terima kasih buat kalian semua..

Sunday, March 17, 2013

Kad kahwinnya sudah diedar.. tapi kahwinnya tak jadi !!

KITA hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan sama ada apa yang kita rancang itu akan terlaksana atau kecundang di tengah jalan.

Naimah (bukan nama sebenar), 25, sepatutnya akan melangsungkan perkahwinannya pada pertengahan tahun lalu dengan kekasih pilihan hati.

Namun, kuasa Allah mengatasi segala apabila tunangnya, Iqbal (bukan nama sebenar) yang dikenalinya sejak di bangku sekolah mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan pertunangan sekali gus membatalkan perkahwinan mereka.

Lebih tragisnya, tali yang menyambung ikatan pertunangan mereka dirungkai dua minggu sebelum tarikh mereka berdua diijabkabulkan.

‘‘Bayangkan bagaimana perasaan saya waktu itu. Kad undangan sudahpun diedar, persiapan sudah diatur dan saudara mara serta jiran terdekat telah diundang.

‘‘Bagaimana perasaan ibu dan ayah serta ahli keluarga, selain saya yang terpaksa menanggung malu kerana insiden putus tunang itu," katanya.

Selain persiapan, dirinya juga telah berbelanja besar menyiapkan bunga untuk pelamin, bunga telur, malah baju bersanding dan bernikah juga sudah siap tergantung di dalam bilik.

“Saya mengakui, ramai juga yang mengalami peristiwa putus tunang, tetapi sekiranya putus pada awal pertunangan, rasanya tidak menjadi masalah besar.

“Tetapi apabila pertunangan kami diputuskan menjelang dua minggu sebelum diijabkabulkan, itu sudah tentu menjadi trauma dalam hidup saya," katanya.

Naimah mengakui, akibat peristiwa itu, dia terpaksa melalui detik-detik pilu dalam hidup untuk menerima hakikat pahit itu.

Berbulan-bulan dia berendam air mata, enggan keluar rumah dan menjadi murung kerana perasaan kecewa yang tidak dapat dibendung.

Berkongsi tentang kisah hidupnya itu, dia mengakui, kini setelah hampir setahun peristiwa tersebut berlaku, dia sudah mula dapat melupakan dan menerima ketentuan tersebut dengan hati terbuka.
“Kami berkenalan ketika sama-sama belajar di sebuah sekolah menengah di Pahang. Ketika itu saya menetap di Kuala Lumpur, dan Iqbal memang berasal dari sana.

‘‘Semasa kami berkenalan, saya berumur 17 tahun manakala Iqbal berada di tingkatan enam atas.
“Hubungan kami berlanjutan sehingga masing-masing berjaya melanjutkan pelajaran di universiti awam di Kuala Lumpur.

“Kebetulan kami juga diterima melanjutkan pelajaran di universiti yang sama ketika itu,’ katanya.
Ujarnya, dalam tempoh tersebut, hubungan mereka sebagai pasangan kekasih tidak dapat disembunyikan lagi kerana masing-masing sangat sayang dan mencintai antara satu sama lain.

“Selepas Iqbal menamatkan pelajaran, dia telah mendapat pekerjaan di sebuah agensi kerajaan. Sementara saya ketika itu masih menyambung pelajaran yang berbaki dua tahun.
“Tuntutan kerja Iqbal sebagai pegawai kerajaan di negeri kelahirannya menyebabkan kami terpaksa menjalani hubungan cinta jarak jauh," katanya.

Tambah Naimah, kerana mahukan perhubungan tersebut berterusan dengan satu ikatan suci, beberapa bulan selepas itu mereka mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan.
“Kedua-dua belah keluarga merestui hubungan kami. Majlis pertunangan dilakukan secara sederhana di kediaman saya di Kuala Lumpur.

“Tempoh setahun telah ditetapkan oleh keluarga masing-masing untuk persediaan dilakukan sebelum kami sah bergelar pasangan suami isteri," katanya.
Namun, dalam tempoh pertunangan tersebut, Naimah mula perasan perangai Iqbal semakin berubah.
“Jika dahulu setiap bulan Iqbal akan turun ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan saya. Selepas hampir memasuki empat bulan usia pertunangan kami, Iqbal bukan sahaja jarang menjenguk saya, malah telefon untuk bertanya khabar saya juga semakin kurang," katanya.

Naimah berkata, apabila merasai sesuatu yang tidak kena dalam perhubungan mereka, dia memberanikan diri bertanya kepada Iqbal jika adalah masalah yang dihadapi mereka berdua.

“Jawapan yang diberikan Iqbal adalah dirinya sibuk dengan tugasan di pejabat dan terlalu penat. Saya hanya berdiam diri biarpun timbul keraguan dalam hati saya.

“Dalam masa sama, kesibukan menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah dan tarikh peperiksaan yang semakin hampir membuatkan saya leka seketika untuk memikirkan masalah tersebut.

“Saya hanya berharap semuanya akan kembali seperti sediakala tambahan hari bahagia kami bakal menjelang tiba," katanya.

Namun kata Naimah, panggilan telefon yang diterima daripada Iqbal menjelang dua minggu tarikh perkahwinan mereka amat mengejutkan.

Dia yang sedang bercuti semester bagi mempersiapkan kelengkapan perkahwinan ketika itu terasa luluh jantungnya apabila tanpa perasaan bersalah Iqbal meluahkan hasratnya untuk memutuskan ikatan pertunangan.

“Alasannya ketika itu dia sedang menjalinkan hubungan dengan seorang gadis yang juga rakan di tempat kerjanya dan merancang untuk berkahwin.
‘‘Iqbal mengakui, perasaannya kepada saya juga tidak ada lagi kerana merasakan gadis tersebut adalah calon yang terbaik buat dirinya," katanya.

Apa yang Naimah kesalkan, Iqbal tidak bertemu dengannya menyatakan sendiri hasrat untuk memutuskan pertunangan berkenaan.

“Hanya keluarganya yang bertandang menghantar cincin dan barangan lain seraya meminta maaf bagi pihaknya beberapa hari selepas itu.

‘‘Sehingga kini saya tidak tahu apa kesalahan saya sehingga dia sanggup berbuat begitu," katanya.

Keluarganya, ujar Naimah amat marah dengan peristiwa yang berlaku dan hampir mengambil tindakan undang-undang terhadap Iqbal.

Namun akhirnya mereka reda dan berasakan setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...