terima kasih buat kalian semua..

Friday, September 11, 2015

Ambil kira ‘malang tak berbau’ ketika percutian..

Percutian adalah waktu untuk menenangkan minda dan menikmati suasana baru di luar kebiasaan atau rutin harian. Waktu itu juga kebiasaannya dimanfaatkan untuk menenangkan minda dan lari seketika daripada tekanan kerja dan kehidupan seharian.

Ada yang memilih melancong atau bercuti menggunakan ejen pelancongan dan ada gemar merancang percutian sendiri semua­nya bagi memastikan percutian berjalan lancar. Namun, kadangkala malang tidak berbau dan berada di luar kawasan mungkin menyukarkan lagi keadaan. Beberapa tip diharap membantu sebelum anda bertolak atau memulakan perjalanan.

1. Beritahu keluarga atau rakan terdekat

Jika melancong atau bercuti bersama rakan, pastikan beritahu ibu bapa atau keluarga terdekat lokasi percutian atau ejen pelancongan yang and ikuti. Ini bagi memudahkan mereka memberi maklumat kepada pihak berkenaan sekiranya anda hilang atau terputus talian dengan mereka.
Beritahu rakan atau keluarga yang tinggal di sekitar tempat yang dituju supaya mereka dapat membantu kerana mereka mungkin lebih memahami masyarakat atau keadaan sekeliling. Tidak salah memberitahu kerana anda tidak tahu apa yang bakal berlaku dan ia tidak mengganggu percutian.

2. Bawa kit pertolongan kecemasan

Kit pertolongan kecemasan tidak semestinya yang sama seperti yang ada dipasaran. Bawa kit pertolongan kecemasan mengikut keperluan anda, contohnya ubatan yang kerap digunakan atau diperlukan.

Jika anak ikut bersama, bawa ubatan atau krim alahan dan segaal keperluan mereka perlukan kerana perjalanan atau suasana baru mungkin menjejaskan kesihatan fizikal mereka. Namun, tidak salah membawa kit pertolongan kecemasan yang boleh didapati di farmasi kerana ia lengkap dengan barangan yang mungkin diperlukan seperti kain pembalut dan pencuci antiseptik.

3. Simpan maklumat anda

Tulis maklumat seperti nombor telefon dan tempat tinggal sementara atau hotel pada sekeping kertas dan letakkan dalam beg yang dibawa bersama ketika keluar berjalan. Ia sangat membantu sekiranya beg berkenaan tertinggal, jadi kemungkinan beg berkenaan dipulangkan semula kepada anda adalah tinggi.

Maklumat itu juga boleh diletakkan di dalam poket seluar anak sekiranya mereka sesat atau hilang, mudah untuk sesiapa yang menjumpai mereka untuk berhubung dengan anda.

4. Pastikan dokumen sah

Pastikan dokumen seperti passport masih sah dan kenalpasti tarikh tamat supaya tidak menimbulkan sebarang masalah. Sekiranya melancong dalam negara dan memandu sendiri, pastikan lesen memandu belum tamat tempoh bagi mengelakkan anda dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Kad bank atau kad kredit juga perlulah aktif dan boleh digunakan di dalam dan luar negara. Kad yang tamat tempoh mahupun disekat tidak dapat membantu anda sekiranya anda perlu pulang awal atau kekurangan wang tunai.

5. Kenalpasti nombor bantuan kecemasan

Nombor bantuan kecemasan berbeza mengikut negara yang dikunjungi. Cari dan kenalpasti nombor kecemasan negara yang anda tuju sekiranya berlaku kecemasan, anda tidak ada masalah membuat panggilan.

Jika anda ke lokasi pelancongan tempatan, dapatkan dan simpan nombor telefon pihak polis tempatan kerana talian terus ke balai polis mungkin membantu sekiranya talian umum sibuk atau tidak dapat dihubungi.Lebik baik sekiranya lokasi stesen atau balai polis terdekat dikenalpasti kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu apabila dalam kecemasan.
 
Sususan Norhanisah Kamaruzaman

No comments:

Post a Comment

Harap dapat tinggalkan nama anda apabila membuat komen yer..Tak kisah la nama betul ke samaran....TQ

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...