terima kasih buat kalian semua..

Sunday, October 21, 2012

Goda suami ke bilik tidur....


SETELAH sekian lama di alam perkahwinan mungkin anda merasakan tidak perlu lagi atau cuba mempraktikkan langkah-langkah untuk menggoda suami sendiri.

Mungkin juga anda telah hampir lupa bagaimana memainkan peranan sebagai si penggoda suami malah lupa pula langkah demi langkah yang diperlukan untuk menjayakan usaha itu.

Bayangkan betapa kecilnya hati apabila suami rela tertidur di luar bilik ketika sedang menonton televisyen ataupun rela melihat perlawanan bola sepak sampai ke pagi daripada tidur bersama anda.

Pernahkah anda mengalami situasi apabila meminta suami tidur bersama pelbagai alasan diberikan antaranya 'tidurlah dulu', 'abang belum mengantuk', atau 'panaslah di dalam itu', atau 'kejap lagi' sehingga sampai ke sudah suami tidak masuk ke bilik tidur.

Memanglah pada awalnya isteri akan merasakan kerja menggoda suami ini adalah sesuatu yang 'memalukan' atau takut dikatakan sebagai 'terhegeh-hegeh' berkehendakkan sesuatu.

Namun percayalah ia sesuatu yang baik untuk memekarkan kembali keintiman anda bersama suami di ranjang.

Usia 15 tahun sudah kelek anak !!!


USIA Sarah (bukan nama sebenar) baru mencecah 15 tahun, sebaya dengan umur adik lelaki saya. Ketika Sarah kecil dahulu, beberapa kali saya berkesempatan untuk bermain dan bersembang dengannya.
Kebetulan rumah kami berdekatan, hanya selang beberapa buah rumah sahaja. Dia sesekali akan datang ke rumah untuk bermain dengan adik-adik.
Mengenalinya ketika dia masih kanak-kanak lagi, Sarah seorang budak yang pendiam tetapi mudah mesra dengan orang yang rapat dengannya.

Selepas tidak bertemu beberapa tahun kerana saya menuntut dan kemudian bekerja di Kuala Lumpur, siapa sangka Sarah yang kali terakhir saya temui masih berhingus dan berkaki ayam, kini sudah mempunyai seorang anak perempuan yang baru dilahirkan pada awal tahun ini.
Rupanya ketika umurnya 14 tahun, dia sudah berkahwin dengan seorang lelaki pilihan ibunya. Lelaki berumur lingkungan 20-an itu juga rakan sekerja ibunya di sebuah hotel.

Bukan kehendaknya untuk berkahwin pada usia begitu muda dan mentah, tetapi bagi ibunya itulah jalan terbaik bagi mengelakkan Sarah terus bergelumang dengan dosa dan maksiat.
Sepatutnya, dalam usia sebegitu, bukan anak yang Sarah kelek tetapi buku-buku sekolah bagi menambah ilmu di dada. 

Ketika ditemui, Sarah mengaku dia malu untuk berhadapan kawan-kawan dengan gelaran baru itu.
Namun apakan daya nasi telah menjadi bubur. Segala-galanya sudah berlaku.
Sarah akui, jalan hidup yang pernah dilalui adalah kenangan yang tidak mungkin berulang lagi. Semua yang berlaku disebabkan dirinya yang degil dan terlalu mengikut perasaan.
"Ketika saya berusia 14 tahun, saya sudah berhenti sekolah. Puas ibu memujuk supaya kembali bersekolah tetapi hati saya keras dan degil.

"Saya hanya fikir untuk mencari keseronokan. Semua nasihat dan leteran ibu bagai mencurah air di daun keladi.
"Mungkin waktu itu saya tertekan kerana kurang perhatian. Ibu terpaksa bekerja siang dan malam seorang diri untuk membesarkan kami adik beradik sementara ayah dalam penjara kerana kesalahan mengedar dadah.

"Waktu itu saya pantang ditegur, cepat saja mengamuk. Beberapa kali saya bergaduh dengan ibu. Saya tahu air mata ibu banyak tumpah kerana kenakalan saya dahulu," katanya.
Sejak berhenti dari sekolah, tabiat buruk Sarah semakin menjadi-jadi dan tidak dapat dikawal lagi.
"Saya mula keluar malam dengan kawan-kawan lelaki yang lebih berusia. Mereka semua sudah bekerja dan ada dia antara mereka yang sudah berkahwin serta mempunyai anak.
"Apabila bersama-sama mereka saya berasa gembira tambahan pula mereka melayan saya dengan baik dan mesra," katanya.

Menurut Sarah, daripada hanya keluar sebagai kawan biasa, lama kelamaan dia mula membiarkan diri diperlakukan seperti perempuan murahan.
Setiap malam bertukar tangan daripada seorang lelaki kepada lelaki lain.
"Saya seronok apabila dapat melakukan hubungan seks dengan mereka. Hotel murahan dan rumah kosong menjadi tempat kami melampiaskan nafsu masing-masing.

"Ketika itu saya tidak memikirkan kesan kepada diri memandangkan umur saya yang masih mentah. Umpannya, mereka akan memenuhi apa sahaja permintaan saya," katanya.
Tambahnya, dalam tempoh tersebut dia bernasib baik kerana tidak pernah mengandung.
"Puas ibu menasihati supaya berubah dan melarang saya berjumpa dengan lelaki-lelaki tersebut. Semuanya sia-sia sehinggalah ibu mengambil keputusan untuk menikahkan saya dengan rakan sekerjanya," katanya.
Ketika itu Sarah tiada pilihan terpaksa akur kerana jika tidak ibunya mengugut akan menghantarnya ke pusat pemulihan.

Sehingga sekarang Sarah sendiri berasa pelik memikirkan kesudian lelaki tersebut menikahinya sedangkan dia sudah mengetahui perangainya yang sebenar.
"Dia melayan saya dengan baik. Kini timbul perasaan bersalah. Sedikit demi sedikit saya cuba berubah dan menjadi ibu dan isteri yang baik.
"Biarlah masa lalu menjadi pengalaman, yang penting sekarang saya mempunyai seorang suami yang sudi menerima saya seadanya," katanya mengakhiri perbualan

Reda jadi isteri kedua

SERINGKALI kita mendengar wanita yang ditakdirkan untuk hidup bermadu sebahagiannya tidak bahagia dan digelar perampas suami orang.

Acap kali juga pelbagai andaian dan tafsiran daripada orang luar apabila melihat seorang wanita menjadi isteri kedua atau ketiga.

Kesempatan bertemu secara tidak dirancang dengan seorang wanita yang juga rakan ketika sama-sama belajar di universiti dahulu, sedikit sebanyak dapat mengubah persepsi tentang kehidupan bermadu.
Syafiza (bukan nama sebenar) yang penulis kenali merupakan seorang wanita yang cantik dan periang. Perwatakannya yang lemah-lembut dan mesra mudah membuatkan ramai lelaki menyimpan perasaan padanya .

Setelah hampir setahun tidak bersua muka dengan wanita ini, akhirnya pertemuan tanpa diduga itu membuka sedikit lembaran kisah hidupnya untuk dikongsi bersama.
Beliau yang baru disahkan mengandung mengakui kini hidup bahagia sebagai isteri walaupun ditakdirkan berkahwin dengan lelaki yang lebih berusia dan menjadi isteri kedua.

Ujarnya, menjadi isteri kepada lelaki yang lebih 20 tahun berusia daripadanya tidak menimbulkan perasaan malu malah semakin menghargai nikmat yang dikurniakan oleh Allah.
"Selepas setahun bergelar isteri, perasaan saya tenang dan bahagia. Tambahan, banyak perkara yang saya boleh lakukan bersama -sama suami kerana selepas berkahwin beliau tidak benarkan saya bekerja.
"Walaupun menjadi isteri kedua, hubungan saya dengan isteri pertama sangat baik. Kami tidak pernah bergaduh dan bermasam muka. Namun, hidup bermadu dan bergelar isteri kedua juga memerlukan kesabaran dan pengorbanan yang tinggi," katanya.

Bercerita kembali detik perkahwinannya dengan suami sejak setahun lalu, Syafiza mengakui semua yang berlaku sudah ditentukan oleh Allah.
"Perkenalan saya dan suami ketika beliau membuat lawatan ke syarikat tempat saya bekerja tidak langsung membuahkan bibit cinta antara kami.
"Ketika itu saya menghormatinya sebagai seorang majikan yang bertanggungjawab terhadap semua pekerjanya. 

"Kesempatan berjumpa dengannya, kami hanya sempat bersembang dan bertukar-tukar nombor telefon sebagai seorang pekerja dengan bos, tidak lebih daripada itu," katanya.
Secara kebetulan pada masa yang sama ketika itu Syafiza mempunyai krisis dengan teman lelakinya. Masalah yang dihadapi ketika itu tidak dapat disembunyikan dari riak wajahnya menyebabkan bosnya dapat mengesan.

"Ketika itu hanya tinggal sebulan sahaja lagi saya dan teman lelaki akan berkahwin. Tetapi kami sering bergaduh dan saya rasakan antara kami berdua sudah tidak ada keserasian.
"Sebelum itu, selama lima tahun berkawan dengannya, banyak kali saya dipukul jika berlaku perselisihan faham. Teman lelaki seorang yang kuat cemburu dan panas baran," katanya.
Ujar Syafiza, beberapa kali beliau minta hubungan mereka diputuskan tetapi teman lelakinya enggan berpisah kerana terlalu menyayanginya.

"Saya tidak mahu menjadi mangsa pukulnya apabila berkahwin nanti. Lagipun setiap kali menyatakan hasrat untuk berpisah, pasti saya dimarahi dan dimaki-hamun olehnya. Saya tiada keberanian untuk melawan sehinggalah saya berjumpa dengan suami saya sekarang.
"Dialah banyak memberi sokongan dan membantu saya menyelesaikan masalah tersebut sehinggalah teman lelaki saya terpaksa melepaskan hubungan yang dibina sejak di zaman universiti lagi," katanya.
Syafiza tidak menyangka selepas beberapa bulan berpisah dengan kekasihnya, ada sinar baru dalam hidupnya.

"Tanpa diduga, bos yang banyak membantu saya selama ini telah mengambil keputusan untuk menyunting saya menjadi isterinya.
"Mulanya saya menolak kerana tahu beliau sudah beristeri dan bimbang dengan kata-kata orang sekeliling. Namun melihatkan kesungguhannya dan setelah mendapat keizinan isteri pertama, akhirnya saya bersetuju. Ketika majlis kahiwn, isterinya turut hadir.

"Beliau sangat bersimpati dengan nasib yang menimpa saya. Beliau ingin melindungi dan membimbing saya menjadi isteri yang solehah," katanya.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

Waspada pesona harta !!

HARTA adalah merupakan anugerah Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya. Sebagaimana kurniaan dan anugerah yang lain, harta yang diperoleh oleh seseorang itu sebenarnya adalah ujian daripada Allah SWT.
Walaupun harta tersebut berada dalam pemilikan kita, namun ia bukanlah bermakna harta tersebut boleh digunakan dan dibelanjakan sewenang-wenangnya. 

Ia bukanlah milik mutlak yang mendatangkan kebebasan kepada kita untuk mendapatkannya dan membelanjakannya mengikut kehendak hati tanpa adanya pertimbangan dustur Ilahi.
Mengetahui sifat manusia yang sangat cintakan harta, maka Allah SWT membenarkan aktiviti atau kegiatan perolehan harta dan perbelanjaannya. Akan tetapi, ia tidak terhenti setakat itu sahaja.
Di samping kebenaran memanfaatkan harta, Allah SWT mendatangkan beberapa sekatan dan batasan agar manusia dapat menggunakan harta tanpa membinasakan dirinya dan tidak mendatangkan kerosakan kepada manusia yang lain. 

Oleh yang demikian, dalam kita mencari dan membelanjakan harta, kita tidak harus sama sekali membelakangi wahyu Allah SWT yang terkandung dalam al-Quran dan sunnah. (rujuk al-Munafiqun: 9)
Dalam ayat tersebut, Allah SWT telah memberikan amaran kepada orang-orang yang beriman supaya berhati-hati dengan harta kerana ia dapat melalaikan mereka daripada peringatan Allah SWT. Jelas di sini menunjukkan bahawa Allah SWT memberikan keizinan kepada manusia untuk berusaha memperoleh harta. Namun mereka perlu mengawasi diri mereka daripada terlalai dan terleka.

Golongan yang dilalaikan dengan harta boleh dilihat daripada beberapa sudut. Golongan pertama, harta boleh melalaikan manusia dalam konteks hubungan dengan Allah SWT. Golongan yang pertama ini biasanya terdiri daripada orang-orang yang telah menyibukkan dirinya mengejar harta sehingga tidak sempat untuk menunaikan kewajipan kepada Allah SWT. 

Ada di kalangan mereka yang meremeh-temehkan solat sehingga sanggup mengerjakannya di akhir waktu dengan alasan perlu mendahulukan janji temu dengan pelanggan dan sebagainya. Sebahagiannya terlepas waktu solat kerana asyik bermesyuarat atau sibuk melayan pelanggan sehingga luput waktu solat.
Sebahagiannya pula ada yang pulang ke rumah pada lewat malam kerana meraikan hari jadi pelanggan di kelab-kelab sehingga terlepas solat Subuh kerana badan yang terlalu letih.
Ada pula yang asyik menangguhkan amalan fardu haji walaupun dirinya sudah lama memenuhi syarat wajib melakukan haji. Namun, berkali-kali haji ditangguhkan kerana memikirkan keuntungan perniagaan yang akan terlepas sekiranya pergi menunaikan haji.

Apabila mereka sudah lalai daripada mengingati Allah SWT, maka bukan sahaja hati mereka tidak tenteram, bahkan rumah-rumah mereka tidak damai dan harmoni kerana sunyi daripada ingatan dan zikir kepada Allah SWT. (rujuk an-Nur: 37)

Golongan kedua yang dilalaikan dengan harta ialah dalam konteks hubungan dengan manusia. Golongan ini sanggup untuk menganiaya orang lain dengan melakukan penipuan dan pengkhianatan semata-mata untuk mengejar keuntungan duniawi. Sedangkan Allah SWT memerintahkan manusia menjaga harta orang lain sebagaimana dia menjaga dan memelihara hartanya sendiri. Sekiranya dia tidak rela dan tidak sanggup hartanya diambil secara zalim, begitu juga seharusnya perasaannya kepada harta orang lain.
Nabi SAW bersabda: Setiap orang Muslim ke atas Muslim itu haram darahnya, hartanya dan maruah dirinya. (riwayat Muslim)

Golongan ini juga melupakan tanggungjawab terhadap manusia yang memerlukan bantuan dan pertolongan. Lalu mereka enggan untuk membayar zakat dan memberi sumbangan kepada fakir miskin kerana ia dianggap sebagai kerugian besar. 

Sedangkan Nabi SAW telah memberikan jaminan bahawa harta yang disedekahkan dan didermakan akan mendatangkan keberkatan kepada kehidupan si pemberi. 

Sabda Rasulullah SAW: Tidak akan dikurangkan harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya. (riwayat Muslim)

Orang-orang yang sanggup untuk memberikan sumbangan hartanya pada jalan Allah SWT sebenarnya telah berjaya melalui satu ujian dalam kehidupannya. 

Hakikatnya, Allah SWT menjadikan kemiskinan untuk menguji si miskin, sama ada reda dan sabar dengan ketentuan-Nya itu. Si miskin juga akan diuji, sama ada dia sanggup mencari pendapatan yang haram untuk mengatasi kemiskinannya.
Allah SWT juga mencipta kekayaan kerana ingin menguji si kaya adakah dia bersyukur dan membantu si miskin.

Lantaran itu, Allah SWT berfirman: Sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. (al-Taghabun: 16)

Golongan ketiga yang dilalaikan oleh harta ialah dalam konteks dirinya sendiri. Mereka gagal mengawal diri mereka daripada penyakit hati seperti tamak, hasad dengki, dendam dan sebagainya. Bahkan, mereka menjadi sombong dan ego sehingga menganggap dirinya melebihi orang lain daripada segala sudut. Lalu mereka bermegah-megah dengan hartanya sehingga membelanjakan hartanya bukan untuk keperluan, sebaliknya ia adalah untuk menunjuk-nunjuk akan status dan kekayaan mereka. (rujuk al-Taghabun: 16)

Kesimpulannya, terdapat tiga ancaman harta kepada kita iaitu dalam konteks hubungan dengan Allah SWT, hubungan dengan manusia yang lain dan terhadap diri sendiri. Marilah sama-sama kita menjaga diri agar tidak termasuk dalam mana-mana kelompok ini. Berwaspada agar diri tidak terlalu terpesona dengan harta sehingga kelalaian itu makin meningkat dan akhirnya menyesal apabila maut menjelang tiba.
 
Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN dan AHMAD TERMIZI MOHAMED DIN


Sunday, October 14, 2012

Suami makin galak selepas dibuang kerja !!!

SAAT yang paling gembira di hati seorang wanita adalah apabila bergelar isteri dan ibu. Terasa sempurna dilahirkan sebagai wanita kerana telah berkorban untuk membahagiakan dan membesar sebuah keluarga yang tercinta.

Amanah yang digalas amat besar dan berat, jika tersalah langkah akan kecundang dan merana sepanjang hayat. Pun begitu ada kalanya manusia terlupa akan amanah ini apabila telah dapat apa yang mereka mahu.
Tidak kira isteri atau suami, jika leka membahagiakan rumah tangga, anak-anak akan menjadi mangsa. Bapa sibuk dengan dunianya sendiri, mengejar mimpi yang tidak pasti. Isteri pula merajuk hati dan lari membawa diri.

Bagaimana jika suami yang buat hal? Tentu isteri yang tertekan, namun hidup mesti diteruskan dengan doa agar satu hari nanti suami akan berubah fikiran dan kembali ke pangkuan keluarga.
Demikian inti pati kisah yang dikirim oleh Mas (bukan nama sebenar) untuk dikongsi dengan pembaca. Nak tahu cerita Mas seterusnya, ikuti pengakuannya ini.

"Saya, berusia lewat 30-an, bernikah dengan suami yang saya panggil Asri (bukan nama sebenar) kira-kira 15 tahun lalu. Kami dikurniakan sepasang cahaya mata berusia 13 dan 11 tahun. Kami suami isteri adalah penjawat awam.

"Pada awal pernikahan, kami amat bahagia kerana tiada masalah kewangan, jika ada pun masih boleh ditangani dengan baik. Perbelanjaan kami sederhana dan itu sudah cukup, tidak perlu bermewah memandangkan kedua-dua anak kami masih bersekolah.

"Di luar pengetahuan saya, suami telah melakukan kesalahan yang serius sehingga dibuang kerja. Menurut laporan yang diterima kesalahan tersebut tidak boleh dimaafkan kerana telah berulang kali berlaku.
"Berita tersebut tentu menghancurkan hati saya sebagai isteri, terutama apabila mengenangkan suami seorang yang tegas dengan saya dan anak-anak. Dalam tempoh beberapa bulan Asri menjadi penganggur.

"Perbelanjaan kami bertambah merosot sehingga anak-anak pun terpaksa dicatu perbelanjaan sekolah mereka. Puas mencari pekerjaan yang sesuai, namun kesemuanya mendukacitakan. 
"Sehinggalah akhirnya mungkin rezeki anak-anak, Asri diterima bekerja di sebuah syarikat swasta. Selepas tiga tahun bertugas, perangainya yang lama berulang kembali. Dia jatuh cinta dengan seorang gadis bernama Anita (bukan nama sebenar) yang bekerja sebumbung dengannya.

"Maklumat yang saya terima, suami saya hanya bertepuk sebelah tangan, maksudnya cintanya terhadap Anita tidak berbalas. Tetapi ego lelaki tinggi apabila ditanya saya akan dimarahi dan terus keluar dari rumah dan pulang hampir subuh.
"Begitulah perangainya sehingga kini. Dia tidak mahu berubah dan tidak mahu menerima hakikat yang gadis bernama Anita itu tidak menerima cintanya.

"Pelbagai cara dilakukan oleh suami untuk mendekati gadis itu. Perkara ini menjadi sebutan ramai. Ada dalam kalangan kawan-kawannya menjadi penasihat tidak bertauliah dengan menyuntik semangat supaya dia berusaha mendapatkan gadis tersebut dengan apa cara sekali pun.
"Hidup jika lupa asal usul memang sukar untuk mencapai sesuatu yang dihajati. Kesalahan silam yang pernah meragut kerjayanya sepatutnya menjadi peringatan untuk berubah sikap demi masa hadapan keluarga tetapi sebaliknya pula yang berlaku.

"Saya cuba menasihatinya, namun umpama mencurah air di daun keladi. Sia-sia sahaja. Di penghujungnya saya dipersalahkan kerana tidak bersyukur dengan apa yang ada. Bagaimana harus bersyukur jika suami masih mencari di luar, sedangkan saya harus berkorban untuk rumah tangga?
"Perbelanjaan rumah, saya yang banyak keluar dan dahulukan. Pendek kata segala-galanya saya yang harus dahulukan. Dia buat tidak tahu sahaja dan sibuk dengan aktivitinya mengurat Anita yang tidak berkesudahan.
"Apa muslihat lelaki yang menjadi suami saya ini? Apa yang ingin dia lakukan sedangkan dia tahu, hasilnya bagaimana?.

"Anak-anak pernah bertanya saya mengapa ayah selalu pulang lewat dan hujung minggu tidak pernah ada di rumah. Saya malu dengan anak-anak, bagaimana hendak saya jelaskan kepada mereka.
"Nak berbohong? Mereka sudah dewasa untuk memahami apa yang terjadi dalam hubungan saya dengan bapa mereka.
"Apa yang saya dengar daripada kenalannya, Asri memang sentiasa mengganggu Anita. Dia mendera perasaan gadis itu, dicabarnya Anita supaya melaporkan kepada pihak berkuasa jika benar ada bukti dia diganggu. Memang susah nak dapatkan bukti sebab semua itu dibuatnya dengan teliti sehingga sukar untuk dikesan.

"Sebagai isteri, saya malu pada masyarakat dan teramat malu kepada diri sendiri seolah-olah saya tidak tahu menjaga suami yang menjadi liar yang luar biasa. Saya juga pelik dengan sikapnya tidak sedar diri dan tidak mahu cermin diri sendiri.
"Sepatutnya dia menjaga maruah dirinya sebagai lelaki. Dia juga harus sedarkan diri, mesti faham bila orang tak mahu maknanya lebih baik angkat kaki, jangan nak hadap lagi. Ini tidak, terhegeh-hegeh juga nak ganggu orang. Jika saya di tempat Anita, saya juga akan melakukan perkara yang sama.
"Saya tahu Anita bukan gadis yang suka merampas hak orang lain. Dia mungkin beranggapan buat apa diganggu rumah tangga orang, sedangkan ramai lagi yang masih bujang!!!. Biarlah menjadi andartu daripada menjadi kutu malam yang sentiasa buat kacau sana sini. Di mata saya, Anita seorang gadis yang bijak, sebab itu dia bertindak macam itu.

"Saya berasa masih belum terlambat untuk suami saya menoleh ke belakang dan melihat saya dan anak-anaknya yang terabai selama ini. Beri perhatian kepada anak-anak, sebab itu amanah daripada Allah. Bukan mengejar Anita ke sana-sini.
"Saya pelik kenapa suami apabila buat hal tidak pernah langsung nak ingat akan janji-janji di hadapan tok kadi tentang peranan dan tanggungjawab suami terhadap isteri dan anak-anak. Ini bukan soal sehari dua tetapi sepanjang hayat.

"Sekarang masanya untuk melunaskan segala yang belum terlaksana. Apa yang kurang diperbetulkan, malah ditingkatkan segala-galanya agar hidup isteri dan anak-anak terpelihara di dunia dan akhirat.
"Saya sudah letih menasihati dan menegur. Bukan didengarnya, sebaliknya saya pula dipersalahkan. Saya tidak mahu lagi menambah dosa. Saya hanya mampu berdoa agar suatu hari nanti suami akan sedar dan kembali ke pangkal jalan.

"Jika dia terbaca ruangan ini, saya amat berharap dia lupakan hasratnya untuk mendapatkan Anita kerana tidak semua perempuan suka hak orang, malah mereka malu untuk dilabel sebagai perempuan perampas!
"Peliharalah maruah keluarga dan maruah orang lain kerana kita semua adalah makhluk yang dikurniakan dengan akal yang sempurna untuk berfikir. Fikir dengan waras sebab isteri, anak-anak dan keluarga adalah amanah Allah.

"Jangan ikut hati dan perasaan. Jangan ikut perangai kawan-kawan yang suka melihat orang lain hidup susah dan menderita. Mereka hanya mencabar tapi kalau suruh buat, tentu mereka tak berani. Sebab lelaki macam itu hanya pandai bercakap tetapi tidak ada keberanian. Mereka juga takutkan isteri.

"Saya amat berharap, satu hari nanti Allah akan makbulkan doa saya untuk melihat semula suami kembali menjadi Asri yang pertama kali saya kenal dahulu. Asri yang bertanggungjawab dan penyayang. Mudah-mudahan Allah akan makbulkan doa saya. Amin!'' begitu Mas menutup ceritanya.      
Syabas Mas kerana menjadi seorang isteri yang tabah dan sabar melayan kerenah suami. Apa yang Mas lakukan patut dicontohi isteri-isteri yang menghadapi masalah yang sama seperti Mas. Elak daripada melatah dan bertindak mengikut hati tetapi gunakan akal untuk berfikir dan utamakan anak-anak dalam apa juga keputusan yang diambil.

Saya turut mendoakan kebahagiaan untuk Mas dan anak-anak. Insya-Allah, kesabaran akan menghasilkan kebahagiaan. Ingatlah, Allah sentiasa mendengar doa hamba-Nya.
Sebagai penamat catatan, sepatah pesanan daripada saya, dekatilah Allah dalam suka, insya-Allah Dia akan mengenalmu dalam susah.

Nilai cinta bila bercinta dengan warga asing...

SELAMA ini saya hanya membaca kisah yang dipaparkan di ruangan ini, langsung tak terfikir akan turut menyumbang. Tetapi apabila diri sendiri terkena baru saya sedar betapa tenteramnya jiwa setelah mencurahkan isi hati di sini.'' Cerita Fikri yang berkhidmat di bahagian teknikal dengan sebuah kementerian di KL.

''Berusia dekat 40 tahun, 18 tahun berkahwin dan ada tiga anak, saya ingin berkongsi pengalaman pahit agar rakyat Malaysia khususnya lelaki tidak mudah tertipu dengan cinta plastik wanita warga asing. Sebab kisah 30 September lalu ada menyebut 'Trend lelaki sekarang suka kahwin dengan wanita asing.' Jadi di sini saya ingin nasihatkan jangan mudah tertipu akhirnya jadi mangsa seperti saya.

''Kisah percintaan saya bermula apabila kerap dihantar bertugas ke Tawau, Sabah. Di sana pasti bertemu ramai wanita Filipina, orangnya cantik, peramah dan senang didampingi. Pertemuan pertama dengan Bella pertengahan tahun lepas berakhir dengan perjumpaan berulang-ulang kali.

''Dari mula berkenalan akhirnya beberapa kali kami terlanjur hingga Bella ditangkap oleh Imigresen Sabah kerana tiada pasport dan dihantar balik. Dua bulan selepas itu dia datang semula, kami berjumpa dan saya jatuh cinta dengan kelembutan dan keramahannya.

''Bermula dengan berkenalan akhirnya timbul niat baik saya hendak menyelamatkan Bella dengan berkahwin dengannya. Walaupun dia baru berusia 24 tahun tapi sudah mempunyai seorang anak kerana dipermainkan kekasihnya. Kerana kecewa dia lari ke Tawau mencari pekerjaan menyara hidupnya dua beranak.

''Atas dasar simpati saya hulurkan bantuan ribuan ringgit supaya dia balik ke kampungnya di Molave, Zamboanga Del Sur. Dia balik secara haram dengan bot. Demi cinta saya berjanji akan ambil anaknya sebagai anak sendiri. Beribu ringgit duit saya terbang untuk membiayainya kerana dia setuju nak masuk Islam.

''Walaupun berjauhan, kami sentiasa berhubung melalui telefon. Kegilaan saya membuat isteri dan anak-anak curiga. Saya terus-terang pada isteri, saya nak kahwin dengan wanita Filipina. Hanya Allah sahaja tahu perasaan isteri saya, walaupun dia bekerja, tapi dia sabar dengan kerenah saya, tak melawan, tak mengamuk, apa lagi memarahi saya, hanya air mata jadi teman setia.

''Kerana cinta, saya ke Cebu City bertemu Bella. Tapi dia tak tinggal di sana, dia tinggal dengan datuknya di Molave. Akhirnya kami berjumpa di Mactan International Airport, Cebu. Saya berjumpa dengan ibu bapa dan anaknya. Empat hari saya di sana.

''Keluarga Bella dan kehidupan penduduk di sana amat daif dan miskin. Itu membuatkan saya berjanji akan pelihara Bella dan anaknya. Saya sempat solat di rumahnya! Di rumah orang Kristian. Mereka hairan, tapi niat saya semoga satu hari nanti Allah bukakan pintu hati mereka. Amin! 

''Banyak saya berbelanja untuk keperluan mereka, beribu ringgit saya habiskan sebelum kembali ke KL. Semuanya demi cinta. Tak lama kemudian Bella beritahu dia jatuh sakit, saya hantar duit untuk dia berubat.
''Ketika itu saya langsung tak peduli perasaan isteri saya. Pertama kerana tengah mabuk cinta, kedua, hati saya ikhlas nak bawa Bella masuk Islam.

''Tak lama lepas itu datuk Bella mati, saya korban duit ringgit untuk terbangkan keluarganya dari Cebu ke Molave. Untuk pengetahuan, sepanjang hidup mereka tak pernah naik kapal terbang. 

''Saya baiki rumah buruk mereka supaya hidup mereka lebih selesa, saya pasangkan Internet. Saya carikan kerja untuk Bella dan sediakan rumah di KL. 

''Diri saya juga turut berubah, kalau dulu gila motor besar, sejak bercinta saya jual motor besar, sebab saya fikir tak ada masa untuk itu semua. Saya turun naik pejabat imigresen dan kedutaan Filipina di KL bertanya cara membawa Bella. Pendek kata semua sudah sedia kecuali restu isteri.

''Untuk urusan perkahwinan, saya ke Clark City memujuknya segera nikah, lepas tu kami makan angin ke Manila. Akhirnya Bella setuju nikah dan masuk Islam. Tapi syaratnya saya tidak boleh ceraikan isteri saya. Dalam masa sama, saya siapkan tempahan baju dan hotel untuk resepsi perkahwinan kami.

''Tetapi manusia hanya merancang, Allah maha mengetahui, mungkin Allah makbulkan doa saya di depan Baitullah sewaktu menunaikan umrah bersama isteri saya. Dalam doa saya memohan agar Allah bukakan pintu hati Bella menerima Islam. 

''Entah macam mana tiba-tiba saya rasa curiga. Belek punya belek gambarnya dalam facebook, akhirnya saya terjumpa gambar terbaru Bella dengan bekas teman lelakinya. Terkejut saya. Saya tanya Bella. Dia cuba berbohong, tapi dia tidak berjaya menipu saya.

''Tak sangka dia sanggup tipu saya, sedangkan saya korbankan segalanya. Akhirnya dia mengaku, dia belum bersedia masuk Islam dan tak cintakan saya. Dia mengaku gunakan saya untuk kikis duit demi kesenangan hidupnya. Sakitnya hati!

''Saya rasa diperbodohkan. Alasannya dia boring dan sepi sebab saya jauh di Malaysia, sedangkan dia di sana. Punyalah hangin saya, inikah kesetiaan? Memang dasar perempuan penipu! Jerit saya.
''Saya kesal. Nasib baik isteri saya penyabar dan setia, walaupun saya hancurkan hatinya, hanya Allah tahu betapa remuknya perasaannya selama ini. Saya tak salahkan sesiapa, hanya Allah yang tahu. Pengalaman pahit ini sukar saya terima. Duit habis lebih RM30,000 tapi itu saya tak kisah, namun masalah kena tipu paling sakit!

''Buat semua lelaki warga Malaysia yang berhasrat berkahwin dengan warga Filipina atau warga seberang, fikir masak-masak. Cantik memang cantik, menarik dan menawan, tetapi racun di dalamnya sangat berbisa...they just a liar!!! Jangan percaya bulat-bulat, selidik dan periksa dulu, kalau perlu buat serbuan mengejut.

''Saya rasa mungkin bukan saya seorang terkena, ramai lagi lelaki lain sudah terkena, terutama yang sering ke Princess, Tawau, cuma mereka tak mengaku. Tawau ada ramai gadis Filipina bekerja di sarang pelacuran, kerana itu sumber hidup, sebab mudah cari duit.

''Jabatan Imigresen Sabah lebih faham, sebab mereka buat operasi, namun saya harap operasi lebih keras dan kerap. Sebab kalau dihantar balik dua tiga bulan kemudian mereka datang lagi.'' Itu pengakuan Fikri panjang lebar tentang pengalaman pahit bercinta dengan warga asing, bukan murah tapi mahal, bukan mudah tetapi susah.

Menyusukan bayi bantu kuruskan badan???

Dr, apakah cara yang terbaik menurunkan berat badan. Saya juga ingin bertanya, benarkah berat badan seorang ibu akan turun apabila menyusukan anak dan akan bertambah selepas berhenti menyusukan anak?

n Nor, Shah Alam

Jawapan 

Soalan yang diutarakan amat praktikal sekali. Masalah berat badan ini amat sensitif dalam kalangan wanita. Saya tahu ramai wanita di luar sana yang mencuba pelbagai produk pelangsing yang ditawarkan dan sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk masalah ini. 

Sudah menjadi lumrah, sebagai wanita dan isteri, kita semua berharap agar dapat mengekalkan bentuk tubuh badan yang menarik untuk menambat hati suami. Yang kurus nak gemuk dan yang gemuk pula nak kurus. Bukan tidak puas dengan apa yang dikurniakan, tapi nak menjadi yang lebih baik. Tapi maklum sahajalah, bila dah bersalin sekali dua, berat badan susah nak turun. Tambahan pula, bila menyusukan anak sepenuhnya, bukan saja tak boleh mengambil ubat pelangsing sebarangan tetapi nak berdiet berlebihan pun kurang digalakkan kerana dikhuatiri menjejaskan pengeluaran susu atau membahayakan bayi.

KesabaranMenurunkan berat badan bagi ibu-ibu yang sedang menyusukan anak bukan satu perkara yang mustahil, tetapi ia memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Ini kerana, proses menurunkan berat badan sewaktu menyusukan anak perlu dilakukan secara perlahan-lahan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada susu yang diberi kepada bayi.

Secara asasnya, menyusukan bayi tidak membuatkan berat badan bertambah. Malah menurut kajian, ibu-ibu yang menyusukan anak lebih mudah menurunkan berat badan berbanding ibu-ibu yang tidak menyusukan anak kerana menyusukan bayi menggunakan antara 200 hingga 500 kalori setiap hari. Bagaimanapun perlu diingat, kita masih perlu menjaga pemakanan. 

Ada beberapa panduan yang mungkin berguna untuk ibu-ibu yang ingin menurunkan berat badan. Paling utama ibu tersebut perlu minum air secukupnya. Air yang mencukupi dapat melancarkan sistem badan termasuk mengekalkan metabolisme kita pada kadar yang sepatutnya. Seelok-eloknya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga dinasihatkan untuk makan apabila perut berasa lapar. Mereka juga perlu ingat pada wasiat Rasulullah "Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang". Paling baik sekali adalah makan empat ke enam kali sehari dengan kuantiti yang kecil. Utamakan sarapan pagi. Sarapan pagi perlu diambil dalam masa sejam selepas bangun tidur. 

Makanan yang dimakan juga perlu dikunyah secara perlahan-lahan. Paling baik sekali jika makanan tersebut dikunyah 44 kali untuk mengurangkan beban penghadaman. Selain itu, otak akan menerima isyarat kekenyangan pada waktu yang tepat. Kalau makan laju sangat, otak tidak sempat memberi isyarat yang kita dah terlebih kenyang. Kurangkan percakapan semasa makan untuk mengelakkan tidak perasan yang kita sudah terlebih makan.

Makanan yang diambil perlu seimbang. Kajian menunjukkan bahawa ramai orang yang terlebih berat badan disebabkan zat yang tidak mencukupi. Kekurangan protein akan menyebabkan badan tidak dapat menghasilkan enzim (enzim terbina daripada asid amino) yang mencukupi untuk mencernakan makanan. Selain itu, orang yang kekurangan protein biasanya mempunyai nafsu makan yang sangat tinggi. Protein biasanya membuatkan kita rasa kenyang dalam jangka masa lebih panjang. Vitamin B6 adalah zat penting dalam metabolisme lemak. Kalau berkurangan, lemak tidak dapat dibakar dan berkumpul secara berlebihan.
Kesimpulannya, makanan yang diambil perlu seimbang. Kurangkan pengambilan gula dan makanan rapu. Gula membekalkan kalori yang tiada nilai zat. Gula juga menambah potensi seseorang diserang penyakit diabetes mellitus apabila pengambilan tidak dikawal. Manakala makanan rapu yang mengandungi garam yang tinggi bukan sahaja menyebabkan nafsu makan sukar dikawal bahkan dikaitkan dengan risiko penyakit hipertensi (darah tinggi).

Aktiviti fizikalBanyakkan aktiviti fizikal. Saya pasti ibu-ibu tidak mengalami masalah untuk memperbanyakkan aktiviti fizikal. Walaupun tidak dapat meluangkan masa ke gimnasium atau senamrobik, ibu-ibu akan sentiasa sibuk dengan tugasan harian. Aktiviti senaman sekurang-kurangnya 15 minit, dua kali seminggu adalah sangat digalakkan.

Bagaimanapun, bagi yang tidak dapat meluangkan masa untuk bersenam, eloklah mengambil alternatif seperti menggunakan jalan lebih jauh untuk sampai ke satu-satu tempat dengan berjalan, berjalan sambil menghayunkan tangan, melakukan kerja rumah, aktiviti santai bersama anak-anak dan banyak menggunakan tangga daripada lif. 

Puan juga hendaklah sentiasa berfikiran positif dan banyak bersabar kerana pengurangan berat badan ini adalah lebih kurang dua kilogram sahaja dalam masa sebulan. Teruskan dengan penyusuan kerana ada banyak lagi keistimewaan yang anda akan kecapi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...