terima kasih buat kalian semua..

Monday, September 7, 2015

Abang, kakak lepas tangan jaga orang tua...

Saya pemuda berusia 28 tahun dan tinggal bersama orang tua di kampung. Saya lepasan universiti awam tetapi terpaksa ‘gantung’ ijazah demi keluarga. Orang tua saya sudah terlalu uzur. Jadi saya mengambil peranan menjaga kedua-duanya kerana belum berkahwin lagi.

Kakak serta abang saya sudah berkahwin. Mereka memberi alasan terlalu banyak komitmen serta tidak mempunyai masa untuk menjaga mereka. Kesalnya, mereka tinggal tidak jauh dari rumah orang tua saya. Sudahlah rumah dibina atas ihsan orang tua.

Namun, apabila soal menjaga ibu bapa mereka culas untuk melaksanakannya. Saya tidak kisah cuma geram sikap lepas tangan kepada saya atas alasan saya belum berumah tangga lagi. Saya bukan mengharapkan mereka menjaga ibu bapa saya 24 jam sehari tetapi memadailah memberi peluang saya mempunyai masa untuk diri sendiri sekurang-kurangnya sebulan dua kali.

Sudahlah saya terpaksa menjaga perniagaan keluarga. Kini hal makan pakai ibu bapa juga saya uruskan. Saya terkilan dengan sikap mereka yang langsung tidak datang jenguk apatah lagi menghantar makanan untuk meringankan beban saya.

Apabila saya usulkan hal itu, mereka menuduh saya berkira dan tidak sayangkan orang tua. Geram saya mendengarnya.

Apa perlu saya lakukan untuk sedarkan kakak serta abang mengenai tanggungjawab bersama menjaga orang tua. Saya mahu mereka lebih prihatin dengan orang tua dan bukan menolak semuanya pada saya.

AMRAN, Kuala Nerang, Kedah

Rasulullah SAW bersabda, “Sungguh rugi. Sungguh rugi dan sungguh rugi! Iaitu orang yang masih mempunyai ibu bapa yang sudah tua atau salah satu daripada mereka, kemudian, hal ini tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga (kerana tidak berbuat baik kepada mereka).” (Hadis riwayat Muslim)

Jangan sekali-kali terbeban dengan perasaan kehilangan hampir separuh hidup hanya untuk menjaga kedua-dua orang tua. Saudara beruntung kerana diberi kesempatan untuk berbakti kepada orang tua.

Berapakah baki masa masih tinggal untuk saudara bersama mereka? Justeru hargai mereka ketika masih berkesempatan.

Mengenai abang serta kakak, saudara boleh menasihati mereka untuk menghargai masa yang masih ada. Ibu bapa sudah banyak mengorbankan tenaga, masa serta wang ringgit.

Jadi ketika waktu mereka uzur adalah kesempatan perlu direbut untuk mengisi waktu berkualiti bersama mereka.

Andai saudara perlukan ruang peribadi, pinta daripada abang serta kakak dengan baik untuk mengambil giliran sementara saudara uruskan hal sendiri.

Elak berdendam mahupun perasaan marah terhadap sesama saudara. Ini akan menimbulkan rasa kurang selesa pada ibu bapa. Berbanding bergaduh antara saudara kandung, lebih baik bersama-sama berkumpul dan bermesra

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...