terima kasih buat kalian semua..

Sunday, May 25, 2014

Wanita 40an dingin di ranjang??

SAYA berusia 40 tahun dan baru berkahwin dua bulan lalu. Masalahnya sehingga kini saya tidak mempunyai rangsangan nafsu ketika berjimak bersama suami (tiada pengeluaran air sebagai pelincir -vagina kering). Adakah ini kerana pengaruh hormon peningkatan usia? Apakah ubat-ubatan yang boleh digunakan untuk meningkatkan pengeluaran air mani isteri?

As, Terengganu

Jawapan

Usia bukanlah faktor utama menyebabkan wanita dingin terhadap pasangan kerana masalah ini juga dialami oleh wanita lebih muda. Faktor psikologi merupakan punca penting untuk menentukan tahap keghairahan seksual seseorang kerana otak ialah organ utama yang mengawal pemikiran tersebut. Usahlah anda gusar kerana anda belum menopaus dan masalah kekeringan vagina yang anda alami bukanlah disebabkan peningkatan usia.

Rasa dingin lebih menguasai diri berbanding pemikiran dan tanggapan bahawa ini ialah tanggungjawab dan faktor yang menghangatkan lagi masalah rumah tangga pasangan itu. Satu kesilapan jika ada yang memandang ringan peranan hubungan di ranjang ini kerana ia bukan sekadar merangkumi aspek keseronokan fizikal, sebaliknya ‘kunci’ kemesraan suami isteri yang mempengaruhi hayat perhubungan itu. Tidak hairanlah jika ada yang berkata, dingin di ranjang boleh membawa dingin kepada perhubungan.

Tahukah anda, apa juga punca dan masalah yang mengundang kepada masalah kedinginan seks, sebenarnya banyak dipengaruhi faktor emosi serta tekanan berikutan beban kerja harian.
Hubungan seks bagi seorang lelaki ialah persetubuhan manakala seorang isteri pula beranggapan, sentuhan dan belaian paling penting di dalam perhubungan intim. Untuk pengetahuan anda, hubungan seksual terbahagi kepada dua iaitu seksual penetrative yang membabitkan hubungan seks (persetubuhan) dan non-penetrative yang tidak membabitkan hubungan seks tetapi wujudnya sentuhan dan belaian.

Fungsi dan kemahuan seksual bagi seseorang lelaki serta wanita amatlah berbeza. Justeru, penting bagi wanita mempelajari keinginan lelaki dan begitu juga sebaliknya bagi menjamin kejayaan hubungan.
Bagaimanapun, organ paling utama mengawal kehendak seksual ialah otak. Jadi, perubahan emosi, tekanan di tempat kerja serta rumah tangga juga sebenarnya menyumbang kepada kedinginan seks di kalangan pasangan.

Bagi menangani masalah kedinginan seksual, wanita boleh mengamalkan rutin senaman misalnya aerobik kerana regangan dilakukan dapat memberi kesan positif kepada tubuh badan malah setiap pergerakan senaman itu mempraktikkan pengamalan pengecutan otot faraj atau dikenali juga sebagai senaman kegel.
Gaya hidup sihat ini boleh menjauhkan wanita daripada penyakit kronik seperti diabetes mellitus, hipertensi, hiperkolesterolemia dan lain-lain penyakit lagi malah dapat membantu mengekalkan stamina di ranjang.
Senaman ini dapat membantu menguatkan otot di pelvik justeru, cengkaman otot ini menjadi kuat sekali gus dapat memberi kesan orgasma yang amat memuaskan kepada pasangan serta wanita itu sendiri.



Tidur lewat punca kanak2 gemuk

Hafiz (bukan nama sebenar)baru berusia enam tahun tetapi tabiat tidurnya seperti orang dewasa. Dia sering berjaga lewat malam hingga kadang kala mencecah pukul 1 pagi biarpun esoknya merupakan hari sekolah.
Arahan ibu bapanya agar tidur awal langsung tidak diendah, sebaliknya dia terus leka menghadap permainan video atau menonton televisyen. Sepanjang tempoh itu dia akan berulang-alik ke dapur mencari apa saja yang boleh dikunyah bagi mengisi perut yang lapar.

Tabiat tidur lewat malam Hafiz bukan sahaja akan memberi kesan pada rutinnya di sekolah keesokan hari, malah mengambil makanan pada lewat malam juga mendedahkannya pada risiko obesiti.
Menurut Pakar Perunding Kanak-kanak, Pusat Perubatan Kpj Damansara, Dr.Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar, kanak-kanak yang sedang membesar memerlukan waktu tidur yang mencukupi bagi membantu proses perkembangan mental dan fizikal berlaku dengan baik.

“Kanak-kanak yang tidur awal mempunyai kualiti tidur yang mencukupi. Tidur yang berkualiti akan membuatkan tubuh badan dan minda lebih cergas serta bertenaga pada siang hari.
“Di Barat, ibu bapa membiasakan anak mereka tidur pada awal waktu. Kebiasaannya pada pukul 7 atau 8 malam anak-anak akan disuruh masuk tidur. Menjelang waktu itu, mereka sudah tidak digalakkan bermain dan melakukan aktiviti lasak.

“Budaya ini berbeza dengan di Malaysia. Di sini, kanak-kanak tidak dibiasakan dengan rutin tidur awal. Kebanyakan mereka pada pukul 9 malam masih aktif bermain, menonton televisyen dan sebagainya," katanya.
Menurut Dr. Mohammad Iqbal, apabila kanak-kanak dibiarkan berjaga sehingga lewat malam tidak kira sama ada bermain mahupun menonton televisyen, kecenderungan perut mereka berasa lapar adalah lebih tinggi.
Perut yang lapar akan mendorong mereka mengambil makanan pada lewat malam yang akhirnya membawa kepada masalah seterusnya iaitu obesiti.

"Satu hidangan berat diambil pada lewat malam menyebabkan tubuh terpaksa bekerja keras untuk mencernakan makanan tersebut.

“Ini juga akan menyebabkan tubuh kepenatan kerana organ-organ pencernaan tidak mendapat rehat yang secukupnya apabila terpaksa bekerja sepanjang malam bagi mencernakan makanan yang diambil," katanya.
Dalam pada itu kata Dr. Mohammad Iqbal, kanak-kanak yang tidur awal juga menunjukkan kesan yang positif pada diri dan aktiviti seharian mereka.

Mereka yang mempunyai tidur cukup akan mudah bangun di awal pagi. Selain itu, mental dan fizikal turut cergas membuatkan mereka lebih konsisten dan fokus ketika di sekolah.
“Kanak-kanak ini juga mempunyai masa yang mencukupi untuk mengambil sarapan pagi. Kajian menunjukkan pengambilan sarapan pagi dapat membantu seseorang terutama kanak-kanak memberi tumpuan penuh ketika di sekolah dan membantu meningkatkan prestasi pembelajaran.
“Mengambil sarapan pagi sebenarnya membantu juga mengurangkan masalah berat badan berlebihan, kerana ia mengelakkan seseorang itu daripada mengambil makanan ringan atau snek sebelum tiba waktu makan tengah hari," katanya.

Menurut Dr. Mohammad Iqbal lagi, melihat situasi kanak-kanak yang gemar tidur lewat malam, bukan sahaja mengundang tabiat pemakanan lewat malam, malah keadaan itu turut menyumbang kepada peningkatan jumlah kanak-kanak obesiti.
“Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia pada tahun 2006, menunjukkan 43 peratus rakyat Malaysia berada dalam kategori obes dan daripada jumlah tersebut 38 peratus adalah kanak-kanak.
“Kajian dari institut kesihatan awam pula menunjukkan 19.6 peratus kanak-kanak sekolah berusia dari 7 hingga 12 tahun mengalami masalah obesiti.

“Kajian juga menunjukkan kanak-kanak yang mengalami masalah berlebihan berat badan pada usia selepas tiga tahun, akan membesar menjadi orang dewasa yang obes.
“Jika mereka obes pada usia enam tahun, kemungkinan untuk menjadi obes pada usia dewasa adalah 15 peratus lebih tinggi. Bagi kanak-kanak yang obes ketika usia 12 tahun, kecenderungan menjadi obes apabila dewasa ialah 70 peratus," katanya.
Dr. Mohammad Iqbal menambah, pelbagai faktor lain mendorong kepada masalah obesiti di kalangan kanak-kanak, yang perlu mendapat perhatian serius terutamanya di kalangan penjaga mereka.
“Faktor genetik seperti sejarah keluarga yang mempunyai berat badan berlebihan mempengaruhi pertumbuhan kanak-kanak tersebut.

“Selain itu, persekitaran dan cara hidup yang kurang melakukan aktiviti sihat seperti kurang bersenam dan mengambil makanan yang tidak sihat seperti tinggi kandungan gula dan garam turut mempengaruhi kesihatan mereka.
“Sebaiknya, ibu bapa digalakkan mengurangkan kadar pengambilan jus buahan yang mudah dibeli di pasar raya. Kebanyakan jus tersebut mempunyai kandungan gula yang tinggi," katanya. 

Siti Aishah Yusoff



Jaga waktu makan untuk badan sihat..


KITA adalah apa yang kita makan.’ Anda pasti pernah terdengar ayat ini bukan? Apa yang dimaksudkan di sebalik ayat ini adalah sekiranya kita menjaga pemakanan kita, maka hasilnya adalah tubuh badan yang sihat dan cergas. Begitu jugalah sebaliknya, jika tidak mengamalkan gaya pemakanan yang seimbang, pasti kita akan mengalami pelbagai masalah kesihatan.
Tambah lagi,dengan gaya hidup yang terlalu sibuk akan membuatkan seseorang itu tidak mempunyai masa untuk menentukan pilihan makanan yang seimbang. Lebih-lebih lagi dengan adanya pelbagai restoran makanan segera, semuanya dapat diperoleh dengan mudah selain menjimatkan masa mereka yang sentiasa dalam kesibukan.
Oleh itu, jika anda merupakan golongan yang sering menghadapi hari-hari dalam kesibukan, sudah pasti anda tidak mempedulikan tentang makanan sihat. Apa yang penting, perut tidak berasa lapar untuk meneruskan kerja. Jadi, apakah yang boleh dilakukan jika anda mengalami situasi ini? - FATHIHAH

Mulakan hari dengan bersarapan

Waktu makan yang paling penting adalah pada
waktu pagi kerana kita akan menggunakan tenaga sepanjang hari. Sarapan sebenarnya dapat memperbaiki daya tumpuan, kecerdasan dan fungsi ingatan.
Bagi anda yang tidak mempunyai masa untuk menyediakan sarapan, apa kata anda cuba menyiapkan sarapan pada waktu malam dengan menyediakan buah-buahan dan minuman sebagai bekalan untuk memulakan hari anda.

Tambah tenaga dengan makan tengah hari

Waktu tengah hari adalah masa di mana anda telah menggunakan kebanyakan nutrient dan tenaga daripada sarapan. Jadi, makan tengah hari membantu untuk mengecas semula tenaga bagi meneruskan kerja-kerja anda.
Sebaik-baiknya, elakkan makan sambil bekerja kerana anda mungkin akan mengambil jumlah makanan berlebihan, seterusnya membuatkan anda mengantuk untuk meneruskan kerja.
Pilihan makanan pula haruslah berpandukan sajian ringan yang sihat sahaja seperti roti sandwic, bijirin atau salad.

Tidak meninggalkan makan malam

Makan malam juga tidak boleh diabaikan sama sekali. Waktu makan malam yang sesuai adalah di antara pukul 6.30 petang hingga 8.30 malam. Sekiranya pada lewat malam anda berasa lapar, anda boleh mengambil snek ringan seperti buah-buahan, biskut atau segelas susu.
Elakkan mengambil makanan pada lewat malam kerana ia akan menyebabkan ketidakselesaan, selain mengganggu tidur anda.



35 tahun berkhidmat masih dianggap guru baharu !!!

SAYA telah berkhidmat dalam Kementerian Pendidikan lebih 35 tahun. Bermula sebagai guru prasekolah, mengajar di sekolah rendah ditukarkan ke sekolah menengah, menjawat jawatan Penolong Pengarah di Kementerian Pendidikan dan kini berpindah semula ke sekolah menengah.
Sepanjang karier sebagai pendidik, telah ditempatkan di 14 institusi pendidikan. Dalam jangka 35 tahun, hanya sekali sahaja saya memohon pertukaran dari kementerian ke sekolah kerana ingin bersara sebagai seorang pendidik di sekolah.

Kalau dikira purata satu-satu institusi tempat saya bertugas adalah antara dua tahun hingga tiga tahun sahaja.

Pernah berlaku dalam sejarah perkhidmatan saya dipindahkan di empat institusi pendidikan dalam masa tiga tahun berkhidmat. Yang paling dahsyat sekali, belum sempat menghela nafas panjang empat bulan ditempatkan, telah diarah bertukar ke tempat lain.
Saya rasa bersyukur, apabila saya dipindahkan pada jarak yang hampir dengan tempat tinggal.
Tetapi musykil, mengapa pihak Jabatan Pendidikan amat berminat untuk kerap menukarkan saya.
Setiap kali mendapat surat arahan bertukar, saya tidak pernah membantah. Mungkin ini menjadi alasan JPN untuk mudah menukarkan saya ke mana-mana sahaja.

Namun begitu, saya merasa satu kerugian apabila saya kerap dipindah-randahkan.
Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) jauh panggang dari api. Kadangkala rasa cemburu juga apabila melihat guru muda yang belum disahkan jawatan sudah dapat anugerah perkhidmatan cemerlang.
Kalau diambil kira Laporan Nilai Prestasi Tahunan tidaklah teruk sangat. Layak diberi APC. Tapi kenapa tak dapat? Menurut jawatankuasa sumber manusia sekolah, saya adalah guru baharu berada di sekolah ini. Masih ada guru yang lima tahun mengajar di sekolah ini belum dapat APC.

Adakah ini merupakan dasar Kementerian Pendidikan memberi keutamaan guru yang baharu lima tahun berkhidmat berbanding saya 35 tahun berkhidmat yang, kalau dipanjangkan umur, dua tahun lagi akan bersara.
Alasan yang akan diberi tetap sama iaitu saya guru baharu di sekolah ini.

Maka dengan perlaksanaan dasar Kementerian Pendidikan se­perti inilah terdapat institusi pendidikan di negara ini yang terpaksa memberikan prestasi tinggi kepada guru atau kakitangan sokongan dengan mengikut giliran.
Kadangkala rasa kecewa juga apabila seorang kakitangan tidak cemerlang dalam tugas dan tanggungjawab terpaksa diberikan markah prestasi tinggi semata-mata kerana sudah sampai giliran untuk diberikan APC.
Jadi, orang lama yang menjadi mangsa pertukaran hanya melopong mendengar keputusan APC diumumkan oleh pengetua di tapak perhimpunan.

Kepada Kementerian Pendidikan, simpatilah kepada kami yang telah berkhidmat lebih 30 tahun dan menghasilkan generasi anak didik yang kini menjadi pegawai di kementerian sendiri agar mereka dapat mengubah dasar memberi APC.

Kalau kita lihat kakitangan di Jabatan Perkhidmatan Awam, bukan sahaja APC yang mereka peroleh malah ada dalam kalangan mereka yang dikurniakan bintang kebesaran oleh sultan di negeri dan Yang di-Pertuan Agong.

Terkenangkan nasib, adakah kerana kami ini guru kepada anak-anak OKU, maka semua keistimewaan yang guru arus perdana terima tidak layak untuk kami.


Guru Lama

Bukit Mertajam



Sekolah pedalaman perlu perhatian..

Sempena Hari Guru 2014, kami ingin menzahirkan rasa bangga menjadi guru yang ditugaskan di kawasan pedalaman. Bukan kerana elaun pedalaman yang diberikan kepada kami, tetapi kami dapat merasakan di hati nurani kami bahawa murid di kawasan pedalaman amat memerlukan belaian insan bernama guru. Sekolah yang jauh di pedalaman tidak menjejaskan semangat kami untuk menabur bakti kepada insan yang memerlukan.

Walau bagaimanapun, kami harapkan agar sedikit perhatian diberikan kepada guru pedalaman berkaitan tempat tinggal dan kemudahan asas yang diperlukan. Kami tidak minta berlebihan tetapi cukuplah sekiranya perkara asas dapat diberikan kepada kami di pedalaman.
Tempat tinggal kami yang bersesak-sesak di sebuah rumah sehingga enam orang dengan hanya satu bilik, rumah berdinding papan, tanpa bekalan air bersih, tanpa kemudahan tandas, di sinilah kami me­labuhkan badan setelah keletihan melayan kerenah murid sekolah. Demi keselesaan, kami berkongsi duit untuk mengupah orang membina tandas ala kadar.

Keadaan bilik darjah dengan bilangan murid bersesak-sesak di dalam satu kelas amat merimaskan. Sebelah pagi keadaannya masih terkawal, selepas rehat keadaan sudah berubah apabila murid berpeluh.
Proses pembelajaran tidak dapat berjalan seperti yang diharapkan dan ini menyebabkan prestasi sekolah menurun. Apabila prestasi menurun, guru jugalah yang dipersalahkan sepenuhnya. Tohmahan yang diberi, kononnya guru tidak mengajar dengan sempurna dan ala kadar sahaja.
Keadaan bangunan sekolah juga perlu diberikan perhatian segera. Kita tidak mahu kejadian bumbung runtuh menimpa murid sedang belajar terjadi. Perkara ini bukannya mustahil, sekiranya keadaan bangunan sekolah tidak diselenggara dengan kadar segera.

Bilik khas seperti pusat sumber sekolah, Kemahiran Hidup, mesyuarat, JQAF, kaunseling, sains dan rawatan juga tiada.
Bilik guru pula sekadar menampung beberapa orang guru sahaja. Guru baharu terpaksa menempel di kantin, setor dan sebagainya.

Ketiadaan padang permainan juga menyukarkan murid untuk berlatih dan bersukan. Guru tidak dapat melatih murid bermain untuk mengembangkan bakat dan menjayakan program 1Murid 1Sukan.
Walau bagaimanapun, sukan tahunan terpaksa juga kami adakan dengan beberapa alternatif. Namun, hati kecil kami terubat jua apabila Kementerian Pendidikan menyediakan bekalan eletrik solar hybrid.
Kekurangan yang ada bukannya alasan untuk kami tidak melaksanakan tanggungjawab, tetapi sekiranya kekurangan tersebut dapat di­atasi, kami akan lebih komited untuk melaksanakan amanah tersebut. SELAMAT HARI GURU!


Guru Malaysia,
Pahang Darul Makmur



Status halal di R&R diragui !!

UMAT Islam kini amat menitik berat soal makanan halal kerana ia bukan sahaja baik untuk kesihatan, malah membabitkan pembentukan watak positif atau negatif seseorang.
Oleh itu mereka sentiasa sensitif terhadap makanan yang disediakan oleh orang bukan Islam.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Negeri (JAN) diberikan kuasa mengeluarkan sijil Halal kepada kedai atau gerai pengusaha bukan Islam yang menyediakan makanan mengikut ciri-ciri halal yang ditetapkan Islam.

Jabatan berkenaan biasanya tidak akan memberikan sijil halal jika didapati mereka menjual bersama makanan yang tidak mengikut ciri-ciri halal dalam Islam.
Sejak berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Ipoh beberapa tahun lalu sehingga kini, saya sering singgah di Perhentian Rehat Dan Rawat (R&R), Rawang menghala ke utara tanahair milik Projek Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) sambil minum dan makan di situ.

Bagaimanapun, saya masih tertanya-tanya apabila melihat satu gerai makanan yang dimiliki pengusaha bukan Islam dengan menggunakan beberapa pekerja perempuan Indonesia.
Di hadapan gerai tertera tulisan yang saya rasa agak mengelirukan umat Islam kerana dia sedar tidak mempunyai sijil tanda halal.

Banyak kali ketika singgah di situ saya perhatikan ramai pelanggan ber­agama Islam dan bukan Islam membeli makanan di gerai berkenaan.
Pelanggan Islam mungkin yakin dengan makanan di situ halal ke­rana melihat perempuan Indonesia yang menjual makanan itu bertudung sebagai tanda beragama Islam.

Saya perhatikan keadaan sama berlaku setiap hari dan hujung ming­gu kerana pengunjung Islam tidak mendongak ke bahagian atas gerai bagi melihat siapa pemiliknya.
Saya mengesyaki ada bahan makanan tidak halal dijual sama di situ apabila JAKIM tidak mengeluarkan sijil tanda halal kepada pengusaha terbabit.
Sebagai umat Islam saya berhak menegur perkara berkenaan kerana bimbang berdosa kepada Allah dan minta pihak berkuasa terbabit menjalankan siasatan dan mengisytiharkan status gerai berkenaan sama ada makanan di situ halal dimakan umat Islam atau sebaliknya.

Saya tidak berniat langsung mahu menyekat rezeki sesiapa sebaliknya semata-mata mahu me­nuntut kebenaran.
Sesetengah pihak mungkin melihat perkara ini sebagai isu kecil, namun impaknya besar kepada umat Islam yang patuh kepada ajaran a­gama ini.
Saya sedar umat Islam dibenarkan memakan makanan yang disediakan pengusaha bukan Islam sekiranya mereka mengikut ciri-ciri halal dalam Islam dan disahkan JAKIM atau JAN sendiri.
Difahamkan ada lagi sebuah gerai di kawasan sama yang menjual nasi ayam kepada pelanggan Islam tanpa mempunyai tanda halal.

Saya berharap pihak berkuasa terutama JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri Selangor (JANS) menyiasat, mengambil tindakan tegas serta telus bagi menangani permasalahan atau kemelut ini.
Jangan pandang remeh perkara ini kerana ia boleh mengundang masalah ketenteraman awam jika tidak ditangani secara bijak.
Pihak pengurusan PLUS juga diminta memantau perkara ini termasuk di tempat perhentian lain yang mengamalkan perkara sama demi kebaikan peniaga dan pengguna yang singgah di perhentian yang mereka sediakan.


AZMI ABDUL MALEK
Ipoh



GLC harus utamakan pekerja tempatan...

KITA laungkan semangat patriotisme dan kita mahukan rakyat Malaysia mencintai negaranya melebihi dirinya sendiri serta mahu rakyatnya berikrar supaya mempertahan dan bertanggungjawab untuk taat setia kepada negara demi untuk melonjakkan negara ke tahap sebuah negara maju setanding dengan negara-negara maju yang lain didunia ini.

Bila semua itu kita mampu lakukan dengan sendirinya maruah dan keunggulan Malaysia dihormati dunia.
Semangat patriotik ini bermula apabila adanya rasa tanggungjawab semua pihak terutama sekali syarikat-syarikat gergasi mengambil semua pekerjanya rakyat warga negara Malaysia sendiri dan bukan kerana disebabkan untuk jimatkan kos kita sanggup membelakangkan rakyat tempatan itu sendiri untuk berkerja.
Syarikat-syarikat gergasi seperti Petronas hendaklah tegas iaitu diwajibkan semua stesen minyak syarikat Petronas dan syarikat-syarikat minyak lain mengambil pekerja tempatan kerana tiada alasan untuk mereka dengan mudah mengambil pekerja asing sedangkan lambakan belia-belia di negara ini masih ramai menganggur dan salah satu sebabnya mengapa gaji pekerja kita terlalu rendah adalah kerana mereka terpaksa bersaing dengan pekerja asing yang dibawa masuk baik secara halal atau pun mereka yang digajikan secara haram.

Begitu juga pasaraya-pasaraya dan pusat-pusat membeli belah yang lain masih menggunakan khidmat pekerja asing sehingga ke jawatan eksekutif pun dimonopolikan pekerja dari Bangladesh, India, Nepal, Indonesia, China, Pakistan dan sebagainya.

Adakan satu rang undang-undang yang tegas bahawa hanya pendatang asing untuk pekerja sektor pertanian, pembinaan dan pembantu rumah sahaja diambil berkerja dan tidak di sektor lain.
Jangan terlalu longgarkan syarat kita itu jika kita mampu bertegas saya yakin masalah pendatang asing yang haram memasuki negara kita ini akan pupus dengan sendirinya.

Kita kena rangkakan dan wajibkan kerana petua untuk sesebuah negara itu menjadi sebuah negara maju berjaya ialah rakyatnya mesti berdisiplin dan sudah tentu semangat kekitaan atau patriotik ini ditekankan dan menjadi satu kemestian mengutamakan rakyatnya sendiri sebelum memandang yang lain.
Keduanya untuk menjadi sebuah negara yang maju pastikan rakyat menerima segala ganjaran setimpal dengan kemajuan negara itu sendiri. Keselesaan hidup pekerjanya hendaklah diambil kira supaya setanding dengan pekerja-pekerja di negara-negara yang telah jauh majunya bertaraf dunia ini.

Sudah sampai masanya semua pekerja kita mendapat gaji yang mampu untuk hidup mengikut keadaan dan seiringan dengan kemakmuran dan majunya sesebuah negara itu.
Kita tidak mahu lagi melihat pekerja kita nampak hebat dari segi berpakaian dan penampilan dengan mempunyai kenderaan masing-masing dan mempunyai rumah sendiri tetapi kocek kosong kerana hidup mereka dibebankan dengan hutang sekeliling pinggang disebabkan pendapatan mereka kecil dan dalam masa yang sama kita pula galakkan rakyatnya berhutang.

Untuk menampung hidup, pekerja kita diperhambakan dengan pelbagai hutang sehingga pencen kadangkala hutang masih menempel di sana-sini.
Inilah masalah kita. Benar kita kena hidup mengikut kemampuan tetapi kadangkala apabila ia memerlukan dan tiada jalan lain lagi maka terpaksalah gali lubang dan tutup lubang untuk teruskan hidup sebagaimana sepatutnya.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL



Gaji permulaan seorang eksekutif terlalu kecil...

SYARIKAT besar ada yang tidak membayar gaji setaraf dengan kelulusan dan kerja yang ditanggung oleh eksekutif yang baru keluar dari institusi pengajian tinggi.

Akauntan, jurutera, malah peguam hanya dibayar sekitar RM2,500 sebulan. Syarikat-syarikat ini sebenarnya tidak prihatin dengan pekerja mereka.

Mereka tidak peka akan keadaan ekonomi negara sekarang yang secara keseluruhannya menunjukkan kadar realiti inflasi yang tinggi.

Bagi yang bergaji sekitar RM2,500, tiada apa yang dapat di­belanjakan untuk pelaburan selain dari membeli sebuah kereta kecil untuk ke tempat kerja. Untuk membeli rumah janganlah diharapkan kerana harga rumah sudah mence­cah ratusan ribu ringgit.

Duit mereka hanya boleh digunakan untuk makan dan menyewa rumah sahaja. Untuk mendapat isteri agak sukar kerana wang hantaran pun sangat tinggi.

Oleh itu, syarikat besar dan kecil harus peka dan prihatin ke atas nasib pekerja ini. Kebajikan mereka mestilah dijaga kerana pengeluaran hasil syarikat tidak akan bertambah jika pekerja berada dalam keadaan tertekan dan miskin, apatah lagi sebagai seorang eksekutif yang seharusnya diberikan bayaran yang sewajarnya selepas penat lelah belajar di universiti.

Sekurang-kurangnya dengan gaji mereka, dapatlah membeli sebuah rumah kecil secara pinjaman.
Adalah dicadangkan penda­patan kasar bagi seorang eksekutif yang makan gaji di Malaysia sekarang mestilah tidak kurang dari RM3,500 sebulan bagi menampung perbelanjaan seperti yang disebutkan.
Syarikat seperti Petronas, Sime Darby, TNB, Telekom dan sebagainya telah membayar pendapatan sekitar atau lebih dari nilai ini, namun syarikat besar lain masih membayar gaji kecil kepada eksekutif baru, sama seperti yang diamalkan oleh kebanyakan syarikat kecil.

Mereka harus sedar bahawa kenaikan gaji ini pun dikira sebagai amal kebajikan dan satu amalan CSR atau tanggung jawab sosial korporat untuk kakitangan.

Alias Mohd.
Cendering, Kuala Terengganu



Hayati falsafah hukum faraid..

HUKUM faraid sering dikatakan sebagai tidak adil dan bias terhadap wanita. Persoalan yang selalu ditanya ialah kenapa waris lelaki mendapat bahagian yang lebih berbanding dengan waris wanita. Secara kasarnya, seolah-olah undang-undang faraid ini menafikan peranan dan diskriminasi terhadap wanita. Lantaran undang-undang faraid ini ditohmah sebagai bersifat anti wanita. Maka timbullah desakan untuk mengkaji semula undang-undang faraid ini agar ‘memberi keadilan’ kepada golongan wanita.

Sebenarnya undang-undang Islam memberi keadilan kepada semua manusia tanpa membezakan gender, warna kulit, bangsa dan sebagainya. Konsep keadilan dalam Islam mestilah dilihat daripada sudut kemampuan undang-undang Islam itu menegakkan keadilan yang dapat dinikmati oleh masyarakat ramai, berbanding dengan keadilan yang diberikan daripada kaca mata individu tertentu. Oleh itu keadilan di dalam pengagihan harta faraid tidak semestinya pembahagian dibuat secara sama rata. Inilah pendekatan yang diambil oleh al-Quran di dalam pembahagian faraid.

Pembahagian harta pusaka Islam telah ditentukan di dalam al-Quran dan ketentuan tersebut adalah bersifat definitif (tetap) yang tidak boleh ditafsirkan selainnya lagi. Pembahagian yang jelas tersebut tidak membuka ruang untuk ijtihad, melainkan tafsiran yang satu sahaja secara literal ataupun harfiah. Qiyas atau ijtihad tidak berperanan sebagai sumber bagi menentukan pembahagian undang-undang pusaka Islam.
Sebenarnya, hikmah di sebalik falsafah pembahagian ini adalah untuk mengimbangi tanggungjawab dan kewajipan lelaki dalam rumah tangga, masyarakat dan agama. Seorang lelaki dipertanggungjawabkan memberi nafkah kepada isteri dan anak-anak, wanita tidak dipertanggungjawabkan dengan kewajipan yang sama.

Seorang perempuan pula sudah terjamin keperluannya kerana perempuan tersebut berada di bawah tanggungjawab suami, abang, ayah atau saudara lelakinya. Seorang perempuan juga tidak berkewajipan memberi nafkah kepada sesiapapun, walaupun suaminya tidak berkemampuan membayar nafkah. Tanggungjawab ini sebenarnya akan berpindah kepada ahli keluarga suami yang lelaki.

Sebelum Islam

Pada zaman sebelum Islam wanita langsung tidak mempunyai hak ke atas hartanya malah mereka juga dianggap sebagai harta yang boleh dipusakai oleh ahli keluarga si mati. Ramai wanita menjadi mangsa dan kehilangan hak dan tempat bergantung apabila suami atau bapa mereka meninggal dunia.
Pembahagian yang lebih kepada lelaki adalah kerana lelaki bertanggungjawab untuk memelihara kepentingan dan kebajikan wanita. Inilah sebabnya pembahagian harta yang lebih disyariatkan kepada kaum lelaki.
Jika kita memperhalusi konsep Islam, ia sebenarnya amat mudah iaitu di mana ada hak maka di situ ada tanggungjawab. Ini bermakna hak yang lebih besar akan membawa kesan kepada tanggungjawab yang lebih besar juga.

Oleh itu, tidak hairanlah kenapa Islam memperuntukkan hak lelaki yang lebih di dalam undang-undang pusaka dan hak ini sebenarnya mesti juga diiringi oleh tanggungjawab yang besar juga.
Adalah salah jika seorang lelaki itu membelanjakan segala hak pusakanya untuk dirinya seorang. Hak ini sebenarnya mestilah dikongsi bersama dengan orang lain seperti adik-beradik perempuan, anak perempuan dan sebagainya. Dengan cara ini, barulah keindahan undang-undang pusaka Islam ini akan dapat dimanifestasikan dan dihargai oleh masyarakat Islam dan bukan Islam.

Moga-moga tidak akan kedengaran lagi kata-kata sinis yang mengatakan Islam mendiskriminasikan wanita. Tohmahan ini sebenarnya datang daripada orang jahil dan tidak mahu mencari kebenaran, melainkan apa yang mereka fikirkan benar tanpa mengambil kira faktor-faktor lain yang tidak bertentangan dengan hukum syarak.

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR
PENULIS ialah Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM)



Bolehkah nikah mutaah?

OBJEKTIF utama Allah memperundangkan nikah adalah untuk memastikan kelangsungan kehidupan manusia. Jika tiada ikatan yang suci bagi meneruskan zuriat keturunan manusia, maka hidup manusia akan hilang kehormatannya. Antara cara yang ditetapkan oleh syariat Islam bagi memenuhi objektif tersebut, Islam menjelaskan hubungan perkahwinan mestilah bersifat kekal. Oleh sebab itu, para pakar perundangan Islam menegaskan, antara syarat sah akad nikah adalah niat pasangan untuk bersama buat selama-lamanya.

Apa yang dimaksudkan sebagai Nikah Mutaah? Nikah Mutaah ialah perkahwinan yang dihadkan tempohnya. Contohnya, pengantin lelaki berkata dalam majlis akad nikah, “Saya hanya mahu berkahwin dengan kamu selama sebulan." Lalu pengantin perempuan menjawab, “Saya terima."

Dr. Abdul Karim Zaidan, dalam bukunya, Mufassal fi ahkam al-maraah mendefinisikan nikah mutaah sebagai kontrak nikah antara seorang lelaki dan perempuan dengan dihadkan tempoh masanya dan dengan mas kahwin yang tertentu. Contohnya, pengantin lelaki berkata, “Saya bernikah dengan kamu selama satu hari dengan mas kahwin RM100."

Lalu pengantin perempuan menjawab, “Saya terima nikah kamu itu." Maka dalam kes ini, pasangan tersebut berkahwin secara mutaah. Lelaki itu perlu membayar RM100 kepada perempuan itu dan mereka menjadi pasangan hanya selama satu hari. Apabila cukup sehari, maka secara automatik kontrak itu terbatal. Mereka sudah menjadi bukan suami isteri lagi.

Menurut mazhab Ja’fari iaitu salah satu daripada mazhab fikah dalam Syiah, nikah mutaah adalah dibenarkan. At-Tusi; salah seorang pakar rujuk dalam mazhab Ja’fari, menjelaskan dalam bukunya an-Nihayah, “Nikah mutaah adalah dibenarkan dalam syariat Islam."
Oleh sebab itu, di zaman kita sekarang, nikah mutaah masih dipraktikkan di kawasan yang didiami oleh pendukung mazhab Syiah.

Sementara itu, menurut pakar perundangan Islam yang lain; seperti pakar bermazhab Hanafi, Maliki, Syafi'i dan Hanbali, mereka sepakat mengatakan nikah mutaah diharamkan oleh Islam.
Ibnu Rushd, salah seorang pakar bermazhab Maliki, menjelaskan dalam bukunya Bidayat al-mujtahid, “Seluruh pakar perundangan Islam mengharamkan nikah mutaah."

Begitu juga dijelaskan oleh an-Nawawi iaitu seorang pakar bermazhab Syafi’i, dalam bukunya al-Muhazzab, “Nikah mutaah tidak dibenarkan."
Hujah pendapat kedua yang mengatakan nikah mutaah diharamkan dalam Islam berdasarkan beberapa hadis Nabi Muhammad SAW. sudah berjaya menguasai Kota Mekah.
Baginda SAW bersabda: Wahai sekalian manusia! Sebelum ini saya pernah membenarkan saudara-saudara sekalian menyetubuhi wanita dengan nikah mutaah. Tetapi bermula dari sekarang, Allah sudah mengharamkannya sehingga hari kiamat. Sesiapa yang pernah berkahwin secara mutaah sebelum ini, maka hendaklah dia menceraikan isterinya itu dan janganlah saudara sekalian mengambil semula mas kahwin yang sudah saudara berikan kepada isteri-isteri itu. (riwayat Muslim)

Ali bin Abu Talib melaporkan: Semasa berlakunya Perang Khaibar, Rasulullah SAW melarang daripada bernikah mutaah dan memakan daging keldai yang dipelihara. (riwayat Bukhari dan Muslim)
Sementara hujah yang dikemukakan oleh pendapat pertama iaitu yang membenarkan nikah mutaah, mereka berhujah dengan ayat 24 surah an-Nisa’ yang bermaksud: Kemudian mana-mana perempuan yang kamu nikmati percampuran dengannya (setelah ia menjadi isteri kamu), maka berikanlah kepada mereka mas kahwinnya (dengan sempurna), sebagai suatu ketetapan (yang diwajibkan oleh Allah). Menurut pakar bermazhab Ja’fari, ayat ini merujuk kepada nikah mutaah, kerana perkataan ‘mutaah’ asalnya merujuk kepada nikmat persetubuhan.

Tambahan pula menurut mereka, terdapat laporan yang sahih yang mengatakan Nabi SAW pernah membenarkan para sahabat bernikah dengan nikah mutaah. Apa yang dibenarkan oleh baginda adalah berdasarkan wahyu, bukan dengan kehendak baginda sendiri.

Terdapat juga laporan yang sahih yang dilaporkan oleh Imam Muslim menjelaskan bahawa beberapa orang sahabat Nabi Muhammad SAW yang bernikah dengan nikah mut’ah ketika zaman Nabi SAW, zaman pemerintahan Abu Bakar dan selama beberapa tempoh dalam pemerintahan Umar. Laporan tersebut menjelaskan nikah mutaah bukan diharamkan oleh Nabi SAW tetapi diharamkan oleh Umar semasa pemerintahannya.

Kesimpulannya, nikah mutaah diharamkan oleh Islam dan ia dianggap tidak sah menurut Undang-undang Keluarga Islam di Malaysia. Sebagai contoh, Seksyen 11 Akta Undang-undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984, memperuntukkan, “Sesuatu perkahwinan tidak sah melainkan jika cukup semua syarat yang perlu, menurut Hukum Syarak, untuk menjadikannya sah." Hukum Syarak ditafsirkan oleh akta yang sama sebagai, “Undang-Undang Islam mengikut mana-mana mazhab yang diiktiraf."
Para pakar mazhab dalam kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah sepakat mengatakan bahawa niat berkahwin secara kekal adalah syarat sah nikah. Jika pasangan berniat untuk berkahwin sekejap sahaja dalam tempoh tertentu, maka nikah itu tidak sah.




Oleh DR. ARIEFF SALLEH ROSMAN

Tunai zakat atau nafkah ibu bapa? Yang mana satu lebih utama?

ADA orang yang ingin bersedekah dan berzakat, tetapi mereka perlu memenuhi keperluan ibu bapa mereka terlebih dahulu. Persoalannya, sejauh manakah kewajipan memenuhi keperluan itu perlu dilaksanakan dan adakah ada had tertentu sebagai ukuran? Bolehkah seseorang anak itu menolak permintaan ibu bapanya yang kadang-kala di luar kemampuan agar dia dapat bersedekah dan berzakat?

Jawapan

Terima kasih kerana mengajukan persoalan yang begitu baik seperti ini. Mudah-mudahan ia dapat memberikan penjelasan mengenai kewajipan menyantuni nafkah ibu bapa dan juga menunaikan zakat, yang mana kedua-duanya adalah wajib di sisi agama Islam.

Maka di manakah kedudukan ibu bapa? Para fuqaha menjelaskan bahawa kedudukan ibu bapa sebenarnya sangat dekat dengan si anak. Ia sesuai dengan apa yang difirmankan oleh Allah SWT di dalam al-Quran: Dan Tuhanmu telah memerintahkan kepada kamu, agar kamu jangan menyembah selain daripada-Nya, dan berbuat baik dengan kedua ibu bapa. (al-Isra’: 23)

Fuqaha menjelaskan, “dan berbuat baik dengan kedua-dua ibu bapa" itu termasuklah dengan menanggung nafkah mereka, seandainya mereka termasuk kategori yang memerlukan, iaitu miskin dan kurang kemampuan. Hukumnya adalah wajib, dan berdosa jika si anak sengaja mengabaikan keperluan dan nafkah mereka.

Ibnu al-Munzir berkata, telah sepakat kesemua ulama (ijmak) bahawa nafkah kedua orang tua yang fakir dan tiada mata pencarian dan harta, adalah wajib diambil daripada harta anak-anaknya. Maka, hakikatnya, memberikan nafkah kepada ibu bapa adalah wajib di sisi Islam. Haram bagi si anak mengingkarinya, jika ibu bapanya memang memerlukan.

Imam an-Nasai meriwayatkan bahawa Tariq al-Muharibi berkata: “Pernah semasa saya datang ke Madinah, saya melihat Rasulullah SAW sedang berdiri di atas mimbar dan berkhutbah: Tangan yang memberi lebih mulia. Mulakanlah memberi dengan orang-orang yang berada dalam tanggunganmu, (iaitu) ibumu, ayahmu, saudara perempuanmu, saudara lelakimu dan setelah itu yang terdekat hubungannya denganmu." (riwayat an-Nasai) (rujuk Dr. Yusuf al-Qaradawi, Kemiskinan dan cara Islam menanganinya, hal. 104).

Namun, sejauh manakah besarnya pemberian itu? Adakah seorang anak wajib memenuhi segala permintaan ibu bapanya atau dianggap anak derhaka jika ingkar? Di sini, Rasulullah SAW telah memberikan jalan keluarnya yang mudah. Di dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW ada menegaskan: Tidak boleh taat kepada seseorang dalam melakukan maksiat kepada Allah. Sesungguhnya ketaatan itu dalam melakukan kebaikan. (riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam konteks ini, ketaatan kepada ibu bapa boleh menjadi maksiat apabila kemahuan mereka itu di luar batasan dan kemampuan si anak, sehingga menyebabkan si anak terpaksa berhutang dan mengabaikan kewajipan yang lain. Si anak sebenarnya wajib menyediakan keperluan sekadar batas yang perlu, atau disebut dharuriyat (asasi) sahaja.

Misalnya disediakan kediaman yang sesuai jika mereka tiada berumah, disediakan makanan, pakaian dan sebagainya lagi sekadar yang patut. Si anak tidaklah wajib memenuhi permintaan ibu bapa seperti mahukan kediaman banglo misalnya. Ia bukan lagi suatu keperluan tetapi kemewahan.

Seperkara lagi, fuqaha sudah menjelaskan bahawa tanggungan wajib itu apakala melihat kepada kondisi ibu bapa yang memerlukan, iaitu mereka berada dalam kefakiran atau kemiskinan. Maka, kala itu pemberian si anak kepada mereka ada wajib hukumnya, sehingga dengan akibat dia menanggung nafkah ibu bapa menyebabkan hartanya menyusut menjadi sedikit, dan zakatnya juga mengecil, maka ia tidaklah menjadi satu kesalahan kepadanya.

Nota: Disediakan oleh Ustaz Hamizul Abdul Hamid, Eksekutif Dakwah, Lembaga Zakat Selangor (MAIS).



Pendapatan isi keluarga perlu setanding dengan kemajuan negara...

SEDAR atau tidak, terasa berat atau tidak apabila sebagai rakyat biasa yang berpendapatan di sekitar RM2,000 sebulan berhasrat untuk beli sebuah rumah yang sederhana untuk keluarga kerana ketika ini sebuah rumah teres satu tingkat yang mempunyai tiga bilik sudah menjangkau RM200,000 sebuah dan teres dua tingkat pula sudah menjangkau RM400,000 sebuah.

Hendak buat pinjaman RM200,000 bagi rumah teres satu tingkat pun sudah membebankan dan itu pun kalau layak kerana dengan harga sebanyak itu pinjaman perlu dibayar RM1,500 sebulan.
Kalau gaji hanya RM2,500 sebulan bagaimana hendak menampung perbelanjaan kehidupan harian seisi keluarga?

Bayangkan untuk perbelanjaan yang boleh dikatakan berpatutan bagi seisi keluarga se
ramai enam orang sekurang-kurangnya kita mesti ada RM3,000 sebulan barulah ada kelegaan sedikit tetapi kalau setelah ditolak bayaran ansuran bulanan untuk rumah sudah mencecah RM1,500 apalah yang tinggal kalau sekiranya gaji hanya setakat RM2,500.

Itu tidak termasuk bayaran ansuran kereta dan perbelanjaan sekolah anak-anak yang masih kecil lagi.
Tambah lagi bayaran ansuran untuk rumah sahaja perlu ambil masa selama 25 tahun ataupun 30 tahun untuk diberes.

Pekerja di negara ini tidak boleh lagi diberikan gaji RM1,000 ataupun RM2,000 sebulan tetapi mesti sekurang-kurangnya RM5,000 seorang untuk pastikan rakyat mendapat kehidupan yang mampu untuk menanggung sebuah keluarga yang sederhana.
Kita kena rangkakan dari sekarang bagaimana dan macam mana untuk mengatasi masalah ke­wangan setiap keluarga terutama mereka yang makan gaji.

Untuk menjadi sebuah negara maju, kebajikan rakyat mesti diambil kira terutama sekali tentang pendapatan mereka dan pastikan apabila negara sudah maju dan makmur, rakyat mesti juga ikut seiring dan sekata dengan kemajuan negara tersebut dan bukannya negara menjadi maju tetapi rakyat ketinggalan jauh kebelakang.

Kita kena terima hakikat bahawa kesempurnaan kehidupan sesebuah keluarga adalah bergantung sejauh mana ketua keluarga itu mampu membina dan membentuk dengan mempunyai aset untuk berdikari.


SYED ABDULLAH SYED
OSMAN JAMALULLAIL



Gelagat teksi bajet bermeter di KLIA

SEBAGAI pemandu teksi sudah tentu saya amat mengalu-alukan langkah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) membuka laluan kepada teksi bajet bermeter untuk mengambil penumpang di KLIA, satu langkah alternatif bagi kemudahan penumpang udara untuk ke lokasi di sekitar Lembah Kelang, Melaka dan Cameron Highlands serta beberapa lokasi percutian di negara ini.

Sebahagian besar penumpang teksi bermeter juga amat mengalu-alukan langkah yang dilaksanakan ini memandangkan kadar tambang yang ditawarkan adalah 20 peratus lebih murah serta menjimatkan masa menunggu yang agak lama terutama ketika waktu puncak.
Namun, di dalam keghairahan pemandu teksi bajet bermeter beroperasi di KLIA terdapat beberapa insiden yang agak mendukacitakan berlaku.

Antara yang sering menjadi bualan ialah sikap sebahagian kecil pemandu yang tidak mengamalkan tatacara yang tertib ketika melayan penumpang, mengenakan tambang yang berlebihan tanpa mengikut meter serta menggunakan laluan yang berbeza untuk ke suatu destinasi dengan mengandaikan pelanggan mereka adalah penumpang yang pertama kali menggunakan perkhidmatan ini.

Adalah keterlaluan apabila sebuah teksi bajet mengenakan tambang sehingga RM250 sehala untuk ke Genting Highlands perlu dipantau namun itulah realiti yang berlaku.
Selain soal tambang, imej pemandu juga sering diperkatakan.

Dengan kemeja putih yang hampir kusam, persiapan diri yang ‘pakai tangkap muat' sahaja serta keadaan dalam kereta yang tidak terurus sedikit sebanyak telah merencatkan kemahuan penumpang untuk menggunakan kemudahan buat kali kedua atau seterusnya.

Bagaimana penumpang akan selesa jika bau-bauan yang ada di dalam kenderaan amat mengganggu. Perapian diri sebahagian kecil daripada pemandu juga sering dipandang mudah. Dengan rambut yang panjang, bergaya trojan dan penampilan seperti gangster menjadikan penumpang tidak selesa.

Model kereta juga sering diambil kira oleh penumpang untuk perkhidmatan ini. Bagi yang tidak kisah atau dalam keadaan ingin cepat ke sesuatu destinasi ini bukan isu tetapi bagi yang mementingkan keselesaan serta nilai belanja yang dikeluarkan aspek ini menjadi keutamaan mereka.

Seorang penumpang yang pernah dibawa bertanya mengapa keadaan kereta yang agak teruk dibenarkan beroperasi di KLIA dan sebagai pemandu apa yang boleh dikatakan ialah ini langkah yang dilakukan bagi mengurangkan kesesakan di kawasan menunggu kerana jumlah teksi yang ada masih belum mencukupi.

Adalah amat malang setelah SPAD membuka laluan ini, ada di antara pemandu yang mengambil kesempatan untuk beroperasi tanpa mematuhi etika.

EXORA-WAJA-PERSONA
Sepang




Benarkah kita meluangkan masa untuk anak-anak?

SELALU sahaja kita mendengar rungutan yang anak tidak dapat berenggang dengan telefon pintar dan gajet elektronik.
Di dada akhbar pula, tersiar pelbagai rencana berkaitan keburukan masalah ini.
Dalam ceramah-ceramah keibubapaan, penceramah memberi tips bagaimana untuk anak-anak berenggang dengan telefon pinta dan gajet-gajet.
Tetapi, bagaimana pula dengan keta­gihan ibu bapa dengan telefon pintar? Ibu bapa dalam lingkungan 20an - 40an adalah mereka daripada generasi yang berada dalam parameter ledakan teknologi.
Sedari kecil ibu bapa generasi X dan Y kebanyakannya pandai mengetuk papan kekunci.
Generasi ini bukan lagi seperti dahulu “bangun pagi, gosok gigi cuci muka, minum roti".
Generasi ini ialah generasi “bangun pagi, check Facebook, rakam selfie, upload Instagram, having on-the-go coffee".
Generasi ini ialah generasi pantas, segalanya di hujung jari. Generasi ini dikatakan tidak mempunyai cukup masa, justeru masa berkualiti diperlukan apabila bersama keluarga. Benarkah?
Tetapi, bukankah apa yang terakam di pandangan kita dewasa ini adalah masa yang tidak dihargai oleh sesete­ngah ibu bapa yang obses dengan smartphone dan gajet ketika bersama yang tersayang?­
Jika anda di medan selera, perhatikan sejumlah keluarga yang duduk semeja, tetapi tidak bersama.
Si bapa menatap telefon pintar, memeriksa email agaknya. Si ibu pantas menaip di WhatsApp group rakan sekerja mungkin, si kakak pula asyik melihat Youtube - mempelajari gaya penataan shawl terkini agaknya. Si anak lelaki pantas mengkoordinasikan jari dan visual memicu sasaran di maya.
Perhatikan juga di padang-padang permainan. Si ibu mengekori anaknya bermain jongkang-jongkit, tetapi di tangan­nya, tidak henti-henti menaip dan tersenyum-senyum menilik telefon pintarnya.
Si bapa pula duduk di bangku di bawah pokok sambil menjerit kecil ‘ha…cuba panjat itu’, tetapi sambil gerak jarinya pantas menekan-nekat punat gajet.
Berapa ramai pula pasangan suami isteri di rumah duduk sebelah-menyebelah tetapi berkomunikasi lain-lain? Berapa ramai pula agaknya suami atau isteri yang cuba berbual dengan pasangannya tetapi hanya dibalas dengan jawapan “ya...saya dengar ni" sedangkan jari dan tangannya sibuk menari-nari di telefon pintar?
Inilah momen yang melingkari ibu bapa generasi X dan Y sekarang.
Layakkah kita mengharapkan anak-anak berhenti bergajet, jika perbuatan mereka itu hanya kerana meneladani kita?
Patutkah kita menegur anak yang tidak memandang kepada wajah kita ketika bercakap sedangkan ketika mereka hendak menunjukkan skil cilik di papan gelongsor, mata kita sibuk menyoroti gelongsoran WhatsApp?
Adilkah kita mengatakan anak kita tidak petah dan berkeyakinan di pengucapan awam jika masa terbatas yang mereka ada dengan kita, kita lebih sibuk memuat naik status FB ‘is spending time with my kids’ daripada berkongsi pe­rasaan nyata dengan mereka?
Pada sambutan Hari Ibu yang lepas kita imbas kembali sinar mata dan mi­mik wajah ibu bapa kita ketika kita gembira, menangis, ketika kita nakal menabur bedak umpama salji ke lantai atau ketika menangis mengada-ngada me­minta perhatian.
Diharapkan pada masa hadapan di minda anak-anak kita, mereka ‘melihat’ sinar itu di mata kita, bukannya sepasang kelopak mata kesibukan menunduk menatap telefon pintar ketika mereka memanggil kita, “Mama, lihat adik sudah besar!"
Simpanlah telefon pintar kita ketika bersama keluarga, nikmatilah, syukurilah kurniaan Allah SWT di hadapan mata kita

Oleh EMA IZATI ZULL KEPILI
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...