terima kasih buat kalian semua..

Tuesday, August 11, 2015

Ibu tegur isteri asyik patuh suami

Seorang isteri perlu taat pada suami, justeru saya cuba melakukan yang terbaik. Ini termasuk meminta persetujuannya dan pandangan dalam setiap perkara yang saya lakukan. Namun perbuatan ini mengundang rasa tidak puas hati ibu kerana saya terlalu dengar cakap suami.

Saya tinggal bersama ibu bapa manakala suami berada di Pulau Pinang. Perbuatan ibu sedikit sebanyak membuatkan saya terasa, tambahan pula layanan berbeza diberikan kepada adik-beradik yang lain.

SYAHIRA, Taiping

Suami dan isteri seharusnya tinggal bersama dalam satu rumah tangga. Apabila wujud campur tangan dalam urusan keluarga, pasti ia akan mengundang masalah. Isteri berperanan dan bertanggungjawab dalam rumah tangga suami. Jika berjauhan dan berasingan, bagaimana suami atau isteri hendak laksanakan tanggungjawab masing-masing?

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Semua kamu adalah penggembala dan semua kamu akan bertanggungjawab terhadap apa yang digembalakan.

“Wanita adalah penggembala (pemimpin) dalam rumah tangga suaminya dan bertanggungjawab akan pengurusannya.” (Hadis Riwayat al- Bukhari)

Seorang isteri yang baik sewajarnya mentaati suami termasuk meminta persetujuan dan pandangan terhadap setiap yang hendak dilakukan.
Suami tidak boleh meletakkan isteri bersama orang yang tidak disenanginya atau tidak menyenanginya. Ia akan menyebabkan permusuhan yang berterusan.

Seorang ibu pula harus memahami anak perempuan yang sudah berkahwin perlu mentaati suaminya lebih daripada ibu bapanya sendiri.
Ia berbeza dengan lelaki yang perlu menjaga ibu bapa.

Suami yang baik pula harus memastikan hubungan kekeluargaan isterinya juga berjalan dengan baik. Malah mentuanya hendaklah diang­gap dan dilayan serta dijaga seperti ibu bapanya sendiri.
Saudari dinasihatkan supaya bersabar. Allah SWT sentiasa melihat hamba-Nya. Insya-Allah ada hikmahnya satu hari nanti akan diketahui jua.

Oleh itu carilah jalan penyelesaian yang sewajarnya dan terdaya puan lakukan. Allah SWT tidak menguji seseorang kecuali sekadar yang terdaya ditanggungnya. Wallahualam

Oleh Ustaz Haslin Baharin

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...