terima kasih buat kalian semua..

Friday, August 3, 2012

Aku tumbang kerana pujukan lelaki !!!


RAUT wajahnya yang lembut dan sopan ketika diwawancara menimbulkan pertanyaan apakah penyebab Atiqah (bukan nama sebenar), 17, sarat mengandung anak luar nikah.

Namun, apa yang terkeluar dari mulutnya ternyata kuasa pujukan dan rayuan lelaki bisa menumbangkan seorang wanita jika tidak berhati-hati.

Atikah yang hanya menunggu masa untuk melahirkan bayinya berkata, apa yang terjadi pada dirinya adalah kesalahan sendiri yang terlalu mengikut perasaan dan gelodak jiwa remaja.

"Benda ni (mengandung) tak akan terjadi kalau sebelah pihak sahaja yang terlibat. Saya sangat menyesal kerana tidak dapat mengawal diri dan nafsu ketika itu.

"Memang betul kata orang, cinta itu buta, sampai boleh buat kita jadi lupa diri. Kerana ingin buktikan sayang dan cinta kepada teman lelaki, saya sanggup serahkan diri untuk dia," katanya.

Bercerita lanjut tentang lelaki tersebut, Atikah berkata, mereka berkenalan ketika belajar di sekolah menengah yang sama.

Selain itu mereka juga tinggal satu kampung membuatkan perhubungan jadi lebih mudah.

"Diberi tanggungjawab sebagai pengawas sekolah menyebabkan saya mengenali ramai rakan yang berlainan jantina. Tambahan sifat periang dan peramah membuatkan diri saya senang didekati.

"Awal berkenalan hubungan saya dengannya hanya mesra sebagai kawan biasa. Setelah perasaan cinta mula berputik dan masing-masing menyukai satu sama lain, akhirnya kami mengambil keputusan untuk menjadi pasangan kekasih," katanya.

Tambahnya, ketika itu teman lelakinya berumur 18 tahun, manakala dia di tingkatan dua.

"Sifatnya yang peramah dan sering mengambil berat membuatkan hati terpaut dan jatuh cinta padanya.

"Hubungan kami seperti pasangan kekasih lain. Kami sangat rapat dan sering mengulangkaji bersama-sama di waktu lapang," katanya.

Kata Atiqah, walaupun sering bersama-sama, mereka hanya akan berjumpa dan menghabiskan masa selepas habis waktu sekolah sebelah petang.

Jika ada waktu terluang mereka akan keluar menonton wayang dan bersiar-siar di bandar.

"Sepanjang kami berhubung ibu tidak pernah mengesyaki perhubungan saya dengan teman lelaki kerana saya telah menipu dengan memberitahu menghadiri kelas tambahan di sekolah," katanya.

Ujarnya, perhubungan mereka sebagai pasangan kekasih pada peringkat permulaan tidak sampai melakukan perkara-perkara yang terkutuk.

"Sehinggalah pada petang, selepas habis waktu sekolah, teman lelaki telah membawa saya ke rumah ibu saudaranya.

"Kebetulan ibu saudaranya bekerja di pusat Internet sehingga malam menyebabkan rumahnya kosong," katanya.

Menurut Atiqah, pada permulaan dia cuba menolak ajakan teman lelakinya. Namun lama-kelamaan dia lemah dan menyerah apabila tidak dapat mengelak rayuan si jejaka.

Dia juga mengakui, perbuatan terkutuk tersebut tidak berakhir di situ sahaja kerana setiap kali ada kesempatan mereka pasti berjumpa dan mengulanginya.

"Kami sering berjumpa di rumah tersebut kerana ibu saudaranya tidak mengetahui perbuatan kami selain saya juga berjaya menipu ibu ketika itu," katanya.

Sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Atiqah tidak menyangka perbuatan terkutuk yang sering dilakukan itu akhirnya telah membuahkan benih dalam perutnya.

"Apabila dua bulan tidak datang bulan, saya mula gelisah dan mengesyaki sesuatu berlaku sehinggalah melakukan ujian kehamilan sendiri.

"Ujian yang dilakukan menunjukkan saya positif hamil. Ketika itu perasaan takut dan bersalah menguasai diri," katanya.

Tambahnya, seperti wanita lain yang mengandung dia juga mengalami alahan teruk sehingga memaksa dia menangguhkan pelajaran seketika.

"Tidak dinafikan ketika keluarga mengetahui saya mengandung, mereka telah bertindak memulaukan saya. Emak tidak bercakap dengan saya selama seminggu.

"Namun, selepas itu semuanya kembali normal. Emak telah mencari tempat perlindungan untuk saya sepanjang tempoh mengandung dan melahirkan anak," katanya.

Menurut Atiqah, selepas melahirkan anak nanti bayi tersebut akan diserahkan kepada keluarga angkat.

Dia pula akan kembali bersekolah dan meneruskan hidup tanpa perlu mengingati kisah silamnya

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

Rela bercerai di usia emas !!


PEPATAH lama berpesan, air yang tenang jangan disangka tiada buaya. Ia cukup tepat menggambarkan kehidupan saya. Siapa sangka setelah hampir 30 tahun berkahwin tiba-tiba ombak ganas menghempas ranap rumahtangga saya.

''Lebih memalukan perceraian kami berlaku ketika masing-masing sudah lanjut usia dan masuk golongan warga emas. Bukan sahaja saya malu, malah anak-anak dan cucu turut menerima kesannya.'' Luah Aina dalam e-mel ringkas yang dihantar melalui anaknya. Dia minta dihubungi dan kami berbual panjang di telefon.

''Sebenarnya saya malu nak bercerita, tetapi saya tak boleh sabar lagi apabila baca banyak cerita lelaki yang suka berpoligami. Bukan saya marah, itu hak mereka, tetapi sebelum bertindak menyakitkan hati isteri, fikirkan buruk baiknya, lihat sama pengorbanan isteri selama ini.

''Saya berkahwin awal, ada empat anak, kesemua mereka sudah bekerja dan berkeluarga. Anak sulung 27 tahun. Suami bekerja dengan jabatan kerajaan. Dulu saya pun bekerja, tetapi bila anak dah ramai, suami suruh berhenti, jaga anak sebab dia selalu kerja luar daerah, susah nak uruskan anak kalau saya bekerja.

''Oleh kerana pertukaran kerjanya biasanya tidak memakan masa panjang, paling lama dua tahun, dia tak mahu saya ikut dia pindah, katanya susah nak tukar sekolah anak-anak dan tak mahu ganggu pelajaran mereka.

''Saya yakin ada kebenarannya. Jadi biasanya suami akan pulang ke rumah hujung minggu kalau dia tak banyak kerja, paling tidak dua minggu sekali dia wajib balik. Saya tidak pernah syak apa-apa kerana dia menunjukkan tanda-tanda seorang ayah yang baik.

''Pertukaran yang lama ketika duduk di Selangor inilah dan kami betah duduk di sini. Kami beli rumah dan kekallah saya tidak mengikut suami kalau dia bekerja negeri lain. Cuma bila cuti sekolah, kami anak beranak akan pergi ke tempat suami saya bertugas. Demikianlah amannya hidup kami hingga anak-anak dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi.

''Satu hari saya terlihat keanehan dalam diri suami. Dia tukar kereta lebih mahal, katanya senang nak balik rumah. Peliknya saya jumpa beberapa helai tudung wanita. Dia kata milik kawan-kawan pejabat yang tertinggal ketika dia hantar mereka bersukan, dan seminar atas arahan majikan.

''Saya percaya ceritanya sebab suami saya jujur dan baik orangnya.

''Ketika kenduri kahwin anak sulung kami, memang ramai rakan suami datang. Ada gadis, isteri orang dan tak kurang juga ibu tunggal. Saya langsung tak nampak kelainan kelakuan suami.

''Tapi bila kenduri kahwin anak kedua, saya cuak melihat kemesraan suami dengan seorang ibu tunggal. Anak ketiga saya juga perasan.

Kata anak saya; "lain macam sikit kawan perempuan ayah tu. Kenapa anaknya, dia suruh ayah dukung. Tak malu sungguh!'' Memang saya nampak, kawan baik saya pun nampak, tapi kami diam. Takkan nak buat gempar masa majlis kahwin anak.

''Habis kenduri saya tanya suami siapa wanita itu dan mengapa dukung anaknya? Jawapan suami mudah, ''alah kawan pejabat apa salahnya, budak tu biasa datang ke pejabat!''

Soalan saya merunsingkan fikirannya. Dia tak mahu saya salah faham. Namun saya nasihatkan dia supaya hati-hati jangan menyusahkan diri umur dah 55 tahun, dah bercucu tak malu ke buat piil.

''Bangkai gajah takkan boleh ditutup dengan daun pisang, bau busuknya akan terhidu juga! Saya buat lawatan mengejut ke pejabat suami di selatan. Dia tak ada di pejabat, kata kawannya bercuti seminggu. Terkejut beruk saya. Ke rumah tak balik, di pejabat tak ada. Ke mana dia pergi bercuti?

''Bila saya telefon, rupanya dia pergi bercuti ke pulau, bila saya tanya dengan siapa dia diam. Dia suruh saya tempah hotel. Semalaman saya tak dapat tidur.

''Akhirnya dia berterus terang bahawa dia dengan wanita tersebut memang ada hubungan, tapi dia tak terfikir nak berkahwin. Saya tanya dia tak sedarkah perbuatannya itu berdosa? Apa perasaannya kalau anak-anak tahu, mana nak sorok muka?

"Katanya dia langsung tak berniat menduakan saya, tetapi terperangkap dengan ajakan kawan pergi bercuti ke pulau. Dia berjanji putuskan hubungan. Saya minta dikenalkan dengan wanita tersebut, tetapi wanita anak dua itu enggan jumpa saya.

''Saya tak akan percaya kata-kata suami selagi tak jumpa wanita itu. Saya syak mereka ada rancangan berkahwin. Tapi suami nafikan. Katanya dia dah tua, tak larat lagi nak buat susu atau tukar lampin bayi. Katanya hidupnya sudah amat selesa, anak-anak sudah bekerja, jadi dia tak mahu pikul beban menyusahkan hidupnya. Tapi saya tak yakin.

''Dalam keadaan penuh emosi dan tegang itu saya desak suami minta tukar kerja ke Selangor semula. Katanya dia akan usahakan. Saya ugut kalau tak segera bertukar saya akan jumpa pegawai atasannya. Dia minta saya bersabar .

''Tiga hari bersama suami di hotel itu terasa macam tiga bulan. Balik rumah, fikiran saya masih tak tenteram. Saya yakin hubungan gelapnya akan berterusan. Jadi biarlah dia kahwin, dengan syarat ceraikan saya sebab saya tak sanggup bermadu.

"Anak-anak suruh sabar mungkin ayah mereka akan berubah, tetapi saya tak yakin. Tambahan sekarang dia boleh sambung kerja lagi. Jadi tentu dia tidak ada masalah tambah isteri. Duit banyak, pencen dapat, tak masuk gaji bulanannya sebagai pekerja kontrak.

''Setelah penat berfikir saya putuskan minta cerai. Lagipun sekian lama kami kahwin, tak sampai 15 tahun kami duduk sebumbung. Suami lebih selesa bekerja di tempat lain jauh dari anak-anak, agaknya sebab itulah dia tidak rasakan kasih sayang anak-anak. Jadi berpisah pun tentu tak sedih.

''Saya rela jadi ibu tunggal. Biarlah dia merasa nikmat hidup bersama anak-anak tiri yang masih kecil. Mungkin dia dapat rasai detik-detik membesarkan anak-anak yang selama ini tidak dinikmatinya.

''Malangnya permintaan saya sudah lebih setahun masih tak ditunaikan. Alasannya dia sayangkan anak-anak. Tetapi dia tidak pernah tunjukkan rasa kasihnya kepada keluarga, sebaliknya masih selesa dengan kekasih gelapnya." Itu cerita Aina yang lebih rela diceraikan dalam usia emas daripada terus makan hati.

Pesalah trafik bingung RM100 atau RM300 !!!


SAYA terpanggil untuk berkongsi pengalaman ketika membayar saman polis baru-baru ini. Pada pukul 1.30 petang (Sabtu 28 Julai 2012), saya memandu dari Jalan Duta ke arah Kuala Lumpur melalui Bulatan Segambut. Disebabkan ingin mengejar masa, saya cuba memotong lori itu yang pada ketika itu berada di garisan berkembar.

Kebetulan polis trafik berada di hadapan menahan saya.

Setelah memberikan butir-butir diri dan anggota polis trafik itu telah menyerahkan surat saman kepada saya. Dia menasihatkan saya untuk membayar saman dalam tempoh kurang 14 hari dari tarikh disaman dan saman hanya dikenakan sebanyak RM100 di mana-mana cawangan trafik.

Apabila mendengar perkara itu saya tidak teragak-agak untuk membayar pada hari ini (Isnin 30 Julai) di Ibu Pejabat Balai Polis Daerah Gombak.

Ketika sampai di kaunter pembayaran saman dan menyerahkan surat saman itu, saya terkejut apabila diberitahu bahawa saya terpaksa membayar sebanyak RM300 dan saman itu tidak boleh dirayu di mana-mana cawangan walaupun di Bukit Aman.

Staff itu melayan saya dengan acuh tidak acuh walaupun saya menyatakan anggota polis trafik yang menyaman saya berkata saya boleh bayar sebanyak RM100. Jawapan yang diberikan "tak tahu", "terpulanglah nak bayar ke tak" amatlah dikesali.

Disebabkan saya tidak cukup masa kerana hendak ke tempat kerja saya terus membayar saman itu. Ketika meninggalkan pekarangan balai polis itu ada beberapa persoalan yang bermain di minda saya:

* Di mana hilangnya Slogan Mesra, Cekap dan amanah yang diamalkan oleh anggota polis?

* Kenapa ada perbezaan maklumat yang diberikan oleh anggota polis trafik dan di kaunter pembayaran?

* Saya sanggup membayar RM300 saman itu kalau diberitahu oleh anggota polis trafik yang menyaman saya bahawa saman itu tidak boleh dikurangkan, kerana saya faham dan akui kesalahan saya

* Adakah saya perlu menyimpan saman itu sampai berkepuk dan tunggu sehingga polis memberikan diskaun baru saya hendak bayar seperti sikap sesetengah masyarakat kita?

* Kepada siapa saya patut bertanyakan persoalan di atas?

YANG KECEWA & TERANIAYA
Selayang, Selangor.

Anak lesap di pasar raya...


Perlu menetapkan perancangan, bila, di mana dan kenal pasti apa bentuk ancaman yang pernah berlaku di pusat membeli belah tersebut. Boleh dikatakan jenayah memang kerap berlaku di pusat membeli belah terkenal.

“Justeru ibu bapa mungkin boleh memilih hari yang sesuai seperti pada hari bekerja yang mungkin tidak begitu sesak supaya risiko kehilangan anak boleh dikurangkan," kata Saiful ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, adalah penting bagi ibu bapa yang mempunyai anak dalam lingkungan usia tiga hingga tujuh tahun untuk mengingatkan mereka agar tidak terpisah dan tidak berjalan sendiri.

“Ibu bapa perlu bahagikan tugas seperti ibu menjaga anak pertama dan kedua, ayah pula menjaga anak yang lain. Pastikan anak berjalan di hadapan dan jangan sesekali terlepas pandang.

“Sebelum masuk ke tempat membeli-belah tetapkan tempat untuk bertemu sekiranya terpisah. Selalunya di tempat letak kereta. Tapi saya suka menasihatkan agar memilih tempat yang lebih mudah dituju dan ramai orang.

“Saya juga suka menyarankan agar ibu bapa memakaikan anak tag berbentuk gelang dan letakkan maklumat seperti nama dan nombor telefon anda untuk dihubungi oleh orang yang menjumpai anak anda.

“Satu lagi tip penting, sebelum turun kereta ambil gambar anak. Ini kerana kalaulah terpisah, gambar tersebut akan lebih memudahkan proses pencarian semula," ujarnya.

Saiful juga mengharapkan agar ibu bapa berkomunikasi dengan anak setiap hari dengan memberitahu mereka siapa yang mereka perlu tuju kalau hilang.

“Kalau safe stranger (orang asing yang selamat) suruh anak cari wanita atau jika lelaki tengok yang berpangkat datuk. Wanita mengandung lebih baik untuk dituju kerana secara psikologi naluri keibuan ada pada mereka.

“ Inilah yang perlu dipesan ibu bapa setiap hari supaya mereka tahu apa yang mereka perlu buat bila hilang dari pandangan ibu bapa.

“Walaubagaimanapun ibu bapa tidak boleh ambil mudah walau telah berpesan dan mengambil langkah yang telah dinyatakan di atas kerana risiko kehilangan tetap boleh berlaku.

“Andai kata anak sudah hilang dari pandangan, anda sebagai ibu bapa jangan panik. Tarik nafas dalam-dalam secara perlahan-lahan dan lepaskan dengan laju dan kalau boleh biar sampai berbunyi. Ini dilakukan supaya otak anda boleh bertenang dan sekali gus membuat tindakan yang lebih teratur dan rasional.

“Saya juga sarankan kepada ibu bapa apabila mengumumkan tentang kehilangan anak jangan beritahu nama penuh atas faktor keselamatan, memadai dengan memberikan maklumat pakaian kepada juruhebah yang bertugas," jelasnya.

Mesin ATM

Memang menjadi kebiasaan sebelum membeli belah akan ke mesin ATM untuk mengeluarkan duit.

Pesan Saiful jangan biarkan anak berlegar-legar di sekitar kawasan mesin ATM. Ini kerana menurutnya, kajian membuktikan kawasan sekitar itu mempunyai ancaman jenayah yang tinggi.

“Ada juga ibu atau bapa yang keluar ke mesin ATM dengan meninggalkan anak dalam kereta. Pernah satu kes, si anak yang ditinggalkan itu telah menurunkan brek tangan lalu kenderaan bapanya meluncur ke depan dan hampir merempuh deretan kedai.

“Mujur sekumpulan orang ramai prihatin dan telah berganding bahu menahan kenderaan tersebut dan hasil tindakan orang ramai itu telah menyelamatkan si anak tersebut.

“Ibu bapa yang hendak mengeluarkan duit mesti bawa anak bersama dan pastikan anak duduk di depan mereka semasa proses mengeluarkan wang. Kecuaian sedikit boleh membawa penyesalan yang berpanjangan. Fikir sebelum bertindak," katanya. - NOOR FAZRINA KAMAL

Bola sepak Malaysia perlu perubahan !!!


PERJALANAN pasukan bola sepak Malaysia masih jauh. Inilah hakikatnya, bukanlah kerana Malaysia tewas dalam dua perlawanan persahabatan antarabangsa menentang kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal dan Manchester City, tetapi ia berdasarkan kepada prestasi keseluruhan pasukan bola sepak Malaysia.

Pasukan senior 'Harimau Malaya' gagal dalam kelayakan Piala Dunia, sementara pasukan junior negara bawah pimpinan Ong Kim Swee pula gagal dalam kelayakan Olimpik dalam kelayakan Piala Remaja Asia di Myanmar baru-baru ini; manakala, pasukan bola sepak remaja Malaysia (sekiranya masih wujud) mungkin sedang 'bertatih' menuntut pelbagai jenis ilmu dan skil bermain bola sepak.

Antara alasan yang selalu diberi apabila pasukan bola sepak Malaysia mencatat kekalahan sama ada dalam perlawanan rasmi ataupun persahabatan ialah 'nasib tidak menyebelahi kita', 'pasukan lawan lebih bernasib baik', dan kadang-kadang perlawanan membabitkan pasukan Malaysia seringkali dianggap sebagai 'perlawanan pemanas badan' bertujuan menguji semua pemain dalam skuad bola sepak tersebut sebelum menyertai sesuatu pertandingan antarabangsa. Persoalannya, sampai bilakah kita mesti disajikan dengan semua alasan sebegini?

Satu ketika dahulu, prestasi bola sepak Malaysia boleh dikatakan setanding dengan pasukan seperti Korea Selatan, Jepun, China dan beberapa negara Arab seperti Arab Saudi, Emiriyah Arab Bersatu dan Kuwait. Tetapi hari ini, semua pasukan tersebut sudah pun berjaya melayakkan diri ke kejohanan berprestij seperti Piala Dunia, Piala Asia dan Sukan Olimpik. Malaysia sebaliknya masih lagi ketinggalan dan terus berada di takuk lama.

Apakah kita harus berasa bangga dengan pencapaian pasukan bola sepak Malaysia pada hari ini yang dahulunya pernah digeruni oleh banyak pasukan bola sepak di negara-negara Asia? Apakah kita patut bangga dengan keupayaan untuk mengekang pasukan Arsenal dengan jumlah jaringan satu gol kosong selama lebih 40 minit?

Apakah kita boleh berbangga dengan beberapa 'komen positif' oleh pengurus dan jurulatih asing mengenai pemain Malaysia? Jika inilah yang kita agung-agungkan, tiada makna lagi sukan bola sepak di Malaysia.

Bola sepak Malaysia mesti berubah untuk berjaya di peringkat antarabangsa. Perkara pertama yang mesti berubah dalam hal ini adalah persepsi kita mengenai sukan bola sepak itu sendiri. Persepsi kita, khasnya pihak pengurusan, pemain, serta mereka yang mempunyai kepentingan sama ada secara langsung atau tidak langsung dalam sukan bola sepak tidak pernah berubah.

Bola sepak di Malaysia selalu dianggap sebagai satu daripada aktiviti sukan semata-mata yang dilakukan untuk menyihatkan badan. Sementara penglibatan Malaysia dalam pertandingan bola sepak di peringkat antarabangsa serta perkembangannya di peringkat nasional mahupun negeri atau daerah adalah kerana ia telah menjadi satu budaya dan mengandungi elemen-elemen 'prestij' yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia sebagai sebuah negara anggota FIFA. Di sinilah silapnya.

Bola sepak tidak seharusnya dianggap demikian. Ia bukannya semata-mata satu aktiviti sukan malah ia lebih daripada itu. Bolasepak sebenarnya adalah 'maruah negara'. Penglibatan negara-negara dunia dalam banyak pertandingan bola sepak antarabangsa anjuran FIFA seperti Piala Dunia dan Sukan Olimpik boleh diibaratkan sebagai 'peperangan' antara negara-negara bagi merebut 'mahkota' sebagai 'juara dunia'.

Oleh yang demikian, tidak hairanlah apabila kita melihat negara-negara yang tersohor dalam sukan bola sepak seperti Brazil, Argentina, England, Jerman dan Itali bermatian-matian berjuang dalam banyak pertandingan antarabangsa.

Bola sepak juga boleh dilihat sebagai satu bentuk industri yang mampu menjana bukan sahaja keuntungan dari segi nilai imej dan prestij, tetapi juga nilai material dan ekonomi. Program bola sepak untuk satu jangka masa panjang boleh menghasilkan pemain-pemain muda yang berkaliber yang boleh 'dieksport' untuk bermain dengan kelab-kelab bola sepak terkemuka dunia seperti Manchester United, Real Madrid, Bayern Munich, dan lain-lain. Atau sekurang-kurangnya berpeluang bermain dengan kelab-kelab bola sepak profesional yang bertaburan di benua Eropah dan Amerika Latin.

Selain daripada melatih bakat-bakat baru, pasukan bola sepak khasnya yang berstatus kelab boleh menjana sumber ekonomi menerusi promosi dan penjualan barang-barang merchandise berkaitan dengan pasukan atau kelab tersebut kepada para peminat dan orang ramai.

Di negara-negara Barat, semua ini wujud dan berkembang dengan pesat sekali. Bola sepak di negara-negara Barat adalah satu bentuk industri yang berprestij dan mampu membawa pulangan yang lumayan. Ia bukannya sukan untuk memanas badan semata-mata. Pemain bola sepak di negara-negara Barat bermain untuk 'hidup'. Bagi mereka, bola sepak adalah satu bentuk 'kerjaya profesional' yang mana sekiranya seseorang pemain itu bermain dengan bersungguh-sungguh, 'hasil lumayan' pasti menanti mereka.

Demikianlah berbezanya persepsi sukan bola sepak antara Malaysia dan negara-negara Barat. Maka tidak hairanlah kenapa pasukan bola sepak mereka mampu menyaingi dan menewaskan Malaysia walaupun terpaksa bermain dalam cuaca panas.

Pun begitu, masih belum terlewat bagi Malaysia mengorak langkah baru ke hadapan bagi menghadapi persaingan bola sepak di peringkat serantau dan antarabangsa. Malaysia perlu merangka satu strategi dan program jangka panjang untuk membangunkan semula sukan bola sepak di negara ini.

Pihak pengurusan bola sepak di Malaysia mungkin boleh memperkenalkan satu idea baru dalam konteks pembangunan bola sepak Malaysia iaitu menjadikan semua pasukan dalam Liga Malaysia daripada berstatus negeri kepada status kelab. Sementara kelab-kelab bola sepak tempatan ini berkembang, persatuan bola sepak negeri pula boleh menjadi pentadbir sukan tersebut di negeri masing-masing sambil 'bernaung' di bawah Persatuan Bolasepak Malaysia.

Kelab-kelab bola sepak tersebut pula boleh menubuhkan syarikat bagi mengurus semua aktivitinya termasuklah penubuhan akademi bola sepak, kedai menjual merchandise untuk kelab, jualan tiket dan mungkin juga memiliki stesen radio atau televisyen sendiri untuk manfaat peminat dan penyokong.

Dalam hal ini, Jepun dan Korea Selatan boleh dijadikan contoh. Apabila liga-liga bola sepak di Jepun dan Korea Selatan dirombak secara menyeluruh, ia menjadi sebuah liga bola sepak yang benar-benar profesional sebagaimana di Barat.

Kelab-kelab bola sepak di Jepun dan Korea Selatan ditukar kepada nama-nama yang unik dan komersial seperti Nagoya Grampus Eight, Yokohama Marinos, Albirex Niigata, Suwon Bluewings, Pohang Steelers, dan bermacam-macam lagi nama hebat.

Seperkara lagi yang mesti diberi perhatian adalah aspek pengurusan bola sepak negara dan juga di negeri-negeri. Berilah tugas mengurus dan mentadbir sukan bola sepak ini kepada mereka yang 'ahli' dan tidak harus 'dipolitikkan'.

Pihak pengurusan bola sepak di Malaysia perlu kerap 'turun padang' ke segenap ceruk rantau di Malaysia untuk menjejaki dan mengenal pasti bakat-bakat baru yang boleh digilap dan diketengahkan sebagai 'bintang bola sepak negara'.

Bola sepak bukanlah sekadar sukan semata-mata, ia lebih daripada itu. Bola sepak adalah industri dan maruah negara.

Oleh MUHAMMAD AFIFI ABDUL RAZAK

Ulasan doktor tentang puasa bagi wanita hamil...


SEMPENA bulan puasa ini, boleh tak doktor bagi sebarang panduan untuk ibu mengandung seperti saya. Kini saya hamil lima bulan. Saya khuatir jika berdepan masalah ketika berpuasa kerana ini adalah kehamilan pertama saya.

Puan R, Rawang

JAWAPAN

Sepanjang Ramadan, ramai di kalangan kita berebut-rebut mengejar barakah dengan mengerjakan amalan berpuasa dengan sempurna. Bagi wanita yang tidak hamil, tentunya ia tidak menjadi masalah. Namun begitu ramai wanita hamil tidak mahu ketinggalan. Kebanyakan doktor dan juga para ulama tidak menggalakkan wanita hamil berpuasa jika ia memudaratkan wanita tersebut atau bayi dalam kandungannya.

Jika berpuasa tidak memudaratkan, maka mereka boleh berpuasa dengan mendapat panduan berpuasa semasa hamil daripada doktor agar kedua-duanya terjamin sihat.

Alhamdulillah, bertuah Puan saat ini kerana hamil pada bulan yang banyak kelebihannya ini. Puan mempunyai kesempatan yang amat baik mendidik anak puan dari dalam kandungan lagi untuk mengenal penciptanya. Maka, tidak hairanlah, meski sedang hamil, tidak kurang ibu-ibu yang tetap ingin melaksanakan kewajipan berpuasa. Mereka ingin meraih keistimewaan Ramadan untuk turut serta memperbanyakkan ibadah. Insya-Allah, Puan boleh mencuba untuk berpuasa seperti ibu-ibu lain yang hamil dan memilih untuk meneruskan berpuasa dalam bulan mulia ini.

Menangguhkan masaNamun, ada juga ibu-ibu yang berdegil untuk tetap berpuasa dan nekad untuk tidak berbuka sekali pun sudah menunjukkan gejala hipoglisemia seperti pening, loya, gementar dan hampir pitam atau pengsan. Mereka menangguhkan masa untuk berbuka. Betapa besarnya berpuasa sebulan penuh bagi mereka.

Ibu-ibu yang terus memaksa diri untuk berpuasa tanpa menimbangkan keadaan kehamilan sebenarnya sedang membahayakan anak dalam kandungan sendiri. Malah, anak tersebut juga boleh mengalami hipoglisemia dan kekurangan nutrisi kalori yang berguna untuk tumbesarannya.

Sudah tentu segala keberkatan tidak bermakna jika zuriat kita tidak sihat. Dalam hal ini, adalah tidak wajar untuk wanita tersebut meneruskan puasa kerana ianya memudaratkan mereka berdua.

Kehamilan bukanlah sejenis penyakit tetapi keadaan fisiologi yang boleh dialami oleh mana-mana wanita. Jadi, apabila tidak ada masalah kesihatan pada ibu mahupun anak dalam kandungan dan mereka berdua berada di bawah pengawasan doktor, mereka dibolehkan berpuasa seperti biasa.

Untuk memutuskan sama ada seseorang ibu itu perlu berpuasa atau tidak sangat bergantung kepada keadaan nutrien ibu, sekali gus memenuhi zat makanan bayinya. Dalam kata lain, soal nutrien harus mendapat perhatian yang serius oleh ibu-ibu hamil. Perlu juga diingat ketika hamil seorang ibu harus memikirkan keperluan dirinya dan juga anak yang sedang dikandungnya. Jika tidak mengubah tabiat pemakanan, anak yang di dalam kandungan akan turut terjejas. Kekurangan makanan berzat walau sedikit pun akan menjejaskan kesihatan mereka.

NutrienAlhamdulillah, Puan sudah berada pada trimester kedua (bulan empat hingga enam kandungan). Kebiasaannya, semasa awal kandungan iaitu bulan pertama hingga ketiga, ibu hamil sentiasa mengalami gejala mual, pening dan muntah yang kerap, sebaik-baiknya tidak berpuasa.

Pada masa ini, bayi amat memerlukan nutrien dan kalori yang amat tinggi daripada ibu. Sekiranya anda tidak mengalami masalah di atas, anda bolehlah berpuasa. Seelok-eloknya, jika ibu ingin berpuasa, masa paling sesuai adalah semasa kandungan berusia empat hingga enam bulan. Ibu-ibu juga dinasihatkan agar sentiasa mendapat pengawasan daripada doktor.

Ibu-ibu yang mempunyai penyakit, disarankan agar tidak berpuasa jika mengalami alahan yang teruk ( sentiasa lemah, mual dan mengalami kekurangan air dalam badan), penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, penyakit buah pinggang, anemia semasa mengandung, oligohidramnios (air mentuban yang sedikit), pesakit jantung, tumbesaran bayi yang terencat dan mengalami perdarahan semasa hamil.

Terdapat panduan pemakanan ibu hamil sepanjang Ramadan yang perlu diamalkan.

Seseorang ibu juga tidak seharusnya menjadikan kehamilan sebagai alasan untuk makan secara berlebihan terutamanya semasa Ramadan. Piramid makanan boleh dijadikan panduan bagi mendapatkan pemakanan yang berzat dan seimbang. Pengambilan pelbagai jenis makanan dan juga kuantitinya amat penting.

Untuk memastikan ketahanan tubuh cukup kuat, ibu harus mengutamakan makanan dengan kalori dan protein yang tinggi seperti daging. Ia juga menyebabkan perut lambat berasa lapar. Bagaimanapun, tuntutan pertambahan kalori tidaklah setinggi tuntutan nutrien lain. Elakkan pengambilan karbohidrat dan gula kerana ia hanya menambah kalori. Serat dan sayur-sayuran jangan pula dilupakan.

Perbanyakkan minum air dan susu untuk memenuhi tuntutan harian sebanyak dua hingga tiga liter sehari. Jika tidak mampu, minum air kosong sahaja, bolehlah dicampur jus, sirap dan sebagainya. Minumlah air sepanjang malam dan sekiranya kerap membuang air kecil, ia petanda baik yang menunjukkan seseorang itu tidak mengalami dehidrasi. Biasanya seseorang wanita hamil memerlukan lebih kurang dua liter air sehari.

Oleh itu, bagi memastikan bekalan air yang mencukupi untuk tubuh, anda seharusnya meminum air dengan kerap selepas waktu berbuka puasa. Kemudian berehatlah lebih kurang sejam sebelum menyantap hidangan berbuka.

KeseimbanganTujuannya memberikan keseimbangan terlebih dahulu terhadap sistem pencernaan. Ingat, jangan makan berlebihan dan elak makanan yang mempunyai kandungan garam tinggi seperti telur dan ikan masin. Berbuka puasalah perlahan-lahan agar perut tidak terkejut. Untuk membantu penghadaman, kunyah makanan dengan baik.

Supaya anda mampu menahan lapar, perbanyakkanlah mengambil jenis makanan berserat yang banyak terdapat dalam sayur dan buah. Tubuh memerlukan waktu lebih lama untuk menghadam makanan banyak serat. Selain makanan berserat dan protein, sebaik-baiknya sediakan jenis makanan yang mengandungi vitamin dan mineral serta makanan tambahan agar tubuh tetap segar-bugar sepanjang hari.

Kesimpulannya, wanita hamil boleh berpuasa jika mempunyai kekuatan dan tidak mengalami komplikasi kehamilan. Bagi yang tiada kekuatan akibat penyakit semenjak sebelum berkahwin atau dihidapi semasa hamil, dibenarkan berbuka dan harus menggantikannya semula.

Kaut untung atas angin pada bulan Ramadan..


HARI ini hampir dua minggu sudah kita berpuasa. Sekurang-kurangnya mungkin anda sudah mengunjungi satu, dua atau setiap hari ke bazar Ramadan. Selepas pukul 5 petang kawasan bazar itu agak sesak dengan orang ramai mencari juadah berbuka puasa.

Dalam keseronokan melihat peniaga-peniaga di bazar berniaga, masih timbul lagi isu menjual tapak bazar Ramadan oleh peniaga kepada peniaga lain pada harga yang tinggi pada tahun ini.

Ini mungkin kerana permintaan yang terlalu tinggi untuk tapak bazar Ramadan.

Macam mana peniaga musim Ramadan hendak dapat peluang berniaga jika ibu bapa, anak-beranak dan saudara mara semua datang untuk memohon tapak bazar. Bila sudah dapat tapak, dijualnya pula kepada orang lain yang ingin berniaga.

Perkara ini tambah sistematik apabila wujud sindiket penganjur tapak bazar terutama di ibu negara. Sudah macam-macam dakwaan kita baca.

Perkara penjualan tapak bazar Ramadan boleh dikatakan berlaku saban tahun. Ada sahaja pihak tidak berpuas hati soal agihan tapak bazar itu.

Aduan kepada pihak polis, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang meluluskan permit dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia pun sudah dikemukakan.

Tetapi sehingga sekarang, belum kita terdengar tangkapan mereka yang menyeleweng pemberian tapak bazar itu.

Mana mungkin dapat menemui bukti kerana penjual dan pembeli tapak sudah tentu berpakat dan merahsiakan perkara itu. Ia hanya boleh terbongkar kalau ada pihak yang rugi. Tapi berniaga di bazar Ramadan, belum terdengar peniaganya rugi. Kalau rugi pun mungkin sebab mereka sendiri malas berusaha.

Agak tidak enak didengar apabila satu sindiket menawarkan petak-petak bazar Ramadan yang mengaut keuntungan sehingga mencecah jutaan ringgit dikesan berlaku di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur.

Bayangkan keuntungan berganda-ganda dikaut oleh mereka terhadap peniaga. Jika satu tapak bazar di Kuala Lumpur hanya dikenakan lesen dan caj perkhidmatan sebanyak RM156-RM672 (tapak diundi) dan RM163-RM282 satu petak yang diuruskan oleh persatuan. Kiralah bagaimana untungnya niaga tapak kosong bazar di Jalan Masjid India jika lokasi petak VIP yang strategik boleh dijual mencecah RM15,000 hingga RM28,000 setiap satu petak.

Entahlah setiap kali bulan Ramadan, cerita perniagaan atas angin ini juga yang berulang kali berlaku.

Semua ini berlaku sebab peniaga atas angin ini mahu menumpang sama keuntungan yang diraih oleh peniaga di bazar Ramadan. Mereka sudah dengar cerita keuntungan berpuluh-puluh ribu yang diraih peniaga hanya dalam satu bulan sahaja.

Jadi inilah peluang untuk mereka ‘menekan’ peniaga. Dan peniaga pula tidak berasa bersalah menggalakkan aktiviti negatif ini asalkan mereka dapat tapak berniaga.

Penjualan tapak bazar tidak beretika ini tidak berlaku jika orang dalam PBT ‘mencantas’ awal perbuatan itu. Namun orang kita mudah gelap mata bila melihat timbunan wang maka berlakulah penjualan tapak yang menyakitkan hati sesetengah pihak lain.

Bukan sahaja segelintir orang PBT, malah peniaga, individu tertentu dalam persatuan-persatuan penjaja dan pertubuhan bukan kerajaan pun sama sahaja terlibat.

Inilah sikap orang kita semasa menjelang dan tibanya bulan Ramadan. Kita lupa akan sifat-sifat amanah kerana dirasuk keuntungan yang jarang-jarang dapat pada bulan lain.

Usahlah pilih jalan senang dengan mendapatkan keuntungan atas angin begini. Jika begini sikap segelintir orang Melayu/Islam, sampai bila pun kita tidak akan maju

Oleh Azman Anuar
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...