terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 25, 2014

Hayati falsafah hukum faraid..

HUKUM faraid sering dikatakan sebagai tidak adil dan bias terhadap wanita. Persoalan yang selalu ditanya ialah kenapa waris lelaki mendapat bahagian yang lebih berbanding dengan waris wanita. Secara kasarnya, seolah-olah undang-undang faraid ini menafikan peranan dan diskriminasi terhadap wanita. Lantaran undang-undang faraid ini ditohmah sebagai bersifat anti wanita. Maka timbullah desakan untuk mengkaji semula undang-undang faraid ini agar ‘memberi keadilan’ kepada golongan wanita.

Sebenarnya undang-undang Islam memberi keadilan kepada semua manusia tanpa membezakan gender, warna kulit, bangsa dan sebagainya. Konsep keadilan dalam Islam mestilah dilihat daripada sudut kemampuan undang-undang Islam itu menegakkan keadilan yang dapat dinikmati oleh masyarakat ramai, berbanding dengan keadilan yang diberikan daripada kaca mata individu tertentu. Oleh itu keadilan di dalam pengagihan harta faraid tidak semestinya pembahagian dibuat secara sama rata. Inilah pendekatan yang diambil oleh al-Quran di dalam pembahagian faraid.

Pembahagian harta pusaka Islam telah ditentukan di dalam al-Quran dan ketentuan tersebut adalah bersifat definitif (tetap) yang tidak boleh ditafsirkan selainnya lagi. Pembahagian yang jelas tersebut tidak membuka ruang untuk ijtihad, melainkan tafsiran yang satu sahaja secara literal ataupun harfiah. Qiyas atau ijtihad tidak berperanan sebagai sumber bagi menentukan pembahagian undang-undang pusaka Islam.
Sebenarnya, hikmah di sebalik falsafah pembahagian ini adalah untuk mengimbangi tanggungjawab dan kewajipan lelaki dalam rumah tangga, masyarakat dan agama. Seorang lelaki dipertanggungjawabkan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, wanita tidak dipertanggungjawabkan dengan kewajipan yang sama.

Seorang perempuan pula sudah terjamin keperluannya kerana perempuan tersebut berada di bawah tanggungjawab suami, abang, ayah atau saudara lelakinya. Seorang perempuan juga tidak berkewajipan memberi nafkah kepada sesiapapun, walaupun suaminya tidak berkemampuan membayar nafkah. Tanggungjawab ini sebenarnya akan berpindah kepada ahli keluarga suami yang lelaki.

Sebelum Islam

Pada zaman sebelum Islam wanita langsung tidak mempunyai hak ke atas hartanya malah mereka juga dianggap sebagai harta yang boleh dipusakai oleh ahli keluarga si mati. Ramai wanita menjadi mangsa dan kehilangan hak dan tempat bergantung apabila suami atau bapa mereka meninggal dunia.
Pembahagian yang lebih kepada lelaki adalah kerana lelaki bertanggungjawab untuk memelihara kepentingan dan kebajikan wanita. Inilah sebabnya pembahagian harta yang lebih disyariatkan kepada kaum lelaki.
Jika kita memperhalusi konsep Islam, ia sebenarnya amat mudah iaitu di mana ada hak maka di situ ada tanggungjawab. Ini bermakna hak yang lebih besar akan membawa kesan kepada tanggungjawab yang lebih besar juga.

Oleh itu, tidak hairanlah kenapa Islam memperuntukkan hak lelaki yang lebih di dalam undang-undang pusaka dan hak ini sebenarnya mesti juga diiringi oleh tanggungjawab yang besar juga.
Adalah salah jika seorang lelaki itu membelanjakan segala hak pusakanya untuk dirinya seorang. Hak ini sebenarnya mestilah dikongsi bersama dengan orang lain seperti adik-beradik perempuan, anak perempuan dan sebagainya. Dengan cara ini, barulah keindahan undang-undang pusaka Islam ini akan dapat dimanifestasikan dan dihargai oleh masyarakat Islam dan bukan Islam.

Moga-moga tidak akan kedengaran lagi kata-kata sinis yang mengatakan Islam mendiskriminasikan wanita. Tohmahan ini sebenarnya datang daripada orang jahil dan tidak mahu mencari kebenaran, melainkan apa yang mereka fikirkan benar tanpa mengambil kira faktor-faktor lain yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
PENULIS ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)



2 comments:

  1. Salam,
    ketentuan Allah sudah semestinya adil. Hanya manusia sahaja yang mengingkarinya. Bodohlah sesiapa yang memperkecilkan perintah Allah. Masalah sekarang ni, bukan bab perintah Allah, tapi perlaksanaannya. Itu saja.

    Bila sampai bab hak, 100% mesti ambil tapi bila sampai bab tanggunjawab, buat2x tak tahu/ tak nampak etc. Tak ada double standard dalam perintah Allah. 'Hak' adalah perintah-Nya. 'Tanggungjawab' juga adalah perintah-Nya. Kenapa yang former je
    yang dapat perhatian tetapi yang latter tu tidak.

    Zaman sekarang ni sukar nak hidup secara ideal. Suami bekerja cari nafkah dan isteri jaga rumah & anak. Tapi realiti jauh sekali bagi kebanyakan. Perbelanjaan harian etc juga ditanggung isteri. Memang bukan wajib tapi ada ke isteri yang tak belanja monthly pay dia lansung atau belanja hanya untuk diri sendiri? Besar %nya diberikan untuk perbelanjaan harian dan untuk anak2x. Memang susah la kalau nak harap single income saja.
    Just stating the facts.
    Hak yang diberikan selaras dengan tanggungan yang lebih besar - satu statement yang memang senang diberi.
    The way it is now, bab 'hak' tu memang dah establish segala sistem dan cara perlaksanaan dia (memang jelas sudah hukum faraid). Tapi bab 'tanggungjawab' tu sape nak enforce? Ada ke satu badan yang akan make sure orang yang dah dapat 'hak' tu actually buat dan jaga 'tanggugjawab' dia? Bukan ke 'tanggungjawab' tu hukum Allah jugak? Bukan Islam yang mendiskriminasikan wanita. Muslims yang begitu.

    ReplyDelete
  2. heloo.. wheres my comment a few days ago regarding 'hak and tanggungjawab'? why can't you publish it?

    ReplyDelete

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...