tindakan dalam isu ini.

Peraturan untuk mewajibkan pemandu berhenti di R&R bagi memberi peluang kepada penumpang untuk menunaikan solat perlu dilaksanakan dan pemantauan yang berterusan juga amatlah penting.

Ingin saya tegaskan di sini bahawa kami, rakyat Malaysia amat sensitif tentang perihal solat kerana ia adalah kunci ketenangan hidup kami.

PELAJAR IPT MALAYSIA

Pegawai kerajaan merungut cukai terlalu tinggi !!!


SAYA adalah penjawat awam berkelulusan ijazah. Gaji sekarang RM4,200 setelah dinaikkan 13 peratus. Namun saya terkejut kerana LHDN telah menaikkan PCB saya sebanyak 200 peratus.

Itupun setelah ditolak daripada potongan zakat.

Langkah kerajaan mengarahkan LHDN menambahkan hasil cukai adalah baik untuk negara namun golongan pertengahan yang menjadi mangsa. LHDN tidak boleh mengenakan potongan cukai sebegitu tinggi.

Kerajaan sedang mengkaji untuk melaksanakan BR1M kedua selepas ini. Sudah semestinya akan menggunakan hasil cukai. Orang yang bergaji RM3,001 ke atas diketepikan. Sedangkan ada sebahagian yang menerima BR1M bukannya susah sangat.

Mereka boleh menipu kerana bekerja sendiri dan tiada slip gaji. Bagi saya kerajaan juga perlu memikirkan golongan pertengahan yang membayar cukai yang tinggi namun tiada keistimewaan dan kelonggaran diberikan.

Saya ingin memberi beberapa cadangan:

n BR1M kedua hanya diberikan kepada mereka yang terlepas BR1M pertama. Ini dapat menjimatkan duit kerajaan (duit rakyat juga).

n Pelepasan cukai untuk individu dinaikkan kepada RM10,000 dan anak sebanyak RM2,000. Pelepasan RM1,000 untuk seorang anak tidak relevan lagi sekarang ini. Kos seorang anak mencecah ratusan ringgit sebulan. Rebat cukai individu juga perlu dinaikkan daripada RM35,000 kepada RM40,000.

Diharapkan kerajaan dapat mengambil perhatian luahan rasa saya ini. Cukai yang dibayar setiap bulan sekurang-kurangnya dapat juga saya rasai bukannya untuk orang lain yang tidak berkaitan.

UWAIS ALQURNI
Pasir Mas, Kelantan

Hikmah bersin kepada kesihatan manusia menurut Islam..


SESUATU perkara yang berlaku adalah kehendak dan kurniaan daripada Allah SWT. Manusia harus menerima dengan perasaan reda dan merendah diri kerana pada dasarnya segala-galanya adalah untuk kebaikan umat manusia.

Setiap ciptaan mempunyai tujuan tersendiri dan bukanlah sia-sia seperti anggapan sesetengah masyarakat. Firman Allah SWT bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa ada ciptaan Allah yang tiada mempunyai tujuan serta sia-sia?” (Surah al-Mukminun, ayat 115)
Ada perkara yang tersirat kadang kala tidak menggambarkan apa yang tersurat. Namun, peradaban dalam Islam amat dititikberatkan kerana Islam tidak sekali-kali membenarkan perasaan orang lain terganggu akibat sesuatu tindakan yang kita lakukan

abda Baginda SAW: “Sesiapa yang bersin, hendaklah meletakkan tangannya di mulut dan merendahkan suaranya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Tirmizi).

Di sinilah letaknya keadilan dan kesaksamaan Islam yang mana segala gangguan mental dan fizikal terhadap orang lain adalah dilarang walaupun kepada golongan bukan Islam.

Antara perkara yang sering dilupai umat Islam ialah ‘bersin’ dan disiplinnya. Ramai menganggap ia perkara biasa dan tiada kaitan dengan agama. Sebenarnya bersin mempunyai disiplin tersendiri yang perlu dijaga supaya tidak mengganggu perasaan orang lain ketika kita bersin.

Kita dianjurkan supaya tidak meninggikan suara serta mengucapkan pujian kepada Allah SWT (Alhamdulillah) serta menutup hidung dan mulut ketika bersin. Dianjurkan pula mereka yang mendengar pujian itu mendoakan dengan rahmat Allah SWT (Yarhamukallah).
Sesungguhnya al-Quran dan sunnah penuh dengan hukum dan hikmah untuk kemaslahatan manusia. Ibnul Qayyim menyebut: “Jika hanya ada seratus perkara dalam al-Quran dan sunnah, nescaya kita akan menyelaminya dengan mudah. Tetapi hakikatnya, di sana terdapat ribuan perkara yang datang dalam pelbagai bentuk dan cara.” (Miftah As-Saa’dah)

Hikmah diciptakan bersin kepada manusia adalah berdasarkan beberapa perkara, antaranya untuk menggambarkan Islam sebagai agama yang sentiasa menitikberatkan hubungan hamba dan Penciptanya dalam semua keadaan. Oleh itu, setiap pekerjaan dilakukan mempunyai doa tersendiri daripada Baginda SAW.

Jawapan yang diucapkan daripada orang yang bersin serta mereka yang mendengar pujian dapat menciptakan suasana keislaman dalam masyarakat serta menggalakkan mengingati Allah SWT.

Sabda Baginda SAW: “Sesiapa yang bersin hendaklah menyebut ‘Alhamdulillah’ dan berkatalah mereka yang berada di sisinya ‘Yarhamukallah’. Inilah salah satu antara hak orang Islam terhadap saudaranya yang lain (mendoakan ketika bersin).” (Hadis riwayat Aishad dari Abi Ya’la)

Syekh A’llamah Al-Haliimy berkata: “Bersin juga akan mengurangkan tekanan yang terdapat dalam pemikiran selepas banyak berfikir. Oleh sebab itulah orang yang menjawab berkata: “Semoga Allah lapangkan pemikiranmu.”

Berkata Ibnu A’rabi, bersin akan mengejutkan segala saraf bermula daripada kepala ke bahagian tengkuk dan ucapan Yarhamukallah daripada mereka yang mendengar bermaksud supaya Allah kembalikan sarafnya seperti sedia kala.

Ibnu Abi Hamzah berkata, bersin adalah satu nikmat Allah SWT kepada hambanya untuk menghilangkan kemudaratan dalaman manusia. Oleh sebab itulah mereka yang bersin dianjurkan memuji Allah SWT dan mereka yang menjawab pujian itu sangat dituntut oleh Islam dan mendapat ganjaran Allah SWT. (Kitab Fathul Bari)

Begitu juga jalinan ukhuwah antara umat Islam selepas berlaku dua hubungan antara orang yang bersin dan mereka yang menjawabnya. Mereka saling mendoakan antara satu sama lain sehingga melahirkan hubungan yang kukuh antara umat Islam.

Perasaan persendirian, keegoan serta permusuhan adalah penyakit masyarakat dan adalah mukadimah kepada keruntuhan agama. Sesungguhnya bersin dapat mewarnai sikap layanan yang baik terhadap orang lain dan dapat menjelmakan semangat kasih sayang antara umat Islam.

Islam juga menafikan fahaman masyarakat jahiliah dulu yang menganggap mereka yang bersin adalah pembawa sial dan berpenyakit. Ada juga sebahagian daripada mereka menganjurkan diputuskan atau diusahakan tidak bersin supaya tidak tergolong daripada golongan yang sial.

Mereka juga akan menjawab kepada yang bersin mengikut penilaian orang itu pada pandangan masing-masing. Contohnya, jika orang itu disukai maka mereka akan mendoakan supaya sihat dan panjang umur. Jika orang itu dibenci maka jawapannya adalah celaka dan mati. Ada juga yang menjawab, itu (sial) adalah untukmu dan bukan untukku.

Doa keampunan diungkapkan mereka yang bersin dan mereka mendengarnya telah membina satu ikatan malah dengan jawapan semula oleh orang yang bersin dengan doa hidayah untuk kedua-duanya dapat membina kasih sayang antara keduanya. Doa inilah yang memadamkan fahaman jahiliah yang menggalakkan kezaliman dan permusuhan sesama manusia

Oleh Ustaz Zaman


Lamanya pihak PLUS baiki SmartTag...


SAYA ingin membuat aduan tentang sikap sambil lewa pengurusan Touch 'nGO mengenai aduan gajet SmartTag.

Pada tarikh 28/04/2012 SmartTag saya didapati tidak berfungsi sewaktu melalui lorong SmartTag Plaza Tol USJ menyebabkan saya mengambil tindakan mengundur kenderaan untuk ke laluan Touch n'GO dan terus ke kaunter tambah menilai mengadu akan masalah SmartTag.

Kakitangan bertugas merekod aduan dan memaklumkan unit tersebut akan dihantar ke ibu pejabat untuk dibaiki serta menyerahkan slip Aduan Am rujukan AA-184535 sebagai bukti penerimaan.

Disebabkan laluan Touch 'nGO adakalanya terpaksa menunggu giliran agak lama, saya pun menghubungi talian Careline (03-27148888) untuk mengetahui perkembangan gajet tersebut. Sebanyak empat panggilan telah saya buat dalam tempoh tersebut namun jawapan yang diberikan amat menghampakan dan menyakiti antaranya:

* SmartTag masih dalam proses pembaikan.

* Akan dimaklumkan dalam tempoh lima minggu.

* SmartTag adalah tanggungjawab vendor untuk dibaiki.

* SmartTag masih belum dihantar kepada vendor untuk pembaikan.

* SmartTag belum ada status terkini.

* SmartTag gantian (loan unit) ditawarkan dengan bercaj.

Saya juga dimaklumkan caj pembaikan sebanyak RM50 dikenakan sekiranya SmartTag tersebut telah melewati tempoh waranti. Saya tiada halangan membayar RM50 sekiranya operator Touch 'nGO menepati tempoh tersebut.

Apa yang dikesalkan ialah, komitmen serta sikap pengurusan Touch 'nGO yang tidak memperdulikan langsung akan aduan pengguna.

Pengguna tidak seharusnya dibebani dengan alasan yang kurang profesional. Memiliki gajet SmartTag bukan untuk bermegah tetapi untuk kemudahan.

Saya percaya ada pemilik SmartTag mengalami nasib yang serupa.

Touch 'nGO hanya pintar sewaktu tambah nilai!

AZMAN SHAIK ABDUL AZIZ
Subang Jaya

Saturday, June 16, 2012

Demi cinta rela kahwini wanita HIV...


“SAYA sanggup mengambil risiko walaupun tahu dia HIV-positif kerana mencintainya," kata Aris (bukan nama sebenar), seorang yang bebas HIV dan berkahwin dengan wanita disahkan HIV-positif sejak tujuh tahun lalu.

Aris, 45, berkata, dia mengenali Izzah, 34, (bukan nama sebenar) ketika wanita itu datang mendapatkan bantuan kaunseling ketika dia bertugas di sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan HIV/AIDS pada 2008.

“Apabila disebut HIV atau AIDS, semua orang akan berfikiran negatif dan hanya fikirkan mati tetapi saya anggap ia sama dengan penyakit lain seperti diabetes, asalkan mereka menjalani kehidupan yang selamat, memeriksa kesihatan mengikut jadual serta sihat fizikal serta emosi, tidak ada mempunyai sebarang masalah," katanya.

Menurutnya, dia mengenali Izzah pada awal 2008 ketika isterinya itu sudah empat tahun disahkan HIV -positif dan tidak teragak-agak melamarnya walaupun pada mulanya wanita itu seperti tidak percaya akan hasratnya.

Perhubungan mereka mendapat sokongan daripada rakan-rakan lain yang tahu akan kisah dan niat murni mereka untuk melayari bahtera rumahtangga yang bahagia.

Hasil perkongsian hidup, mereka dikurniakan seorang cahaya mata berusia setahun dua bulan yang disahkan bebas daripada HIV selepas mengikuti prosedur pencegahan jangkitan HIV daripada ibu hamil ke kandungan yang disyorkan oleh pihak doktor.

Aris juga bebas daripada virus itu.

Aris berkata, dalam tempoh itu dia dan isteri harus melalui pelbagai prosedur yang diperlukan atas nasihat doktor.

‘‘Mungkin agak berlainan daripada prosedur pemeriksaan dan rawatan untuk wanita biasa yang mengandung, namun semua itu kami lalui dalam usaha untuk mendapatkan zuriat kami sendiri.

‘‘Apatah lagi kami berazam bukan sekadar zuriat tapi mestilah anak yang dikandung isteri saya itu sihat," katanya yang bersyukur kerana hasratnya dimakbulkan Tuhan dengan kelahiran anaknya itu.

Namun begitu, Aris sehingga kini belum bersedia berkongsi perkara itu dengan keluarganya serta sanak-saudaranya kerana berpendapat pendedahan mereka terhadap penyakit berkenaan masih rendah.

“Tetapi saya sedar adik-beradik saya mungkin syak sesuatu kerana di rumah saya banyak ubat. Apabila setiap kali mereka menziarahi kami, masakan daripada air tangan isteri saya tidak disentuh sebaliknya mereka akan masak sendiri juadah yang hendak dimakan.

“Memang saya rasa terkilan tetapi kita perlu hormat orang dulu sebelum orang lain menghormati kita, namun saya cuba dengan cara sedikit demi sedikit dalam memberi kesedaran kepada mereka sehingga benar-benar faham mengenai HIV," katanya.

Menurutnya, persepsi negatif, stigma dan diskriminasi daripada kebanyakan anggota masyarakat dan daripada ahli keluarga sendiri menyebabkan orang yang hidup dengan HIV hidup terpinggir, disisih dan ditakuti sehinggakan pernah suatu ketika dulu, jenazah mereka dilapik plastik ketika mahu dimandikan dan sebelum jenazah mereka dikebumikan.

“Malah kadang-kadang drama di televisyen juga menggambarkan mereka yang yang hidup dengan HIV ini sangat teruk umpamanya berkudis di seluruh badan sedangkan ia tidak akan berlaku selagi mereka menjalani kehidupan yang positif dan sihat.

“Paling penting emosi mereka mesti dijaga kerana tekanan dan sistem imunisasi badan yang rendah akan membuatkan jangkitan penyakit itu semakin teruk," katanya.

Aris berkata, terdapat beberapa perkara perlu dilakukan bagi mengelak penyakit itu berjangkit kepada anak umpamanya kelahiran perlu dilakukan melalui pembedahan caesarean selain tidak boleh menyusu badan.

“Kita perlu ada ilmu dan lengkapkan diri dengan maklumat yang tepat mengenai perkara ini terutamanya penjagaan dan rawatan bagi mengelak timbulnya ketakutan yang bukan-bukan terhadap orang yang hidup dengan HIV," katanya yang tidak mahu mengulas bagaimana isterinya mendapat virus berkenaan.

Sementara itu, Izzah berkata, apabila disahkan menghidap HIV pada 2004, doktor yang merawatnya meramalkan hayatnya hanya bertahan selama empat tahun saja.

“Hati siapa yang tidak remuk apabila diberitahu sedemikian, kehidupan saya gelap dan kosong malah sampai satu tahap, saya rasa hidup saya tidak mempunyai erti lagi dan dunia amat gelap dan seolah-olah lumpuh.

“Mujurlah saya mempunyai keluarga yang tetap menerima saya dan menyokong. Mereka yang memujuk saya mendapatkan khidmat nasihat daripada NGO dan siapa sangka, pada 2008 iaitu waktu saya diramalkan meninggal dunia bertukar sebaliknya apabila saya dapat memulakan hidup baru apabila bertemu jodoh," katanya.

Dibomoh saudara sendiri...


AMALAN menggunakan sihir atau ilmu hitam kepada seseorang kerana tidak berpuas hati melihat kebahagiaan mereka sering terjadi di kalangan masyarakat Melayu.

Antara tujuan sihir dilakukan adalah untuk memisahkan hubungan suami isteri dengan menimbulkan perasaan marah dan benci antara kedua-duanya.

Suryani (bukan nama sebenar), 45, tidak pernah berdendam mahupun bergaduh dengan jiran dan saudaranya, tetapi kerana terdapat manusia yang iri hati melihat kebahagiaan yang dimilikinya, mereka sekeluarga telah dibomohkan sehingga hari ini.

Sihir yang dikenakan kepadanya dan keluarga tidak langsung melemahkan diri malah menguatkan lagi hubungannya dengan sang pencipta.

Walaupun mereka sekeluarga dibomohkan, tetapi hidup mereka bahagia dan menerima dugaan itu sebagai ketentuan daripada Ilahi.

Bercerita lanjut pengalamannya dibomohkan, mereka sekeluarga terkena sihir sejak 10 tahun lalu. Akibat perbuatan itu menyebabkan perkahwinan anak perempuannya musnah dan tidak dapat diselamatkan.

“Hasil perkahwinan anak saya selama enam tahun telah dikurniakan dua orang cahaya mata lelaki yang comel.

“Ilmu sihir yang digunakan itu terlalu kuat, mereka telah bercerai dan berpisah kerana masing-masing tidak lagi mempunyai persefahaman dan sukar untuk meneruskan hubungan tersebut.

“Apabila mereka bersua muka akan berlaku pergaduhan dan menyebabkan kedua-duanya bermasam muka walaupun hanya disebabkan perkara kecil," katanya.

Ujarnya, kerana masing-masing tidak lagi mempunyai persefahaman, mereka telah mengambil keputusan untuk berpisah selain faktor percaya bahawa perpisahan yang berlaku adalah ketentuan dari Allah.

Jelas beliau, bukan anaknya sahaja yang terkena sihir, malah dia juga tidak menyedari sihir itu juga telah meresap ke dalam dirinya.

“Saya mula menyedarinya apabila mendapat petanda mimpi didatangi dua orang perempuan yang tidak dikenali ke rumah. Dalam mimpi itu, mereka telah meniup muka saya dan memberi dua biji batu.

“Sebulan selepas itu, sebahagian badan dan muka terasa gatal dan bengkak. Setelah berjumpa doktor saya didapati tidak sakit dan doktor menyarankan supaya saya berubat secara tradisional," katanya.

Ujarnya, setelah berubat secara tradisional dengan seorang ustaz, beliau diberitahu telah dibomohkan oleh saudara terdekatnya.

“Selain sakit pada badan, ustaz juga memberitahu bahawa sihir itu dilakukan melalui calitan minyak ‘pelesit’ yang diletakkan pada bahagian dinding dan bilik di rumah mereka.

“Pada permulaan, saya tidak percaya dan sukar untuk menerima berita bahawa saya di sihir. Ditakuti kalau mempercayai perkara sebegitu akan berlaku syirik kepada Allah dan hukumnya berdosa besar," katanya.

Katanya, ketika terkena sihir tersebut, berlaku sedikit ketegangan hubungan antara beliau dan suami. Jika bertemu mereka terasa ingin bergaduh sahaja.

“Kerana tahu saya telah disihir, kami sentiasa berusaha mengingati Allah dan mengamalkan zikir dan ayat-ayat suci bertujuan melemahkan sihir yang meresap dalam badan," katanya.

Ujarnya lagi, dia sedikit terkilan kerana orang yang melakukan sihir kepada mereka sekeluarga adalah di kalangan saudara terdekat.

“Saya tidak rasa saudara itu saya menaruh perasaan dengki kepada kami kerana setiap kali berjumpa dia nampak mesra dan sentiasa berkunjung ke rumah.

“Setelah diselidiki mendapati tujuan dia melakukan sihir kepada kami adalah kerana cemburu melihat kejayaan anak-anak dan keluarga kami yang bahagia," katanya.

Tambahnya, beliau tidak sepatutnya cemburu melihat semua empat orang anak saya berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti awam dan mendapat pekerjaan yang baik kerana itu adalah rezeki dari Allah.

“Selain itu, dia juga tidak dapat melihat kemesraan yang terjalin antara bapa mertua dengan saya dan anak-anak," katanya.

Katanya, sehingga hari ini mereka masih meneruskan rawatan tradisional dan berjumpa dengan ustaz yang berkebolehan untuk mencegah daripada terus berulang lagi.

Kesan dari pengalaman tersebut, Suryani hanya mampu berdoa semoga orang yang menyihir mereka sekeluarga menyedari kesilapan itu dan kembali bertaubat atas perbuatan yang dilakukan.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

Derita ke akhir hayat...


APA yang ingin saya ceritakan bukan tentang saya, tetapi pengalaman pahit kawan baik saya. Derita hidupnya amat menyentuh perasaan, bermula ketika kecil hingga usia melebihi 40 tahun.'' Itu cerita Ayuni dalam e-mel dan ketika kami berbual di telefon.

''Norisha kawan baik saya sejak kecil, hidup keluarganya cukup sederhana, tetapi bertambah susah setelah ibunya meninggal dunia ketika melahirkan adiknya dan ayahnya kahwin baru, sejak itu dia tak pernah bertemu ayahnya.

''Walaupun kami telah berkeluarga, tetapi hubungan baik kami tetap baik, kalau saya tak sempat ke rumahnya, kerana tinggal jauh mengikut suami, kami sentiasa berhubung bila lapang.

''Setelah ibunya meninggal dunia, ayah menyerahkan dia dan adik kepada datuk dan nenek untuk dipelihara, kerana ayah nak kahwin.

''Sejak kecil hidupnya berhadapan pelbagai masalah, maklum hidup serba kekurangan ditambah datuk dan nenek sudah tua. Bersekolah setakat termampu dan setelah tamat belajar, Norisha terpaksa mencari pekerjaan untuk membantu datuk dan nenek juga adiknya.

''Walaupun kami sama remaja, tetapi kehidupan kami amat berbeza, dia pandai berdikari, tetapi saya di bawah tanggungan ibu bapa dan belum mengenal erti kesusahan. Saya tahu dia susah, tetapi waktu itu saya tak dapat gambarkan susahnya.

''Namun tuah menyebelahinya apabila dia berkahwin dengan seorang anggota tentera unit komando. Saya kira selepas itu hidupnya berubah sebab ada orang menjaganya dunia dan akhirat.

''Ketika baru berkahwin kami sering berhubung tetapi kemudian hubungan sering terputus sebab saya berpindah mengikut suami jauh di kota.

''Setelah berkahwin saya sangka dia senang dan bahagia tetapi setelah tujuh tahun berkahwin dengan dua anak, suaminya sering sakit. Sejak itu hidup Norisha tak keharuan kerana sering berulang alik ke hospital. Penyakitnya tak jelas ketika itu.

''Saya rasa itulah ujian dan dugaan besar terpaksa Norisha terima dari Allah. Ketika itu hospital menjadi rumah keduanya. Katanya, biarlah dia susah asalkan suaminya cepat sembuh dan boleh bekerja. Kerana hanya suami tempat dia bergantung setelah datuk dan nenek meninggal dunia.

''Dia takut melalui nasib serba susah seperti di zaman remaja. Dia tidak mahu anak-anak menerima nasib yang sama.

''Beberapa tahun kemudian saya menerima berita amat menyedihkan, suami Norisha menghidapi barah otak. Norisha pasrah tetapi dalam hati hanya Allah tahu betapa takut dia menghadapi masa depan yang belum pasti.

''Menurut cerita Norisha, sebelum mereka tahu tentang penyakit suaminya, tempoh perkhidmatan suaminya dalam tentera hampir tamat, dan suaminya mahu perkhidmatannya di sambung. Disebabkan sering berulang ke hospital, urusan berkenaan tidak dapat diuruskan dengan sempurna. Walaupun dia ada beritahu ketuanya.

''Kata Norisha tidak ada sesiapa yang menguruskannya sebab suaminya lemah bila penyakitnya serius. Jadi urusannya tidak dibereskan dengan lancar walaupun ada ketika suaminya datang bekerja.

''Dipendekkan cerita setelah lebih lima tahun menderita, akhirnya suaminya meninggal dunia. Sebelum itu kata Norisha dia pernah bertanyakan pihak tertentu status permohonan suaminya, semuanya beritahu akan diuruskan.

''Norisha amat mengharapkan duit pencen suaminya untuk membesarkan anak-anak, malangnya pihak bertanggungjawab memberitahu ada kesilapan teknik, akibatnya Norisha tidak mendapat pencen suaminya.

''Puas dia naik turun pejabat pegawai tentera bertanyakan masalah pencen suaminya, semua kata ada kesilapan teknik sedangkan dia terpaksa menyara anak-anak sementara dirinya tidak bekerja.

''Lulur hati saya mendengar rintihannya, sudahlah tak bekerja tetap dia terpaksa menanggung anak-anak masih belajar. Dia pernah dihalau keluar rumah kerana tak bayar sewa. Namun beliau gigih berusaha dan kini tinggal di flat PPRT.

''Nasib malang Norisha tidak terhenti di situ, dia menghidap penyakit fibroid dan sering tumpah darah sehingga terlantar di hospital kerana kekurangan darah yang teruk. Di sebabkan inilah beliau tidak dapat kerja tetap kerana masalah kesihatan yang menyerang tidak menentu.

''Jika dua tahun lalu beliau berperang dengan penyakit fibroid yang serius, tahun ini doktor mengesahkan dia menghidapi kanser darah, namun beliau tidak merungut, cuma air mata mengalir di pipi, katanya inilah suratan nasibnya.

''Saya amat sedih sudahlah dari kecil hidupnya ditimpa malang, dah tua pun nasib malang sentiasa memburunya. Namun Norisha hadapi ujian Allah dengan tenang.

''Kepada saya Norisha melahirkan kebimbangan apa akan jadi kepada anak-anak jika dia tidak bekerja kerana mereka masih belajar. Cuma harapannya jika ada pihak pegawai tinggi tentera yang tahu kes arwah suaminya dapat membantu mendapatkan kemudahan perubatan dan pencen, bukan untuknya tetapi demi masa depan anak-anaknya.

''Saya tidak dapat bayangkan kalau saya di tempatnya. Saya dapat rasakan betapa sayangnya Allah kepadanya sehingga diduga sedemikian rupa. Saya ceritakan ini kepada pembaca agar mereka boleh membantu terutama pihak tentera yang bertanggungjawab kerana suaminya pernah berkhidmat sebagai komando tentera.

''Saya berharap ceritanya ini menjadi teladan pada semua wanita betapa tabahnya wanita ini menghadapi pelbagai dugaan dari kecil sehingga dewasa.

''Kalau anda pernah menonton filem kesusahan seorang wanita di televisyen dan layar perak, rasanya penderitaan Norisa lebih teruk lagi.

''Kepada pihak pemerintah yang terkenal dengan slogan 'rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan, dahulukanlah bantuan kepada masalah Norisha.''

Peristiwa Khatam al-Nubuwwah Rasulullah...


SETELAH Jibril membelah dada Rasulullah SAW, menyucikan hati dan mengisinya dengan kelembutan, ilmu keyakinan, beliau pun memeterai di antara dua bahu Baginda SAW dengan Khatam al-Nubuwwah, iaitu seketul daging kecil yang timbul dan ditumbuhi bulu, di sebelah atas bahu kiri Baginda SAW.

Terdapat hikmah yang besar daripada peristiwa perletakkan ini, di mana setelah hati Baginda SAW dipenuhi dengan iman, hikmah dan keyakinan, serta dihimpunkan dengan sifat-sifat kenabian, maka ia dimeterai sebagaimana dimeterai di luar bekas yang telah dipenuhi dengan kasturi dan mutiara.

Dengan pemeteraian ini, tidak ada lagi sebarang jalan bagi musuh-musuh untuk mengganggu atau menggoda Baginda SAW. Terdapat beberapa hadis yang menunjukkan bahawa khatam ini telahpun ada sebelum itu.

Menurut zahir sebuah hadis, semasa dilahirkan telah ada kesan tersebut pada jasad Baginda SAW. Kemudian tanda itu semakin membesar hingga menjadi sebesar telur merpati selepas peristiwa pembelahan dada pada malam Israk dan Mikraj berdasarkan gabungan beberapa riwayat.

Apa yang hendak dijelaskan di sini, keistimewaan ini khusus buat Baginda SAW kerana beberapa maksud. Di antaranya, khatam ini merupakan tanda penutup kenabian kerana ia tidak akan dibuka selepas itu.

Diriwayatkan oleh al-Hakim daripada Wahhab bin Munabbih, berkata: "Allah tidak membangkitkan seseorang nabi melainkan terdapat tanda kenabian di tangan kanannya. Kecuali Nabi kita Muhammad SAW, tanda kenabiannya terletak di antara dua bahunya."

Maka perletakkan ini adalah suatu keistimewaan yang membezakan Baginda SAW dengan nabi-nabi lain. Dikatakan juga Khatam al-Nubuwwah ini diangkat ketika kewafatan Baginda SAW.

Rasulullah tunggang Buraq

Kemudian Rasulullah SAW menunggang seekor Buraq. Buraq diambil daripada perkataan al-Bariq yang bermaksud putih kerana warnanya yang putih di mana ia merupakan semulia-mulia warna atau ia diambil daripada perkataan al-Barq yang bermaksud kilat kerana kepantasan pergerakan dan kelajuan perjalanannya.

Allah SWT mengutus Buraq dari syurga untuk membesarkan dan memuliakan Baginda SAW. Sebagaimana adat bagi raja-raja, apabila mengundang orang-orang besar atau seseorang yang istimewa, maka diutuskan kepadanya kenderaan khusus yang hebat bersama orang kanan untuk mengundangnya. Maka Buraq itu dari alam ghaib.

Rasulullah SAW tidak diisrakkan, sama ada dengan mengenderai sayap malaikat, dibawa oleh angin sebagaimana angin yang membawa Nabi Sulaiman AS, ataupun dengan lipatan masa. Tujuannya, untuk memperlihatkan tanda kekuasaan Allah yang terkeluar daripada adat kebiasaan dan menakjubkan.

Kemudian Nabi SAW bersama Buraq melalui beberapa tempat yang berkat dan mulia. Di antaranya (tempat yang pertama), mereka tiba di suatu tempat yang terdapat di sana banyak pohon kurma. Jibril berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Maka Nabi SAW pun mematuhi permintaan Jibril itu.

Setelah itu, mereka pun berangkat kembali dan Jibril pun bertanya, "Apakah tuan tahu mengenai tempat tuan mengerjakan solat sebentar tadi?" Baginda SAW menjawab, "Tidak." Jibril berkata, "Tempat tuan mengerjakan solat sebentar tadi ialah Toibah (Madinah al Munawwarah) dan tuan akan berhijrah ke sana kelak."

Kemudian Buraq bersama Nabi SAW sampai ke Madyan; tempat terdapat pokok Nabi Musa a.s berlindung di bawahnya ketika keluar dari Mesir. Jibril berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Maka Baginda SAW pun turun dan bersolat.

Kemudian mereka menuju ke Tur Sina; di mana Allah SWT berbicara dengan Nabi Musa a.s Jibril berkata, "Silalah tuan turun di sini dan tunaikanlah solat." Baginda SAW pun turun dan bersolat.

Kemudian Nabi SAW sampai ke suatu tempat yang kelihatan di sana istana-istana negara Syam. Jibril pun berkata, "Silalah tuan turun dan tunaikanlah solat." Baginda memenuhi permintaan Jibril.

Jibril berkata, "Adakah tuan tahu mengenai tempat tuan melakukan solat sebentar tadi?" Baginda SAW menjawab, "Tidak." Maka Jibril berkata, "Sebentar tadi, tuan solat di Bait Lahm; tempat Nabi Isa ibnu Maryam a.s dilahirkan."

Turun dan solatnya Nabi SAW di tempat-tempat di atas, merupakan bukti besar menunjukkan hubungan tempat tersebut dengan Islam dan Baginda SAW merupakan Nabi Islam.

Ia juga membuka pintu keperihatinan umat Islam terhadap kesan-kesan sejarah agama yang berhubung kait dengan peristiwa-peristiwa besar, tempat mulia dan kenangan zaman silam.

Bagi menghidupkannya, hendaklah bersyukur kepada Allah SWT atas nikmat dan kurniaan-Nya dengan cara beribadah, berdoa dan berfikir tentang manfaat dan kebaikannya itu ternyata kembali semula kepada umat manusia.

Imam di Baitul Maqdis

Kemudian Baginda SAW menyambung perjalanan hingga tiba di kota Bait al Maqdis dan memasuki kota itu dari pintu gerbang sebelah kanan. Kemudian menambat Buraq berdekatan pintu masjid dengan kekang yang biasa digunakan oleh para Nabi AS.

Dalam riwayat yang lain, Jibril pergi ke sebuah batu besar dan membuat lubang pada batu besar itu dengan jarinya. Di sanalah Jibril menambat Buraq itu.

Baginda SAW masuk ke dalam masjid melalui pintu arah terbenam matahari dan bulan (sebelah barat). Kemudian Baginda dan Jibril solat dua rakaat. Tidak lama kemudian, banyak manusia berkumpul di situ. Nabi mengetahui mereka itu ialah para nabi, yang ada di kalangan mereka sedang solat, rukuk dan sujud.

Kemudian muazzin mengumandangkan azan menandakan solat akan didirikan. Maka mereka semua berbaris menyusun saf dan menunggu imam. Jibril mencapai tangan Baginda SAW dan mempersilakannya menjadi imam. Maka Baginda SAW pun solat bersama mereka dua rakaat.

Daripada Ka'ab RA meriwayatkan: Jibril mengumandangkan azan dan para malaikat turun dari langit. Allah memerintahkan seluruh nabi dan rasul berkumpul. Maka Baginda SAW pun menjadi imam dan solat bersama seluruh malaikat dan para rasul.

Setelah selesai, Jibril berkata, "Wahai Rasulullah, adakah tuan mengetahui siapakah mereka yang solat di belakang tuan sebentar tadi?" Jawab Baginda, "Tidak." Jibril SAW berkata, "Mereka ialah seluruh nabi yang diutuskan Allah."

Adakah nenas punca pendarahan rahim?



SAYA mempunyai seorang teman yang sama-sama belajar di kampus suatu ketika dahulu. Masalahnya rakan saya apabila dia memakan nanas akan mengalami pendarahan. Baru-baru ini, dia sekali lagi mengalami pendarahan yang agak banyak selepas memakan nanas. Rakan saya telah mendapatkan rawatan di sebuah klinik dan doktor yang merawatnya menyatakan bahawa dia akan mengalami masalah untuk mengandung apabila berkahwin kelak kerana rahimnya lemah. Saya mohon agar doktor menjelaskan perkara ini serta apakah rawatan yang perlu dilakukan oleh rakan saya bagi mengatasi masalah ini. Apakah beliau berpeluang untuk mengandung sekiranya masalah ini berlarutan. Saya mohon penjelasan dari doktor. Terima kasih.

Rakan Mahu Bantu Rakan

Terima kasih kepada adik yang sudi mengutarakan soalan yang menarik ini. Sangkaan berkaitan nanas menyebabkan pendarahan haid yang agak banyak adalah tidak tepat. Saya agak perkara ini berlaku secara kebetulan sahaja. Sebenarnya, nanas juga bukanlah penyebab pada keguguran, kalau janin dan ibu sihat.

Nanas atau nama saintifiknya Ananas comosus adalah sejenis tanaman tropika yang dipercayai berasal dari bahagian timur Amerika Selatan. Nanas tergolong dalam keluarga Bromeliaceae. Nanas sebenarnya bukan hanya buah yang sedap dimakan serta dijadikan jus minuman. Nanas juga kaya dengan kandungan mineral dan vitamin yang cukup tinggi. Ramai kalangan kita menggemarinya sebagai makanan pencuci mulut yang menyegarkan atau sayur sampingan (jelatah) selain dimakan dalam bentuk lain seperti jem nanas, halwa, jeruk dan biskut tat nanas. Bukan setakat itu saja, malah nanas juga mempunyai nilai perubatannya yang tersendiri.

Nanas mengandungi khasiat vitamin A, B1 dan bromelain (digunakan untuk melembutkan daging). Ia juga mengandungi asid sitrik yang berkesan untuk menghilangkan lemak dan menguruskan badan. Nanas juga mempunyai nilai khasiat yang penting seperti mineral, serat dan enzim yang baik untuk sistem penghadaman dan membantu mengekalkan berat badan ideal dan keseimbangan nutrisi. Nanas juga merupakan sumber vitamin C yang baik dan boleh dimakan mentah atau digunakan dalam masakan. Nanas mengandungi lemak dan garam yang minimum serta tidak mempunyai kolesterol. Selain itu, nanas juga mengandungi sejumlah kecil vitamin B2, B3, B5 dan B6. Ini jelas menunjukkan nanas merupakan buah yang sedap, berkhasiat dan menyihatkan.

Memerangi penyakitNanas juga dipercayai dapat menyihatkan mata. Kajian menunjukkan amalan memakan nanas melindungi mata daripada masalah berkaitan penuaan kerana ia kaya dengan anti-oksida. Ia juga dapat membantu memerangi pelbagai jenis penyakit. Nanas yang kaya dengan vitamin C merupakan sumber sangat baik untuk melindungi tubuh daripada radikal bebas yang menyerang sel-sel sihat. Banyak radikal bebas dalam tubuh yang menyebabkan penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes mellitus dan kanser. Amalan memakan nanas juga berkesan untuk menghindari selesema dan meningkatkan sistem imunisasi.

Nanas juga kaya dengan serat dan amat berkesan untuk memulihkan masalah sembelit dan masalah membuang air besar yang tidak teratur. Ia juga mengandungi enzim yang menjadikan kulit anjal, lembap dan menyingkirkan sel-sel mati dan rosak. Enzim di dalam nanas juga membantu memerangi radikal bebas yang boleh mengurangkan tanda-tanda penuaan dan garis-garis halus.

Jus nanas ini bukan sahaja merupakan minuman yang lazat tetapi juga dapat mengatasi masalah kekeringan di bahagian bibir dan di bahagian muka. Enzim yang terdapat pada buah nanas boleh meredakan bengkak-bengkak, kuatkan daya tahan badan serta menghapuskan fibrin yang boleh mengakibatkan penyakit jantung dan strok. Selain itu buah ini juga melancarkan perjalanan haid dan bukannya pendarahan haid yang banyak.

Jumpa pakarBerjumpalah dengan doktor pakar sakit puan bagi mengetahui masalah sebenar. Secara amnya, doktor akan mengesyaki seseorang wanita agak susah hamil jika kitar haid mereka tidak teratur kerana kitar sebegitu adalah tidak subur. Doktor tidak dapat mengatakan rahim seseorang wanita lemah atau tidak dan susah untuk hamil hanya jika seseorang wanita tersebut hanya mengalami pendarahan haid yang banyak apabila memakan nanas. Tiada kajian yang mengatakan bahawa nanas adalah penyebabnya. Elok berjumpa doktor bagi memastikan bahawa rakan anda tidak mengalami masalah berkaitan darah atau sistem pembekuan darah. Alangkah baiknya jika rakan anda dapat berjumpa dengan doktor bagi mendapat pemeriksaan perubatan dan juga ujian darah yang tertentu bagi mengetahui penyebab sebenar pendarahan haid yang banyak.

Friday, June 8, 2012

Arghhh !!! Tekanan bila berhutang..


BERHUTANG tidak salah, tetapi apabila ia di luar kawalan boleh menyebabkan tekanan perasaan, serangan penyakit jantung atau pergolakan rumah tangga. Ia juga boleh membuat seseorang membunuh diri.

Orang yang berhutang dianggap sebagai bermasalah sekiranya gagal membayar ansuran bulanan yang telah ditetapkan dan tidak mempunyai wang yang cukup untuk menyara kehidupan diri dan keluarga.

Secara psikologi apabila seseorang melihat jumlah hutang di dalam penyata banknya semakin bertambah, satu isyarat 'bahaya' akan dihantar ke otak.

Ini akan menyebabkan gejala kerisauan. Si berhutang mulai mengira sama ada mempunyai wang yang cukup untuk membayar tunggakan hutang sewa beli atau pinjaman tersebut.

Kerisauan juga menyebabkan gangguan tidur. Orang yang banyak berhutang sukar melelapkan mata di malam hari kerana ingatan mereka lebih tertumpu kepada pelbagai komplikasi hutang.

Isu berkenaan wang ringgit sangat sensitif di rumah. Mereka mudah naik angin dan adakala memarahi anak atau isteri yang meminta duit belanja.

Bagaimanapun orang seperti ini biasanya masih waras dan akan menyesal keesokan hari apabila melihat anak telah pun pergi ke sekolah tanpa bersarapan atau membawa duit belanja.

Di tempat kerja pula, mereka gagal memberikan tumpuan dan sibuk dengan pelbagai aktiviti luar skop kerja seperti jualan langsung untuk menambahkan pendapatan sampingan.

Tunggakan hutang boleh menyebabkan seseorang dihantui perasaan takut. Mereka tidak menjawab panggilan telefon atau membuka surat kerana takut ia daripada syarikat pemungut hutang atau pejabat peguam.

Bagi peminjam ah long mereka tidak akan membuka pintu rumah apabila diketuk kerana takutkan pelbagai ancaman dan ugutan.

Semasa memandu pula, mereka takut sekiranya kenderaan mereka ditarik.

Masalah kemurungan kebanyakannya berlaku apabila ikhtiar terakhir mereka untuk mendapatkan wang musnah.

Ia termasuk mendapatkan wang dengan cara yang tidak betul. Mereka putus asa terhadap kehidupan dan hanya melihat kematian sebagai jalan penyelesaian.

Bagi yang tidak mempunyai polisi insurans nyawa mereka tergamak membunuh anak dan isteri bersama.

Panduan psikologi menguruskan hutang

Langkah pertama, analisis jumlah hutang, komitmen bulanan dan bandingkan dengan pendapatan anda. Lihat berapa yang kurang. Maafkan diri atas sebarang kesilapan yang menyebabkan anda berhutang. Jangan bersedih kerana ada ramai lagi orang seperti anda yang mempunyai masalah serupa.

Peruntukkan satu hari dalam sebulan untuk membuka semua surat penyata hutang anda. Tetapkan keazaman yang anda akan selesaikan semua hutang tersebut satu hari nanti. Percayalah apabila anda melihat jumlah hutang semakin berkurang, anda akan merasa gembira kerana ia adalah bukti kejayaan. Anggaplah ia satu saat indah yang perlu berlaku pada setiap bulan.

Kurangkan pemiutang anda. Anda mungkin berhutang kepada sepuluh buah bank pada satu masa. Pilih jumlah yang paling kecil dan bayar sepenuhnya. Anda akan merasa lebih selesa kerana jumlah pengutip hutang yang akan menghubungi anda semakin berkurang.

Atur semula sewa beli dan pinjaman. Utamakan pinjaman yang mempunyai kadar faedah paling tinggi. Berbincang dengan pihak bank berkenaan pembiayaan semula atau pembayaran separuh.

Perbetulkan perbelanjaan mengikut kemampuan. Jangan berbelanja untuk bermegah. Orang mungkin memuji, tetapi pujian tersebut tidak bermakna sekiranya anda terseksa untuk membayar ansuran bulanannya. Utamakan dahulu keperluan asas seperti makanan, bil utiliti rumah dan yuran sekolah anak-anak.

Berterus-terang dengan keluarga tentang masalah kewangan dan langkah berjimat cermat. Tidak ada salahnya walaupun anak kecil anda menawarkan duit syiling mereka untuk membantu. Ia menunjukkan pemahaman dan boleh mengeratkan hubungan kekeluargaan. Banyakkan masa di rumah kerana ia boleh mengurangkan perbelanjaan di luar.

Jangan percaya dengan kaedah pantas mendapatkan wang seperti pinjaman ah long, skim cepat kaya atau judi kerana ia terbukti memudaratkan. Jangan melabur dalam sesuatu yang tidak pasti.

Apabila anda gagal menguruskan sendiri, jangan malu mendapatkan bantuan luar. Anda boleh berhubung dengan perunding hutang di bank atau agensi pengurusan kredit yang tidak berasaskan keuntungan untuk mengurangkan kadar faedah atau mengumpul kesemua komitmen bulanan dalam satu bayaran.

Tension bila sering dipersalahkan mertua..


SETIAP wanita mengimpikan rumah tangga yang di bina bersama insan tersayang bahagia dan berkekalan hingga ke akhir hayat.

Namun, bukan semua akan melalui saat bahagia itu kerana setiap perhubungan pasti ada dugaan dan cabaran yang perlu ditempuhi.

Terselit perasaan pilu oleh seorang wanita jika perhubungan suci sebuah perkahwinan itu tidak mampu diteruskan atas faktor-faktor tertentu yang tidak dapat dielakkan.

Selalunya, selain masalah yang dihadapi oleh pasangan itu sendiri, campur tangan orang luar seperti ibu mertua juga antara punca kepada keruntuhan rumah tangga yang dibina.

Dilema inilah yang perlu dilalui oleh Marli (bukan nama sebenar), 28 , walaupun usia perkahwinan belum memasuki setahun rumah tangganya telah diuji dan kini hampir berada di ambang keruntuhan.

Akuinya, perhubungan yang terjalin selama lapan tahun sebelum mereka mengambil keputusan untuk berkahwin pada tahun lepas bukanlah jaminan untuk mencapai kebahagiaan

"Kami mula berkenalan ketika sama-sama belajar di universiti. Suami seorang yang baik dan bertanggungjawab. Hubungan kami rapat dan saling menyayangi.

"Ternyata dugaan yang terpaksa ditanggung selepas berkahwin lagi berat. Tambahan faktor dari ibu mertua yang inginkan setiap menantu yang sempurna untuk anak-anaknya," katanya.

Kata Marli, selepas beberapa bulan berkahwin, mereka suami isteri terpaksa tinggal berasingan buat sementara waktu kerana urusan kerja masing-masing.

"Atas arahan syarikat suami saya, dia dikehendaki berpindah ke India dan berkhidmat di sana selama lima tahun.

"Suami menerima keputusan kerana peluang yang datang hanya sekali selain gaji yang diterima lebih lumayan," katanya.

Ujarnya, pada permulaan memang terasa susah untuk berpisah dan tinggal berasingan, namun apabila memikirkan masa depan keluarga dia akur dengan keputusan tersebut.

"Dalam tempoh pertukaran tersebut, kami teruji apabila terpaksa bercinta dalam jarak jauh namun perhubungan masih seperti biasa dan tidak timbul masalah kerana saling percaya antara satu sama lain," kata Marli.

Menurutnya lagi, ketika suami berpindah ke India, dia telah mengambil keputusan untuk tinggal bersama-sama dengan mertuanya.

Tujuannya untuk mengeratkan hubungan antara mereka berdua walaupun jarak rumah dan tempat kerja jauh.

"Namun, mertua sering mempertikaikan tindakan saya tidak mengikut suami ke India sebagai seorang yang pentingkan diri dan tidak menghormati anaknya.

"Ketika tinggal bersama ibu mertua, pelbagai cara saya lakukan untuk mengambil hatinya selain belajar untuk menjadi menantu yang baik tetapi kehadiran saya tetap tidak disenangi.

"Saya mempunyai alasan tersendiri tidak mengikut suami kerana kami telah berjanji untuk tinggal bersama apabila memperoleh anak nanti," ujarnya,

Setelah terpaksa tinggal berasingan, dia sekali lagi diuji apabila suaminya telah menghidap strok dan koma selama tiga bulan ketika berada di India.

"Ketika itu, hidup saya terasa kosong mengenangkan keadaan yang menimpa suami tambahan dia berada jauh dengan saya.

"Bagi memudahkan saya menjaga dan sentiasa berada di sampingnya, kami telah memohon suami dibawa pulang untuk dirawat di sini.

"Setelah lima bulan terlantar di hospital, akhirnya dia kembali pulih dan sihat seperti biasa," katanya.

Katanya, setelah suaminya sembuh daripada penyakit, berlaku sedikit perubahan pada tingkahlaku dan perangainya. Dia berubah daripada seorang yang bertanggungjawab kepada sebaliknya.

"Kalau dahulu suami terkenal dengan sikap yang penyabar, tetapi selepas sembuh suami cepat panas baran. Dia akan bertindak memukul dan memaki saya walaupun hanya berlaku sedikit salah faham," katanya.

Ujarnya, kerana tidak tahan dengan keadaan yang menimpanya, dia pernah membuat laporan polis demi menghindarkan berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini.

Selain itu, segala perbelanjaan rumah juga kini dia yang menanggung sendirian kerana suami berhenti bekerja.

"Sekarang saya juga menghadapi tekanan kerana ibu mertua sering menyalahkan saya atas apa yang berlaku kepada anaknya. Dia menganggap kehadiran saya dalam keluarganya hanya membawa sial.

"Saya sendiri tidak tahu selama mana saya mampu bertahan menghadapi dugaan ini. Kadang-kadang saya rindukan suami saya yang dulu ," katanya sambil merenung jauh bagai melihat masa depannya yang kian suram.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

Apabila cinta tidak dipupuk dalam perkahwinan...


PERBINCANGAN kali ini ialah mengenai sebab-sebab kenapa pasangan bercerai. Sebenarnya, ada banyak sebab berlaku perceraian. Ada pasangan memberi alasan mudah bahawa mereka sudah tiada persefahaman, namun ramai juga yang tercari-cari alasan.

Daripada data saya sendiri alasan atau sebab-sebab perceraian adalah: (1) Tiada persefahaman (2) Ada orang ketiga/curang (3) Campur tangan keluarga (4) Kewangan (5) hilang kasih sayang. Alasan yang saya berikan bukan mengikut keutamaan. Saya akan sentuh alasan pertama dan kedua.

Pasangan yang ingin bercerai sering memberi alasan tiada persefahaman dalam borang permohonan cerai mereka. Persoalannya apakah yang menyebabkan dua insan yang saling menyintai ini tiba-tiba menjadi sebegini? Adakah mereka bergaduh sejak berkahwin hingga menyebabkan mereka yakin bahawa perkahwinan mereka tidak boleh diselamatkan lagi.

Sebenarnya apabila diselidiki, alasan ini adalah alasan paling remeh boleh difikirkan namun jika perkara remeh dikumpul bertahun lamanya, ia akan menjadi gunung dan meletup. Ketidaksefahaman ini mudah disebutkan tetapi apabila diteliti ia bukan alasan yang kukuh. Antara contoh ketidaksefahaman ialah soal di mana pasangan perlu berhari raya, pembelian barang rumah atau kereta hingga kepada soal makanan dan hiasan. Ada juga pasangan bercerai kerana mereka tidak boleh berkomunikasi dengan baik mengenai hal kekeluargaan. Banyak isu tiada kesefahaman ini bermula sebelum pasangan berkahwin.

Sebenarnya semasa bercinta, ketidaksefahaman tersebut telah ada, namun pasangan cuba untuk tidak menanganinya atau berharap ia akan hilang apabila berkahwin.

Misalnya A semasa berkenalan dengan B tahu, B sangat rapat dengan ibunya dan berharap hubungan ibu anak itu akan berkurangan apabila mereka berkahwin dan mempunya anak. A sentiasa mendahului keluarganya dalam semua hal, malah semasa bercinta lagi ia sudah berlaku.

Semakin hari hubungan A dengan keluarganya semakin rapat, sehinggakan A akan balik kampung segera kerana hal keluarga. B mulai bosan dengan perangai A dan akhirnya B memohon cerai kerana merasakan dia tidak dihargai.

A tidak pernah merasakan dia mengabaikan B namun tiada siapa dapat menyedarkan dia bahawa dia juga perlu memberi keutamaan kepada isterinya dalam keadaan tertentu dan tidak mendahulukan keluarganya sepanjang masa.

Dalam kes A dan B ini, pasangan sentiasa berhari raya pertama di rumah A kerana A anak lelaki sulung. B bersabar selama lima tahun namun kesabarannya juga mulai luntur.

Ada pasangan yang tidak dapat mencapai kesefahaman dalam hal-hal seperti makanan dan pakaian. Dalam perkahwinan mesti ada yang mengalah dan berkorban. Pada kebiasaannya isteri sentiasa mengalah atau memberi lalui kepada kehendak suami. Setahun dua isteri bersedia mengalah atau berkorban tetapi lama-kelamaan dia menjadi korban. Dia mengorbankan perasaannya sehingga dia hilang identiti dirinya kerana semua perkara mengikut kehendak suami.

Tentunya hasrat isteri mahu menjadi isteri solehah namun ia tidak datang daripada hatinya tetapi kerana keterpaksaan atas asas cinta. Apabila cinta tidak dipupuk dengan kuat dalam perkahwinan, isteri merasa dirinya terpedaya dan terkorban. Dia akhirnya hilang kesabaran dan menuntut haknya.

Sementara itu, alasan wujud orang ketiga atau pasangan curang adalah alasan paling banyak diberikan oleh pasangan yang bercerai. Pada kebiasaannya suamilah yang sering menjalin hubungan dengan wanita lain yang menyebabkan isteri merasa amat kecewa kerana suami curang. Dalam kebanyakan kes, isteri yang datang mengadu untuk memohon cerai, ada yang percaya suami telah berkahwin baru atau menyimpan perempuan.

Poligami adalah isu sensitif bagi seorang isteri maka tidak hairanlah ramai isteri yang memohon cerai sebaik sahaja mengetahui suaminya berkahwin baru. Bagi seorang wanita, ia isu kesetiaan dan kasih sayang. Maka jika suami yang berani menduakan isterinya dia akan terpaksa menghadapi masalah isterinya memohon cerai.

Namun pada abad ke-21 ini, tidak kurang juga isteri yang curang kerana telah bosan dengan suami. Memang dunia dah berubah. Jika dahulu pelanggan saya semuanya wanita, hari ini sudah ada kaum lelaki. Ini bermakna masih ada lelaki yang setia di dunia yang moden ini!

Berbalik kepada isu orang ketiga ini, kes yang stereotaip ialah suami selepas beberapa tahun berkahwin (dalam rekod saya suami mula mencari lain selepas 5 tahun kahwin). Ada disebabkan kelahiran anak, di mana isteri memberi terlalu banyak tumpuan kepada anak sehingga suami terasa terabai. Keadaan bertambah buruk apabila ada insan lain yang memberi perhatian kepada suami, terutama di pejabat.

Di sini akan bermula episod baru buat suami dan kadang-kadang isteri sangat tidak menyangka suami sanggup meninggalkannya atau menceraikannya untuk berkahwin baru.

Ramai suami yang mempunyai tabiat buruk di mana setiap kali isteri mengandung, dia menjalin hubungan dengan wanita lain. Ini berlaku kerana dia terasa tidak dilayan atau isteri terlalu uzur, kerana mengandung yang menyebabkan dia tidak dapat melayan suami, zahir dan batin.

Dalam kes seperti ini, suami akan menceraikan isterinya untuk berkahwin dengan yang baru.

Tidak kurang juga isteri memohon untuk diceraikan kerana tidak mahu dimadukan atau rasa ditipu.

Kategori kedua, suami pada usia lewat 40-an mahu merasa sesuatu yang baru (excitement). Ia dimulakan dengan aktiviti bersembang dengan kawan-kawan di kedai kopi atau main boling atau golf atau apa saja di luar rumah. Secara suka-suka suami mula melayan wanita muda untuk memastikan dia masih relevan atau 'laku' setanding lelaki muda. Wanita muda pula suka pada lelaki berumur yang stabil dari segi ekonomi.

Ini boleh dikategorikan dalam kumpulan sindrom 40-an yang mana suami mula merasa ingin menjadi orang bujang dan melalui zaman remajanya semula.

Bagi kes isteri yang curang pula, pada kebiasaannya isteri menjalin hubungan dengan lelaki lain ditempat kerja. Ia sering berlaku di kalangan wanita muda yang sentiasa mahu dilayan dan dibelai kekasih atau suami.

Ia juga berlaku apabila isteri merasa 'kecewa' dengan alam rumah tangga kerana suaminya tidak seperti yang diharapkannya atau suami terlalu sibuk dengan kerja. Akhirnya isteri melayan lelaki lain kerana dahagakan kasih sayang dan belaian.

Hari ini, isteri tidak hanya mencari pasangan untuk berlaku curang di tempat kerja tetapi melalui laman sosial seperti facebook dan twitter. Semusim dahulu, isteri-isteri seperti ini mencari pasangan di laman sembang atas talian. Mulanya hanya suka-suka, kemudian mereka berani berjumpa, sekadar menonton wayang dan akhirnya mengadakan hubungan seks.

Isteri curang lebih sukar diperangkap kerana mereka pandai main kayu tiga dan kebanyakan suami yang terlalu sibuk sehinggakan tidak dapat menghidu perangai isteri kecuali diberitahu oleh orang lain.

Jaga emosi suami anda..


SETIAP isteri sering mendambakan kata-kata cinta dan sayang yang lahir daripada mulut suami masing-masing hampir setiap hari.

Sebagaimana isteri, suami juga sebenarnya mempunyai keinginan yang serupa. Mereka ingin dibelai manja dan juga 'disimbahi' dengan kata-kata sayang daripada isteri mereka.

Mungkin cara setiap individu adalah berbeza dari segi pengucapan dan ada di kalangan isteri yang jarang-jarang memberi pengucapan kata-kata itu kepada suami masing-masing melainkan si suami terlebih dahulu mengucapkan kata-kata hikmat itu.

Ini kerana ada di kalangan isteri yang malu untuk menzahirkan ucapan sayang akibat daripada runtunan perasaan yang berbelah bahagi, malu untuk melakukannya mahupun atas rasa ego dan merasakan tidak penting kata-kata berkenaan berbanding pengucapan yang terlahir daripada mulut suami.

Sebenarnya, menzahirkan perasaan sayang itu bukan hanya sekadar daripada kata-kata. Sekiranya sebagai seorang isteri anda malu atau tidak mudah untuk menzahirkan kata-kata itu ia sebenarnya boleh diperlihatkan menerusi perbuatan.

Anda juga boleh menunjukkan rasa sayang anda dengan melakukan beberapa perkara asas:

1. Hormati dia

Cara yang paling berkesan untuk membuktikan cinta ialah belajar menghormati dia khususnya di depan sanak saudara. Buatlah sesuatu yang baik untuk membuktikan anda menyayangi suami anda dan jangan sesekali memperlakukan yang anda lebih berkuasa daripada dia di depan orang lain.

Sentiasalah menjaga maruah dan 'air muka' suami anda.

Sekiranya di dalam telefon pun tidak perlulah anda bercakap dengan nada sinis mahupun garang kepada suami anda seolah-olah untuk menunjukkan kuasa anda kerana anda tahu pada masa itu orang yang berhampiran dengan anda dapat mendengarnya. Jangan sesekali memperlihatkan suami anda dayus di depan anda.

2. Sentiasa meminatinya

Kata-kata seperti "saya suka tubuh abang" atau " abang ni kelakarlah", umpama pujian yang meresap ke dalam tubuhnya. Siapa yang tidak sukakan pujian tambahan pula ia dikeluarkan oleh insan yang dicintainya.

3. Biar dia mendengar pujian anda

Katakanlah anda sedang berbicara dengan rakan-rakan di rumah, sesekali pujilah suami anda dan biarkan dia mendengarnya sebaik apabila dia melintas di belakang anda. Pastinya dia berasa senang dengan pujian anda itu.

4. Tinggalkan segalanya

Sebaik dia pulang ke pejabat atau berada di rumah, fokuskan diri anda hanya untuk dia. Jauhkan diri daripada komputer, tutup televisyen, biarkan anak-anak anda bermain sendiri, berhenti memasak dan berikan tumpuan sepenuhnya untuk dia dalam beberapa minit. Ini pastinya memberikan suami anda terasa diutamakan.

Ini tidak, ada di kalangan isteri yang asyik menonton televisyen sedangkan suaminya sudah melangkah kaki ke dalam rumah baru pulang dari kerja.

5. Perasan akan kekuatannya

''Tolong bang, ketatlah balang ini" atau "abang kuatlah boleh membukanya," atau ''cantiklah cat ini, sesuai abang pilih," adalah contoh berbentuk pujian ikhlas yang boleh menyebabkan suami anda berasa dihargai dan disayangi.

Namun jangan sesekali memuji 'palsu' suami anda dengan harapan untuk mendapatkan sesuatu. Dia boleh mengetahuinya.

6. Maafkan kelemahannya, terima seadanya

Semua daripada kita mempunyai kelemahan masing-masing. Maafkan kelemahan suami anda dan terima dia seadanya dan jangan gunakan kelemahannya untuk menentangnya.

7. Jangan bandingkan

Jangan sesekali bandingkan suami anda dengan lelaki lain. Golongan Adam ini masing-masing mempunyai kelemahan dan kekuatan tersendiri. Jika selalu sangat membandingkan suami anda dengan lelaki lain, dia akan terasa kelemahannya dan akan timbul emosi negatif dan menjarakkan hubungan dengan anda.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...