terima kasih buat kalian semua..

Sunday, March 17, 2013

Sudah terkena baru tahu !!

BERCAKAP tentang ibu dan anak tiri, samalah seperti dialog popular arwah Ibrahim Pendek ‘‘mari kita lihat siapa yang kena!!’’, dalam filem Ali Baba Bujang Lapok arahan P. Ramlee. Itu cerita Hadzri dalam e-mel dan ketika kami berbual di telefon tentang pengalaman pahitnya beribu dan beradik tiri.

Pengalaman pahit Sheryzahida minggu lalu membuat dia terkenang kisah lebih 35 tahun lalu.
“Walaupun umur saya kini 45 tahun tetapi kami senasib.

‘‘Namun bukan semua ibu tiri jahat, malah ada ibu tiri yang didera anak-anak tiri. Dalam hal macam inilah jika anak-anak tiri cekap, ibu tiri yang terkena. Sebaliknya jika ibu tiri cekap, anak-anak tiri akan terkena dan hidup menderita.

‘‘Dapat ibu tiri “cekap" seperti saya adik beradik lalui, maka apa sahaja katanya akan benar di mata ayah. Kesusahan hidup bermula bila ibu diceraikan. Ketika itu saya baru berusia 5 tahun. Saya ada tiga orang kakak dan abang.

‘‘Oleh kerana ibu tak bekerja, maka dia terpaksa bawa kami ke rumah opah untuk dibesarkan. Waktu itu kami tak kisah ibu bercerai sebab kasihan ibu sering dimarah dan kena pukul. Kami suka ayah tak ada asalkan ibu tak terseksa.

“Tetapi kami tak tahu ada masalah lain lebih besar lagi. Kehadiran kami menambah beban hidup opah yang memang sedia susah. Opah menoreh getah, lepas itu ibu ambil alih untuk besarkan kami. Tetapi tak sampai dua tahun, ibu jatuh sakit dan meninggal dunia. Tinggallah kami dengan opah.

‘‘Cuba pembaca bayangkan nasib dan kehidupan kami ketika itu. Opah yang tua terpaksa menoreh getah untuk besarkan kami. Waktu itu kakak baru berusia 15 tahun, kakak kedua 13 tahun dan seorang abang berusia 10 tahun.

‘‘Apa yang menyedihkan kami, ayah tidak pernah ambil tahu tentang kehidupan kami adik beradik, walaupun jarak rumah ayah dengan rumah opah cuma enam kilometer saja. Ketika mula bersekolah, banyak benda yang tidak mampu opah sediakan. Saya dan abang pernah pinjam basikal kawan pergi jumpa ayah, harapan kami minta sedikit wang untuk beli buku dan pakaian sekolah, tetapi tak pernah berhasil. Ayah takut dengan isterinya, tak berani bersuara, tak seperti dengan ibu ayah suka tengking dan pukul.

‘‘Ketika itu ayah sudah ada anak baru, mula-mula seorang akhirnya bertambah empat. Sedihnya kami jarang dapat jumpa ayah. Kalau dapat jumpa pun, biasanya kami pulang tangan kosong. Ketika itu kami macam yatim piatu. 

‘‘Kata opah dia tidak ada daya upaya membiayai persekolahan kami adik beradik. Untung kakak sulung dapat tamatkan pelajaran hingga tingkatan lima, sementara dua lagi kakak dan abang terpaksa berhenti sekolah, cari kerja.

‘‘Walaupun ayah-ayah saudara (anak-anak opah) ada hulurkan bantuan, hanya cukup untuk beli makanan sebab mereka pun bukan orang senang dan ada tanggungan, mereka bantu hingga kami dapat makan pun sudah cukup baik. Untuk belanja sekolah memang perit, sekolah jauh, nak naik bas perlukan duirt, mana nak cari.

‘‘Walaupun ayah kata dia tak ada duit, tetapi kami tanggungjawabnya. Susuh-susah hidup ayah mereka anak beranak boleh minum milo, sedangkan kami nak minum kopi manis pun susah, biasanya teh o kosong. Tunggu hingga ayah saudara hantar duit pada opah baru kami merasa kopi manis. 

‘‘Pernah juga kami dapat duit dari ibu tiri seringgit dua, itu pun kadang-kadang. Agaknya dia suruh kami balik cepat kerana tak selesa tengok muka kami. Sebab kami kata nak tunggu sampai ayah balik. Tetapi apa yang boleh saya buat dengan duit sebanyak itu pada awal 80-an? Tambang bas ke rumah ayah pun sudah seringgit pergi balik. 

‘‘Kakak kerja tak lama sebab kahwin dengan tentera. Tak lama lepas itu nenek meninggal dan saya terpaksa ikut kakak tinggal di rumahnya. Dua lagi kakak dan abang pun terpaksa berhenti sekolah, cari kerja untuk hidup. Dah nasib kami.

‘‘Boleh dikatakan saya bukan sahaja dibesarkan oleh kakak dan abang ipar, tetapi diberikan pelajaran hingga tingkatan lima. Agaknya kerana keikhlasan mereka tanggung saya anak yatim, kini hidup mereka cukup senang, suaminya dah berpangkat tinggi. 

‘‘Bila kami adik-beradik nak kahwin, perkataan yang keluar dari mulut ibu tiri, “biarlah mereka ada duit"...apa maksud cakapnya, pembaca fikirlah sendiri.

‘‘Setelah berkahwin dan ada anak, bila cuti atau hari raya, saya akan ke rumah ayah dan tinggal beberapa hari. Tujuannya hendak bermesra dengan ayah sebab ayah dah tua dekat 80 tahun. Tetapi anak-anak boleh bezakan layanan opah tiri. Kesimpulannya mereka sedar kehadiran mereka tidak disenangi.
‘‘Tidak mahu serabutkan fikiran, maka saya kurangkan balik kampung dan kalau balik pun untuk beberapa jam dan tak sanggup lagi bermalam di rumah ayah.

‘‘Saya cuba hubungi ayah, bercakap dengannya melalui telefon tapi biasanya tak dapat gara-gara ibu tiri. Alasannya telefon jauh, ayah tak boleh bergerak. Macam-macam lagi.

‘‘Moral ceritanya daripada pengalaman saya ini, ibu tiri tetap ibu tiri. Banyak kesan buruk pada anak-anak yang beribu tiri. Ada antara mereka jadi sangat sensitif, cepat kecil hati dan buruk sangka serta paling teruk jadi pendendam. 

‘‘Kini setelah dewasa dan berkeluarga, saya amat menghargai sebuah keluarga bahagia. Saya berjanji akan memelihara dan menghargai keutuhan dan kebahagiaan keluarga supaya kekal abadi.

‘‘Hanya mereka yang senasib tahu betapa susah dan deritanya anak-anak yang beribu tiri.

‘‘Nasihat saya kepada ayah-ayah di luar sana, jika terpaksa berkahwin lagi kerana kematian isteri atau sebab-sebab lain, fikirkanlah nasib anak-anak terutama yang masih kecil. 

“Kepada anak-anak yang telah dewasa dan punya hidup sendiri, ditakdirkan ibu atau bapa telah meninggal dunia dan orang tua yang tinggal ingin berkahwin lagi, relakanlah. Sekurang-kurangnya ada yang membantu jika dia sakit pening dan jadi teman bersembang.’’ Itu cerita Hadzri tentang pengalaman beribu tiri.

Kad kahwinnya sudah diedar.. tapi kahwinnya tak jadi !!

KITA hanya merancang, tetapi Allah yang menentukan sama ada apa yang kita rancang itu akan terlaksana atau kecundang di tengah jalan.

Naimah (bukan nama sebenar), 25, sepatutnya akan melangsungkan perkahwinannya pada pertengahan tahun lalu dengan kekasih pilihan hati.

Namun, kuasa Allah mengatasi segala apabila tunangnya, Iqbal (bukan nama sebenar) yang dikenalinya sejak di bangku sekolah mengambil keputusan untuk memutuskan ikatan pertunangan sekali gus membatalkan perkahwinan mereka.

Lebih tragisnya, tali yang menyambung ikatan pertunangan mereka dirungkai dua minggu sebelum tarikh mereka berdua diijabkabulkan.

‘‘Bayangkan bagaimana perasaan saya waktu itu. Kad undangan sudahpun diedar, persiapan sudah diatur dan saudara mara serta jiran terdekat telah diundang.

‘‘Bagaimana perasaan ibu dan ayah serta ahli keluarga, selain saya yang terpaksa menanggung malu kerana insiden putus tunang itu," katanya.

Selain persiapan, dirinya juga telah berbelanja besar menyiapkan bunga untuk pelamin, bunga telur, malah baju bersanding dan bernikah juga sudah siap tergantung di dalam bilik.

“Saya mengakui, ramai juga yang mengalami peristiwa putus tunang, tetapi sekiranya putus pada awal pertunangan, rasanya tidak menjadi masalah besar.

“Tetapi apabila pertunangan kami diputuskan menjelang dua minggu sebelum diijabkabulkan, itu sudah tentu menjadi trauma dalam hidup saya," katanya.

Naimah mengakui, akibat peristiwa itu, dia terpaksa melalui detik-detik pilu dalam hidup untuk menerima hakikat pahit itu.

Berbulan-bulan dia berendam air mata, enggan keluar rumah dan menjadi murung kerana perasaan kecewa yang tidak dapat dibendung.

Berkongsi tentang kisah hidupnya itu, dia mengakui, kini setelah hampir setahun peristiwa tersebut berlaku, dia sudah mula dapat melupakan dan menerima ketentuan tersebut dengan hati terbuka.
“Kami berkenalan ketika sama-sama belajar di sebuah sekolah menengah di Pahang. Ketika itu saya menetap di Kuala Lumpur, dan Iqbal memang berasal dari sana.

‘‘Semasa kami berkenalan, saya berumur 17 tahun manakala Iqbal berada di tingkatan enam atas.
“Hubungan kami berlanjutan sehingga masing-masing berjaya melanjutkan pelajaran di universiti awam di Kuala Lumpur.

“Kebetulan kami juga diterima melanjutkan pelajaran di universiti yang sama ketika itu,’ katanya.
Ujarnya, dalam tempoh tersebut, hubungan mereka sebagai pasangan kekasih tidak dapat disembunyikan lagi kerana masing-masing sangat sayang dan mencintai antara satu sama lain.

“Selepas Iqbal menamatkan pelajaran, dia telah mendapat pekerjaan di sebuah agensi kerajaan. Sementara saya ketika itu masih menyambung pelajaran yang berbaki dua tahun.
“Tuntutan kerja Iqbal sebagai pegawai kerajaan di negeri kelahirannya menyebabkan kami terpaksa menjalani hubungan cinta jarak jauh," katanya.

Tambah Naimah, kerana mahukan perhubungan tersebut berterusan dengan satu ikatan suci, beberapa bulan selepas itu mereka mengambil keputusan untuk mengikat tali pertunangan.
“Kedua-dua belah keluarga merestui hubungan kami. Majlis pertunangan dilakukan secara sederhana di kediaman saya di Kuala Lumpur.

“Tempoh setahun telah ditetapkan oleh keluarga masing-masing untuk persediaan dilakukan sebelum kami sah bergelar pasangan suami isteri," katanya.
Namun, dalam tempoh pertunangan tersebut, Naimah mula perasan perangai Iqbal semakin berubah.
“Jika dahulu setiap bulan Iqbal akan turun ke Kuala Lumpur untuk berjumpa dengan saya. Selepas hampir memasuki empat bulan usia pertunangan kami, Iqbal bukan sahaja jarang menjenguk saya, malah telefon untuk bertanya khabar saya juga semakin kurang," katanya.

Naimah berkata, apabila merasai sesuatu yang tidak kena dalam perhubungan mereka, dia memberanikan diri bertanya kepada Iqbal jika adalah masalah yang dihadapi mereka berdua.

“Jawapan yang diberikan Iqbal adalah dirinya sibuk dengan tugasan di pejabat dan terlalu penat. Saya hanya berdiam diri biarpun timbul keraguan dalam hati saya.

“Dalam masa sama, kesibukan menyiapkan tugasan yang diberikan pensyarah dan tarikh peperiksaan yang semakin hampir membuatkan saya leka seketika untuk memikirkan masalah tersebut.

“Saya hanya berharap semuanya akan kembali seperti sediakala tambahan hari bahagia kami bakal menjelang tiba," katanya.

Namun kata Naimah, panggilan telefon yang diterima daripada Iqbal menjelang dua minggu tarikh perkahwinan mereka amat mengejutkan.

Dia yang sedang bercuti semester bagi mempersiapkan kelengkapan perkahwinan ketika itu terasa luluh jantungnya apabila tanpa perasaan bersalah Iqbal meluahkan hasratnya untuk memutuskan ikatan pertunangan.

“Alasannya ketika itu dia sedang menjalinkan hubungan dengan seorang gadis yang juga rakan di tempat kerjanya dan merancang untuk berkahwin.
‘‘Iqbal mengakui, perasaannya kepada saya juga tidak ada lagi kerana merasakan gadis tersebut adalah calon yang terbaik buat dirinya," katanya.

Apa yang Naimah kesalkan, Iqbal tidak bertemu dengannya menyatakan sendiri hasrat untuk memutuskan pertunangan berkenaan.

“Hanya keluarganya yang bertandang menghantar cincin dan barangan lain seraya meminta maaf bagi pihaknya beberapa hari selepas itu.

‘‘Sehingga kini saya tidak tahu apa kesalahan saya sehingga dia sanggup berbuat begitu," katanya.

Keluarganya, ujar Naimah amat marah dengan peristiwa yang berlaku dan hampir mengambil tindakan undang-undang terhadap Iqbal.

Namun akhirnya mereka reda dan berasakan setiap yang berlaku pasti ada hikmah di sebaliknya.

Oleh SITI AISHAH YUSOFF

Bagaimana bermulanya azan...

SETIAP hari azan dikumandang terutama di negara yang majoriti penduduknya beragama Islam sebagai tanda masuknya waktu solat. 

Di sebalik kemerduan azan, ada misteri dan keistimewaannya yang tersendiri, sehingga bagi muazin (orang yang menyerukan azan), Allah SWT telah menjanjikan ganjaran pahala kepadanya.
Kalimah penyeru (muazin) yang mengandungi kehebatan lagi menakjubkan telah tertanam dalam jiwa setiap Muslim, sehinggakan seusai laungan azan, seluruh tubuh serta pancaindera kita bergerak untuk menunaikan ibadat solat. 

Menurut fakta, kebanyakan bukan Muslim menerima hidayah Ilahi setelah mendengar azan. Biarpun tidak memahami maksudnya, namun mendengarkannya sahaja telah menggetarkan hati, sekali gus menyentuh jauh di sudut hati nurani. Seakan fitrah Islam dalam diri mereka dibangkitkan melalui alunan suara azan tersebut.
Kementerian Urusan Agama Turki pernah menyatakan sekurang-kurangnya 634 orang telah memeluk Islam pada 2011, termasuk 407 wanita, yang rata-rata mereka berusia antara 30 hingga 35 tahun. 

Malah mereka berasal daripada pelbagai bangsa Jerman, Maldive, Belanda, Perancis, China, Brazil, Amerika Syarikat, Rumania, Estonia dan lain-lain dan merupakan pelancong yang sedang melancong ke Turki.

Di Turki sendiri, sekurang-kurangnya 14 orang memeluk agama Islam pada empat tahun terakhir, termasuk 10 wanita. 

Mufti kota Kayseri, Syeikh Ali Marasyalijil berkata, umumnya mereka masuk Islam setelah tersentuh mendengar alunan azan. 

Chauncey L. Hawakins dari Amerika Syarikat mengakui pengislamannya bertitik-tolak selepas mendengar azan ketika berkunjung ke Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu. 

Hakikatnya, penghijrahan akidah asbab daripada alunan azan memang berlaku.

Melalui mimpi

Pada awalnya Rasulullah SAW tidak tahu satu cara untuk mengingatkan umat Islam apabila tibanya waktu solat. Ada sahabat yang menyampaikan usul untuk mengibarkan bendera, meniup trompet, membunyikan loceng dan sebagainya. Namun, semua saranan itu dianggap kurang sesuai.
Sehingga datanglah Abdullah bin Zaid yang bercerita bahawa beliau bermimpi bertemu dengan seseorang yang memberitahunya untuk mengumandangkan azan dengan menyerukan lafaz-lafaz sebagaimana yang dibuat kini. 

Lalu dikhabarkan perihal mimpi itu kepada baginda. Umar bin Khattab sebaik mendengar hal tersebut, spontan mengakui beliau juga bermimpi yang sama.
"Demi Tuhan yang mengutusmu dengan hak, ya Rasulullah, aku benar-benar melihat seperti yang dia lihat (di dalam mimpi)." 

Lalu Rasulullah bersabda: "Segala puji bagimu." Rasulullah menyetujui untuk menggunakan lafaz-lafaz azan itu sebagai tanda waktu solat tiba.

Selain digunakan untuk menandakan masuknya waktu solat, azan juga dikumandangkan pada peristiwa-peristiwa penting dan bersejarah. 

Misalnya ketika kelahiran bayi dan ketika pasukan Rasulullah menguasai Mekah dan berhala-berhala di sekitar Kaabah dihancurkan.
Pada waktu itu Bilal bin Rabbah mengalunkan azan dari atas Kaabah.

Peristiwa kejatuhan Constantinopel yang sekali gus mengakhiri kekuasaan empayar Rom Timur juga disambut dengan laungan azan sebagai tanda kemenangan Islam ketika itu.
Di muka bumi ini, laungannya azan berlaku hampir setiap minit dan saat. Disebabkan Bumi berbentuk bulat, maka berlaku perbezaan waktu solat antara satu tempat dengan tempat yang lain.

Sebab it, ketika azan telah selesai berkumandang di satu daerah, tempat atau negara, ia akan diikuti oleh azan di tempat lain sehingga seterusnya tanpa henti.

Satu jam setelah azan selesai di Sulawesi, maka azan segera bergema di Jakarta, disusuli pula Sumatera. Sebelum azan berakhir di Indonesia, ia sudah dimulai di Malaysia.
Selepas itu azana kan berkumandang di Myanmar diikuti Dhaka, Bangladesh; seterusnya Kolkata ke Srinagar, terus ke Bombay dan seluruh India. 

Seterusnya laungan azan singgah di Mekah dan Madinah, Yaman, Emeriah Arab Bersatu, Kuwait dan Iraq hinggalah ke Eropah dan Amerika.

Begitulah seterusnya azan terus berkumandang di bumi dan tidak pernah berhenti hingga kiamat.

Oleh IBRAHIM ABDULLAH

lPENULIS ialah Pegawai Agama Seranta, Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu, Kota Bharu, Kelantan.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...