terima kasih buat kalian semua..

Friday, September 11, 2015

Ambil kira ‘malang tak berbau’ ketika percutian..

Percutian adalah waktu untuk menenangkan minda dan menikmati suasana baru di luar kebiasaan atau rutin harian. Waktu itu juga kebiasaannya dimanfaatkan untuk menenangkan minda dan lari seketika daripada tekanan kerja dan kehidupan seharian.

Ada yang memilih melancong atau bercuti menggunakan ejen pelancongan dan ada gemar merancang percutian sendiri semua­nya bagi memastikan percutian berjalan lancar. Namun, kadangkala malang tidak berbau dan berada di luar kawasan mungkin menyukarkan lagi keadaan. Beberapa tip diharap membantu sebelum anda bertolak atau memulakan perjalanan.

1. Beritahu keluarga atau rakan terdekat

Jika melancong atau bercuti bersama rakan, pastikan beritahu ibu bapa atau keluarga terdekat lokasi percutian atau ejen pelancongan yang and ikuti. Ini bagi memudahkan mereka memberi maklumat kepada pihak berkenaan sekiranya anda hilang atau terputus talian dengan mereka.
Beritahu rakan atau keluarga yang tinggal di sekitar tempat yang dituju supaya mereka dapat membantu kerana mereka mungkin lebih memahami masyarakat atau keadaan sekeliling. Tidak salah memberitahu kerana anda tidak tahu apa yang bakal berlaku dan ia tidak mengganggu percutian.

2. Bawa kit pertolongan kecemasan

Kit pertolongan kecemasan tidak semestinya yang sama seperti yang ada dipasaran. Bawa kit pertolongan kecemasan mengikut keperluan anda, contohnya ubatan yang kerap digunakan atau diperlukan.

Jika anak ikut bersama, bawa ubatan atau krim alahan dan segaal keperluan mereka perlukan kerana perjalanan atau suasana baru mungkin menjejaskan kesihatan fizikal mereka. Namun, tidak salah membawa kit pertolongan kecemasan yang boleh didapati di farmasi kerana ia lengkap dengan barangan yang mungkin diperlukan seperti kain pembalut dan pencuci antiseptik.

3. Simpan maklumat anda

Tulis maklumat seperti nombor telefon dan tempat tinggal sementara atau hotel pada sekeping kertas dan letakkan dalam beg yang dibawa bersama ketika keluar berjalan. Ia sangat membantu sekiranya beg berkenaan tertinggal, jadi kemungkinan beg berkenaan dipulangkan semula kepada anda adalah tinggi.

Maklumat itu juga boleh diletakkan di dalam poket seluar anak sekiranya mereka sesat atau hilang, mudah untuk sesiapa yang menjumpai mereka untuk berhubung dengan anda.

4. Pastikan dokumen sah

Pastikan dokumen seperti passport masih sah dan kenalpasti tarikh tamat supaya tidak menimbulkan sebarang masalah. Sekiranya melancong dalam negara dan memandu sendiri, pastikan lesen memandu belum tamat tempoh bagi mengelakkan anda dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Kad bank atau kad kredit juga perlulah aktif dan boleh digunakan di dalam dan luar negara. Kad yang tamat tempoh mahupun disekat tidak dapat membantu anda sekiranya anda perlu pulang awal atau kekurangan wang tunai.

5. Kenalpasti nombor bantuan kecemasan

Nombor bantuan kecemasan berbeza mengikut negara yang dikunjungi. Cari dan kenalpasti nombor kecemasan negara yang anda tuju sekiranya berlaku kecemasan, anda tidak ada masalah membuat panggilan.

Jika anda ke lokasi pelancongan tempatan, dapatkan dan simpan nombor telefon pihak polis tempatan kerana talian terus ke balai polis mungkin membantu sekiranya talian umum sibuk atau tidak dapat dihubungi.Lebik baik sekiranya lokasi stesen atau balai polis terdekat dikenalpasti kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu apabila dalam kecemasan.
 
Sususan Norhanisah Kamaruzaman

Monday, September 7, 2015

Mengurat kakak, adik yang terpikat...

Saya meminati seorang gadis dan kini berusaha memikatnya. Saya tahu dia juga menyukai saya kerana setiap kali kami bertembung, dia akan membalas senyuman pada saya. Cuma timbul masalah apabila saya mendapat tahu, adik perempuannya turut meminati saya.

Saya meminta rakan perempuan untuk bertanyakan hal berkenaan jika adiknya suka saya, adakah dia akan membalas perasaan saya.

Jawapannya agak menghampakan kerana dia menyatakan akan menolak dan beralah, sedangkan saya tidak sukakan adiknya. Seharusnya dia lebih terbuka dan jujur dengan perasaannya.

Perlukah saya terus menagih cinta gadis berkenaan atau cuba mengalih perasaan itu pada adiknya yang lebih berani meluahkan rasa suka. Bantu saya.

ZAR, Kuala Lumpur

Seorang penulis blog dari seberang pernah menggambarkan perhubungan cinta ibarat dua tiang menyokong satu bangunan. Rangkap menarik perhatian Dang Setia dalam penulisannya ialah;
“Cinta sama seperti dua pilar (tiang) yang menahan sebuah bangunan. Keduanya bergantung sama lain menjaga keutuhan bangunan itu. Ketika pilar (tiang) yang satu berasa tidak bergantung pada pilar (tiang) yang lain, bangunan yang megahpun akan hancur berkeping-keping.”

Justeru saudara perlu mendalami setiap baris digambarkan penulis nyata boleh memberi gambaran mengenai setiap jalan yang saudara pilih dalam penyelesaian ini. Sama ada ingin terus menagih cinta si kakak bermain ‘tarik tali’ atau memilih adik bersungguh-sungguh menyenangi saudara.

Namun, perlu diingatkan ‘tepuk dada tanyalah hati’ kerana saudara boleh jujur terhadap diri sendiri dalam membuat pilihan cinta saudara.

Sekali lagi saudara perlu teliti antara dua beradik itu, mana yang lebih serasi membantu saudara berasa bahagia dengan percintaan.

Setelah saudara yakin dengan pilihan itu, barulah saudara dapat mengatur jalan untuk memikat mahupun memastikan gadis berkenaan dapat merintis pengalaman percintaan membahagiakan

Abang, kakak lepas tangan jaga orang tua...

Saya pemuda berusia 28 tahun dan tinggal bersama orang tua di kampung. Saya lepasan universiti awam tetapi terpaksa ‘gantung’ ijazah demi keluarga. Orang tua saya sudah terlalu uzur. Jadi saya mengambil peranan menjaga kedua-duanya kerana belum berkahwin lagi.

Kakak serta abang saya sudah berkahwin. Mereka memberi alasan terlalu banyak komitmen serta tidak mempunyai masa untuk menjaga mereka. Kesalnya, mereka tinggal tidak jauh dari rumah orang tua saya. Sudahlah rumah dibina atas ihsan orang tua.

Namun, apabila soal menjaga ibu bapa mereka culas untuk melaksanakannya. Saya tidak kisah cuma geram sikap lepas tangan kepada saya atas alasan saya belum berumah tangga lagi. Saya bukan mengharapkan mereka menjaga ibu bapa saya 24 jam sehari tetapi memadailah memberi peluang saya mempunyai masa untuk diri sendiri sekurang-kurangnya sebulan dua kali.

Sudahlah saya terpaksa menjaga perniagaan keluarga. Kini hal makan pakai ibu bapa juga saya uruskan. Saya terkilan dengan sikap mereka yang langsung tidak datang jenguk apatah lagi menghantar makanan untuk meringankan beban saya.

Apabila saya usulkan hal itu, mereka menuduh saya berkira dan tidak sayangkan orang tua. Geram saya mendengarnya.

Apa perlu saya lakukan untuk sedarkan kakak serta abang mengenai tanggungjawab bersama menjaga orang tua. Saya mahu mereka lebih prihatin dengan orang tua dan bukan menolak semuanya pada saya.

AMRAN, Kuala Nerang, Kedah

Rasulullah SAW bersabda, “Sungguh rugi. Sungguh rugi dan sungguh rugi! Iaitu orang yang masih mempunyai ibu bapa yang sudah tua atau salah satu daripada mereka, kemudian, hal ini tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga (kerana tidak berbuat baik kepada mereka).” (Hadis riwayat Muslim)

Jangan sekali-kali terbeban dengan perasaan kehilangan hampir separuh hidup hanya untuk menjaga kedua-dua orang tua. Saudara beruntung kerana diberi kesempatan untuk berbakti kepada orang tua.

Berapakah baki masa masih tinggal untuk saudara bersama mereka? Justeru hargai mereka ketika masih berkesempatan.

Mengenai abang serta kakak, saudara boleh menasihati mereka untuk menghargai masa yang masih ada. Ibu bapa sudah banyak mengorbankan tenaga, masa serta wang ringgit.

Jadi ketika waktu mereka uzur adalah kesempatan perlu direbut untuk mengisi waktu berkualiti bersama mereka.

Andai saudara perlukan ruang peribadi, pinta daripada abang serta kakak dengan baik untuk mengambil giliran sementara saudara uruskan hal sendiri.

Elak berdendam mahupun perasaan marah terhadap sesama saudara. Ini akan menimbulkan rasa kurang selesa pada ibu bapa. Berbanding bergaduh antara saudara kandung, lebih baik bersama-sama berkumpul dan bermesra

Bercinta dengan suami orang

SAYA merupakan seorang pelajar di universiti awam dan berumur 23 tahun. Saya sedang bercinta dengan lelaki berstatus suami orang yang juga merupakan pensyarah di tempat belajar. Kami telah menjalinkan hubungan cinta selama setahun dan dia seorang yang sangat baik serta penyayang.
Walaupun bahagia bersamanya, saya runsing memikirkan masa hadapan kerana status suami orang. Dia pernah mengajak saya berkahwin di Thailand bagi menyembunyikan hubungan ini daripada pengetahuan isterinya.
Saya buntu memikirkan perkara ini dan takut jika tersalah membuat pilihan sehingga merosakkan masa hadapan serta menghancurkan harapan keluarga. Kawan-kawan menasihatkan saya memutuskan hubungan kerana khuatir akan kecewa kelak.
Saya amat menyayanginya. Oleh itu, sangat sukar untuk saya memutuskan hubungan dan menjauhkan diri daripadanya.
Apa yang patut saya lakukan. Bantulah saya kerana ia melibatkan masa hadapan dan harapan keluarga.
LINDA,
Kuala Lumpur


Tuesday, August 11, 2015

Ibu tegur isteri asyik patuh suami

Seorang isteri perlu taat pada suami, justeru saya cuba melakukan yang terbaik. Ini termasuk meminta persetujuannya dan pandangan dalam setiap perkara yang saya lakukan. Namun perbuatan ini mengundang rasa tidak puas hati ibu kerana saya terlalu dengar cakap suami.

Saya tinggal bersama ibu bapa manakala suami berada di Pulau Pinang. Perbuatan ibu sedikit sebanyak membuatkan saya terasa, tambahan pula layanan berbeza diberikan kepada adik-beradik yang lain.

SYAHIRA, Taiping

Suami dan isteri seharusnya tinggal bersama dalam satu rumah tangga. Apabila wujud campur tangan dalam urusan keluarga, pasti ia akan mengundang masalah. Isteri berperanan dan bertanggungjawab dalam rumah tangga suami. Jika berjauhan dan berasingan, bagaimana suami atau isteri hendak laksanakan tanggungjawab masing-masing?

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Semua kamu adalah penggembala dan semua kamu akan bertanggungjawab terhadap apa yang digembalakan.

“Wanita adalah penggembala (pemimpin) dalam rumah tangga suaminya dan bertanggungjawab akan pengurusannya.” (Hadis Riwayat al- Bukhari)

Seorang isteri yang baik sewajarnya mentaati suami termasuk meminta persetujuan dan pandangan terhadap setiap yang hendak dilakukan.
Suami tidak boleh meletakkan isteri bersama orang yang tidak disenanginya atau tidak menyenanginya. Ia akan menyebabkan permusuhan yang berterusan.

Seorang ibu pula harus memahami anak perempuan yang sudah berkahwin perlu mentaati suaminya lebih daripada ibu bapanya sendiri.
Ia berbeza dengan lelaki yang perlu menjaga ibu bapa.

Suami yang baik pula harus memastikan hubungan kekeluargaan isterinya juga berjalan dengan baik. Malah mentuanya hendaklah diang­gap dan dilayan serta dijaga seperti ibu bapanya sendiri.
Saudari dinasihatkan supaya bersabar. Allah SWT sentiasa melihat hamba-Nya. Insya-Allah ada hikmahnya satu hari nanti akan diketahui jua.

Oleh itu carilah jalan penyelesaian yang sewajarnya dan terdaya puan lakukan. Allah SWT tidak menguji seseorang kecuali sekadar yang terdaya ditanggungnya. Wallahualam

Oleh Ustaz Haslin Baharin

Monday, August 10, 2015

Terjatuh hati dengan suami orang.. apa nak buat???

Saya Wanni, seorang pekerja di sebuah syarikat swasta di Kuala Lumpur. Saya masih bujang dan sedang menjalinkan hubungan dengan seseorang lelaki. Namun, lelaki tersebut sudah berumah tangga.
Pada suatu ketika, isteri kepada kekasih saya itu dapat menghidu mengenai perhubungan kami namun, disebabkan perasaan cinta, ikatan tersebut diteruskan secara senyap.
Bagaimanapun, isteri kepada kekasih saya itu masih berusaha mencari kebenaran tentang perhubungan kami sama ada masih bersama atau tidak.
Pada pandangan abang, adakah salah saya berkawan dengan lelaki yang berstatus suami orang kerana pertemuan antara kami bukan dirancang.
Kami ditemukan dalam keadaan saya sendiri tidak bersedia untuk menerima mana-mana lelaki kerana kurang kepercayaan.
Namun, setelah mengenali dia, hati saya terbuka untuk berkawan.
Kekasih saya juga sering memberitahu bahawa dia tidak pernah berniat untuk mencari wanita lain dalam hidupnya selepas berkahwin.
Namun, dia tidak dapat menolak perhubungan yang terjalin antara kami. Saya menjadi buntu kerana ramai yang menyalahkan perempuan seperti saya. Apa pandangan abang terhadap masalah saya ini?
Wanni, Kuala lumpur
JAWAPAN
TERIMA kasih Azri kerana sudi berkongsi dilema anda dalam ruangan ini. Konflik yang dihadapi oleh Wanni ini bukanlah baharu dalam kalangan masyarakat moden yang mempunyai pelbagai kemudahan untuk berhubung.
Pada pendapat abang, memang tidak salah seorang wanita berkawan dengan suami orang namun, perlu ada batasnya.
Hasil daripada penceritaan Wanni, abang dapat rasakan bahawa hubungan yang terjalin lebih daripada kawan biasa. Jadi, abang bimbang ia akan menyebabkan masyarakat memandang negatif kepada perhubungan tersebut. Sebaiknya, Wanni perlu menyelidik sejauh mana keikhlasan kekasih terhadap perhubungan tersebut.
Adakah dia benar-benar mahu memperisterikan Wanni atau sekadar sebagai seorang kekasih.
Jika benar dia mahu berkahwin, Wanni harus bersedia untuk menempuh konflik kehidupan berpoligami yang diketahui sangat mencabar.
Jika, Wanni rasa tidak mampu, sebaiknya ambil pendekatan menjauhkan diri daripada kekasih dan buka hati menerima lelaki lain dalam hidup anda. Harap perkongsian ini dapat membantu Wanni




Thursday, August 6, 2015

Buat rumah terbuka jangan sampai membazir....



Anugerah akal fikiran adalah penghormatan Allah SWT kepada manusia bagi membezakan mereka dengan makhluk lain. Sudah semestinya ia digunakan pada perkara paling utama iaitu mencari keredaan Allah SWT. Keredaan Allah SWT adalah matlamat semua ibadah yang dilakukan termasuklah puasa yang sudah dan bakal kita lakukan seterusnya. Matlamat takwa daripada ibadah puasa yang dimaksudkan al-Quran dalam ayat 183, Surah al-Baqarah membawa natijah kepada kemuncak kejayaan ibadah itu iaitu keredaan yang Maha Esa. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan sesungguhnya kepada Tuhanmu kesudahan setiap sesuatu". (Surah an-Najm, ayat 42).


Kejahilan manusia dalam menentukan matlamat mereka adalah faktor utama yang mengundang kepada kesesatan umat. Terkadang mereka lebih menumpukan kepada keredaan manusia sehingga membawa kepada musibah syirik terhadap Allah SWT. Hakikat sebenar, menuntut keredaan semua manusia adalah satu matlamat yang tidak akan tercapai. Maka, keredaan Allah SWT adalah matlamat sebenar kehidupan manusia sehingga bertemu Allah SWT.

 Untuk mencapai matlamat sebenar ibadah puasa ialah melalui panduan wahyu daripada insan yang maksum iaitu Baginda Nabi SAW. Kelazatan ibadah Al-Quran yang diturunkan pada Ramadan yang baharu berlalu dan masih terasa bahang kelazatan ibadah pada bulan yang penuh keberkatan. Maka, selepas selesai ibadah puasa Ramadan yang lalu, diharap dapat menjana banyak tenaga dalam proses meneruskan ibadah kita pada bulan seterusnya. Berbahagialah mereka yang mendapat kemanisan ibadah dengan rukuk, sujud, bersedekah, berzikir dan membaca al-Quran. 

Hadis Qudsi menyebut bahawa: "Wahai hamba-Ku, sesungguhnya itulah amalan kamu yang akan Aku hitung dan akan Aku memberi ganjaran untuknya. Sesiapa yang mendapat kebaikan daripadanya, hendaklah dia memuji syukur kepada-Ku. Jika sebaliknya, janganlah dia menyalahkan orang lain selain dirinya sendiri". (Riwayat Muslim dari Abu Zarr). Dalam dunia yang penuh dengan cabaran ini, petunjuk daripada Allah SWT amatlah diperlukan kerana pengaruh keduniaan amatlah tebal ketika manusia berada pada akhir zaman.

 Baginda SAW pernah berkata kepada Syaddad bin Aus bermaksud: "Wahai Syaddad, jika kamu melihat manusia berlumba-lumba mengumpulkan emas dan perak, maka pada ketika itu, janganlah kamu lupa menyebut, Ya Allah, aku memohon agar ditetapkan dalam ketaatan, bersungguh-sungguh dalam mencari kebenaran. Aku memohon rahmat dan keampunan daripada-Mu, sentiasa bersyukur terhadap nikmat-Mu serta kesempurnaan ibadah terhadap-Mu. Aku memohon kesejahteraan hati, kebenaran lidah yang tidak bertulang, aku memohon kebaikan dan berlindung daripada sebarang keburukan yang Engkau lebih mengetahui kerana Engkau adalah Tuhan yang mengetahui segala yang ghaib'. (Riwayat Ahmad dan Tabrani). Manusia mestilah sentiasa berada dalam ketaatan walau di mana mereka berada, sama ada Ramadan atau sebaliknya dan sentiasa berdoa agar ditetapkan hati mereka untuk meneruskan kebaikan. Saidatina A'isyah pernah ditanya bagaimana keadaan Baginda SAW. Adakah Baginda mengkhususkan suatu hari untuk beribadah atau bagaimana? Maka jawab A'isyah: "Tidak, Baginda SAW tidak pernah menjadikan ibadah sebagai bermusim, malah Baginda SAW sentiasa dalam keadaan beribadah. Adakah kamu mampu berbuat demikian?" (Riwayat Bukhari dan Muslim). 

Justeru, kesinambungan puasa dapat diteruskan dengan puasa enam hari pada Syawal kerana ia adalah sunah yang kekal sehingga hari kiamat. Ini dijelaskan oleh hadis daripada Abu Ayub al-Ansari bermaksud: "Sesiapa yang berpuasa Ramadan dan diikuti dengan enam hari pada bulan Syawal, seolah ia berpuasa sepanjang tahun". (Riwayat Muslim). Ditafsirkan oleh hadis daripada Tsauban dengan menyebut Baginda SAW bersabda bermaksud: "Sesiapa melakukan satu kebaikan akan dikurniakan ganjaran dengan sepuluh pahala". (Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah). Bagaimanapun menyambut hari raya selepas berpuasa enam hari tiada dalam syariat Islam. Ini dijelaskan dengan peristiwa Baginda SAW memasuki kota Madinah ketika itu penduduk Madinah memiliki dua hari kebesaran yang diraikan. Rasulullah SAW bertanya : "Hari apakah ini? Mereka menjawab, ia adalah dua hari yang kami suka bermain-main padanya pada zaman jahiliah. Maka Rasulullah SAW bersabda: "Sungguh Allah telah menggantikan kalian dengan yang lebih baik daripadanya, iaitu Aidilfitri dan Aidiladha." (Riwayat Ahmad, Abu Dawud dan Al-Hakim) Tiada hari raya pada hari kelapan Syawal Berdasarkan hadis di atas, Ibnu Taymiyyah berpendapat bahawa tiada hari raya pada hari kelapan Syawal kerana tiada harus bagi seseorang beriktikad bahawa hari terbabit adalah hari raya kerana ia tiada dalam syariat Islam. 

Bagaimanapun, majoriti ulama berpendapat bahawa kenduri dan doa selamat adalah diharuskan bersesuaian dengan konsep rumah terbuka khususnya apa yang dilakukan warga kota selepas Syawal. Program jamuan pada Syawal adalah menjadi kebiasaan warga kota selain memenuhi tuntutan agama dalam mengeratkan silaturahim seperti dianjurkan Islam. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadah kepada Allah dan jangan kamu sekutukan Dia dengan sesuatu pun juga dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua-dua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat, jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. 

Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri". (Surah an-Nisa', ayat 36). Sabda Baginda SAW bermaksud: "Mahukah aku memberitahu kamu suatu perkara yang dengannya, Allah akan memuliakan binaan (kedudukan seseorang) dan mengangkatnya kepada beberapa darjat ketinggian. Mereka menjawab: Ya wahai Rasulullah. Baginda bersabda: "Berlemah-lembutlah kamu terhadap orang jahil, maafkanlah orang yang menzalimi kamu, hulurkanlah pemberian kepada orang yang menahan pemberiannya kepadamu dan menyambung ikatan silaturahim terhadap orang yang memutuskannya terhadap kamu." 

Baginda SAW bersabda maksudnya: "Sesungguhnya seorang Mukmin kepada Mukmin yang lain bagaikan satu bangunan yang saling mengukuhkan antara satu sama lain". (Riwayat Bukhari). Namun batas agama dalam melaksanakan jamuan rumah terbuka mestilah dijaga dengan menjauhi pembaziran kerana ia bercanggah dengan kehendak agama. Kesimpulannya, Ramadan yang ditinggalkan mestilah memberi kesan dalam jiwa orang yang beriman sehingga mereka dapat meneruskan momentum ibadah sehingga Ramadan akan datang. Jika perniagaan yang mendapat pulangan sehingga tahun hadapan, maka perniagaan itu dianggap berjaya.

 Kejayaan ini mesti diiringi dengan doa dan harapan agar dipertemukan dengan Ramadan yang akan datang. Kita hendaklah memastikan ibadah puasa dilakukan mencapai matlamat takwa sebenarnya.

Menunggu anak tidak kunjung tiba....Janji demi janji dibuat tetapi tetap tidak pulang beraya

MEMASUKI Syawal minggu yang ketiga, Pak Malim dan Mak Munah (bukan nama sebenar) masih menunggu kepulangan anak yang amat dinanti-nantikan. Anak kedua daripada empat beradik itu masih tidak kunjung tiba menjengah kedua-dua orang tua itu biarpun pada awal Ramadan lalu, anaknya itu beria-ia hendak balik selepas empat tahun tidak pulang ke kampung.

Anaknya yang kedua itu lulusan luar negara memang menjadi kebanggaan ayah dan ibunya kerana merupakan anak jati kampung itu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Pak Malim memberitahu, bukan sekadar berjaya dalam pelajaran, Rahim (bukan nama sebenar) kini juga sudah bergelar doktor dan menabur bakti di sebuah bandar besar.

“Saya amat merindui anak saya itu. Rasanya dah terlalu lama saya tidak berjumpa dia semenjak memegang gelaran doktor dan bertugas di bandar. Kali terakhir dia balik ialah pada tahun ketiga, selepas habis pengajiannya itupun kerana mahu beritahu kami berdua dia sudah berkahwin di luar negara dan isterinya ialah seorang mualaf berasal dari London. Hanya gambar merakamkan wajah menantu yang diberikan buat tatapan Pak Malim dan Mak Munah.

Menantu mat saleh, kata anak-anaknya yang lain dengan nada yang agak cemburu. Pak Malim pula berasa berbelah bahagi antara rasa bangga dan ragu.
“Pada mula mendengar berita itu, saya dan emaknya rasa marah juga. Maklumlah, dia mengambil keputusan terburu-buru dan kami sendiri tidak mengenali siapa menantu kami. Tetapi lama kelamaan saya dan ibunya reda dan memberi restu dengan perkahwinan berkenaan. Asalkan dia gembira, kami pun rasa bahagia.

“Selepas itu dia balik ke kampung, namun seorang diri kerana katanya, isterinya tidak balik ke Malaysia bersama. Dia hanya berada selama tiga hari di kampung sebelum balik ke bandar kerana katanya, tiada orang menggantikan tugasnya,” kata Pak Malim yang tinggal di utara Semenanjung.

Sesekali mendengar macam kisah dalam drama, namun menurut Pak Malim, itulah hakikat yang dihadapinya. Pak Malim dan Mak Munah kemudian mendengar berita, anaknya itu telah pun mendapat anak dan bakal ditunjukkan kepada kedua orang tua itu menjelang Syawal nanti.

“Dia menelefon saya, sebelum Ramadan, dia akan balik membawa isteri dan anaknya. Tetapi dia agak keberatan kerana katanya, tandas di rumah kampung itu terletak di luar dan tandas cangkung, menyebabkan mungkin anak dan isterinya itu tidak berasa selesa.

“Agar anak dan menantu tidak rasa kekok apabila berada di kampung ketika kepulangan mereka, saya telah memanggil tukang rumah untuk membuat sebuah bilik asing dan menyediakan tandas khas dengan menggunakan tandas duduk.

“Dikhuatiri mereka akan rasa panas, saya dah mengupah orang membeli penghawa dingin dan diletakkan di dalam bilik mereka. Modal semua itu saya yang tanggung kerana mahu anak menantu serta cucu berasa selesa. Malah, katil, tilam dan almari baru juga sudah dibeli agar nanti mereka dapat duduk dengan suka hati,” kata Pak Malim.

Warga emas itu ada juga mendengar rungutan daripada anak-anak yang lain mengapa dia sampai sanggup berkorban wang ringgit begitu rupa sedangkan anaknya itu tidak mengirimkan duit untuk proses mengubah suai bilik berkenaan dan membeli pendingin hawa.
Dia juga dipersoalkan mengapa beria-ia membuat kelengkapan untuk anaknya itu sedangkan Rahim belum tentu balik ke kampung.

Tetapi Pak Malim tetap beranggapan anaknya itu akan balik dan sekiranya anak itu berkata isteri dan anaknya itu mungkin tidak berasa selesa nanti, dia akan memberitahu semua persiapan untuk keselesaan menantu dan cucu telah siap dilakukan.
Tapi selepas memasuki minggu ketiga Syawal, Pak Malim masih menunggu anak yang tidak kunjung tiba.
Apabila ditanyakan menerusi telefon, jadi atau tidak balik ke kampung, Rahim menyatakan barang kali akan balik tetapi minta ditangguh beberapa hari kerana kesibukan kerja.

“Ramai orang surau dan orang kampung mengetahui Rahim dan anak isterinya akan balik beraya pada tahun ini.

“Apabila saya telefon, bertanyakan bila dia akan balik, dia seolah-olah berdolak-dalik. Emaknya sudah lama bersabar dan menunggu untuk melihat cucu dan menantu orang putih. Tetapi sehingga kini tiada kesempatan melihatnya,” kata Pak Malim yang enggan lagi menelefon anaknya itu bertanyakan bila dia akan balik.

Tuesday, August 4, 2015

Isteri serik tabiat seks pelik suami



KUALA LUMPUR: Tabiat pelik seorang lelaki yang gemar melihat isterinya melakukan hubungan seks dengan lelaki lain di hadapannya akhirnya terbongkar selepas wanita terbabit yang tidak tahan diperlakukan sedemikian nekad membuat laporan polis, kelmarin. 

Wanita berusia 28 tahun yang sedang sarat mengandung sembilan bulan itu membuat keputusan melarikan diri dari kediamannya di Taman Daya, Kepong di sini dan membuat laporan polis selepas menerima panggilan dari suaminya kira-kira jam 10.30 malam, Ahad lalu mengarahkannya bersiap sedia untuk melakukan hubungan seks dengan seorang lelaki warga Bangladesh yang akan dibawa pulang pada malam itu. Mangsa yang berniaga barang permainan kanak-kanak di sebuah pasar raya di Selayang itu mendakwa suaminya sudah beberapa kali memaksanya melakukan hubungan seks dengan lelaki Bangladesh terbabit dengan alasan untuk suka-suka dan lebih terangsang dengan kali terakhir diperlakukan sedemikian pada Julai lalu ketika dia mengandung tujuh bulan. 

Menurut sumber, suami wanita terbabit yang berusia 34 tahun ditahan sejurus polis menerima laporan dan kini direman selama tujuh hari sehingga Ahad depan bagi membantu siasatan.



"Lelaki Bangladesh terbabit juga sudah ditahan dan siasatan awal mendapati suspek bekerja sebagai pembantu kedai borong permainan kanak-kanak di Chow Kit. Suspek berusia 26 tahun. "Mangsa sudah pun dihantar ke Hospital Selayang untuk menjalani pemeriksaan," kata sumber. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Ali Ahmad yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berkenaan kes itu dan siasatan sedang dijalankan. Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.



Thursday, July 30, 2015

Menjadi mangsa fitnah: Laman sosial menyebabkan hubungan saudara jadi renggang

Kepulangan Linda, 30, ke rumah nenek sebelah ibunya di sebuah perkampungan di utara Semenanjung bagi sambutan Syawal baru-baru ini, tidak semeriah sebagaimana diharapkan.
Dia yang tidak mengetahui punca sebenar tindakan ramai dalam kalangan sepupu-sepupunya yang tidak mengindahkan malah dilihat seperti memulaukan dirinya amat tidak difahami.
Dia yang balik beraya bersama keluarga, ibu dan ayahnya, sedikit berasa tersisih dengan layanan daripada sepupu-sepupu yang lain.

“Keluarga nenek memang ramai. Ibu saya mempunyai 12 orang adik-beradik dan setiap keluarga mempunyai anak-anak yang ramai. Apabila sesekali balik berjumpa pasti meriah kerana setahun sekali bersua mesra apabila hari raya.
“Tetapi kepulangan saya baru-baru ini seolah-olah tidak diendahkan oleh sepupu-sepupu lain yang jarak usia mereka tidak jauh beza dari saya,” jelas Linda ketika ditemui di majlis rumah terbuka baru-baru ini.
Namun menurut Linda, bukan semua yang bersikap begitu, ada yang juga masih mesra dan saling bertegur sapa dan bertanyakan khabar apabila bersua di rumah nenek pada pagi Syawal.

Linda yang kehairanan cuba mencari punca dan masalah sebenar apa yang menyebabkan sepupu-sepupu yang kebanyakannya perempuan enggan bercakap dengan dirinya, sedangkan sepatutnya, pada pagi raya seperti itu orang akan saling bersalaman bagi memohon ampun atas kekhilafan yang dilakukan.
Masih teringat di fikiran Linda bagaimana meriahnya dia dan sepupu-sepupu saling berlumba-lumba mencantikkan diri dengan memakai pakaian baru yang paling cantik di mata mereka.
Selalunya, dia yang akan mendapat pujian daripada nenek dan datuknya kerana Linda memang dilahirkan dalam keluarga yang memiliki personaliti menawan.

“Namun semua itu tidak pernah menjadi penghalang dan bagi saya kelebihan itu tidak pernah dijadikan ukuran kepada persahabatan saya dengan sepupu-sepupu lain,” katanya.
Akhirnya, menurut Linda, tiga hari selepas balik ke kampung, apabila dia beraya ke rumah sepupunya yang paling muda, iaitu anak kepada ibu saudaranya paling bongsu, segalanya terbongkar.
Itupun selepas Linda cuba mengorek kebenaran yang menjadikan dirinya seolah-olah tidak diendahkan oleh sepupu-sepupu lain.

Setelah dikorek rahsia, barulah Linda mengetahui yang selama ini dia menjadi bahan cerita, kutukan dan sindiran beberapa sepupunya yang lain di dalam laman sosial seperti facebook, we chat dan whats app.
“Aplikasi laman sosial seperti whats app menyediakan satu laman bagi perkumpulan atau group yang membolehkan mereka yang berada di dalam perkumpulan berkenaan boleh berbincang sesama mereka tanpa diketahui oleh insan luar yang tidak tersenarai dalam perkumpulan berkenaan.
“Sepatutnya laman sosial seperti ini memberi banyak kebaikan kepada mereka yang berada di dalamnya seperti pengetahuan, mengeratkan perhubungan, memberi bantuan dan sebagainya, namun selalunya laman sosial seperti ini akan menjadi satu tempat untuk melepaskan geram, dendam, kutukan dan malahan fitnah kepada orang lain.
“Inilah yang terjadi kepada saya kerana saya sering menjadi fitnah kepada sepupu-sepupu lain dan saya sendiri tidak mengetahuinya kerana mereka mempunyai group whats app sendiri,” jelas Linda.

Apa yang Linda tidak tahu sepanjang tahun lepas, Linda sentiasa menjadi bahan fitnah daripada tiga orang sepupu yang amat mencemburuinya selama ini.
Bukan sahaja atas dasar kecantikan Linda, malah dia juga merupakan pegawai tertinggi di jabatan kerajaan, lulusan luar negara dan keluarganya kaya serta disenangi oleh datuk dan neneknya.
Daripada risikan yang Linda lakukan, sepupunya yang muda itu telah menunjukkan laman sosial berkenaan dan pelbagai perbincangan yang telah mereka lakukan yang kebanyakannya memburuk-burukkan dirinya, yang semuanya berunsurkan fitnah.

Sepupunya yang paling muda dan yang paling baik dengannya itu mengakui hanya melihat sahaja lontaran perbincangan yang dimuat naik oleh sepupu-sepupu lain tetapi dia sendiri tidak masuk campur kerana mengetahui kebanyakannya adalah fitnah terhadap Linda.

“Rasa marah, lucu, sedih dan sebagainya bercampur baur dalam perasaan apabila membaca perbincangan yang dilakukan dalam laman sosial berkenaan. Tetapi saya beranggapan, semua itu hanya satu perkara biasa yang dilontarkan oleh mereka yang tidak mengenali saya sepenuhnya.
“Dari sekecil hingga sebesar ayat saya baca, satu perkara yang menyentuh hati ialah apabila mereka mengaitkan saya cantik tetapi dalam usia seperti itu masih belum mempunyai teman lelaki. Mereka bukannya tidak tahu jodoh dan ajal maut itu di tangan Tuhan. Siapalah kita yang menentukannya.

“Dari situ saya berasakan amatlah teruknya laman sosial ini sekiranya digunakan tanpa perkara yang jelas dan digunakan untuk memfitnah. Apa yang penting mereka berbincang di laman sosial mengenai diri mereka tetapi orang yang diperbincangkan itu tidak mengetahui apa-apa pun malah tidak mempunyai kuasa untuk membela diri.
Apa-apa pun dalam hati, saya memaafkan mereka atas perbuatan yang dilakukan.

“Mereka tidak tahu saya telah tahu apa yang mereka bincangkan mengenai diri saya, tetapi mulai dari hari itu saya mesti berhati-hati. Apa yang saya dapati, bukan hanya perihal saya yang mereka bincangkan, malah mereka juga akan turut membincangkan orang lain yang tidak disukai mereka di laman berkenaan,” katanya.

Drama adaptasi novel memalukan wanita

Cukup-cukuplah televisyen tayang drama bersiri adaptasi daripada novel.Awal kemunculan satu atau dua drama macam tu memang seronok tetapi setelah semua stesen televisyen berlumba-lumba tayang, dah naik muak pula.

Plot sama, kahwin paksa, lepas itu baru timbul bibit cinta. Dari nak bercerai, tak jadi bercerai. Teman wanita lama dendam bagai nak gila sampai sanggup membunuh.

Asasnya begitulah. Malunya tengok perangai wanita yang kemaruk lelaki. Penulis novelnya wanita tetapi menggambarkan watak wanita yang merendahkan maruahnya.

Dalil pengarah/penerbit sudah pasti akan kata cerita ini penuh pengajaran. Yang jahat akan dapat balasan jahat, yang baik akan mendapat kebahagiaan apabila dia sabar.Kalau tengok kartun Tom & Jerry pun boleh dapat pengajaran.
Novel cinta yang biasanya membawa orang dalam khayalan sudah menjangkit ke televisyen pula.

Mulalah wanita-wanita mendambakan seorang lelaki yang romantik yang boleh menahan sabar tahap maksimum. Realitinya memang tak pernah jumpa.

Baguslah sekarang dah kurang cerita pakwe makwe yang membawa kepada lahirnya anak luar nikah tetapi zaman sekarang ceritanya ‘mengangkat’ institusi perkahwinan dengan cara yang janggal.
Kisah suami isteri yang berkahwin secara kontrak dan bercerai.

Tidak mustahil akan datang ramai yang berkahwin dengan cara begini. Maklumlah perkara itu seakan sudah menjadi kebiasaan di kaca tv. Daripada seorang yang masih mengingati drama adaptasi novel Seorang Tua Di Kaki Gunung.


Rin
Damansara

Pantang larang pengurusan masjid

Harap wakil-wakil jabatan agama yang terbaca apa yang saya tulis dapat memberikan penjelasan.

Saya juga memohon 
dipanjangkan persoalan saya berkenaan pengurusan masjid di Malaysia ini kepada pihak berkenaan.

1. Masjid adalah satu kemudahan wakaf. Kemudahan-kemudahan yang ada bukan hanya untuk bersolat malah lebih lagi terutama dalam menarik jemaah mengimarahkannya.
Malah, orang kafir juga dibenarkan tumpang guna kemudahan-kemudahan yang ada sebagai teknik dakwah.
Teduhan, tandas, taman dan tempat-tempat selain ruang solat sewajarnya dimanfaatkan sepenuhnya ke jalan Allah.
Malangnya, ada yang dikunci kerana bimbang barangan dicuri.
Sampaikan pagar untuk masuk parkir pun dikunci, kena panjat untuk tumpang solat atau guna tandas.

2. Larangan mandi di masjid. Ini tidak masuk akal, bersuci adalah tuntutan Islam. Syaarat sah solat.
Bagaimanakah seseorang yang berhadas besar ingin menunaikan solat jika masjid melarang jemaah mandi di masjid walaupun bilik mandi dibina dengan duit wakaf?

3. Larangan penggunaan sebarang kasut termasuk selipar tandas.
Disyaratkan berkaki ayam dalam tandas masjid-masjid tertentu, kebanyakannya di Selangor.
Mana lebih suci, tanah yang mengotori lantai tandas atau najis yang tempias ke lantai tandas?

Sekian persoalan-persoalan saya.

Mohd Ghazali Shariff Pudin


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...