terima kasih buat kalian semua..

Monday, July 23, 2012

Madu saya ganas !!!


SAYA sependapat dengan Lela dan Izani juga isteri-isteri pertama yang teraniaya. Saya tidak setuju dengan pendapat Zee tentang "Isteri pertama tak sedar diri". Sebenarnya wanita yang rampas suami oranglah yang paling kejam dan tak tau diuntung.

''Daripada pengalaman saya sejak bermadu dengan Fida, hidup saya bukan sahaja tidak tenteram malah terperangkap sama dengan dosa yang dilakukannya.'' Itu cerita Sofi ketika kami berbual panjang di telefon minggu lalu.

''Saya sudah berkahwin selama 22 tahun, tetapi tidak mempunyai anak. Saya ambil anak saudara suami untuk dijadikan anak angkat. Mana tahu ada rezeki dapat anak sendiri. Namun kami masih belum ada rezeki. Malangnya suami buat hal, dia kahwin di Siam.

''Suatu hari dia beritahu dah kahwin. Saya tanya bila? Di mana? Dengan siapa? Kenapa tak beritahu awal? Dia sergah saya balik. Kena minta izin ke? Bukan itu maksud saya tetapi mengapa nikah di Siam? Saya boleh pinangkan kalau betul-betul dia nak kahwin. Mengapa mesti sembunyi?

''Lebih mengecewakan, jika sebelum ini hidup kami aman damai, setelah bernikah dengan Fida, saya sering diganggu dengan panggilan telefon yang menyakitkan hati. Madu saya akan panggil suami segera balik setiap kali giliran saya.

''Dia tak izinkan suami jumpa anak angkat kami apa lagi berjumpa saya. Dia marah malah panggil saya lembu tua. Saya beritahu suami, dia nasihatkan berbuat baik. Saya ikut nasihat suami dan demi kebaikan bersama, saya minta dia kenalkan dengan Fida. Pada hari ditetapkan, saya pergi bersama suami dan ibu bapa mertua ke rumah Fida dengan tujuan nak berkenalan.

''Dua jam kami menunggu dia tak keluar jumpa kami. Puas suami saya pujuk. Pelik sungguh! Saya datang dengan niat berbaik, bukan nak serang dia. Akhirnya dia keluar juga. Saya lihat dia dah mengandung. Melihat rupanya, tak sangka dia orang yang sering maki hamun saya selama ini. Dia nampak tertib depan mertua saya. Langkahnya lemah longlai, suaranya lemah lembut. Saya tak boleh bayangkan macam mana orang lembut seperti ini bercakap kasar dan panggil saya lembu tua.

''Patutlah suami saya tak percaya apa yang saya ceritakan. Sebab bila bercakap depan suami, macam langit dengan bumi.

''Katanya dia masih belum bekerja dan baru dapat ijazah kaunseling dari universiti, berumur 24 tahun, 17 tahun muda daripada suami saya. Apa yang mengejutkan, suami kata mereka baru dua bulan kahwin, tapi perutnya dah besar. Katanya dia dijangka bersalin Februari tahun depan.

''Bukan nak memuji, suami saya memang baik. Kami sering solat berjemaah dan saya tak fikir suami terlanjur kerana dia bukan lelaki rakus, tambahan mereka baru beberapa bulan berkenalan.

''Nak dijadikan cerita, enam bulan nikah, dia selamat melahirkan seorang bayi seberat tiga kilogram. Dengan megah dan tanpa malu, dia menjaja cerita yang dia sudah ada anak, bukan macam saya 'lembu tua mandul'. Dalam geram, saya tanya dia semula; Baru nikah dah beranak. Anak siapa? Dia mengamuk mengadu pada suami suruh ceraikan saya. Hem! sudahlah suami kita dirampas. Dia suruh saya diceraikan dan berani panggil saya lembu tua.

''Saya beritahu suami bukan saya ganggu dia, tetapi Fida yang selalu telefon dan SMS ganggu saya. Kerana suami tak percaya, saya beri telefon saya pada suami biar dia sendiri dengar dan baca SMS Fida. Pernah saya tukar nombor telefon tetapi dia tahu semua, mungkin dia dapat daripada telefon suami.

''Tak lama kemudian permohonannya jadi guru diterima dan dia perlu belajar semula. Jadi dia serahkan anak pada mertua suruh jaga. Pernah juga saya bawa anaknya ke rumah saya kerana jika suami kata itu anaknya, saya cuba sayangi anak itu. Apabila Fida dapat tahu, dia mengamuk marahkan saya. Kalau saya belikan pakaian untuk anaknya, dia bakar. Malah dia pernah ugut suami pilih anak atau saya. Jika sayangkan anak, ceraikan saya.

''Oleh kerana dia sering ganggu saya, suami beri taklik ''jika dia ganggu saya lagi, maka tertalaklah dia dengan talak satu.'' Tapi Fida memang degil sanggup langgar taklik, maka tertalaklah dia dengan talak satu. Walaupun sudah bercerai, mertua masih jaga anaknya.

''Di samping itu, gangguan Fida terhadap saya tak pernah padam. Gelaran lembu tua mandul sudah jadi muzik merdu di telinga dan mulutnya.

''Sebenarnya bukan saya tak berusaha dapat anak sendiri mengikut pelbagai cara, cuma belum ada rezeki. Malah saya pernah menjalani ujian IVF dengan bayaran RM15,000 di hospital swasta di KL beberapa tahun lalu. Doktor sahkan saya tak ada masalah cuma air mani suami kurang.

''Doktor nasihatkan suami buat beberapa kali ujian ICSI sebelum IVF dapat dilakukan kepada saya. Tetapi tak lama selepas itu, suami mengaku dia dah nikah. Saya masih tertanya-tanya siapa sebenarnya bermasalah, saya atau suami. Selama tiga tahun Fida jadi madu saya, dia tak beranak lagi sedangkan dia kata akan beranak tiap tahun untuk sakitkan hati saya.

''Dua tahun selepas bercerai secara taklik, Fida dan suami mahu nikah semula. Suami memohon kebenaran berpoligami di mahkamah syariah. Sebelum ke mahkamah, suami beri amaran jangan banyak soal.

''Ketika hakim tanya pasal giliran, Fida lebih awal beritahu ketika cuti sekolah suami mesti bersamanya, waktu lain dengan saya. Saya akur. Tetapi itu semua janjinya depan hakim. Hakikatnya suami tak boleh bersama saya. Setiap kali balik, dia akan telefon dan ganggu suruh suami balik dengan pelbagai alasan. Si perampas nak berkuasa tak sedar diri setelah rampas suami orang!

''Tak cukup dengan ugutan, Fida sanggup paparkan gambar seksinya bersama suami dalam FB. Apakah tujuannya kalau tidak untuk sakitkan hati saya! Tapi saya tak kisah kerana yang malu bukan saya, dia sendiri sebagai pendidik yang langsung tak ada maruah. Perbuatannya itu juga hanya memalukan suami di mata teman sepejabatnya." Itu cerita Sofi tentang madunya yang pembengis.

Bau badan isteri 'matikan' selera seksual saya....


SEBELUM melakukan hubungan intim dengan pasangan anda di ranjang, pernahkah anda melakukan 'pemeriksaan' menyeluruh ke atas tubuh?

Sebagai pengemudi pasangan, anda memang telah bersedia memikat suami atau isteri anda dengan memakai baju tidur yang seksi, bergaya dengan aksi yang manja tup tup... oops... badan berbau.

Bau adalah perkara yang boleh menyebabkan hubungan intim mengalami kegagalan.

Meskipun ada yang mengatakan bau badan yang tidak menyenangkan perkara remeh yang tidak perlu diperbesarkan, ia sebenarnya antara penyumbang kepada masalah seksual suami isteri.

Ia boleh berpanjangan dan menjadi salah satu faktor punca perceraian.

Antara bau yang perlu dihindari apabila hendak melakukan hubungan intim ialah:

1 Badan berbau

Jika mendapati badan memang sentiasa mengeluarkan bau yang amat memeritkan hidung setiap kali berpeluh akibat rembesan hormon yang berlebihan, anda perlu melakukan sesuatu untuk membendungnya.

Justeru perkara yang perlu dilakukan ialah menjaga kebersihan diri dengan sentiasa mengganti baju dan mandi dengan menggunakan sabun. Selepas itu pakailah baju yang bersih.

Jika ingin 'bersama ' pasangan, seelok-eloknya mandi terlebih dahulu kemudian semburlah wangian untuk bau lebih menyenangkan.

2 Rambut berbau

Ini mungkin anda tidak perasan. Tetapi pasangan akan terbau rambut yang masam atau hapak apabila si dia ingin mengusapnya.

Justeru pastikan rambut disyampu dan kemaskan dengan perapi untuk menjadikannya lebih terurus dan berbau harum.

3 Kaki berbau

Ini juga salah satu perkara yang perlu diberi perhatian oleh pasangan. Janganlah lepas balik dari kerja, lemparkan kasut dan sarung kaki, terus memeluk pasangan anda di atas katil dengan bau kaki yang tidak menyenangkan.

Kaki berbau kerana ia sentiasa berkeadaan lembap, kurang bersih, berkuman dan menyebabkan bau yang kurang menyenangkan.

Basuh dan bersihkan kaki dahulu, pastikan ia kering dan tidak meninggalkan bau terpengap. Kalau boleh minta ubat atau petua yang boleh mengurangkan bau kaki.

4 Ketiak berbau

Ini juga disebabkan oleh rembesan hormon pada individu menyebabkan tahap bau pada ketiak akan menjadi lebih dominan atau menonjol.

Sama ada berbau tengik, masam, perit dan sebagainya ia adalah bau semula jadi yang dihasilkan oleh badan.

Kadangkala ada pasangan yang gemar dengan bau ketiak pasangan masing-masing dan menjadikan ia satu kemuncak kepada keghairahan.

Namun sekiranya bau ketiak menjejaskan hubungan intim sesuatu perlu dilakukan. Antaranya dengan menggunakan pewangi ketiak, mahupun mencari petua yang boleh menghilangkan bauan tersebut.

Apa pun mandi selalu juga boleh membuatkan bau berkenaan semakin berkurangan.

5 Nafas berbau

Ini juga perlu diambil perhatian. Nafas berbau disebabkan tidak menjaga kebersihan mulut, sisa makanan mahupun kerosakan gigi.

Gosok gigi, pakai pencuci mulut atau pewangi mulut sebelum anda bercumbu agar si dia tidak terasa mual dengan bau mulut anda.

6 Alat sulit berbau

Ini yang paling penting. Alat sulit wanita memang memiliki bau yang tersendiri. Memang baunya agak tajam. Namun tidak perlu menyemburnya dengan wangian ditakuti dijangkiti kuman.

Alat sulit wanita akan berbau akibat penyakit keputihan, gatal-gatal dan bengkak di sekitar faraj kerana tempat ini adalah tersembunyi, lembap dan gelap.

Selalu jaga kebersihan alat sulit anda. Bagi suami isteri, bersihkan alat sulit terlebih dahulu sebelum melakukan hubungan intim bagi mengelakkan bakteria.

Jangan terus tidur selepas melakukan hubungan intim, sebaiknya basuh dulu alat sulit selepas hubungan.

7 Bersih tangan anda

Pastikan tangan anda sentiasa bersih dan mencucinya dengan cermat agar apabila pasangan ingin menciumnya tiada pula terbau bawang atau belacan.

8 Cuping telinga, leher dan tengkuk

Ini juga penting, bersihkan, jangan sampai ada daki atau cebisan kulit mati padanya kerana pasangan anda akan memulakan adegan intimnya di bahagian ini untuk merangsang ghairah anda.

Isteri lebih tua 15 tahun: Hubungan tak direstu ibu bapa...membawa porak peranda !!!


KEPUTUSAN Hakimi, (bukan nama sebenar), 27, berkahwin pada usia muda bukanlah satu langkah yang baik buat dirinya.

Ini kerana ketika mengambil keputusan untuk berkahwin, dia baru berusia 19 tahun. Manakala wanita pilihannya seorang janda Tasha (bukan nama sebenar) jauh lebih berusia daripadanya.

Tasha yang ketika itu berusia 34 tahun, selain pernah gagal dalam perkahwinan merupakan ibu kepada dua orang cahaya mata dan bekerja di sebuah syarikat swasta terletak di bandar.

Bercerita lanjut detik perkenalan mereka, kata Hakimi, ketika pertama kali berjumpa dengan Tasha umurnya masih muda iaitu 17 tahun.

"Mula -mula hubungan kami seperti kakak dan adik. Sehinggalah selepas itu kami mula rapat dan serius menjalinkan hubungan sebagai pasangan kekasih.

"Walaupun saya tahu Tasha adalah seorang janda dan mempunyai anak, namun kerana sifatnya yang penyayang dan pandai melayan kerenah saya yang masih remaja ketika itu membuatkan perasaan sayang makin mendalam padannya.

"Selepas dua tahun berkawan, Tasha ingin hubungan kami sah sebagai suami isteri. akhirnya kami mengambil keputusan berkahwin.

"Namun, kami terpaksa berkahwin secara rahsia kerana tidak mahu keluarga saya mengetahui sekali gus akan membuatkan mereka bersedih.

"Saya tahu, kalau beritahu kepada keluarga mereka tidak dapat menerima keadaan tersebut. Tambahan wanita yang saya kahwini 15 tahun lebih tua dan saya pula masih muda remaja," kata Hakimi.

Katanya, selepas berkahwin mereka hidup bahagia dan menjalankan kehidupan suami isteri seperti biasa.

"Selepas berkahwin saya telah diterima bekerja secara kontrak dengan sebuah syarikat milik kerajaan. Dengan gaji tersebut saya menyara isteri dan anak-anak tiri saya.

"Namun, dalam tempoh tersebut juga, saya terpaksa menipu keluarga mengenai perkahwinan kami dan saya masih tinggal di rumah keluarga.

"Ada kalanya saya terpaksa berbohong dengan keluarga bahawa ada kerja luar jika tidak pulang ke rumah semata-mata untuk bermalam di rumah Tasha," katanya.

Namun, dalam masa yang sama , Hakimi juga mendapat tekanan dari Tasha yang mendesak agar berterus-terang dengan keluarganya.

"Kerana saya berdegil menyembunyikan perkahwinan kami daripada pengetahuan keluarga, akhirnya Tasha bertindak mengunjungi sendiri keluarga saya di kampung.

"Ketika itu, saya bekerja di luar daerah. Tasha datang ke rumah jumpa keluarga dan tunjukkan gambar perkahwinan kami.

"Selepas mereka mengetahui kami telah berkahwin, keluarga tidak dapat menerima keadaan tersebut kerana saya sanggup membelakangkan keluarga," kata Hakimi.

Ternyata perkahwinan yang dibina atas dasar cinta itu mendapat tentangan hebat daripada keluarga Hakimi sehingga mereka mendesak agar berpisah dengan Tasha.

"Keadaan semakin teruk apabila pada suatu hari datang seorang lelaki kenalan kepada ayah mengaku bahawa dia kenal Tasha dan Tasha telah menjadi perempuan simpanannya sebelum kami berkahwin.

"Pengakuan tersebut menambahkan lagi kebencian keluarga saya kepada Tasha. Begitu pun saya langsung tidak percaya apa yang diceritakan oleh kenalan ayah itu. Sepanjang kenal Tasha saya tahu dia bukan perempuan yang sebegitu.

"Namun desakan keluarga supaya saya berpisah dengan Tasha semakin kuat," katanya.

Dalam tempoh dugaan tersebut, Hakimi juga telah bertukar tempat kerja baru sebagai pemandu lori.

Dijadikan cerita, pekerjaan baru tersebut telah menemukan dia dengan seorang gadis liar bernama Sara.

"Kehadiran Sara bagaikan tepat pada masanya kerana waktu itu saya memerlukan seseorang yang dapat meluahkan perasaan.

"Perkenalan saya dengan Sara di sebuah hotel membuatkan hubungan kami bertambah serius walaupun saya tidak mencintainya," katanya.

Menurut Hakimi, Sara bukan sahaja seorang gadis liar tetapi dia juga merupakan seorang pengedar dadah.

Keadaan itu memudahkan lagi Hakimi mendapatkan bekalan dadah dengan harga yang murah.

"Sebenarnya saya terjebak dengan ketagihan najis dadah sejak sebelum berkahwin dengan Tasha lagi. Namun, sama ada Tasha mahupun ahli keluarga saya, langsung tabiat ini," katanya.

Berkawan dengan Sara membuatkan Hakimi semakin jarang pulang ke rumah sekali gus menimbulkan syak kepada Tasha, apatah lagi apabila dia sering curi-curi menelefon wanita itu.

"Tasha berjaya menghidu hubungan kami. Suatu hari dia mengekori dan 'menangkap' saya dan Sara yang sedang khayal di bawah pengaruh dadah.

"Selepas kejadian itu, bukan setakat Tasha bahkan seluruh ahli keluarga tahu saya penagih dadah.

"Ibu bapa saya bertambah berang dan menyalahkan Tasha jadi punca saya menagih dadah. Mereka mengugut agar saya menceraikannya kerana jika tidak tidak saya bukan lagi anak mereka.

"Tidak tahan dengan tekanan daripada keluarga, akhirnya saya ceraikan Tasha walaupun apa yang berlaku pada saya bukan kesalahannya dan kami masih sayangkan satu sama lain," ujarnya.

Kembali hidup membujang, sekarang ini Hakimi sedang berusaha untuk memulihkan diri daripada ketagihan najis dadah dan memulakan hidup baru.

Dalam masa yang sama juga dia juga telah menemui pengganti dan akan melangsungkan perkahwinan dalam masa terdekat ini.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

Baka atau saka???


MASYARAKAT Melayu memang mempercayai akan kaitan makhluk halus dengan sesuatu masalah termasuk penyakit yang dihidapi oleh mana-mana individu.

Kadang-kadang disebabkan taksub dengan kepercayaan itu semua penyakit dikaitkan dengan gangguan makhluk halus termasuk saka.

Itu yang berlaku pada Kak Limah yang bersungguh-sungguh mahu membawa anaknya Hanah berjumpa seorang dukun bagi membuang saka.

Pada Kak Limah, saka itu membuatkan Hanah menjadi murung dan sering keluar rumah pada waktu magrib.

Ketika ditanya ke mana Hanah pergi, Kak Limah memberitahu anaknya itu keluar berjumpa kawan-kawan.

Tetapi dia hairan kenapa mereka berjumpa pada waktu maghrib lalu dikaitkan dengan saka.

Daripada pengamatan, Hanah merupakan seorang gadis yang pendiam pemalu dan berhemah tinggi.

Dia juga rajin membantu ibunya menjual nasi lemak pagi pagi.

Punca Kak Limah mengaitkan anaknya itu dengan saka kerana Hanah kurus kering seperti lidi.

Bukan soal dia kurang makan, tetapi biarlah banyak mana sekalipun Hanah makan, tubuhnya tetap kurus melidi.

Malah dia juga mempunyai masalah jerawat yang banyak di muka. Ia bagaikan tidak surut-surut selain wajahnya sukar senyum sentiasa serius dan tidak ramah sebagaimana ibunya.

Kak Limah juga memberitahu Hanah sering bergaduh dengan adik beradik yang lain.

"Hanah pantang di tegur. Kalau di tegur dia merajuk. Pernah dia lari ke rumah emak saudaranya kerana marahkan kakaknya yang menegur supaya dia jangan keluar waktu senja. Namun dia degil," kata Kak Limah.

Walaupun masyarakat Melayu sering mengaitkan masalah yang dihadapi Hanah dengan elemen mistik, tetapi dari aspek perubatan dia sebenarnya mengalami masalah kekurangan hormon adrenal.

Kelenjar adrenal yang terdapat pada buah pinggang gagal merembeskan hormon tersebut.

Menurut pengamal perubatan estetik, Dr. Rushmini Maris Ismail, hormon adrenal penting bagi penghasilan tenaga dan menjadikan seseorang itu segar.

"Hormon ini membantu kita menghadapi tekanan dalam kehidupan seharian," katanya.

Katanya, hormon adrenal paling tinggi pada waktu pagi.

"Bagi seseorang yang mempunyai hormon adrenal yang tinggi, ini memberikan mereka tenaga sepanjang hari.

"Manakala bagi mereka yang kurang hormon ini, akan mengalami keletihan yang teruk pada waktu tengahari atau petang.

"Apabila senja hormon ini keluar semula, maka mereka berasa segar dan barulah bersemangat bertemu kawan-kawan," jelasnya.

Hormon itu juga dinamakan hormon sosial yang membantu kita berinteraksi dengan orang lain dalam suasana tenang dan gembira.

"Tidak hairanlah Hanah mempunyai kecenderungan bersosial di waktu senja kerana pada waktu ini tubuhnya berasa segar dan tenang," kata Dr. Rushmini.

Hormon adrenal juga penting bagi kesihatan kulit. Mereka yang cukup memiliki hormon ini akan cantik dan berkulit mulus.

Masalah jerawat Hanah juga ada kaitan dengan hormon adrenal dan boleh dipulihkan melalui terapi peningkatan hormon itu.

Menurut Dr. Rushmini, apa yang berlaku pada Hanah itu bukan soal saka.

Tetapi lebih kepada faktor genetik di mana Hanah di lahirkan dengan kalenjar adrenal bersaiz kecil.

"Maka, rawatan hormon bioidentical akan memulihkan keadaan hormon Hanah dan mengubahnya menjadi lebih tenang dan gembira," katanya.

Hanah juga mampu menambah berat badan nya dan mendapatkan tubuh yang cantik dengan peningkatan hormon ini dalam tubuhnya.

Hormon adrenal bertindak ke atas penghasilan lemak. Kandungan hormon yang rendah menyebabkan lemak tidak terbentuk.

"Ini memberikan wajah cekung dan bentuk tubuh leper. Peningkatan hormon menambahkan lemak pada muka, buah dada dan punggung. Ini membolehkan seseorang menukar keseluruhan bentuk tubuhnya," jelas beliau.

Kekurangan hormon adrenal juga menjadikan seseorang itu tampak gelap kerana melanosit yang mengeluarkan pigmen akan menjadi aktif.

Menurut Dr. Rushmini, selepas melakukan ujian darah untuk melihat keadaan hormon Hanah, didapati tekaan mengenai masalah yang dihadapinya tepat.

Selepas diberikan rawatan hormon Hanah banyak berubah. Dia bertukar menjadi lebih riang dan gembira.

Keceriaan turut terpancar di wajah ibunya yang selama ini menyangka anaknya mempunyai saka.

Tetapi masalah sebenar ialah kekurangan hormon.

"Saya tidak sangka Hanah kurang hormon kerana saya ingat hormon berkaitan dengan wanita menopaus," kata Kak Limah

Isnin punca sijil cuti sakit???



SESEORANG yang mempunyai rutin kerja dari Isnin sehingga Jumaat pastinya pernah mengalami sindrom Monday blues.

Ia adalah perasaan murung dan gelisah yang timbul apabila seseorang memikirkan dia terpaksa masuk bekerja semula pada hari Isnin selepas cuti hujung minggu Sabtu dan Ahad.

Perasaan ini biasanya bermula pada Ahad petang dan berakhir pada Isnin, selepas waktu bekerja.

Ini kerana bagi kebanyakan pekerja, Isnin adalah hari yang paling sibuk dengan pelbagai "dateline" dan mesyuarat penting.

Mungkin juga kerana ada di antara mereka sebenarnya masih berada di dalam mood cuti.

Berbeza dengan hari Jumaat apabila kebanyakan pekerja datang dengan penuh semangat memandangkan cuti hujung minggu mereka akan bermula selepas tamatnya waktu bekerja.

Kemurungan ini memusnahkan mood cuti hujung minggu. Cuti tersebut tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk berehat. Malah ada yang begitu tertekan sehingga mengganggu keintiman suami isteri.

Monday blues ini juga adalah sebab mengapa ramai pekerja sengaja mengambil sijil cuti sakit pada hari Isnin.

Bagi yang datang bekerja, mereka lebih suka menyendiri dan menjadi tidak produktif. Suasana persekitaran juga menjadi hambar dan suram.

Bagi pekerja berpengalaman, mungkin cara paling baik untuk menghadapinya adalah melaluinya dengan sikap yang paling positif.

Anda pula mungkin mempunyai cara tersendiri, tetapi tidak salah untuk mencuba beberapa kaedah di bawah.

Tips mengelakkan Monday bluesPersediaan boleh bermula pada hari Jumaat lagi dengan membuat nota ringkas berkenaan perkara-perkara yang perlu dilakukan pada Isnin. Ini akan mengelakkan suasana kelam kabut pada hari tersebut.

Kebanyakan orang mengadu susah melelapkan mata pada Ahad malam. Ini kerana mereka banyak berfikir tentang perkara yang remeh-temeh.

Cuba dapatkan rehat secukupnya. Anda boleh cuba teknik mandian segar menggunakan sabun aromaterapi atau minum teh herba panas tanpa kafein beberapa jam sebelum waktu tidur.

Masuk tidur awal dan jangan menonton televisyen sehingga larut malam.

Pada keesokan harinya pula, mulakan dengan berjoging atau membuat senaman ringkas.

Setengah jam sudah mencukupi untuk merangsang tubuh badan merembes hormon gembira yang dipanggil endorphine.

Fikirkan sesuatu yang boleh membuatkan anda gembira ke tempat kerja. Contohnya, anda mungkin boleh telefon kawan untuk bersarapan pagi di kopitiam berhampiran atau mendapatkan perkhidmatan teksi ke pejabat.

Nikmati perjalanan tersebut. Datang lebih awal supaya anda berkesempatan untuk menyemak jadual temujanji dan membuat persediaan secukupnya.

Semasa bekerja, berehatlah seketika apabila minda anda semakin kehilangan fokus. Anda boleh berjalan-jalan atau membuat regangan kecil untuk melegakan tekanan.

Otak memerlukan oksigen dan rangsangan untuk berfungsi, terutamanya jika anda bekerja di dalam bagunan yang tidak mempunyai rangsangan cahaya matahari.

Jika anda perlu menghadiri mesyuarat kakitangan, carilah cara untuk menceriakannya. Cubalah tersenyum walaupun anda sendiri tidak menggemarinya.

Rakan sekerja anda juga mungkin begitu. Anda boleh membelikan kuih muih atau coklat bar untuk dikongsi bersama. Manisan adakalanya baik untuk meredakan ketegangan.

Pada waktu rehat tengah hari, cuba penuhkan ruang tersebut dengan aktiviti yang menggembirakan.

Anda mungkin boleh keluar makan bersama kawan, berjalan di kompleks beli-belah atau bersantai di pejabat.

Rancang sesuatu yang istimewa untuk dilakukan pada malamnya. Anda boleh makan malam bersama keluarga, berkaraoke atau menonton wayang.

Anggaplah ia sebagai hadiah selepas anda mengharungi hari isnin yang sibuk dan huru-hara.

Bagi majikan dan ketua jabatan pula, rangsanglah persekitaran jabatan anda sebaik mungkin. Ini boleh dilakukan dengan memulakan sesi bekerja pada Isnin dengan bacaan doa.

Cuba untuk tidak membuat mesyuarat kakitangan atau morning prayer pada hari tersebut.

Sediakan persekitaran yang kondusif untuk mereka menguruskan tekanan kerja dengan baik.

Hari Isnin tetap akan berlalu sama ada anda menghadapinya dengan baik atau tidak. Bagaimanapun, sekiranya perasaan murung tersebut berlarutan hingga ke hari-hari seterusnya, lakukanlah sesuatu.

Anda mungkin perlu menukar kerja atau mendapatkan rawatan doktor

Pelajar bawa telefon ke sekolah: Minta kaji semula !!


TIDAK dinafikan telefon bimbit atau seumpamanya sangat penting dalam dunia masa kini. Telefon bimbit sering dikaitkan dengan kemudahan untuk berhubung antara satu sama lain. Kini, telefon bimbit bukan hanya dimiliki oleh orang dewasa, malah pelajar-pelajar sekolah, termasuk pelajar sekolah rendah mahupun prasekolah. Begitulah pentingnya penggunaan telefon bimbit pada masa kini.

Namun, hasrat Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) untuk membenarkan pelajar membawa telefon bimbit ke sekolah mulai tahun 2013 adalah tidak sesuai, meskipun kita menyedari pentingnya penggunaan telefon bimbit. Ini kerana ia menimbulkan 1001 persoalan.

Jika alasan ibu bapa digunakan untuk memantau pergerakan anak-anak bagi memastikan anak-anak berada di sekolah ia bukanlah satu alasan yang baik.

Hal ini kerana, saya yakin dan percaya sekolah sentiasa memaparkan nombor telefon yang boleh dihubungi oleh ibu bapa. Malah terdapat juga sekolah yang memberikan nombor telefon guru kelas kepada ibu bapa bagi memberi ruang dan peluang untuk ibu bapa bertanyakan tentang perkembangan anak-anak mereka di sekolah.

Malah, pelajar turut diberi kebenaran menggunakan telefon pejabat jika diperlukan.

Begitu juga jika alasan keselamatan diberikan sebagai cara untuk membenarkan telefon bimbit dibawa ke sekolah ia juga turut tidak relevan.

Sebabnya, selama ini, kerajaan melalui Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan beberapa organisasi kerajaan, termasuklah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dengan kerjasama pihak media sentiasa mengingatkan para pelajar tentang tindakan yang patut dilakukan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini seperti didekati oleh individu tidak dikenali dan sebagainya.

Apa yang saya ingin saya utarakan di sini adalah kebenaran membawa telefon bimbit tersebut walaupun mempunyai draf undang-undang penggunaannya sewaktu di sekolah, namun saya yakin dan percaya ia sukar dikawal.

Saya sangat bimbang kebenaran itu akan memberi kesan negatif kepada pihak sekolah sama ada daripada segi penguatkuasaan disiplin, malah lebih memburukkan ia mengganggu proses Pengajaran & Pembelajaran (P&P) dalam bilik darjah.

Ia juga akan menggagalkan pihak sekolah mengesan masalah disiplin dalam kalangan pelajar kerana pelajar-pelajar lain akan menghubungi rakan-rakan yang lain bagi mengelak daripada dikenakan tindakan oleh pihak sekolah.

Lebih membimbangkan gambar-gambar guru akan dirakam malah kawasan larangan sekolah seperti bilik kebal, pejabat dan sebagainya yang menjadi kawasan larangan pelajar akan tersebar di Internet.

Saya sekali lagi menyeru pihak KPM menarik balik kebenaran penggunaan telefon bimbit di sekolah bagi mengelakkan perilaku negatif dalam kalangan pelajar menjadi lebih buruk.

RAKYAT PRIHATIN
Taiping

Pelajar bawa telefon ke sekolah: Sudahkah kajian baik dan buruk diambil kira?


JIKA keadaan ekonomi mengizinkan, saya percaya ramai ibu bapa akan menyediakan gajet terkini, terutama telefon bimbit yang menjadi keperluan dewasa ini. Tetapi persoalannya, adakah wajar anak-anak di sekolah dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah?

Pada hari ini kes jenayah yang memangsakan pelajar sekolah sedang berleluasa. Ini tidak termasuk isu sosial lain yang melanda pelajar sekolah yang tidak perlu saya nyatakan di sini.

Sebagai ibu bapa kita semua bimbang kiranya pulang dari sekolah anak-anak berhadapan dengan bahaya dan sebagainya, bagaimanakah anak-anak ini dapat menghubungi keluarga ketika kecemasan? Pelbagai persoalan dan kebimbangan telah meletakkan idea membenarkan pelajar membawa telefon bimbit kelihatan sangat wajar.

Tetapi sudahkah perkiraan dan kajian baik buruknya diambil kira? Hanya pihak berwajib mampu menjawab persoalan ini. Sebagai rakyat biasa yang tidak mempunyai statistik baik buruknya membenarkan pelajar membawa telefon ke sekolah mungkin boleh untuk saya kongsikan bersama isu yang pada hemat saya mungkin timbul apabila pelajar bersama telefon di sekolah:

l Tumpuan pelajar terganggu

Bolehkah seorang guru mengawal pelajarnya agar tidak melayan SMS yang masuk keluar pada setiap detik dan ketika? Mungkin juga pelajar sibuk melihat kecanggihan gajet yang dimiliki oleh rakan dan membandingkan dengan gajet miliknya. Bukankah ini semua akan mengganggu pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

l Jurang stratifikasi sosial di sekolah

Sekolah diprogramkan dengan keseragaman dan kesamarataan. Baju tidak berbeza pada warna mahupun gayanya. Tetapi jika gajet yang dibawa iPhone, Samsung, BlackBerry sudah tentu tidak sama dengan gajet tidak berjenama. Apakah kita inginkan jurang stratifikasi sosial berlaku di dalam persekitaran sekolah. Sombong, memperlekehkan yang lain mungkin akan menjadi budaya sekolah. Adakah matlamat ke sekolah akan tercapai kiranya begini keadaan persekitarannya?

l Jenayah kecil-kecilan

Gajet yang dibawa ke sekolah seperti telefon bimbit mungkin terdedah kepada kecurian. Disebabkan godaan yang tinggi gajet yang dicuri boleh membawa kepada masalah lain seperti bergaduh sesama pelajar dan tidak kurang menyusahkan para guru yang terpaksa membuat siasatan bagi kecurian tersebut.

l Isu sosial

Anak remaja sedang dalam proses mengenali diri dan membentuk peribadi. Banyak kes pada hari ini telefon bimbit berkamera digunakan sebagai bahan untuk bereksperimen dalam melihat tubuh badan sendiri, mengendap, merekodkan aksi buli dan aksi terlarang lain atas dasar ingin tahu yang kuat dalam diri remaja. Bukan itu sahaja, gajet canggih yang dilengkapi akses kepada internet juga memungkinkan pelajar leka bermain permainan dalam talian dan lain-lain lagi. Sanggupkah para guru warga pendidik dan ibu bapa melayani serta berhadapan dengan semua isu ini yang mana kadar penyalahgunaannya begitu tinggi?

l Akademik tidak bebas lagi

Guru-guru mungkin mengalami kesukaran untuk berkongsi contoh dan bercakap mengenai perkara yang sensitif kerana khuatir gajet canggih yang dimiliki pelajar merekodkan perkara itu serta mentafsirnya secara salah. Guru juga mungkin tidak akan menggayakan atau berdemonstrasi dalam membentuk kefahaman pelajar bagi mengelakkan ia direkodkan, disunting dan dimuatkan di internet yang akan menjadikan guru terbabit bahan lawak jenaka. Lebih malang ia mungkin jatuh ke tangan pihak tidak bertanggungjawab dan secara tidak langsung mengekang kebebasan akademik di sekolah.

Mungkin bagi membendung kebimbangan ibu bapa akan ancaman bahaya yang ada pada hari ini, pihak berwajib perlu memperkenalkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang membolehkan pihak sekolah dan ibu bapa mengambil tindakan perlu apabila berlaku kecemasan. Butiran untuk dihubungi ketika kecemasan sama ada oleh pelajar, ibu bapa dan pihak sekolah perlulah jelas.

Pemantauan dari semua pihak memungkinkan persekitaran yang lebih baik kepada semua.

Pelajar perlu dididik agar lebih bertanggungjawab dengan tidak melencong ke tempat lain selepas meninggalkan sekolah. Sentiasa memaklumkan ibu bapa dan guru kiranya mempunyai aktiviti.

Tetapi keadaan dan suasana semasa mungkin mendesak agar pelajar dibenarkan membawa telefon bimbit ke sekolah. Biarlah keputusan yang dibuat kelak merupakan risiko yang paling minimum untuk ditanggung oleh ibu bapa, pelajar, sekolah dan juga masyarakat.

MOHD. KHAIRI MD. JAAFAR
Kulim, Kedah

Wednesday, July 4, 2012

Pengakuan seorang lelaki yang menyesal berkahwin dua !!!


DALAM kegembiraan kaum bapa menyambut Hari Bapa, tidak semua bapa bertuah mendapat layanan baik daripada anak-anak.

Ada juga yang menitiskan air mata kerana tidak dipeduli, disisih dan dilupakan oleh anak-anak dan bekas isteri, hanya kerana suatu ketika mereka pernah membuat silap.

Lumrah dunia setiap orang membuat silap. Seperti juga pantai, manusia juga akan berubah apabila tiba waktunya. Mereka juga berhak diberi peluang kedua untuk membaiki diri.

Namun ada insan yang berdendam termasuk juga anak-anak yang pernah melalui masa silam yang perit ditinggalkan bapa. Ada juga anak yang termakan hasutan ibu yang terseksa kerana perbuatan bapa. Kesudahannya, si bapa seperti tidak pernah wujud dalam hidup anak-anak walaupun dia masih bernafas.

Inilah mukadimah yang ingin saya sampaikan minggu ini. Kisah benar yang diceritakan sendiri oleh empunya diri, seorang lelaki berusia awal 60-an yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Wan.

Lelaki ini saya kenal melalui seorang saudara yang pernah bekerja satu pejabat dengannya. Kepada saya, Pak Wan bercerita tentang kehidupan dulunya yang banyak berbuat dosa terhadap isteri dan anak-anaknya seramai empat orang.

Pun begitu, kata Pak Wan dia telah insaf dan telah bertaubat. Tapi isteri dan anak-anak masih tidak dapat menerimanya.

Cerita Pak Wan elok dijadikan teladan kepada generasi baru agar menghargai jasa bapa walaupun dia pernah melakukan kesilapan. Ingatlah, tiada bapa tiada kita di dunia ini.

"Saya berusia 69 tahun, masih ada isteri dan empat orang anak. Masa lampau telah menghancurkan masa depan saya. Tapi saya reda kerana itu silap saya.

"Namun saya berharap dalam usia yang begini, isteri dan anak-anak akan memaafkan saya tetapi itu tidak berlaku. Puas sudah saya berusaha untuk berbaik-baik dengan mereka tetapi saya tidak dilayan seperti sepatutnya, biarpun saya telah cuba dan melahirkan rasa kesal saya dengan apa yang telah saya lakukan.

"Semuanya bermula apabila saya bernikah seorang lagi setelah 20 tahun mendirikan rumah tangga dengan isteri pertama yang saya panggil Zai.

"Perkahwinan saya memang ditentang habis-habisan oleh Zai dan anak-anak, biarpun ketika itu mereka masih kecil. Mungkin sebab mak..., mereka benci saya kerana menduakan kasihnya maka anak-anak turut terikut-ikut.

"Saya pula ketika itu sangat bodoh, ikutkan hati tidak peduli mereka dan hanya memberatkan keluarga isteri kedua saya. Saya lupa tanggungjawab saya dan mengabaikan mereka. Mereka saya biarkan hidup sendiri kerana Zai bekerja dan saya yakin dia mampu membesarkan anak-anak tanpa saya.

"Itulah bodohnya saya. Apabila saya pencen, sebahagian duit pampasan saya dikaut oleh isteri kedua dan anak kami seramai dua orang. Mereka mengatur hidup saya.

"Perbelanjaan saya disekat, duit saya dikongkong isteri kedua dan anak-anak yang berjoli sakan dengan wang pampasan yang saya peroleh. Ketika ini saya mula sakit-sakit.

"Pada masa menghadapi masalah ini, saya mula teringatkan isteri pertama dan anak-anak saya. Saya dengar cerita anak-anak semuanya berjaya, seorang doktor, pegawai bank, pegawai polis dan yang bongsu bertugas di luar negara.

"Saya mendapat khabar ini daripada saudara-mara yang sudi bercerita dengan saya walaupun mereka kesal dengan sikap saya dulu. Saya menangis gembira mendengar khabar ini tetapi tidak berdaya untuk menemui mereka kerana malu.

"Saya juga pernah berusaha untuk bertemu isteri pertama dan anak-anak untuk meminta maaf tetapi mereka tidak menerima kedatangan saya dengan alasan saya tidak layak untuk kembali kepada mereka.

"Saya tahu saya silap. Saya bersalah kerana melupakan tanggungjawab saya dulu. Saya hanya ingin minta maaf dan bertaubat atas apa yang telah berlaku. Saya bukan datang untuk meminta simpati dan meraih perhatian mereka. Jauh sekali untuk meminta wang ringgit.

"Tidak, itu bukan apa yang saya inginkan. Saya tahu dan sedar diri apa yang telah saya lakukan. Memang inilah balasan Allah kepada saya. Saya reda.

"Tapi sebelum saya pejam mata saya mahu minta ampun daripada mereka semua dan melahirkan rasa kesal saya dengan perbuatan masa lalu saya di hadapan mereka sendiri.

"Saya harap mereka terbaca ruangan ini dan memahami kehendak hati saya. Mudah-mudahan mereka dapat menunaikan hajat saya yang terakhir ini,'' pinta Pak Wan sebak sebelum menamatkan ceritanya.

Saya terkedu, sedih dan sayu dengan cerita dunia yang saya saksikan sendiri di depan mata. Jika sebelum ini saya hanya menonton drama di kaca TV tapi kisah Pak Wan adalah realiti hidup yang berlaku dalam kehidupan manusia.

Saya tidak dapat berkata lebih lanjut kerana terlalu sedih dan simpati kepada Pak Wan tetapi saya beritahu Pak Wan, Allah akan beri petunjuk dan buka pintu hati mereka untuk menerima Pak Wan semula.

Kepada isteri dan anak-anak Pak Wan, jika terbaca ruangan ini, berfikirlah dengan waras, maafkan Pak Wan kerana manusia tidak terlepas daripada kesilapan. Lagipun Pak Wan sudah bertaubat dan mengakui silapnya. Ingatlah, seburuk-buruk perangai seorang bapa, dia tetap perlu disayangi dan dihormati. Tanpa dia... anda semua tidak ada di dunia ini. Maafkanlah dia!

Saya berdoa mudah-mudahan hajat Pak Wan akan terlaksana dalam masa terdekat. Semoga Pak Wan sentiasa di dalam rahmat Allah.

Menutup catatan, pesanan tulus saya, ada satu jalan menuju kebahagiaan, iaitu apabila kita berhenti mengenangkan masa silam dan saling memberi dan menerima maaf.

Salam

Isteri pertama tak sedar diri !!!


SETELAH membaca kisah minggu lalu tentang pengalaman pahit isteri kedua yang ditinggalkan suami kerana takutkan isteri pertamanya, saya terpanggil untuk menceritakan pengalaman hidup saya yang rasanya lebih pahit dan teruk lagi.

''Sudahlah saya diserang di rumah, di pejabat pun saya dikutuk oleh madu yang datang menyindir, mencerca dengan mereka-reka cerita memburukkan saya termasuk di kantin supaya semua orang tahu dan bencikan saya,'' cerita Wan Zee dalam e-melnya dan di telefon.

''Mula-mula bila rahsia perkahwinan saya terbongkar, madu saya datang menyerang di pejabat. Untung ada pengawal yang menahan, tetapi dia tak puas hati. Esok dia tunggu saya di kantin, kawasan terbuka ramai orang keluar masuk. Tanpa malu madu saya menyerang saya di khalayak ramai. Untung ada petugas lelaki yang sudi membantu, kalau tidak pasti saya terlantar di hospital.

''Bayangkan dia pukul saya dengan beg tangannya yang berat. Entah apa yang diisi di dalamnya. Mungkin makanan dalam tin atau batu. Dengan sekali hayun beg tangannya mengenai tubuh saya membuatkan saya tersandar di kereta. Kali kedua dia hayun kena kepala, saya terus jatuh tak sedar diri dan terpaksa dibawa ke klinik. Heboh satu pejabat. Itu yang dikehendakinya, memalukan saya.

''Mulanya dia datang mencari saya di kawasan tempat letak kereta berhampiran kantin, bila dia nampak kelibat saya dia terus menyerang. Memang tujuan pertamanya untuk memalukan saya di khayalak ramai, kedua, dia nak cederakan saya dan ketiga, mungkin nak ugut saya supaya bercerai.

''Sebenarnya dari awal lagi memang saya tak mahu kahwin dengan Karl, tetapi saya kalah dengan pujukannya. Tambah-tambah lagi dia memang kelihatan bertanggungjawab dan berani berdepan dengan lelaki lain yang cuba mendekati saya.

''Awalnya saya tolak sebab dia suami orang, tapi dia berjanji takkan sesiakan hidup saya walau apa pun terjadi. Dia tahu isterinya garang sebab itulah dia ingin kahwin lagi. Katanya dia ingin mencari ketenangan dan kebahagiaan dalam hidupnya.

''Katanya dia sudah tak tahan dengan sikap isterinya, namun dia tidak akan menceraikannya sebab mereka sudah ada tiga anak remaja. Dia tak mahu hidup anak-anaknya hancur.

''Katanya dia telah sediakan segala keperluan untuk isterinya, malahan berlebih. Jadi dia mahukan kebahagiaan untuk dirinya sendiri setelah berkorban segalanya untuk isteri dan anak-anaknya.. Hujahnya membuat saya amat yakin.

''Di sinilah saya terperangkap. Latar belakang saya sendiri yang tak ramai ahli keluarga menyebabkan saya mencari suami bagi menumpang kasih.

''Kami berkahwin di sempadan sebab saya tak mahu susahkan ayah dan adik beradik. Ibu sudah lama meninggal dunia, ayah pula dah kahwin baru. Abang saya memang baik tetapi kakak ipar tak 'mesra alam' dengan kami adik-beradik. Jadi biarlah saya uruskan hidup saya sendiri. Kerana ada kawan membantu, lepas nikah, perkahwinan kami didaftarkan di Malaysia. Semuanya berjalan lancar sehingga dapat anak, barulah rahsia kami terbongkar.

''Kami nikah tujuh tahun lalu, ketika saya berusia 30 tahun. Kini anak sulung berusia 6 tahun dan kedua 4 tahun. Rahsia kami terbongkar ketika anak sulung berusia 2 tahun. Waktu itu hidup saya sentiasa dalam ketakutan kerana sering diserang. Tambahan pula Karl jarang balik dan dia pun memang takutkan isterinya yang sentiasa mengugut minta diceraikan.

''Saya buat laporan polis walaupun Karl bantah. Katanya isterinya takkan berani aniaya saya. Tapi saya tak ada jalan lain kecuali dapatkan pertolongan pihak berkuasa. Mulanya polis memang tak mahu masuk campur urusan keluarga, tapi saya jumpa pihak atasannya dan serahkan surat dan salinan kepada mahkamah syariah, pegawai atasan saya, abang dan kawan baik saya.

''Saya tuliskan dalam surat itu jika saya atau anak saya hilang, saya tak datang ke pejabat, tiada di rumah atau di kampung, itu bermakna saya sudah mati dan orang yang sering mengugut saya ialah madu saya bernama..... Saya tak tahulah apa jadi pada madu saya tetapi yang jelas, Karl mengamuk marahkan saya kerana buat laporan polis itu.

''Sebenarnya saya tak hantar pun salinan surat itu kepada orang lain kecuali kepada polis dan kawan saya untuk simpanannya. Namun saya puas hati. Selepas itu hidup saya kembali tenang, tiada gangguan. Malangnya Karl tidak tepati janji.

''Ikutkan saya pun boleh bertindak kejam mengancam, mengawal atau mengikat Karl supaya tidak pulang ke rumah isteri pertamanya, tetapi untuk apa? Saya sedar diri ialah isteri kedua dan berkongsi kasih, bukan untuk membolot suami seperti yang dilakukan sesetengah isteri kedua.

''Sebenarnya bukan susah kalau nak jadi isteri seperti itu, tetapi saya masih sedar diri dan mahu menghormati isteri pertama.Malangnya isteri pertama tak sedar diri. Kadang kala perbuatan dan sikap mereka terlalu kejam dan tak bertimbang rasa. Ini membuatkan isteri kedua ingin membalas dendam dan suami jadi benci padanya.

''Untuk pengetahuan pembaca dan isteri pertama khasnya, bukan banyak yang mahu dikongsi oleh isteri kedua sekadar kasih sayang dan sedikit nafkah untuk anak-anak. Bukan banyak sangat terutama jika si isteri bekerja. Biasanya kami isteri kedua lebih banyak berkorban dengan menanggung diri sendiri dan anak-anak tanpa dibantu oleh suami.

''Rasanya lebih banyak duit yang dihamburkan oleh suami jika mereka simpan kekasih gelap. Bukan setakat membayar sewa rumah atau hadiahkan kereta bahkan belikan rumah sebab takut kekasihnya lari dengan lelaki lain.

''Sebagai isteri yang sah, saya tak buat seperti itu sebab saya tahu tanggungjawab Karl kepada keluarganya selain kami tiga beranak. Malangnya sebagai isteri kedua, kami difitnah dan dituduh perampas.

''Wahai isteri pertama tolonglah faham kedudukan kami." itu permintaan Wan Zee kepada semua isteri pertama.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...