terima kasih buat kalian semua..

Friday, September 11, 2015

Ambil kira ‘malang tak berbau’ ketika percutian..

Percutian adalah waktu untuk menenangkan minda dan menikmati suasana baru di luar kebiasaan atau rutin harian. Waktu itu juga kebiasaannya dimanfaatkan untuk menenangkan minda dan lari seketika daripada tekanan kerja dan kehidupan seharian.

Ada yang memilih melancong atau bercuti menggunakan ejen pelancongan dan ada gemar merancang percutian sendiri semua­nya bagi memastikan percutian berjalan lancar. Namun, kadangkala malang tidak berbau dan berada di luar kawasan mungkin menyukarkan lagi keadaan. Beberapa tip diharap membantu sebelum anda bertolak atau memulakan perjalanan.

1. Beritahu keluarga atau rakan terdekat

Jika melancong atau bercuti bersama rakan, pastikan beritahu ibu bapa atau keluarga terdekat lokasi percutian atau ejen pelancongan yang and ikuti. Ini bagi memudahkan mereka memberi maklumat kepada pihak berkenaan sekiranya anda hilang atau terputus talian dengan mereka.
Beritahu rakan atau keluarga yang tinggal di sekitar tempat yang dituju supaya mereka dapat membantu kerana mereka mungkin lebih memahami masyarakat atau keadaan sekeliling. Tidak salah memberitahu kerana anda tidak tahu apa yang bakal berlaku dan ia tidak mengganggu percutian.

2. Bawa kit pertolongan kecemasan

Kit pertolongan kecemasan tidak semestinya yang sama seperti yang ada dipasaran. Bawa kit pertolongan kecemasan mengikut keperluan anda, contohnya ubatan yang kerap digunakan atau diperlukan.

Jika anak ikut bersama, bawa ubatan atau krim alahan dan segaal keperluan mereka perlukan kerana perjalanan atau suasana baru mungkin menjejaskan kesihatan fizikal mereka. Namun, tidak salah membawa kit pertolongan kecemasan yang boleh didapati di farmasi kerana ia lengkap dengan barangan yang mungkin diperlukan seperti kain pembalut dan pencuci antiseptik.

3. Simpan maklumat anda

Tulis maklumat seperti nombor telefon dan tempat tinggal sementara atau hotel pada sekeping kertas dan letakkan dalam beg yang dibawa bersama ketika keluar berjalan. Ia sangat membantu sekiranya beg berkenaan tertinggal, jadi kemungkinan beg berkenaan dipulangkan semula kepada anda adalah tinggi.

Maklumat itu juga boleh diletakkan di dalam poket seluar anak sekiranya mereka sesat atau hilang, mudah untuk sesiapa yang menjumpai mereka untuk berhubung dengan anda.

4. Pastikan dokumen sah

Pastikan dokumen seperti passport masih sah dan kenalpasti tarikh tamat supaya tidak menimbulkan sebarang masalah. Sekiranya melancong dalam negara dan memandu sendiri, pastikan lesen memandu belum tamat tempoh bagi mengelakkan anda dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
Kad bank atau kad kredit juga perlulah aktif dan boleh digunakan di dalam dan luar negara. Kad yang tamat tempoh mahupun disekat tidak dapat membantu anda sekiranya anda perlu pulang awal atau kekurangan wang tunai.

5. Kenalpasti nombor bantuan kecemasan

Nombor bantuan kecemasan berbeza mengikut negara yang dikunjungi. Cari dan kenalpasti nombor kecemasan negara yang anda tuju sekiranya berlaku kecemasan, anda tidak ada masalah membuat panggilan.

Jika anda ke lokasi pelancongan tempatan, dapatkan dan simpan nombor telefon pihak polis tempatan kerana talian terus ke balai polis mungkin membantu sekiranya talian umum sibuk atau tidak dapat dihubungi.Lebik baik sekiranya lokasi stesen atau balai polis terdekat dikenalpasti kerana ia sedikit sebanyak dapat membantu apabila dalam kecemasan.
 
Sususan Norhanisah Kamaruzaman

Monday, September 7, 2015

Mengurat kakak, adik yang terpikat...

Saya meminati seorang gadis dan kini berusaha memikatnya. Saya tahu dia juga menyukai saya kerana setiap kali kami bertembung, dia akan membalas senyuman pada saya. Cuma timbul masalah apabila saya mendapat tahu, adik perempuannya turut meminati saya.

Saya meminta rakan perempuan untuk bertanyakan hal berkenaan jika adiknya suka saya, adakah dia akan membalas perasaan saya.

Jawapannya agak menghampakan kerana dia menyatakan akan menolak dan beralah, sedangkan saya tidak sukakan adiknya. Seharusnya dia lebih terbuka dan jujur dengan perasaannya.

Perlukah saya terus menagih cinta gadis berkenaan atau cuba mengalih perasaan itu pada adiknya yang lebih berani meluahkan rasa suka. Bantu saya.

ZAR, Kuala Lumpur

Seorang penulis blog dari seberang pernah menggambarkan perhubungan cinta ibarat dua tiang menyokong satu bangunan. Rangkap menarik perhatian Dang Setia dalam penulisannya ialah;
“Cinta sama seperti dua pilar (tiang) yang menahan sebuah bangunan. Keduanya bergantung sama lain menjaga keutuhan bangunan itu. Ketika pilar (tiang) yang satu berasa tidak bergantung pada pilar (tiang) yang lain, bangunan yang megahpun akan hancur berkeping-keping.”

Justeru saudara perlu mendalami setiap baris digambarkan penulis nyata boleh memberi gambaran mengenai setiap jalan yang saudara pilih dalam penyelesaian ini. Sama ada ingin terus menagih cinta si kakak bermain ‘tarik tali’ atau memilih adik bersungguh-sungguh menyenangi saudara.

Namun, perlu diingatkan ‘tepuk dada tanyalah hati’ kerana saudara boleh jujur terhadap diri sendiri dalam membuat pilihan cinta saudara.

Sekali lagi saudara perlu teliti antara dua beradik itu, mana yang lebih serasi membantu saudara berasa bahagia dengan percintaan.

Setelah saudara yakin dengan pilihan itu, barulah saudara dapat mengatur jalan untuk memikat mahupun memastikan gadis berkenaan dapat merintis pengalaman percintaan membahagiakan

Abang, kakak lepas tangan jaga orang tua...

Saya pemuda berusia 28 tahun dan tinggal bersama orang tua di kampung. Saya lepasan universiti awam tetapi terpaksa ‘gantung’ ijazah demi keluarga. Orang tua saya sudah terlalu uzur. Jadi saya mengambil peranan menjaga kedua-duanya kerana belum berkahwin lagi.

Kakak serta abang saya sudah berkahwin. Mereka memberi alasan terlalu banyak komitmen serta tidak mempunyai masa untuk menjaga mereka. Kesalnya, mereka tinggal tidak jauh dari rumah orang tua saya. Sudahlah rumah dibina atas ihsan orang tua.

Namun, apabila soal menjaga ibu bapa mereka culas untuk melaksanakannya. Saya tidak kisah cuma geram sikap lepas tangan kepada saya atas alasan saya belum berumah tangga lagi. Saya bukan mengharapkan mereka menjaga ibu bapa saya 24 jam sehari tetapi memadailah memberi peluang saya mempunyai masa untuk diri sendiri sekurang-kurangnya sebulan dua kali.

Sudahlah saya terpaksa menjaga perniagaan keluarga. Kini hal makan pakai ibu bapa juga saya uruskan. Saya terkilan dengan sikap mereka yang langsung tidak datang jenguk apatah lagi menghantar makanan untuk meringankan beban saya.

Apabila saya usulkan hal itu, mereka menuduh saya berkira dan tidak sayangkan orang tua. Geram saya mendengarnya.

Apa perlu saya lakukan untuk sedarkan kakak serta abang mengenai tanggungjawab bersama menjaga orang tua. Saya mahu mereka lebih prihatin dengan orang tua dan bukan menolak semuanya pada saya.

AMRAN, Kuala Nerang, Kedah

Rasulullah SAW bersabda, “Sungguh rugi. Sungguh rugi dan sungguh rugi! Iaitu orang yang masih mempunyai ibu bapa yang sudah tua atau salah satu daripada mereka, kemudian, hal ini tidak dapat memasukkannya ke dalam syurga (kerana tidak berbuat baik kepada mereka).” (Hadis riwayat Muslim)

Jangan sekali-kali terbeban dengan perasaan kehilangan hampir separuh hidup hanya untuk menjaga kedua-dua orang tua. Saudara beruntung kerana diberi kesempatan untuk berbakti kepada orang tua.

Berapakah baki masa masih tinggal untuk saudara bersama mereka? Justeru hargai mereka ketika masih berkesempatan.

Mengenai abang serta kakak, saudara boleh menasihati mereka untuk menghargai masa yang masih ada. Ibu bapa sudah banyak mengorbankan tenaga, masa serta wang ringgit.

Jadi ketika waktu mereka uzur adalah kesempatan perlu direbut untuk mengisi waktu berkualiti bersama mereka.

Andai saudara perlukan ruang peribadi, pinta daripada abang serta kakak dengan baik untuk mengambil giliran sementara saudara uruskan hal sendiri.

Elak berdendam mahupun perasaan marah terhadap sesama saudara. Ini akan menimbulkan rasa kurang selesa pada ibu bapa. Berbanding bergaduh antara saudara kandung, lebih baik bersama-sama berkumpul dan bermesra

Bercinta dengan suami orang

SAYA merupakan seorang pelajar di universiti awam dan berumur 23 tahun. Saya sedang bercinta dengan lelaki berstatus suami orang yang juga merupakan pensyarah di tempat belajar. Kami telah menjalinkan hubungan cinta selama setahun dan dia seorang yang sangat baik serta penyayang.
Walaupun bahagia bersamanya, saya runsing memikirkan masa hadapan kerana status suami orang. Dia pernah mengajak saya berkahwin di Thailand bagi menyembunyikan hubungan ini daripada pengetahuan isterinya.
Saya buntu memikirkan perkara ini dan takut jika tersalah membuat pilihan sehingga merosakkan masa hadapan serta menghancurkan harapan keluarga. Kawan-kawan menasihatkan saya memutuskan hubungan kerana khuatir akan kecewa kelak.
Saya amat menyayanginya. Oleh itu, sangat sukar untuk saya memutuskan hubungan dan menjauhkan diri daripadanya.
Apa yang patut saya lakukan. Bantulah saya kerana ia melibatkan masa hadapan dan harapan keluarga.
LINDA,
Kuala Lumpur


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...