terima kasih buat kalian semua..

Monday, November 5, 2012

"Padahnya bila saya ada affair dengan perempuan lain kat luar..."

TUJUAN saya menulis ke ruangan ini bukan hendak mengutuk kaum sendiri atau mengiakan apa juga cerita kaum wanita, sebaliknya berharap pengalaman pahit yang saya tempuhi dapat dijadikan iktibar oleh suami di luar sana terutama yang ada niat menyimpan kekasih gelap mahupun hendak beristeri lebih daripada satu.'' Itu pengakuan Khaz dalam e-melnya.

''Saya sudah beristeri dan ada empat anak yang sihat dan bijak. Bukan niat membuka pekung di dada tapi mengakui apabila diri dilanda gelombang asmara, lelaki sering lupa tanggungjawab. Bukan tak sayang isteri tetapi sekadar ingin mencuba, kalau boleh nak kahwin lagi.

''Biasanya melalui ruangan ini saya baca kisah suami curang yang diceritakan oleh para isteri. Kalau dulu saya senyum sinis tetapi setelah berlaku pada diri sendiri barulah saya sedar dugaannya amat berat. Saya mengaku curang kepada isteri yang banyak berkorban dan setia kepada saya selama ini.

''Kami berkahwin lebih 10 tahun. Hidup kami memang bahagia kerana perkahwinan dibina atas dasar cinta, bertambah erat apabila dikurniakan anak tetapi siapa sangka keadaan itu berubah apabila saya mabuk cinta untuk kali kedua.

''Episod kecurangan saya bermula apabila asyik melayari facebook yang menjadi kegilaan orang tak kira tua muda masa kini. Nak dijadikan cerita dalam 'fb' ini saya terjumpa kekasih lama saya Su ketika kami masih belajar di sekolah menengah lagi tetapi hubungan kami terputus setelah masing-masing melanjutkan pelajaran.
''Gembiranya hati apabila ditanya Su mengaku, itulah gambarnya dan itulah keadaannya. Apalagi segala kenangan manis ketika kami bercinta dahulu, kembali berasap dan berapi semula. Perkenalan kami berlanjutan dan kami mula bertukar nombor telefon.

''Gelora cinta saya kembali ghairah apabila saya dapat tahu dia kini single setelah dikecewakan kekasihnya. Mulanya kami hanya berbual biasa tapi lama-kelamaan langkah kami semakin panjang sehingga keluar minum dan makan-makan.

''Su tahu yang saya sudah berkahwin dan saya pernah kenalkan dia dengan isteri saya Hidayah, tapi Su masih layan saya dengan baik malah bertambah mesra. Dia tidak pernah menolak apabila diajak keluar minum dan makan waktu malam. Bila selalu dilayan dengan manja, senyum lentuknya membuatkan saya lupa isteri dan anak- anak di rumah.

''Akhirnya daripada seorang ayah penyayang dan suami bertanggungjawab, saya lupa diri. Hari- hari tumpuan saya hanya pada Su. Anugerah Allah menambah rezeki dengan menaikkan pangkat saya, rupanya ujian untuk saya yang saya tak nampak.

''Sejak naik pangkat dan gaji bertambah, saya mula belajar menipu Hidayah yang setia di rumah. Saya balik lewat dari pejabat dengan alasan banyak kerja. Hidayah percaya cerita saya. Padahal lepas waktu pejabat saya berkejar jumpa Su dan habiskan masa dengannya hingga lewat malam.

''Saya jadi muak tengok muka Hidayah. Perasaan muak membuat saya rasa menyampah dan tidak betah duduk di rumah. Ada saja benda yang tidak kena di mata bila melihat Hidayah menyebabkan kami kerap bertengkar. Akhirnya Hidayah suarakan perubahan yang dia nampak pada saya. Tapi saya tidak peduli. Anak-anak pun saya tidak kisah. Tengah mabuk cintalah katakan. Macam-macam saya beli untuk Su kerana saya yakin Su mencintai saya.

''Saya tidak ambil tahu apa keperluan Hidayah dan anak-anak kerana Hidayah akan uruskan sebab dia bekerja dan bergaji. Saya cepat berang dan meradang bila Hidayah mempersoalkan ke mana gaji saya dihabiskan kerana belum hujung bulan saya akan tebalkan muka pinjam duitnya. Walaupun kecewa tapi Hidayah tetap membantu.

''Bila selalu keluar berdua pasti makhluk ketiga akan sesatkan umat Muhammad S.AW dan akibatnya saya dan Su terlanjur. Bukan sekali dua tapi setiap kali berjumpa.

''Akibatnya saya jadi lebih angau kalau tidak jumpa. Setiap malam saya pasti jumpa Su sebelum balik rumah. Bila di rumah, saya jadi dingin nak layan Hidayah sehingga dia mengesyaki saya dan bertanya apa sebabnya.
''Akhirnya saya mengaku tengah bercinta dan akan kahwin lagi satu. Hidayah terus menangis dan minta dilepaskan kerana tidak sanggup bermadu. Ketika itu saya tidak fikir perasaan dia. Saya katakan padanya saya tidak akan lepaskan dia kerana saya masih sayangkan dia dan anak-anak cuma saya ingin kahwin lagi satu. Tak boleh ke?

''Saya yakin mampu menguruskan keluarga dengan gaji saya. Hidayah yang nampak lembut berkeras minta cerai dengan alasan saya tak mampu dari segi zahir batin, belum masuk bab perasaan dan hati.
''Tetapi saya tidak pedulikan perasaannya dan anak-anak saya biarpun ketika itu mereka sedang menghadapi peperiksaan penting.

''Matlamat utama saya tetap hendak kahwin dengan Su, cinta pertama saya.
''Hendak dijadikan cerita, satu hari saya ditugaskan ke luar daerah selama sebulan. Bila pulang, saya tak balik rumah sebaliknya terus ke rumah Su untuk melepas rindu. Alangkah terkejutnya bila sampai depan rumah Su, saya nampak ada sebuah kereta dan di dalamnya ada lelaki. Tidak lama kemudian saya nampak Su keluar dengan senyum lentuk lalu masuk ke dalam kereta tadi.

''Berderau darah saya. Rasanya mahu saya terkam Su ketika itu. Namun saya kuatkan hati dalam marah memandu pulang ke rumah. Sampai di rumah, Hidayah tak berani menyapa kerana melihat wajah saya yang tengah bengang.

''Keesokannya saya ke tempat kerja Su minta penjelasan. Ringkas jawapan Su sambil senyum melirik,''Dah awak beri saya terima!! Rezeki jangan ditolak". Su mengaku dia terpaksa layan saya kerana saya banyak melabur untuknya. Lelaki tersebut kekasihnya yang bertugas di luar negara baru pulang ke Malaysia.
''Ketika itu baru saya sedar. Ada wanita sanggup gadai maruah untuk kesenangan yang dicita. Bila teringat isteri di rumah terasa malu dengan balasan yang Allah tunjukkan pada saya.

''Kepada suami yang belum terjebak dengan skandal, pesan saya, hargailah isteri kita." Itu pengakuan ikhlas Khaz atas kesilapannya semoga menjadi iktibar kepada semua.

Time main sedap sama-sama...time susah tanggung sorang2 !!!

Diam tak diam sudah enam tahun usia anak perempuan Suhaila. Dalam tempoh itu jugalah ibu muda berusia 21 tahun itu bergantung penuh pada kudrat kedua orang tuanya untuk menguruskan diri.
Suhaila (bukan nama sebenar) dahulu seorang remaja yang lincah dan periang sebelum diuji dengan dugaan cukup berat apabila sebahagian tubuhnya lumpuh akibat melahirkan anak.

Tiada siapa menduga, kerana keadaan yang menimpanya itu ibarat sudah jatuh ditimpa tangga.
Sudahlah malu keluarganya terhadap cacian orang kampung masih berbekas, dia pula terpaksa menanggung kesakitan dan kecacatan seumur hidup.

Anak perempuan yang dilahirkan hasil hubungan haram dengan teman lelakinya kini dijaga oleh ibunya. Biarpun kelahiran 'tidak dipinta', cucu perempuan itu ditatang bagai minyak yang penuh oleh nenek dan datuknya.

Walaupun pernah menconteng arang pada keluarga ditambah pula dengan keadaannya yang tidak berupaya, Suhaila masih bersyukur kerana mempunyai keluarga yang menyayangi dirinya.

"Mereka sanggup bersusah payah menjaga dan berusaha pelbagai cara untuk mengubati penyakit yang saya dihidapi sekarang. Saya tidak sanggup melihat kesedihan pada wajah ibu tiap kali dicemuh oleh orang kampung.

"Sehingga hari ini, walaupun peristiwa hitam itu sudah lama berlalu saya sangat bersyukur kerana dapat melihat anak membesar di depan mata ," katanya.
Bercerita lanjut mengenai kisah hidupnya yang menyebabkan dia terjebak melahirkan anak luar nikah, segalanya bermula apabila Suhaila terlalu mengejar keseronokan dan mudah dibuai dengan pujukan rayu seorang lelaki.

"Saya berkenalan dengan lelaki tersebut ketika berusia 15 tahun. Jarak umur antara kami lebih enam tahun. Perkenalan kami diatur oleh rakan yang merupakan rakan sekelas ketika itu.
"Amran (bukan nama sebenar) sudah bekerja dan berkahwin ketika itu. Saya pula masih belajar dan akan menghadapi peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR). 

"Saya tidak hiraukan statusnya sebagai suami orang kerana perasaan sayang dan cinta yang semakin membuak-buak.
"Tambahan pula usia saya yang masih mentah dan mudah terpengaruh dengan pujuk rayu seorang lelaki sehingga sanggup menggadai maruah dan harga diri.

"Semasa mula berkenalan kami hanya berjumpa selepas habis waktu sekolah sahaja. Kebetulan jarak tempat kerja Amran dengan sekolah dekat. Jadi kami selalu menghabiskan masa bersama-sama sehingga lewat malam.

"Adakalanya kerana terlalu mabuk dengan cinta Amran, saya beberapa kali membohongi ibu. Saya kata pada ibu mahu ke sekolah, sebaliknya masa saya dihabiskan berseronok dengan Amran.
"Selalunya, kawasan sunyi daripada kelibat orang ramai seperti tepi tasik menjadi tempat kami sering berjumpa untuk melepaskan perasaan rindu masing-masing," katanya.
Ujar Suhaila lagi, hubungan yang terjalin itu akhirnya dapat dihidu oleh keluarga menyebabkan kedua ibu bapanya mula meragui setiap tindak-tanduk yang dilakukan oleh Suhaila.

"Mereka mula memarahi jika saya sering pulang lewat malam, tetapi nasihat itu hanya dibiarkan begitu sahaja.
"Perasaan sayang pada lelaki itu menyebabkan saya tidak menghiraukan nasihat ibu malah kedegilan saya semakin menjadi-jadi selepas dikongkong oleh ibu," katanya.
Semestinya setiap perkara yang dilakukan sama ada secara sedar atau sengaja pasti seseorang itu perlu menanggung kesannya.

"Saya menyedari telah mengandung selepas mengalami alahan teruk seperti yang dialami oleh wanita lain yang sedang mengandung.
"Ketika itu, saya tidak mengesyaki saya mengandung sehinggalah ibu membawa ke klinik selepas mengalami demam dan muntah teruk," katanya.

Menurut Suhaila selepas disyaki mengandung, Amran mula menghilangkan diri dan tidak ingin bertanggungjawab ke atas anak yang dikandungnya itu.
"Ketika itu, baru saya sedar bahawa Amran tidak menyintai saya, sebaliknya dia hanya ingin mengambil kesempatan ke atas diri saya.

"Disebabkan malu kerana mengandung luar nikah saya bertindak berhenti sekolah. Kini walaupun niat untuk belajar masih membara impian itu terpaksa dipendam kerana keadaan saya yang tidak mengizinkan," katanya mengakhiri bicara.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

'Saya jadi alat dendamnya kepada bekas isteri'!!!

SIFAT berdendam membawa musibah dalam hidup suami isteri. Jika tidak dikawal, sifat itu akan menghancurkan impian pasangan suami isteri untuk hidup bersama hingga ke akhir hayat.
Demikian mukadimah kisah minggu ini yang ingin saya kongsi dengan pembaca. Ia dialami sendiri oleh seorang wanita yang mahu dikenali sebagai Asmira (bukan nama sebenar).
Apa yang berlaku seterusnya? Kita ikuti cerita Asmira.

"Saya berusia lewat 20-an, bekerja sebagai pegawai di sebuah bank. Saya mempunyai seorang teman lelaki bernama Megat (bukan nama sebenar).

"Perkenalan kami berlaku secara kebetulan dan tidak dirancang. Macam cerita Melayu dulu-dulu, ibarat pantun, sapu tangan jatuh ke tangan, dalam tangan ada bunga, tepuk tangan terasa tangan, dalam tangan tiada yang berpunya.... Indah bait-bait ayat yang membuka lambaran perkenalan kami.
"Mungkin hati seorang wanita mudah terusik dengan madah-madah dan perhatian yang ditunjukkan. Tiada apa yang perlu dicurigai dan ketika itu mungkin Megat lelaki yang paling sempurna di mata saya.
"Apabila saya tanya, kenapa dia masih keseorangan, jawapannya, 'saya belum berjumpa yang berkenan di hati dan sedang mencari yang serasi dan boleh dijadikan suri hidup.

"Pengakuan Megat membolehkan saya terus berkawan dengannya kerana dia tidak 'terikat' dengan sesiapa yang istimewa. Pengalamannya yang pernah bertugas di luar negara sentiasa menjadi bahan bualan antara kami. Kisah-kisah silamnya juga dikongsi bersama untuk mengimbau kembali nostalgia yang terpahat dan terbuku di sanubarinya. 

"Menurut Megat, dia bertugas hampir 10 tahun di luar negara. Di sana, dia berkenalan dengan gadis idaman dan dipendekkan cerita mereka bernikah di luar negara. Katanya, pernikahan mereka ringkas sahaja tidak seperti di tanah air yang meriah dan terikat dengan adat.

"Masuk tahun kedua, mereka dikurniakan seorang cahaya mata yang kini berusia sembilan tahun. Ceritanya mereka bahagia dan tiada masalah yang merangkumi adat dan budaya kerana isterinya juga rakyat Malaysia.
"Setelah tamat tempoh bertugas di luar negara, mereka kembali ke tanah air, dan di sinilah segala yang tidak diduga terjadi. Isterinya Erin (bukan nama sebenar) kembali ke pangkuan kekasih lamanya. Kata Megat, dengan hati yang sangat berat, isterinya dilepaskan. 

"Jika diturutkan hati...mati dan jika diturutkan kata... binasa, tetapi dia terpaksa akur dengan suratan takdir setelah gagal untuk menyelamatkannya. Itu kata Megat. Mereka mengambil giliran seperti yang telah dipersetujui bersama untuk menjaga anak. 

"Dalam sibuk bercerita tentang dirinya, tiba-tiba dia bertanya saya, Cik Asmira masih belum berpunya ke? Saya terkedu seketika. Tapi dia inginkan kepastian untuk mahu lebih mengenali saya.
"Lalu saya berterus terang yang saya ditinggalkan tanpa berita, sehingga kini orang yang saya ingin sandarkan harapan hilang begitu sahaja, mungkin dia telah berubah hati atau telah bernikah.
"Lalu kata Megat, nasib kita serupa sambil menghulurkan kadnya dan berkata, Cik Asmira boleh menghubungi saya bila-bila masa sahaja. Terima kasih kerana sudi berkawan dengan saya.
"Selepas pertemuan itu, kami semakin kerap berjumpa dan seterusnya menjadi intim bagaikan merpati dua sejoli. Saya tidak syak apa-apa dengan niat Megat kerana percaya dia ikhlas dalam perhubungan kami.
"Sayangnya tekaan saya meleset, Megat bukan lelaki yang boleh saya sandarkan harapan. Hebat permainannya mengalahkan ahli silap mata yang bijak memukau penonton sehingga sukar untuk mengesan segala kepalsuan.

"Berjanji macam-macam tetapi semuanya hampa. Apabila bercakap mengalahkan ahli pidato, semua fakta dia tahu. Sayangnya dia seorang pendendam. Sampai bila harus sandiwara ini berterusan? Saya mula sedar sikap buruk Megat setelah enam bulan kami berkawan.
"Setiap kali keluar, saya yang keluarkan belanja, dia memberi pelbagai alasan tak bawa duit, tertinggal dalam kereta dan macam-macam lagi. Banyak lagi sikapnya yang saya nampak hanya memperalatkan saya.
"Akhirnya saya mula sedar yang dia menggunakan saya untuk membalas dendam terhadap bekas isterinya yang berlaku curang kepadanya.

"Inikah lelaki idaman aku? Selalu saya bertanya dalam hati. Saya mula sedar diri diperalatkan. Masih belum terlewat untuk bertindak meninggalkan Megat yang pandai menjerat mangsa. Lalu saya meminta untuk mengundur diri dengan alasan tiada keserasian antara kami.
"Keputusan saya telah menyelamatkan diri saya daripada menjadi mangsa seorang pendendam. Megat telah meracuni fikiran saya untuk melupakan hasrat bernikah. Katanya, pernikahan di era ini tiada jaminan untuk hidup bahagia, kesemuanya hanya palsu dan zalim.

"Mazhab apa yang Megat anuti, yang halal bertukar menjadi sebaliknya. Fahaman dan gaya hidup yang songsang seperti inilah yang akan meruntuhkan moral. Orang yang menganiaya dirinya sendiri dan diri orang lain adalah orang yang menarik dirinya kepada kebinasaan di dunia dan di akhirat.
"Menyedari tindakan saya untuk berpisah, Megat mula buat hal, macam-macam yang dia buat terhadap saya. Dia ganggu saya di pejabat, dia datang ke rumah dan ugut saya.

"Dia mula sedar akan dosa yang diciptanya kerana dendamnya terhadap bekas isterinya dilepaskan kepada saya. Puas dia merayu dan meminta maaf, tapi saya sudah tawar hati. Saya tidak mahu pisang berbuah dua kali. Lagipun mengenali dia dalam masa enam bulan, saya dapati dia seorang yang baran, tidak hairanlah kenapa isterinya tinggalkan dia.

"Saya cuba memujuknya supaya menerima keadaan dan kami tiada jodoh. Mulanya dia tidak boleh terima, lama-kelamaan dia kembali sedar kesilapannya, itu pun setelah saya mengaku telah bertunang.
"Walaupun itu tidak benar tetapi saya bersyukur kerana dia faham keadaan saya. Lagipun kami tidak bercinta dan saya tidak pernah memberi harapan apa-apa kepadanya. Kami sekadar berkawan.
"Apa pun saya bersyukur kerana saya tidak berjanji apa-apa kepadanya. Memang perempuan itu lemah, tetapi dengan keimanan yang ada pada saya, saya bersyukur kerana berjaya melepaskan diri daripada masalah yang dicetuskan oleh Megat.

"Saya berdoa agar dia bahagia dengan kehidupannya dan tidak lagi mengganggu saya.
"Syukur sangat-sangat kerana setelah tiga bulan berpisah, dia tidak mengganggu saya. Pun begitu, saya tetap berhati-hati dan berusaha mengelak daripada bertemu dengannya.
"Mudah-mudahan Allah melindungi saya dan memberi kebahagiaan untuk saya pada masa mendatang,'' begitu kata Asmira. 

Apa yang berlaku kepada Asmira perlu diberi perhatian oleh wanita di luar sana supaya lebih berhati-hati dalam memilih calon suami.

Sunday, November 4, 2012

Adakah hubungan anda suami isteri semakin hambar??


PERNAHKAH anda sebagai isteri merasakan ada hari-harinya anda berasa hambar dengan sikap suami anda.

Mungkin anda merasakan sikap suami anda sudah tidak seperti dahulu, banyak mengelak diri dan enggan pula berkomunikasi dengan anda.

Sekiranya terjadi sedemikian pasti ada sebabnya suami anda beraksi begitu. Mungkin dia mengalami masalah yang berat di pejabat, berhadapan dengan masalah kesihatan mahupun ingin berseorangan.

Bagaimanapun adalah malang sekiranya sikap suami berkeadaan demikian disebabkan dia sudah tidak menyayangi atau memerlukan anda lagi, namun dia sukar pula untuk meluahkan kenyataan itu kepada anda, manakala anda pula tidak mengetahui puncanya.

Berikut diberikan enam cara tanda mengenal pasti adakah suami anda sebenarnya memang sudah tidak menyayangi anda dan sekiranya perbezaan watak ini dapat dihidu dari awal mungkin anda sebagai isteri boleh memulihkan keadaan.

1 Dia jarang ada di rumah

Ramai di kalangan lelaki menggunakan alasan banyak kerja di pejabat menyebabkan mereka balik lambat ke rumah. Bagi mereka apa guna balik ke rumah awal sekiranya dihimpit dengan rasa kebosanan, tiada berperasaan, terasa menyampah mahupun terasa tiada makna sebaik sahaja sampai di rumah.
Hakikatnya di sebalik keadaan ini menyebabkan mereka banyak menghabiskan masa di tempat kerja dan tanpa disedari mereka akan menjalinkan hubungan dengan rakan sekerja yang kini dirasakan lebih menarik daripada anda di rumah.

2 Tiada lagi kata-kata pujian darinya

Bilakah kali terakhir anda mendengar pujian daripada suami anda atau menghargai sesuatu yang anda lakukan. Lelaki tidak akan mengucapkan kata-kata pujian kepada individu itu apabila dia fikir si dia tidak layak untuk mendapatkan pujian berkenaan.

Apabila suami anda sudah mula kurang tumpuan kepada anda dan percaya semua yang anda lakukan adalah tidak berbaloi bagi dirinya, lambat-laun perhatiannya kepada anda mula hilang.

3 Dia suka menyalahkan anda

Tuduhan demi tuduhan dan suka menyalahkan anda adalah salah satu babak yang paling ditakuti dalam hubungan suami isteri. Ini juga menunjukkan tanda besar sebenarnya suami anda sudah tidak mahukan anda lagi dalam perhubungan berkenaan. Apatah lagi sekiranya dia sudah mempunyai wanita lain dan pastinya dia mula membuat perbandingan antara anda dan si dia. Akhirnya, anda yang akan menjadi tempat untuk dia melepaskan segala yang terbuku di hati dengan maki hamun dan sumpah-seranahnya.

4 Kebanyakan aktiviti yang dilakukan oleh pasangan terhenti

Ini termasuklah dia tidak lagi membawa anda untuk pergi jamuan makan bersama-sama, enggan bersama anda di mana-mana majlis ataupun tidak mahu makan bersama biarpun di rumah.

Ini disebabkan dia tidak lagi mendapati anda menarik buatnya dan apabila bersama anda dia tidak terasa keseronokan sebagaimana waktu mula bercinta dahulu.

Begitu juga dia terasa mahu berjauhan daripada anda setiap masa kerana berasa bebas sekiranya berbuat demikian.

Tambahan pula sekiranya dia sudah ada pasangan yang lain menyebabkan semua aktiviti yang lebih menyeronokkan boleh dilakukan bersama teman barunya.

5 Komunikasi selalunya hambar

Jika pasangan itu dalam keadaan bercinta selalunya semua komunikasi yang dilakukan adalah menyeronokkan dan menarik sehinggakan apa sahaja isu boleh dijadikan bahan.
Namun apabila kasih sayang sudah semakin menurun kesukaran untuk bercakap antara satu sama lain juga akan berlaku malah suami anda akan mengelak daripada bertentang mata dengan anda. Sepatah yang ditanya, sepatah yang dijawab.

Hanya isu utama yang dicakapkan itupun beberapa patah perkataan sahaja. Akhirnya tiada lagi ucapan dan kata-kata keluar dari mulut suami anda kerana dia berasa tidak lagi seronok untuk berbual dengan anda.

6 Kasih sayang dan aktiviti seks mula menghilang

Ini adalah saat kebahagiaan akan hilang dan terus luput dari sanubari seorang yang bergelar suami kepada isterinya.

Hilangnya kasih sayang dan tiadanya rasa ghairah kepada pasangan menyebabkan hubungan suami isteri itu sudah tiada makna lagi terutama ketika di ranjang.

Biarpun sesudah bertahun mungkin hubungan seks antara suami isteri sudah tidak serancak selalu namun hubungan akan berkekalan selagi ada rasa kasih sayang. Tetapi apabila semuanya hilang hubungan akan renggang dan akhirnya putus.

Apabila hubungan seks dilakukan pula hanya terasa hambar dan dingin sedangkan si isteri menanti dengan penuh rasa harap.

Si suami ketika itu kasih sayangnya pula sedang berbunga maka keghairahan pun menjelma berbanding anda yang telah lama dikenalinya.

Benarkah penguatkuasa kita lemah?

INGIN saya mengambil perhatian agensi penguat kuasa termasuk pihak berkuasa tempatan, polis dan sebagainya yang diamanahkan untuk menguat kuasa undang-undang. 

Apa yang saya lihat, tahap penguatkuasaan di Malaysia amat lemah. Jika dibandingkan dengan jiran di Singapura ia seperti langit dan bumi. Banyak keluhan, pandangan dan teguran telah diberikan tetapi tiada peningkatan. 

Contoh-contoh di bawah adalah sebahagian daripada keadaan yang wujud dan seolah-olah telah menjadi landskap Malaysia ketika ini:

(a) Kebanjiran pendatang asing seolah-olah tidak dapat dibendung lagi hingga menimbulkan keresahan warga negara Malaysia. 

(b) Penunggang motosikal tidak memakai topi keledar dan melanggar lampu isyarat sudah menjadi lumrah.

(c) Apa sudah jadi dengan demonstrasi yang merosakkan harta awam pembayar cukai semasa Bersih 3.0. termasuk insiden menunjuk punggung dan mengibarkan bendera Sang Saka? Ambil keterangan sahaja ke?

(d) Apa sudah jadi kepada blogger dan orang yang menghina Islam. Cukupkah dengan permintaan maaf yang nampak tidak ikhlas sahaja?

(e) Membuang sampah merata-rata sudah menjadi pemandangan biasa kerana tak pernah dengar orang kena sama atau denda kerana buang sampah.

(f) Bangunan kerajaan termasuk di Putrajaya yang menggunakan bahasa Inggeris. Betapa rendahnya martabat Bahasa Melayu. Tidak hairanlah jika pengiklan-pengiklan berleluasa menggunakan bahasa lain di papan iklan, poster termasuk mengiklankan jualan rumah (cuba lihat di Wangsa Maju sebagai contoh) termasuk GLC. Siapa salah? Tidak usahlah kerajaan membazir dan melaung-laung kempen seperti Bulan Bahasa Kebangsaan. 

(g) Iklan-iklan haram berleluasa di tempat-tempat awam termasuk iklan lucah seperti adult toy dan ubat kuat lelaki, ah long dan sebagainya amat berleluasa. Tindakan PBT hanya bermusim dan kenapa mereka tidak boleh didakwa sedangkan nombor telefon mereka terpampang di dalam iklan mereka?

(h) Pemandu kereta menggunakan lorong kecemasan di lebuh raya terutamanya musim perayaan. Sepatutnya JPJ atau Polis mengambil tindakan terutama di lebuh raya utama.

(i) Kenapa tanah simpanan di Cameron Highlands diterokai secara haram tanpa pengetahuan pejabat daerah? Alasan tidak cukup kakitangan adalah alasan dangkal oleh seorang Pegawai Daerah. Kenapa baru hendak buat 'house clean up' hanya selepas didedahkan oleh media?

(j) Keengganan pemandu teksi menggunakan meter dan memeras penumpang hinggakan perkhidmatan teksi di Malaysia adalah tercorot dan paling hina di dunia.

Contoh di atas merupakan sekelumit sahaja. Ini belum lagi meliputi kes-kes melibatkan perundangan rumit seperti penipuan perniagaan pelaburan emas, penerimaan dana haram asing dan sebagainya.
Apa pun saya beranggapan kita tidak boleh menyalahkan pihak kakitangan bawahan penguat kuasa 100 peratus kerana pihak pengurusan atasan juga harus bertanggung jawab. 

Ini termasuk bantahan pelik daripada penggubal undang undang sendiri (Ahli Parlimen) meminta penangguhan terhadap sistem AES yang bertujuan untuk menguatkuasakan undang-undang jalan raya (Ordinan Lalulintas) sedangkan sistem telah beroperasi dan jutaan ringgit telah dilaburkan.
Di manakah integriti mereka sebagai penggubal undang-undang?. 

Kerenah birokrasi ini semakin rumit apabila hukuman mandatori gantung sampai mati hendak dihapuskan kononnya untuk menyelamatkan nyawa rakyat Malaysia yang dihukum di luar negara kerana terlibat dalam pengedaran dadah. 

Berapa peratusankah bilangan mereka yang terlibat jika dibandingkan dengan jumlah rampasan dadah dan penagih dadah akibat senangnya bekalan di negara ini? 

Angkanya amat menakutkan. Ini belum lagi termasuk yang terlepas ke dalam negara. Tolonglah berikan tenaga dan fokus anda terhadap penguatkuasaan kepada perkara-perkara asas (fundamental) dahulu sebelum memikirkan penguatkuasaan undang undang yang lebih berat dan rumit. 

Rumusan saya jika pihak penguatkuasa dan pihak berwajib tidak mempunyai keupayaan, minat atau cara yang berkesan 'swastakan' sahaja tugas penguatkuasaan ini.

PAK TUA
Nilai

Perlukan gelaran Haji/Hajjah di pangkal nama????

PAK haji dan mak haji itulah gelaran yang sinonim dengan seseorang setelah kepulangan mereka daripada menunaikan ibadat haji. Gelaran yang disandang itu akan berkekalan sehingga dia meninggalkan alam fana ini. Dalam konteks hidup bermasyarakat pula, seseorang itu akan lebih dipandang berbanding sebelum menunaikan ibadah haji yang cukup istimewa itu.

Gelaran ini begitu dihormati dan disegani oleh segenap lapisan masyarakat turun-temurun. Alasannya adalah bermula nenek moyang kita menunaikan ibadah haji membawa reputasi yang cukup disegani.
Zaman dahulu teknologi tidak secanggih sekarang. Para jemaah haji melaksanakan ibadah haji bukan menggunakan kapal terbang tetapi menggunakan kapal laut yang dianggap kenderaan tercanggih pada ketika itu. 

Mereka berangkat ke tanah suci dengan persiapan rohani, jasmani dan material selengkap yang mungkin dengan seikhlas hati. Perjalanan pergi dan pulang tersebut memakan masa berbulan-bulan lamanya.
Para jemaah haji ketika itu mengambil kesempatan ketika dalam perjalanan yang lama ini untuk menuntut ilmu agama dengan para ulama yang berada bersama rombongan mereka bagi memantapkan lagi pengetahuan agama serta persiapan mereka. 

Ada juga tidak ketinggalan untuk bertalaqi kitab dengan para ulama yang berada di tanah suci mengikut kesempatan masa panjang yang dimiliki. Maka kepulangan mereka ke tanah air sudah pasti sarat dengan pengalaman serta ilmu agama. 

Lantaran itu, layakkah mereka disapa dengan gelaran Pak Haji dan Mak Haji disebabkan ibadah haji adalah simbol kesolehan, ketakwaan, tawaduk, zuhud dan sebagainya.

Tetapi malangnya dewasa ini reputasi tersebut semakin pudar, ekoran nilai-nilai Islam dalam diri semakin merudum walaupun seseorang itu menyandang gelaran pak haji dan mak haji.
Karakter mereka kembali kepada asal sebagaimana sebelum berangkat ke tanah suci. Maka layakkah panggilan pak haji dan mak haji itu? Hanya diri sendiri yang mampu memberi jawapan yang paling tepat dalam memperbaiki diri.

Ibadah haji adalah suatu perjalanan yang suci, membawa diri ke negeri kedamaian untuk menyahut panggilan Rabbul Alamin. Perjalanan yang indah mendamaikan hati, menyentuh perasaan, menenangkan sanubari, serta nostalgia indah dalam kehidupan bertujuan mendapatkan haji mabrur yang dijanjikan syurga oleh Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: Haji mabrur itu tiada ganjaran di sisi Allah kecuali syurga. (Muttafaqun alaih)

Ketika merenung sejenak implikasi haji mabrur, Rasulullah SAW pernah ditanya oleh seorang lelaki berkenaan implikasi haji mabrur, baginda menjawab: "Suka memberi bantuan terhadap orang lain dan baik tutur bicaranya." (riwayat Ahmad).

Berdasarkan hadis tersebut, haji yang mabrur akan mengubah watak pak haji dan mak haji menjadi insan yang pemurah lagi terpuji akhlaknya. Pak haji dan mak haji akan memiliki sifat rasa empati terhadap orang lain serta lenggok bahasanya amat membekas di hati, terpancar nilai-nilai Islam.

Oleh ABDUL ARHAM MAT

Bagaimana bermulanya kiraan tarikh hijrah??

ISLAM mengikut tarikh hijrah dikira sejak hijrah Nabi Muhammad SAW ke Madinah (622M). Pengiraan hari dan bulan hijrah adalah berdasarkan peredaran bulan. Oleh sebab itu, tarikh hijrah juga dinamakan tarikh Qamariah (Arab: al-qamar > bulan).

Nama 12 bulan yang kini digunakan sudah ada sebelum masa Islam. Nama bulan seringkali mengikut musim atau perilaku orang Arab (khususnya pemuda) dengan nama hari. Dalam bahasa Melayu digunakan nama (Isnin-Ahad) yang dipakai orang Arab pra-Islam.

Penetapan hijrah Nabi Muhammad SAW sebagai tarikh awal Islam bermula daripada keturunan Ali bin Abu Talib (khalifah ke-4) kepada Khalifah Umar (khalifah ke-2) kerana peristiwa hijrah merupakan kejayaan awal perjuangan Nabi Muhammad SAW dalam menegakkan Islam.

Pengiraan hari, bulan dan tahun berdasarkan peredaran bulan (pengiraan Qamariah). Pengiraan waktu berdasarkan matahari dan bulan disebut dalam surah Yunus ayat 5. Manakala pengiraan satu tahun 12 bulan disebut dalam surah al-Taubah ayat 36 dan 37. Ada bulan yang terdiri dari 30 hari ialah bulan ganjil (1,3,5,7,9 dan 11) dan yang terdiri dari 29 hari ialah bulan genap (2,4,6,8,10 dan 12).
Tarikh Hijrah atau Qamariah adalah berdasarkan peredaran bulan (Arab: qamar) mengelilingi bumi. Satu tahun Qamariah terdiri dari 12 bulan, 354 hari, lapan jam, 47 minit dan 36 saat. Setiap bulan terdiri dari 29 hari, 12 jam, 44 minit dan tiga saat.

Tahun Gajah

Sebelum ada penetapan tahun hijrah, orang Arab menamakan sesuatu tahun mengikut peristiwa luar biasa yang terjadi pada tahun tersebut, misalnya Tahun Gajah pada kelahiran Nabi Muhammad SAW. Tahun pertama (622), Baginda di Madinah disebut sebagai Tahun Azan kerana pada tahun itu disyariatkan azan.
Tahun ke-2 (623) Nabi Muhammad SAW di Madinah dinamakan Tahun Izin Perang, Tahun Puasa, Tahun Zakat (Tahun Korban) kerana pada tahun itu disyariatkan keizinan berperang, puasa, zakat dan korban.
Selain itu, tahun ke-9 (629), tahun Nabi Muhammad SAW menetap di Madinah disebut sebagai Tahun Taubah. Dalam surah ini dinyatakan bahawa Tuhan dan Rasul-Nya memutuskan ikatan dengan kaum musyrik di Mekah.

Tahun ke-10 (630) disebut sebagai Tahun Perpisahan kerana Baginda SAW mengerjakan haji di Mekah.
Penetapan tahun hijrah
Tahun Hijrah ditentukan oleh Khalifah Umar pada 17 H/638 M. Untuk menetapkan pengiraan tahun hijrah, Umar mengundang para sahabat. Ada sahabat yang mengusulkan tahun kelahiran Nabi Muhammad SAW dikira sebagai permulaan tahun Islam.

Ada pula yang mengusulkan turunnya wahyu pertama. Yang lainnya mengusulkan Perang Badar (17 Ramadan) dan peristiwa penting Nabi Muhammad SAW. Ali bin Abu Talib kemudiannya mengusulkan peristiwa hijrah Nabi SAW dari Mekah ke Madinah sebagai permulaan tahun Islam.
Nabi Muhammad SAW tiba di Madinah pada 8 Rabiulawal/20 September 622. Umar menerima usul ini kerana hijrah merupakan titik pemisah di antara masa Mekah dengan Madinah dan merupakan perjuangan awal Baginda SAW dalam menyebarkan Islam.

Bulan Arab kuno

Menurut sejarawan Islam, Abu Raihan al-Biruni (973-1048), di kalangan bangsa Arab kuno sudah terdapat nama 12 bulan yang kini tidak digunakan lagi dalam dunia Arab. Nama kuno ke-12 bulan ini ialah al-Mu'tamir (bersamaan dengan Safar dan dianggap sebagai bulan pertama), Najir, Khawwan, Bussan, Hantam (Hanam), Zaba' (Zubi), al-Asamm, Adil, Nafik, Waghl, Huwa' dan Burak.
Nama hari

Pada mulanya orang Arab membahagikan satu bulan kepada tiga bahagian: masing-masing 10 hari dengan nama: Gurar, Nufal, Tusa', 'Usar, Bid, Dura', Zulam, Hanadis (Duhm), Da'adi dan Mihak.
Permulaan hari ditetapkan dengan kemunculan hilal (al-hilal: anak bulan). Seterusnya dipakai satuan yang terdiri dari tujuh hari yang dikenali dengan satu minggu dengan nama: Awwal (Ahad), Ahwan, Jubar, Dubar, Mu'nis, Aruba' dan Siyar.

Mengikut masa Islam, nama ketujuh-tujuh hari ini ialah al-Ahad, al-Ithnian, al-Thulatha', al-'Arabia, al-Khamis, al-Jumu'ah dan al-Sabt yang diMelayukan menjadi Ahad, Isnin, Selasa, Rabu, Khamis, Jumaat dan Sabtu.

Bolehkah kita mentafsir mimpi???

TEMAN saya menceritakan mimpinya kepada saya, lalu meminta saya mentafsirkan mimpi tersebut. Saya tidak memiliki apa-apa kemahiran dalam mentafsirkan mimpi. Apa hukumnya jika saya sengaja pandai-pandai mentafsirkan mimpi itu?

Jawapan:

Perbincangan tentang tafsir mimpi terdapat dalam setiap tamadun manusia. Sejak dulu lagi, mimpi dilihat sebagai isyarat ghaib yang hanya dapat difahami dan ditafsirkan oleh orang tertentu. Para pentafsir mimpi ini biasanya adalah para pakar rujuk keagamaan dalam tiap-tiap masyarakat tersebut.

Islam mengakui bahawa mimpi lebih daripada sekadar bunga tidur. Kadangkala ia mengandungi makna tertentu sebagai satu peringatan daripada Allah SWT. Namun begitu, tidak semua mimpi mengandungi makna yang boleh ditafsirkan.

Rasulullah SAW bersabda: "Mimpi (terbahagi) tiga. Mimpi yang merupakan gangguan daripada syaitan untuk membuat sedih anak Adam. (Mimpi yang asalnya) sesuatu yang difikirkan oleh manusia pada saat terjaga, lalu terbawa hingga ke tidur. Dan (mimpi) yang merupakan satu daripada 46 bahagian kenabian." (riwayat Ibn Hibban).

Mimpi kebanyakan manusia seperti kita berkisar antara bentuk pertama dan kedua, yakni hanya mainan syaitan dan ciptaan imaginasi belaka. Mimpi seperti ini tidak perlu diendahkan apalagi dipaksakan untuk dicari makna di sebaliknya.
Adapun mimpi dalam bentuk ketiga, yakni mimpi bermakna yang disebut sebagai satu bahagian daripada kenabian, maka pemiliknya bukan sembarang orang. Mereka adalah orang soleh yang selalu menjaga diri daripada dosa dan maksiat.

Berkata Imam Al-Qurtubi: "Muslim yang jujur dan saleh menyerupai keadaan para nabi. Oleh itu mereka dianugerahi sebahagian daripada apa yang diberikan kepada para nabi, iaitu melihat ke alam ghaib melalui mimpi."
Meski begitu, tidak dinafikan kadang kala mimpi yang bermakna ini mendatangi orang-orang biasa, bahkan orang yang suka bermaksiat, jika dikehendaki oleh Allah SWT. Sebagaimana yang terjadi pada Firaun yang bermimpi tentang Nabi Musa yang akan menggulingkan kerajaannya. Namun kes pengecualian ini sangat jarang terjadi.

Sembarang mentafsir

Berkenaan dengan takwil mimpi pula, kita mesti menyedari bahawa kemahiran ini sebuah ilham daripada Allah, bukan satu cabang ilmu yang boleh dipelajari. Ia kelebihan yang Allah berikan kepada hamba-hamba tertentu yang memiliki hati yang bersih daripada dosa dan maksiat.
Oleh itu, jangan tertipu oleh pelbagai buku tafsir mimpi yang terdapat di pasaran pada saat ini. Setakat membaca buku-buku seperti ini tidak melayakkan kita untuk mentafsirkan mimpi. Sebab bentuk mimpi yang sama boleh jadi mengandungi tafsiran yang berbeza mengikut perbezaan orang yang bermimpi, sifat-sifat dirinya dan masa mimpi itu didapatkan. Demikian yang dijelaskan oleh Al-Hafiz Al-Suyuti dalam kitab Al-Hawi li Al-Fatawi.

Para ulama menetapkan, siapa yang tidak memiliki keahlian dalam tafsir mimpi, maka haram baginya mentafsirkan mimpi tanpa ilmu.
Imam Malik pernah ditanya: "Bolehkah sembarang orang mentafsirkan mimpi?" Beliau menjawab: "Apakah ia hendak bermain-main dengan kenabian? Mimpi adalah satu bahagian daripada kenabian. Maka tidak boleh bermain-main dengan kenabian." Demikian diriwayatkan oleh Ibn Abdil Bar dalam kitab Al-Tamhid

Wallahu a'lam.

Awasi perangkap & ayat2 syaitan...

DEWASA ini, jin, iblis dan syaitan terus menjadi 'pujaan' para pembikin filem yang diterjemahkan ke dalam naskhah yang dipersembahkan kepada khalayak.
Tujuannya hanya satu, iaitu bagi memastikan setiap filem terbitan mereka pecah panggung. Natijahnya, secara berterusan para penonton akan terus disogokkan dengan fahaman salah atau tidak tepat mengenai makhluk yang juga hamba Allah, sama seperti manusia itu.

Iblis dan syaitan tanpa sebarang takwil adalah makhluk ghaib yang sudah diwartakan dalam al-Quran sebagai musuh manusia yang nyata. Peperangan melawan makhluk ini adalah berat sebelah seperti peperangan gerila kerana manusia tidak mampu melihat mereka. Tetapi pada bila-bila masa boleh menyerang manusia secara mendadak.

Oleh itu, umat Islam perlu mengenali musuh mereka ini dengan mendalam bagi menyelamatkan mereka daripada terjerumus ke dalam perangkap syaitan yang sudah terlalu banyak menghancurkan manusia.
Sedar atau tidak, sebenarnya sudah terlalu banyak buku-buku agama di pasaran yang membicarakan mengenai tipu helah iblis dan syaitan terhadap manusia. Cuma umat Islam sahaja yang buat-buat tidak nampak. Terlalu banyak alasan yang diberikan untuk tidak menyentuh, membaca atau membelinya. Tetapi apabila demam tarian 'kuda kepang' gangnam style dari Korea meledak, ramai pula yang bersusah-payah belajar dan memuat turun videonya daripada youtube.

Jika berkesempatan, bacalah buku terbaru di pasaran, Ayat-Ayat Syaitan, Membongkar Rahsia Jin, Iblis & Syaitan Dalam Al-Quran persembahannya amat santai, senang halwa mata untuk dibaca melalui penggunaan kaedah Tafsir Tematik (Mawdu'i) yang membincangkan secara tersusun ayat-ayat khusus berkaitan syaitan dalam al-Quran.
Pendekatan Tafsir Tematik lebih berkesan untuk mendekatkan manusia awam moden yang amat sibuk dengan urusan harian kepada al-Quran.

Rasional pemilihan kaedah Tafsir Tematik ialah kerana al-Quran dengan jumlah ayatnya 6,236 seumpama 'minyak mentah' yang pastinya menyusahkan pemandu jika secara terus dituang ke dalam tangki kereta.
Untuk lebih menyerlahkan manfaat pada minyak tersebut, pihak yang memiliki kemahiran memprosesnya perlu melakukan proses saringan agar faedah daripadanya dapat digunakan oleh manusia sejagat.
Lantaran itu, penggunaan kaedah Tafsir Tematik seumpama suatu proses saringan dan penyusunan semula ayat al-Quran di bawah suatu tajuk yang khusus untuk memudahkan orang awam memahami al-Quran.
Menyentuh mengenai tajuk buku ini, ia mungkin agak kontroversi, tetapi buku ini bukanlah seperti Satanic Verses karya jahat Salman Rushdie yang biadab menolak al-Quran dan pernah menggemparkan dunia Islam pada tahun 1980-an. 

Yang pastinya, buku ini adalah tulisan daripada hamba Allah yang sudah bersumpah mengabdikan dirinya kepada al-Quran sejak 1993 ketika mula menjejakkan kaki ke Darul Quran, Jabatan Kemajuan Islam malaysia (Jakim).
Tajuknya lebih kepada suatu bentuk dakwah moden bertujuan menarik sebanyak mungkin pembaca agar manfaat yang terdapat dalam buku ini dapat melimpah kepada semua.
Dalam buku ini juga, penulis menggunakan beberapa kaedah mesra pembaca seperti beberapa nas al-Quran dan hadis digariskan bagi membolehkan pembaca memahami fokus perbincangan nas tersebut.
Beberapa hadis juga disertakan dengan sumber ambilan bersama rujukan kitab dan bab, bagi memudahkan pembaca merujuk secara terus kepada kitab hadis yang diberikan. 

Malah kesimpulan pada setiap bab juga disertakan bagi melancarkan rujukan perbincangan yang panjang lebar.
Langkah ini bersesuaian dengan tahap orang awam yang memerlukan nota ringkas daripada sesuatu perbincangan. Peta minda keseluruhan perbincangan isi buku disediakan pada akhir buku yang akan membantu pembaca memahami idea secara keseluruhan penulisan buku ini.
Buku ini sebenarnya cuba membongkar serangan syaitan ke atas manusia dan cara menghadapinya berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.
Buku setebal 226 muka surat hasil nukilan Abdullah Bukhari Abdul Rahim Al-Hafiz ini boleh dibeli dengan harga RM17 bagi Semenanjung dan RM19 bagi Sabah dan Sarawak.

Oleh TARMIZI ABDUL RAHIM

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...