Anaknya yang kedua itu lulusan luar negara memang menjadi kebanggaan ayah dan ibunya kerana merupakan anak jati kampung itu yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.
Pak Malim memberitahu, bukan sekadar berjaya dalam pelajaran, Rahim (bukan nama sebenar) kini juga sudah bergelar doktor dan menabur bakti di sebuah bandar besar.

“Saya amat merindui anak saya itu. Rasanya dah terlalu lama saya tidak berjumpa dia semenjak memegang gelaran doktor dan bertugas di bandar. Kali terakhir dia balik ialah pada tahun ketiga, selepas habis pengajiannya itupun kerana mahu beritahu kami berdua dia sudah berkahwin di luar negara dan isterinya ialah seorang mualaf berasal dari London. Hanya gambar merakamkan wajah menantu yang diberikan buat tatapan Pak Malim dan Mak Munah.

Menantu mat saleh, kata anak-anaknya yang lain dengan nada yang agak cemburu. Pak Malim pula berasa berbelah bahagi antara rasa bangga dan ragu.
“Pada mula mendengar berita itu, saya dan emaknya rasa marah juga. Maklumlah, dia mengambil keputusan terburu-buru dan kami sendiri tidak mengenali siapa menantu kami. Tetapi lama kelamaan saya dan ibunya reda dan memberi restu dengan perkahwinan berkenaan. Asalkan dia gembira, kami pun rasa bahagia.

“Selepas itu dia balik ke kampung, namun seorang diri kerana katanya, isterinya tidak balik ke Malaysia bersama. Dia hanya berada selama tiga hari di kampung sebelum balik ke bandar kerana katanya, tiada orang menggantikan tugasnya,” kata Pak Malim yang tinggal di utara Semenanjung.

Sesekali mendengar macam kisah dalam drama, namun menurut Pak Malim, itulah hakikat yang dihadapinya. Pak Malim dan Mak Munah kemudian mendengar berita, anaknya itu telah pun mendapat anak dan bakal ditunjukkan kepada kedua orang tua itu menjelang Syawal nanti.

“Dia menelefon saya, sebelum Ramadan, dia akan balik membawa isteri dan anaknya. Tetapi dia agak keberatan kerana katanya, tandas di rumah kampung itu terletak di luar dan tandas cangkung, menyebabkan mungkin anak dan isterinya itu tidak berasa selesa.

“Agar anak dan menantu tidak rasa kekok apabila berada di kampung ketika kepulangan mereka, saya telah memanggil tukang rumah untuk membuat sebuah bilik asing dan menyediakan tandas khas dengan menggunakan tandas duduk.

“Dikhuatiri mereka akan rasa panas, saya dah mengupah orang membeli penghawa dingin dan diletakkan di dalam bilik mereka. Modal semua itu saya yang tanggung kerana mahu anak menantu serta cucu berasa selesa. Malah, katil, tilam dan almari baru juga sudah dibeli agar nanti mereka dapat duduk dengan suka hati,” kata Pak Malim.

Warga emas itu ada juga mendengar rungutan daripada anak-anak yang lain mengapa dia sampai sanggup berkorban wang ringgit begitu rupa sedangkan anaknya itu tidak mengirimkan duit untuk proses mengubah suai bilik berkenaan dan membeli pendingin hawa.
Dia juga dipersoalkan mengapa beria-ia membuat kelengkapan untuk anaknya itu sedangkan Rahim belum tentu balik ke kampung.

Tetapi Pak Malim tetap beranggapan anaknya itu akan balik dan sekiranya anak itu berkata isteri dan anaknya itu mungkin tidak berasa selesa nanti, dia akan memberitahu semua persiapan untuk keselesaan menantu dan cucu telah siap dilakukan.
Tapi selepas memasuki minggu ketiga Syawal, Pak Malim masih menunggu anak yang tidak kunjung tiba.
Apabila ditanyakan menerusi telefon, jadi atau tidak balik ke kampung, Rahim menyatakan barang kali akan balik tetapi minta ditangguh beberapa hari kerana kesibukan kerja.

“Ramai orang surau dan orang kampung mengetahui Rahim dan anak isterinya akan balik beraya pada tahun ini.

“Apabila saya telefon, bertanyakan bila dia akan balik, dia seolah-olah berdolak-dalik. Emaknya sudah lama bersabar dan menunggu untuk melihat cucu dan menantu orang putih. Tetapi sehingga kini tiada kesempatan melihatnya,” kata Pak Malim yang enggan lagi menelefon anaknya itu bertanyakan bila dia akan balik.